Rabu, 16 November 2016

BAB 1 MR. CRUSH


BAB 1
KELIBAT tiga anak muda melakukan aksi lompatan parkour menarik perhatian orang ramai di taman itu. Menarik. Namun lagak itu agak merbahaya bagi yang tidak punya skill.
Namun sedang mereka bertiga berehat, seorang wanita tua mendekati kumpulan anak muda itu. Salah seorangnya berjalan di atas palang buaian yang tinggi. Menguji imbangan diri.
“Kau orang ni dah tak ada kerja lain ke? Kan bahaya tu? Tak sayang nyawa ke?”
Raid terus melompat turun dari atas palang buaian itu. Teguran wanita itu tidak dibalasnya.
“Kau anak siapa? Rumah kat mana?” 
“Apasal pulak mak cik ni? Kami suka. Biarlah. Kami bukan ganggu orang nak joging sini. Sibuk nak tanya rumah orang,” jawab Rauf. Dia mengagak wanita itu mahu mengadu hal itu kepada orang tua mereka.
“Rauf!” tegur Raid kepada adiknya.
“Kurang ajar kau ya? Anak siapa kau ni. Mari aku nak mengadu kat bapak kau,” desis wanita itu geram.
“Maaflah, mak cik. Ni adik saya. Jangan ambil hati apa yang dia cakap tadi,” sampuk Raid.
“Lebih baik balik rumah, tolong mak bapak kau orang kat rumah daripada buat kerja tak berfaedah ni. Orang nak lepak bawak anak kat taman ni. Kau orang ni terkinja-kinja macam beruk. Ingat elok sangatlah ikut gelagat mat saleh tu semua?” Wanita itu menjeling Rauf sebelum berlalu.
“Teruknya mulut mak cik tu. Dia orang semua joging kat sana, kan? Kita kat sini. Takkan salah jugak?” ucap Firdaus sambil terkebil-kebil.
“Dahlah. Jangan biadap dengan orang tua. Jom balik.”
“Semua tempat tak boleh. Takkanlah kita nak lepak tengah jalan pulak,” rungut Rauf sebal. Sudahnya mereka mengekori langkah Raid menuju ke rumah. Raid menoleh kepada adiknya.
“Kita pergi rumah tok daddy nak?”
“Nak!!!” sudahnya dua beradik itu berlari anak mengekori Raid menuju ke rumah mereka.
“Nak ke mana?” tanya Nur Ain hairan melihat anak-anaknya tiba-tiba pulang. Mengambil topi keledar pula.
“Nak pergi rumah tok daddy kejap, ma. Boleh ya?”
“Jangan tengah malam baru nak balik. Rauf, esok nak balik asrama, kan? Jangan buat-buat lupa pulak.”
“Ya, ma.” Rauf menjawab rendah.
“Bawak motor tu elok-elok. Kirim salam mama dengan atok ya?” laung Nur Ain saat anak-anak itu berlalu semula ke pintu rumah.
“Okay, ma.”
Ligat tiga beradik itu menuju ke motor. Firdaus lebih pantas bertenggek di belakang motor Raid. Dua motor itu berlalu keluar dari kawasan banglo itu. Untuk ke rumah datuknya tidaklah jauh benar. Mereka di kawasan yang sama. Sekitar sepuluh minit, kedua-dua motor itu sudah tiba di hadapan pintu pagar rumah.
“Mak uda dengan Daddy Mika balik ke?” tanya Firdaus sambil menurunkan diri dari motor. Kereta milik ibu dan bapa saudaranya ada terpakir di luar kawasan rumah.
Rauf terus meninggalkan motornya menuju ke pintu rumah. Di dalam rumah riuh rendah dengan suara sepupu-sepupunya.
“Atok...” sapa Firdaus sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Terlihat Puan Sri Insyirah terlebih dahulu. Wanita itu sedang duduk di sofa.
“Mama tak datang ke?” tanya Puan Sri Insyirah. Huluran tangan cucu-cucunya disambut.
“Papa tak ada, mama tak nak keluar berjalan,” jawab Firdaus. Matanya melilau mencari sepupu yang juga merengkap kawan karibnya Tajul Ariff.
“Papa bila balik?” tanya Puan Sri Insyirah lagi.
“Hari Selasa ni. Mana dia orang semua, tok? Tok daddy mana?”
“Tajul, Edin semua kat atas. Pergilah cari di atas. Tok daddy kat masjid lagi. Belum balik. Dah sembahyang asar ke ni?”
“Dah. Tok mummy sihat ke?” tanya Raid lantas duduk sebelah neneknya.
“Sakit lutut. Lama sangat kat dapur tadi. Mama tu sihat ke?”
“Sihat aja. Amanda ada kat rumah temankan mama,” cerita Raid.
“Anak dara tu memang tak rajin berjalan kalau tak ada mama temankan dia,” jawab Puan Sri Insyirah. Memandang Amanda teringat anaknya Afyra ketika remaja. Hampir seiras mereka berdua.
“Ni bila nak balik asrama?” paha Rauf terus ditepuk Puan Sri Insyirah. Anak itu sedang menuntut di Maktab Tentera Diraja.
“Esok.”
“Siapa hantar?”
“Balik sendiri. Papa tak ada,” jawab Rauf rendah.
“Atok suruh tok daddy hantarkan ya?” ujar Puan Sri Insyirah lantas menyentuh lengan Rauf.
“Alah... lembik nak kena hantar. Orang lain tu elok aja balik sendiri. Bukannya baru semalam masuk asrama,” sampuk Raid.
“Tak apalah. Sekali sekala. Dah minum petang ke ni? Mak uda ada goreng spageti. Pergilah makan,” ucap Puan Sri Insyirah. Belum sempat Insyirah menoleh, dua cucunya itu sudah bertempiaran ke ruangan makan.
Wanita tua itu ketawa perlahan dengan gelagat cucu-cucunya itu. Tidak lama kemudian turun pula tiga serangkai, sepupu akrab. Edin, Firdaus dan Tajol Ariff. Masing-masing bersekolah di tingkatan tiga. Namun umur Edin muda setahun dari dua orang sepupunya itu.
“Nak pergi mana pulak ni?” tanya Puan Sri Insyirah.
“Kita orang nak pergi bawah sana.” Tajol menjawab sambil menghenyak punggung di sebelah neneknya.
“Tunggu abang! Sifu kena ada sekali.” Ada suara segera menyampuk dari ruang makan.
 Puan Sri Insyirah sekadar menggeleng. Kalau berkumpul itu sajalah kerjanya.
Lekas-lekas menghabiskan makan. Sudah tidak sabar mahu turun ke taman rekreasi berhampiran dengan rumah itu. Edin mengambil basikal kesayangannya. Firdaus dan Tajol pula siap sedia mengayuh papan luncur beroda milik mereka. Bukan main sedap lagi meluncur menuruni bukit.
Tetapi tiba-tiba ada dua makhluk lebih laju berlari ke bawah bukit meninggalkan mereka. Sudah terbiasa dengan aktiviti parkour yang memerlukan kebolehan berlari laju, mereka betiga ditinggalkan Raid dan Rauf begitu mudah.
Semenjak beberapa tahun lalu, satu gelanggang skateboard dibina untuk aktiviti skateboard di taman itu. Firdaus dan Tajol lebih gemar meluncur di gelanggang skateboard itu. Papan luncur beroda itu dikayuh laju. Di gelanggang yang sama juga Edin bermain basikalnya. Macam-macam gaya dicubanya. Semua aksi itu, sekiranya terjatuh alamatnya ke hospital perginya! Raid dan Rauf seronok lompat parkour sana sini. 
Pengunjung taman itu mula memandang gelagat anak-anak remaja itu. Kemudahan yang ada di taman itu habis digunakan sebaik-baiknya. Tidak sedar, ada kereta bergerak perlahan sambil memerhatikan gelagat mereka. Kemudian kereta itu berhenti di tepi jalan.
Tan Sri Ariff dan Rayland keluar dari kereta. Mereka mendekati kumpulan anak remaja itu. Edin terkejut beruk melihat ayahnya bercekak pinggang memandang gelagatnya. Sedang dia memandang ayahnya, tidak sedar Tajol meluncur ke arahnya. Sudahnya mereka berdua saling merempuh di atas gelanggang itu.
“Astaghfirullah...” cepat-cepat mereka mendekati anak-anak itu. Raid berlari ke arah Edin dan Tajol.
“Edin?” Tidak tentu arah Rayland melihat anaknya tidak bergerak langsung.
“Auww... auww...” kedua-duanya mengerang saat cuba digerakkan. Edin lebih sadis. Tersekat di celahan basikalnya. Raid dan Rauf cuba mengalihkan Tajol. Sayangnya ada darah turun laju dari hidung Tajol.
“Ya Allah...” Tan Sri Ariff mula panik melihat keadaan dua cucunya itu.
“Telefon ke rumah. Suruh mummy Ti datang sini lekas!” suruh lelaki tua itu kepada Raid.
“Panas!” ucap Tajol sambil memegang wajahnya. Kebas!
“Jangan sentuh! Kamu kena pergi hospital ni. Masya-Allah...” keluh lelaki tua itu.
Raid berdiri sambil mendail telefonnya. Rayland cuba membantu anaknya. Tetapi lengan Edin sudah ketara bengkak.
“Jangan, daddy. Sakit!” rintih Edin.
“Daddy cuma nak alihkan.” Puas berusaha barulah basikal itu dapat dialihkan daripada Edin.
Setelah dipanggil, emak Tajol dan emak Edin datang ke situ. Puan Sri Insyirah turut ada.
“Taj!!!” Engku Fatimah panik melihat anaknya berdarah teruk. Jannah hanya mampu bercekak pinggang memandang anak lelakinya terbaring. Edin hanya terkebil-kebil memandang emaknya. Macam nak marah dia saja!
“Buat lagi! Dulu dah jatuh, ni jatuh lagi sekali. Baru aja naik sekolah. Eee... memang nak kena Edin ni tau!” Jannah segera membebelkan Edin.
“Bawa pergi hospital lekas,” ucap Engku Fatimah panik. Berbanding Edin, keadaan anaknya lebih parah.
“Kita pergi sekali,” putus Rayland.
“Nak ikut?” sampuk Firdaus.
“Tak payahlah. Pergi balik sana. Jangan melompat lagi kat sini. Balik rumah,” arah Tan Sri Ariff.
Tiga beradik itu sekadar memandang dua kereta itu berlalu membawa Edin dan Tajol ke hospital.
“Nasib baik bukan kita yang jatuh, kan?” ujar Firdaus seketika kemudian.

“Kalau kita yang jatuh, alamatnya kita cedera parah kena pijak dengan mama kat rumah nanti.” Raid menjawab selamba sambil mengajak dua adiknya itu berlalu. Rauf dan Firdaus ketawa gelihati.

2 ulasan: