Khamis, 17 November 2016

BAB 3-4 MR. CRUSH

BAB 3
LOCENG berdering panjang menandakan waktu persekolahan sudah tamat.
“Bangun semua.”
“Terima kasih, cikgu.” Serentak ucapan itu dilaungkan oleh pelajar tingkatan tiga itu.
“Sama-sama. Jangan lupa kerja yang cikgu bagi. Hantar hari Rabu ini,” ucap guru muda itu agak kuat. Kemudian dia memandang tempat duduk pelajar lelaki di hadapan mejanya itu. Edin terkial-kial mengemas begnya dengan tangan berbalut plaster sebelah.
“Edin, boleh ke tu?” tanya Fareena. Rakan di sebelah Edin terus berlalu tanpa memberikan pertolongan.
“Susah. Cikgu tolong, boleh?”
Guru berusia 24 tahun itu terus bangun untuk membantu. Edin menoleh ke belakang sambil mengangkat kening kepada teman-teman sekelasnya yang memandang. Siap ditayang sengih bangga. Guru cantik itu sudi membantunya.
“Boooooo...” satu kelas mengejek Edin. Fareena menoleh ke arah pelajar lelaki yang masih berada di meja masing-masing.
“What?” Fareena mengerut kening.
“Dia mengada-ada, cikgu. Poyo! Boo sama dia!” Beberapa pelajar lelaki mengilai ketawa.
Fareena ketawa kecil dengan gelagat anak muridnya. “Nakal betul awak semua ni! Ada aja idea nak mengusik orang. Dah! Pergi balik lekas.”
“Terima kasih, cikgu. Love you!” Edin bangun sambil beg itu digalasnya di sebelah bahu. Guru itu menggeleng semata.
Edin keluar dari kelas bersama kawan-kawannya. Jam dua petang itu mereka ada kelas mengaji di surau sekolah. Dalam perjalanan ke surau, sempat terserempak dengan guru disiplin, Cik Badariah. Muncung saja mulut guru itu sewaktu murid-murid itu memberi salam. Menjawab pun tidak. Guru yang sudah memasuki usia 30-an itu, menonong pergi.
Sewaktu dia selesai menunaikan solat, sebahagian teman-temannya sudah pun menghadap Ustaz Ismail. Giliran pelajar lelaki terlebih dahulu barulah pelajar wanita. Edin segera mendekat dengan naskah Al Quran miliknya. Sementera menunggu giliran, dia membaca ayat-ayat yang sudah dihafal secara senyap.
Selesai dengan seorang pelajar lelaki, Ustaz Ismail memandang Edin.
“Kamu.. sini.”
Edin bangun lalu mendekati guru mengajinya. Dia tersengih saat guru itu merenungnya.
“Tangan tu kenapa?”
“Jatuh,” jawab Edin perlahan.
Ustaz Ismail menggeleng.
“Hmm... sambung di mana kamu berhenti sebelum ni,” arah guru itu.
Naskah Al Quran itu dibuka di bahagian yang terakhir dibacanya sebelum ini. Namun kemudian guru itu menutupnya semula.
“Baca!”
Edin memandang guru itu seketika. Wajah garang guru mengajinya itu membuatkan dia menelan liur. Di tangan guru itu sudah tersedia rotan. Menunggu masa untuk melibasnya.
Edin tunduk menggaru songkok hitam di atas kepala. Mata dipejamkan sebelum mula membaca ayat pembukaan. Sebahagian surah Al Imran dibacanya tanpa merujuk Al Quran. Guru itu memandang tepat ke arah murid kesayangannya itu. Bacaan agak lambat. Mungkin anak itu cuba mengingati apa yang sudah dihafal. Tajuid diteliti agar tepat dengan maksud ayat.
“Sadaqallah..” celah guru itu.
Edin mendongak kepada gurunya itu sambil tersengih. Kalimah penutup dibaca sehingga habis.
“Alhamdulillah. Bagus. Sambungannya nanti.. Surah Al Imran ayat 64 hingga 74.”
Edin tersengih sambil menoleh ke arah kumpulan pelajar wanita yang memerhatikan dia. Kening diangkat dua kali sambil tersenyum kacak. Beberapa pelajar wanita tersipu-sipu melihat si tampan itu tersengih ke arah mereka.
“Kamu dengar ke tidak??” Zap!! Rotan itu dilibas mengenai tepat di telapak kaki Edin.
“Aduh, ustaz ni!” rengus Edin sambil mengengsot sedikit. Telapak kakinya diusap. Sakit!
“Pandang sana nak buat apa??” marah guru itu dengan mata terjegil.
“Tak ada apa-apa.”
“Ustaz beritahu mak kamu nanti,” ugut Ustaz Ismail.
“Janganlah, ustaz...” rungut Edin perlahan.
“Hmm... pergi balik. Hari ni tak payah tolong ustaz kemas surau. Jaga tangan tu elok-elok. Nanti lambat pulak sembuhnya,” ucap Ustaz Ismail sedikit lembut.
“Okay. Syukran, ustaz.” Edin tersengih senang hati.
Sementara menunggu sesi mengaji selesai, dia melepak di hadapan surau. Rakan-rakan sebayanya semuanya masih belum pulang. Sedang dia duduk di atas tangga, terlihat seorang pelajar wanita berjalan ke arah surau itu.
“Edin?” sapa pelajar itu sebaik sahaja terpandang Edin. Pelik melihat tangan Edin berbalut lagi.
“Hmm...” Edin terus memerhatikan gerak geri Tihani.
“Tangan tu kenapa? Jatuh lagi?”
“Jatuh kat taman. Apasal lambat?” balas Edin tanpa henti memerhatikan Tihani.
“Baru habis kelas Bahasa Arab,” jawab Tihani lembut. Kasut sekolahnya ditanggalkan lalu diletakkan di rak kasut.
“Saya masuk dulu ya?” ucap gadis itu lembut.
“Hani, hari ni kita balik sama-sama, nak tak?” pelawa Edin.
Tihani memandang Edin dari ambang pintu surau. “Saya lambat hari ni. Awak pergilah balik dulu.”
Edin hanya terkebil-kebil memandang gadis itu berlalu ke dalam surau. Suruhan gadis itu tidak juga diikutinya.
“Woi... mengorat ya?” ejek satu suara dari jauh. Teman-teman sebayanya ketawa mengekek di sana. Edin sekadar tersengih. Sudah lali digosipkan dengan Tihani. Hakikatnya gadis itu rakan baiknya semenjak dari darjah enam. Cuma, setelah mereka naik sekolah menengah, mereka duduk berasingan kelas.
“Itu ana punya zaujah!” jawab Edin selamba sambil mendabik dada.
Tiba-tiba Tihani menjengah dari pintu surau. “Pergi balik! Tak payah nak zaujah sangatlah! Dengan mak pun takut, zaujah konon,” marah Tihani.
Serta merta mengilai kawan-kawan si Edin mendengar Tihani menyampuk. Edin menoleh ke arah pintu surau. Tihani dijelingnya. Sampai hati Tihani memalukan dia.
“Pergi balik sana, Edin. Buang masa aja melepak sana sini,” tegur Tihani.
“Ialah. Nak baliklah ni.” Kali itu dia mengambil beg sekolahnya. Niat mahu menunggu Tihani segera dibatalkan.
“Edin, nak pergi mana?” Hafizi saat Edin melintasi mereka.
“Baliklah.”
“Alah... lepak kejaplah.”
“Tak mahulah. Nanti mummy bising.” Edin terus berlalu tanpa menunggu jawapan teman-temannya. Tahu, emaknya akan menelefon ke rumah untuk memeriksa sama ada dia sudah pulang atau belum.
Menaiki bas awam setiap hari. Begitulah cara emak dan ayahnya mengajar dia merasa susah. Kini dia sudah terbiasa dengan rutin persekolahan begitu. Sebenarnya, jarak dari rumah ke sekolah tidaklah jauh benar. Kemudian berjalan kaki dari perhentian bas menuju ke rumah.
Edin singgah seketika di Taska Permata. Melihat tiga adiknya di situ. Ingatkan mahu mengajak adik-adiknya pulang.
“Adik baru tidur. Tak payahlah ajak adik. Tangan tu sakit. Susah nak jaga adik kalau macam tu. Nanti suruh mummy dengan daddy aja ambil,” ucap Nor kepada anak itu.
Mahu tidak mahu terpaksa juga akur. Sunyi jika tiada adik-adiknya. Nejla dan Izat kini sudah berusia lima tahun. Dan adik bongsunya Armand baru berusia dua tahun. Hanania pula sudah bersekolah di darjah tiga.
Setiba di rumah, dua pembantu rumah itu sedang mengerjakan luar rumah. Kerja di dalam rumah sudah selesai.
“Edin, makan tengah hari sudah ada di atas meja. Makan ya?” laung Yuli dari pintu dapur.
“Ya..” jawab Edin biasa.
Selesai mandi, dia turun menikmati makan tengah hari sendirian di meja makan. Sesudah itu dia ke masjid pula. Azan asar sudah kedengaran. Anak remaja itu membantu membentang sejadah sementara menunggu jemaah datang.
“Edin..” sapa Imam Hambali.
“Ustaz..”
Imam Hambali tersenyum. Entah kenapa dia sangat suka dengan anak itu. Lain berbanding rakan sebayanya. Suka bergaul dengan orang dewasa.
“Tangan tu patah lagi ya?”
Edin tersengih memandang Ustaz Hambali. Lelaki berusia 49 tahun itu menggeleng.
“Kamu ni lasak benar. Tapi tak apalah. Lepas solat nanti tunggu ustaz ya? Kita minum petang bersama.”
“Okay.” Tegak telinga Edin mendengar itu. Lelaki itu suka membelanja dia makan. Kalau tidak pun mengajak dia makan jika ada orang bersedekah makanan di masjid.
Usai jemaah, seperti selalu dia suka berlegar di masjid. Tambahan pula dalam keadaan tangannya begini, tidak mampu lagi aktif di padang. Imam Hambali mengajak Edin makan di restoran mamak terdekat.
“Daddy kamu kerja hari ni?”
“Kerja.”
“Siapa ada di rumah?” tanya Ustaz Hambali lagi.
“Ada Kak Yuli dengan Kak Sita aja,” jawab Edin sambil tersenyum.
Lelaki dewasa itu mengangguk.
“Kamu sekolah ke hari ni?”
“Sekolah. Mummy tak bagi cuti. Hari tu dah cuti lama.”
Ustaz Hambali ketawa entah kenapa. Anak seusia ini pastinya ada buasnya.
“Mari..” ajak lelaki itu setelah mereka sampai di restoran. Edin terus keluar dari kereta. Petang-petang begitu, sedap pekena roti canai.
“Macam mana boleh jatuh tu?”
“Saya terlanggar sepupu saya.”
“Kamu buat lagi aktiviti melompat sana sini tu ya?” teka Ustaz Hambali.
“Saya suka. Advanture, ustaz.” Edin pamer senyum manis buat lelaki itu.
Ustaz Hambali menggeleng. Anak remaja! Tidak boleh kata apa lagi. Bukannya dia tidak tahu sukan itu sudah mula mendapat tempat di kalangan anak muda. Ada bagusnya dan ada keburukannya. Sukan seperti itu mampu membina kekuatan fizikal dan minda. Tahan lasak dan sakit. Menjadikan seseorang itu berani menyahut cabaran dan risiko.
“Jaga diri baik-baik. Jangan sampai tercedera. Sukan begitu bagus. Tapi yang tak bagusnya bila dah patah riuk sana sini. Mak dan ayah kamu risau. Kamu nak belajar pun susah. Dan yang paling tak bagusnya jika menceburi aktiviti begitu untuk menjadi riyak. Menunjuk pada perempuan,” nasihat Ustaz Hambali lembut. Edin mengangguk sambil mengunyah roti canai.
Sesudah itu Edin dihantar pulang ke rumah. Emak dan ayahnya masih belum sampai. Adiknya juga masih belum tiba dari sekolah. Dia duduk menonton tv sendirian di ruang tamu. Tidak sedar bila masanya dia terlena.

KELEPAK... kelepak... kelebum... kelebum... kelebumm...
Bunyi kompang kedengaran membingitkan majlis perkahwinan itu. Pengantin lelaki diarak ke singgah sana. Seorang pengantin perempuan sedang menunggu pasangannya. Wajahnya bertutup oleh kipas pengantin.
Berdebar-debar dada pengantin lelaki itu. Tidak sabar mahu melihat wajah suri hidupnya.
“Perlahan-lahan..” ucap si pengapit saat si pengantin lelaki itu mahu melabuhkan duduk di sebelah pemaisurinya. Dan setelah itu, kipas yang melindungi wajah pengantin perempuan itu dialihkan.
Si pengantin lelaki pun menolehlah ke arah pengantinnya. Namun wajahnya berubah setelah melihat si pengantin perempuan. Kepala digelengkan berkali-kali tanda tidak percaya. Mana mungkin wanita itu jodohnya!
Tak mungkin! Tak mungkin! Tak mungkin! Tak mungkin!!!!
“Edin!! Hei!” Edin tersentak saat bahunya ditepuk kuat oleh seseorang. Matanya meliar memandang sekeliling.
“Apa yang tak mungkinnya???” tanya Jannah sedikit meninggi. Hairan melihat gelagat anak sulungnya itu.
Edin memandang sekeliling. Lega! Dia sedang berada di rumahnya. Bukan di majlis kahwinnya. Syukurlah dia belum kahwin.
“Kenapa ni?” tanya Jannah yang masih dibaluti hairan.
“Edin mimpi ngerilah, mummy.”
“Mimpi apa pulak?” jawab Jannah sambil melabuhkan duduk di sebelah anak sulungnya itu. Si ayah sibuk membawa beg-beg anak-anaknya ke dalam rumah.
“Mimpi kahwin..”
“Ha?” Jannah tersentak lalu menoleh. Mahu tergelak pun ada melihat wajah Edin lain macam.
“Mimpi kahwin tu mimpi nak baligh. Mimpi indah,” ujar Jannah selamba.
“Bukanlah. Ni betul-betul ngeri ni.”
“Mimpi kahwin dengan siapa pulak?” tanya Jannah sambil menanggalkan baju Armand.
“Dengan Cikgu Badariah. Cikgu disiplin yang garang macam singa tu. Seramnya, mummy.” Edin meraup wajahnya. Kalau dengan Cikgu Fareena, okaylah juga. Boleh juga dikategorikan sebagai mimpi indah. Ini dengan guru disiplin yang tidak pernah senyum itu.
“Cikgu Badariah?” Spontan meledak tawa Jannah. Lucu pula mendengar itu.
“Tidur petang lagi. Kan dah mimpi yang bukan-bukan. Pergi naik sana. Mandi. Pergi masjid. Lepas tu jangan lupa kelas mengaji malam ni! Ada ke mimpi kahwin dengan cikgu?” Jannah sempat merungut di hujung bicara.
Edin menghela nafas perlahan. Sungguh mimpi itu telah membuat dia trauma!

BAB 4
“CIKGU!”
Fareena segera menoleh. Dari laluan menuju ke kelas, Edin terus membuat lencongan untuk mendekati gurunya itu. Bukan main ceria lagi wajah Edin.
“Morning, Edin..” ucap Fareena lembut.
“Morning, cikgu. Banyaknya barang? Mari saya tolong.” Seperti selalu, anak remaja itu pasti menawarkan bantuan.
“Eh! Tak payahlah. Tangan dah berbalut macam tu, macam mana nak tolong cikgu?” ucap Fareena lembut.
“Tak apa. Sebelah lagi okay. Banyaknya kertas? Untuk siapa ni?”
“Untuk kamu semualah. Latihan math.”
“Oh...” sebahagian kertas bersusun kemas itu dijimbit dengan sebelah tangan.
“Dah breakfast?” tanya Fareena sekadar berbasi basa. Pintu kereta terus ditutupnya. Mereka berjalan berdua ke bilik guru.
“Dah. Cikgu?”
“Dah.”
“Cikgu masak sendiri di rumah?” soal Edin lagi.
“Iya. Siapa nak masakkan untuk cikgu pulak?” jawab Fareena sekadar bersahaja.
Edin menyeringai mendengar kata-kata gurunya itu. Dia tahu guru itu masih bujang.
“Kenapa awak sengih macam tu pada cikgu?” kening Fareena berkerut sedikit. Lucu melihat wajah Edin tersengih.
“Tak ada apa-apa,” ucap Edin perlahan. Kan bagus jika cikgu secantik itu punya teman lelaki? Tetapi dia mana tahu cikgu itu sudah teman lelaki atau belum. Entah-entah sudah ada.
“Awak fikir apa? Cikgu tak pandai masak?”
“Taklah. Selalu orang perempuan memang pandai masak, kan? Kat rumah saya, kadang-kadang mummy masak. Kadang-kadang pembantu rumah. Orang lelaki tak pernah memasak pun,” ujar Edin.
Fareena ketawa kecil. Sekadar mengiakan kata-kata Edin. Hakikatnya tidaklah semua wanita tahu kerja di dapur.
“Tapi abang sepupu saya pandai masak. Dia kerja di dapur restoran.”
“Ia? Selalunya di dapur restoran memang dipenuhi lelaki. Sebab kerjanya berat. Tak sama macam di rumah,” ujar Fareena lembut.
“Nak letak mana ni, cikgu?” tanya Edin setelah mereka tiba di bilik guru.
“Bagi pada cikgu. Dah. Pergi kelas cepat. Nanti lambat. Terima kasih banyak, Edin. Tengah sakit pun rajin tolong cikgu.” Fareena segera mengambil susunan kertas dari tangan Edin.
“Sama-sama, cikgu. Kalau cikgu perlukan bantuan, panggil aja saya. Mummy saya selalu kata... rajin tolong cikgu dapat banyak pahala.” Edin sempat menghadiahkan senyuman manis buat guru itu sebelum berlalu ke kelasnya.
Fareena ikut tersenyum. Menghapuskan jurang antara guru dan pelajar-pelajar, memudahkan guru untuk menyelami hati mereka. Senang memujuk ke arah yang baik. Tetapi tidak kurang juga pelajar yang berlagak sudah dewasa. Memandang dia seperti memandang bakal kekasih.
Dan itu sering dihadapinya apabila berhadapan dengan beberapa orang pelajar lelaki tingkatan lima.

“RAID!!!” panggilan bernada tengkingan itu kedengaran amat lantang di dalam ruangan sibuk itu. Menarik perhatian sebahagian pekerja yang sedang sibuk.
Raid sekadar menoleh. Kepalanya didongakkan sekilas, sekadar mahu bertanya apa kemahuan lelaki itu sehingga tergamak memanggilnya dalam nada begitu. Lelaki yang bertugas sebagai ketua chef itu segera mendekati Raid.
“Kurang ajar kau ni, kan??? Kau bercakap dengan aku macam ni.”
“Ada apa, chef?” tanya Raid biasa.
“Hari ni kau kena kerja full,” arah lelaki itu tanpa bertangguh lagi.
Raid hanya diam tanpa sebarang reaksi. Full lagi??? Tubuhnya sudah teramat penat.
“Kau dengar ke tak???” melengking semula nada lelaki itu. Bahu Raid ditolaknya ke belakang.
“Dengar. Iyalah.. saya staybacklah hari ni.” Raid menjawab perlahan.
“Kau ni macam tunggul. Aku bercakap dengan kau, hormat sikit! Aku ni supervisor kau!” tengking Chef Shazwan lantang. Tidak puas hati dengan sikap anak muda itu kepadanya.
Raid diam sambil meneruskan kerjanya. Lagaknya macam tiada sesiapa sedang bercakap dengannya.
“Kau pekak ke apa?”
“Orang bagus dengan saya, saya bagus dengan orang, chef. Orang buat tahi dengan saya, sorry to say. Sila pergi mampus! Ada masalah nak faham tu?” Raid menjawab selamba.
Berubah wajah lelaki itu mendengar jawapan yang cukup bersahaja itu. Senyum sinis Raid benar-benar menyakitkan hatinya.
“Bodohlah kau ni. Sakit jiwa bercakap dengan kau,” rengus lelaki itu lantas berlalu. Bosan bercakap dengan anak muda itu. Macam kayu!
“Tak suka blahlah cepat! Semak kat sini nak buat apa?” Raid membebel seorang diri. Malas nak layan kepala angin lelaki itu. Buang masanya sahaja.
“Kalau aku, aku dah tumbuk dah muka orang tua tu,” bisik rakan di sebelahnya itu.
“Tak payah sakitkan tangan tumbuk dia. Lantakkan aja dia menjerit seorang. Lama-lama dia blah juga.” Raid menjawab selamba sebelum berkalih ke peti ais di belakangnya. Segala bahan yang sudah siap ditimbang disimpan di dalam peti ais itu.
“Dengan anak bos dia boleh tengking suka hati dia. Mabuklah orang tua tu. Memang mintak ditendang cepat tu,” ujar Harith sambil menggeleng.
Raid hanya diam. Jenis dia malas melayan manusia yang begitu. Lebih baik dia buat hal dia saja. Lagipun dia bekerja di situ hanya untuk sementara. Jenis dia.. sesudah dia merasa tidak suka, memang susah hendak berkawan baik dengan orang itu.
“Kau ni anak orang kaya pun kena kerja ya? Pelik aku bapak kau ni.”
Raid menoleh dengan sedikit senyuman. “Orang jadi kaya hasil bekerja. Apa yang peliknya? Yang pelik kalau tak kerja boleh kaya.”
“Iya tak iya juga.” Teman di sebelah mula menggaru kepala. Namun sudahnya mereka berdua ketawa geli hati.
Sehingga ke jam 11 malam terpaksa bekerja. Penat tak usah katalah. Longlai tubuhnya. Bukan main laju lagi motorsikal ditungganginya. Mahu lekas tiba di rumah.
Ketika motornya tiba di hadapan kediaman orang tuanya, jam sudah hampir ke angka 12 tengah malam. Ruang tamu sudah lengang. Raid melabuhkan duduk di sofa. Baju kerjanya ditanggalkan sebelum dia berbaring di sofa. Tidak sedar, dia terlena juga.
Tidak lama kemudian.
“Raid...” bahu anak itu digoyang sang ayah lembut.
“Hmm... esoklah, chef.” Raid menggumam tanpa dapat membuka mata.
“Raid, bangun. Dah pukul 5 ni. Bangun.”
Spontan Raid bangkit. Jam dipandangkan. Memang jam 5 pagi. Dia mesti masuk kerja jam 6! Rafael ikut memandang jam.
“Balik pukul berapa semalam?” tanya lelaki berusia pertengahan 40-an itu lembut.
“Pukul 12. Raid masuk kerja pagi ni, pa. Raid naik dulu. Nak mandi.” Walaupun masih penat, Raid bangun juga.
“Dah tiga hari papa tengok Raid masuk kerja pagi, balik tengah malam. Kenapa macam tu?” tanya Rafael sebelum anaknya itu berlalu.
“Chef suruh kerja dua shif.” Raid menjawab malas.
“Kitchen kurang pekerja ke?” tanya Rafael lagi.
“Ada staff cuti. Ketua chef tu garang. Tak ada siapa boleh bangkang cakap dia.” Raid sekadar menoleh sekilas kepada ayahnya sambil menjawab. Yang menyakitkan hatinya, dia dipaksa bekerja lebih masa. Lelaki itu sedap pula balik jam lima setiap hari. Dasar pemalas!
Rafael mengerut kening memandang anaknya itu berjalan longlai ke tangga. Tiga hari berturut-turut berkeadaan begitu, rasanya itu tidak tepat dengan peraturan kerja lebih masa bagi pekerja. OT secara paksa mesti dibuat secara bergilir. Tidak boleh berturut-turut sehingga mengganggu waktu rehat pekerja.

JAM 9 pagi itu tiba-tiba kelibat Jannah muncul di kawasan dapur kitchen itu. Wanita itu berada agak lama di pejabat chef. Kemudian Raid terlihat emak saudaranya itu berdiri di hadapan papan jadual shif bagi semua pekerja. Dia turut terlihat emak saudaranya itu menunding pada namanya sambil berkata sesuatu.
Hati Raid mula tidak senang. Lama lelaki berdiri sekadar mendengar kata-kata Jannah. Tidak lama kemudian wanita itu berlalu. Raid sekadar memandang pemergian emak saudaranya itu.
“Raid!!!” jerit Chef Shazwan dari pintu kamar pejabat.
Raid menghela nafas perlahan. Apa lagi hendaknya lelaki itu darinya? Lambat-lambat dia berjalan ke arah pejabat kecil itu.
“Kau balik sekarang. Mati pulak kena kerja lebih masa nanti.”
“Kenapa pulak?” Raid bertanya hairan.
“Kau yang mengadu, kau tanya aku lagi??? Tak pasal-pasal aku kena marah!!!” Tengking Chef Shazwan berang.
“Chef cakap baik-baik sikit. Saya tak mengadu apa-apa pun!”
Lelaki itu berdiri di hadapan Raid dengan pandangan menyinga. Kolar baju Raid direnggutnya dalam keadaan amarah penuh di dada sehingga Raid terdorong ke arahnya.
“Lorat!!! Kau fikir kau anak bos, kau boleh...” tiba-tiba kata-katanya terhenti sebaik sahaja terpandangkan seseorang berdiri tidak jauh dari mereka. Kolar uniform Raid segera dilepaskan. Raid ikut memandang ke belakang. Wajahnya berubah sedikit.
Rayland berdiri memandang ke arah mereka berdua. Namun kemudian dia mendekat.
“Kamu buat apa? Saya boleh dengar suara kamu dari pintu itu,” ucap Rayland kepada Chef Shazwan. Chef Shazwan menelan liur.
“Ada apa masalah di sini?”
“Tak ada apa-apa, sir.”
“Jadi kenapa kamu tengking dia sehingga begitu sekali?” tanya Rayland hairan. 
“Kami ada masalah dengan pekerja yang suka mengadu kepada pihak atasan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada saya.”
Rayland memandang Raid.
“Raid tak ada cakap apa-apa pun!” tegas Raid.
“Kita berjumpa di atas jam 12 nanti,” ucap Rayland kepada Chef Shazwan.
“Siapa senior CDP di sini?” tanya Rayland sambil memandang sekeliling.
“Saya, sir.” Seorang lelaki berseragam putih mengangkat sedikit tangannya.
“Juga naik ke atas jam 12 nanti.” Rayland kembali memandang Chef Shazwan.
“Bapa dia menelefon ke pejabat saya pagi tadi. Menyatakan dia dipaksa berkerja dari pagi sehingga ke malam oleh ketua kitchen selama lebih dua hari. Satu tindakan mesti diambil memandangkan kawasan kerja di sini berbahaya. Semua pekerja mesti mendapat cukup rehat. Tetapi kamu tengking dia pula. Rasanya saya mesti pertimbangkan tarikh yang sesuai untuk kamu bersara dari jawatan kamu.”
Berubah wajah Chef Shazwan mendengar itu. Kata-kata itu cukup jelas memaksudkan dia akan diberhentikan dengan cara terhormat dalam sedikit masa lagi.
“Biasakan diri melayan pekerja seperti mereka itu manusia. Kawal kemarahan kamu. Biarpun jawatan mereka sebagai tukang basuh pinggan atau tukang sapu. Kita tak amalkan sikap seperti itu di dalam sini. Selain dari kualiti kerja yang baik, kita mahu setiap kakitangan kekal berkerja dengan hotel ini sehingga mereka dengan rela hati untuk bersara. Sebagai ketua, sikap lunak itu perlu apabila kita berurusan dengan kakitangan bawahan. Jangan layan mereka seperti binatang. Supaya mereka gembira bekerja di sini,” nasihat Rayland.
Kawasan dapur itu diam sediam-diamnya termasuklah Chef Shazwan. Rayland memandang ke arah Raid pula.
“Balik ke rumah. Esok masuk kerja semula seperti biasa,” ucap Rayland kepada anak saudara isterinya itu. Jelas sekali wajah Raid sedang keletihan.
Raid sekadar mengangguk. Rayland terus berlalu dari kawasan itu.

Chef Shazwan masuk ke dalam pejabat lalu menghempas punggung di kerusinya. Terdiam. Kalau tadi pegawai eksekutif pentadbiran yang datang menegurnya. Kali ini CEO hotel yang datang memalukannya di hadapan pekerja lain. Dan dia tahu, sedikit masa lagi dia terpaksa meninggalkan hotel ini! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan