Sabtu, 19 November 2016

BAB 7 MR. CRUSH

BAB 7-MR. CRUSH
“PSSTT... boleh jumpa Abang Raid tak?”
Lelaki di kaunter kecil itu memandang ke dalam bahagian dapur.
“Raid busylah! Kau nak apa jumpa dia?” ucap Chef Shazwan keras.
“Adalah. Ini hal personal. Panggilkanlah kejap. Cakap Edin nak jumpa,” ucap Edin bersungguh.
Lelaki bertopi tinggi itu mendecit. “Nasiblah bapak kau bos kat sini. Kalau tak dah lama aku tempik kat kau ni,” ujar lelaki itu jengkel. Edin mencebik sedikit. Orang nak jumpa sepupu pun salah. Mesti lelaki itu tiada sepupu. Cemburu!
“Raid.. break sekarang! Ni ada budak berhingus nak jumpa kau!” jerit lelaki itu kepada seseorang di dalam bahagian dapur.
Berubah wajah Edin. “Daddy saya kata kita jangan kurang ajar dengan orang. Jangan sombong. Dah tua tapi sombong!”
“Diamlah. Tahulah bapak kau bos kat sini. Banyak cakap pulak,” cebir lelaki itu selamba.
Edin menjeling sambil mendesis perlahan.
“Dia tu yang banyak cakap. Apasal tiba-tiba marah orang?” Tidak suka dengan cara lelaki itu. Kasar. Tidak lama kemudian muncul lelaki yang dicarinya. Raid menjengah melalui tingkap kecil tempat laluan makanan itu.
“Ni sepupu kau ni! Sibuk mengacau orang buat kerja!” desis lelaki itu kepada Raid.
Raid tidak menjawab. Terus dia keluar dari kawasan dapur itu lalu mendapatkan Edin.
“Kenapa dengan pak cik tu? Kurang ajar.” Edin membebel. Bengang.
“Dia memang macam tu. Jangan layan dia. Dengan abang pun dia suka cakap kurang ajar.” Raid memandang semula ke arah tingkap kecil itu. Lelaki itu sudah tiada. Menunggu masa ‘dipencenkan’ oleh majikan. Lelaki itu memang suka mencari pasal dengan orang berbanding bekerja.
“Buat apa kat sini?” tanya Raid hairan.
“Mummy kena kerja hari ni. So, kita orang ikutlah mummy pergi office.” Edin menyengih. Adik-adiknya sedang berendam di kolam renang.
“Kenapa muka abang macam tu?” tanya Edin hairan.
Raid segera memegang wajahnya. “Oh. Kerja dalam kitchen tak boleh ada misai dan janggut. So abang cukurlah semua.”
“Muka Abang Raid lainlah.”
“Jomlah. Abang nak makan ni. Lapar.” Bahu Edin segera dipaut oleh Raid.
“Kita nak makan kat mana?”
“Kat luar. Murah sikit. Abang belanja ya?” jawab Raid sambil tersenyum.
“Kan kat dalam tu ada makanan?” tanya Edin lagi.
“Mahal.” Raid sekadar menjawab sepatah. Semua kakitangan tidak sediakan makanan sebaliknya hanya diberikan elaun makanan.
Mereka berjalan keluar dari kawasan hotel. Mencari restoran terdekat untuk mengisi perut. Agak jauh juga terpaksa berjalan. Namun hanya Raid yang mengisi perut. Edin sekadar menemankan.
“Abang Raid tak penat ke kerja kat situ?”
“Penat yang teramat sangat,” jawab Raid perlahan.
“Kenapa tak berhenti aja? Kan banyak kerja yang senang?”
“Tak kerja tak ada duit. Kenalah kerja jugak. Mana ada kerja yang senang. kerja yang senang ni tidur aja.” Raid menjawab selamba.
“Pak long tak bagi duit? Kak Amanda pun kena kerja?”
Raid mengangguk. “Semua kita kena kerja. Edin pun kena juga nanti. Kak Amanda kerja di pejabat pak long,” ujar Raid sambil menyuap makanan.
“Kak Amanda jadi secretary pak long ke?”
Raid tergelak serta merta. Baguslah kalau adiknya ditawarkan kerja sebagai setia usaha.
“Tak ada mananya dia jadi secretary. Dia kena jadi cleaner office pak long.”
Serentak itu Edin ketawa. Lucu entah kenapa.
“Apasal gelak?” Raid memandang adik sepupunya itu sambil tersenyum.
“Kak Manda jadi cleaner? Mesti lucu kalau tengok dia tu, kan?” Edin tergelak lagi.
“Kira bertuahlah dia dapat jadi cleaner pejabat. Abang ni lagi teruk jadi orang dapur. Ingat kerja kat dapur restoran tu tak penat?” balas Raid lantas meneruskan suapan. Tiada liburan untuk dia dan Amanda dalam pengajian berhenti seketika. Mereka kena bekerja. Tiada kerja, tiadalah wang lebih. Dan tiada keistimewaan diberikan kepada mereka berdua sepanjang masa itu. Dilayan sama rata seperti pekerja yang lain.
“Abang nak jumpa Cikgu Fareena tak nanti?”
“Untuk apa? Malulah abang. Hari tu dia tak layan pun,” ucap Raid.
“Alah... kita cubalah sekali lagi,” ujar Edin perlahan.
Raid diam seketika. Sebuah keluhan dilepaskan. Antara mahu dan tidak. Kalau lelaki lain pastinya melompat mahu. Tetapi dia jenis pemalu dengan perempuan. Sekali ditolak mulalah dia rasa rendah diri.
“Seganlah abang, Edin.” Raid tunduk memandang makanannya.
“Alah.. abang cuba ajalah. Kalau dia tak suka, tak apalah. Mana tahu kali ni dia tak kisah? Abang janganlah cepat putus asa. Edin suka kalau abang kawan dengan Cikgu Fareena. Dia tu baik.”
“Okaylah. Nanti abang pergi jumpa Edin ya?” jawab Raid akur. Kembang setaman senyum Edin mendengar jawapan Raid.
Sebelum lima belas minit waktu kerjanya bermula, Raid mengajak Edin pulang semula ke hotel. Setiba di lobi dia terlihat mummynya sedang bercekak pinggang memandang ke arahnya. Edin mendekati emaknya sambil menggaru kepala. Tersengih-sengih tidak tentu arah.
“Pergi mana tak cakap dengan mummy?” tanya Jannah sebaik sahaja anak itu berada di hadapannya.
“Edin keluar dengan Abang Raid.”
“Kenapa tak cakap dengan mummy dulu? Mummy cari dari tadi!”
“Edin lupa. Sorry..” ucap Edin perlahan.
Jannah menjeling. Saja mahu menyusahkan hatinya.
“Naik atas. Merayap aja. Tahulah mulut tu peramah!” bebel Jannah. Seterusnya dia berpaling untuk naik semula ke pejabat. Edin tersengih-sengih saat gadis-gadis di meja daftar masuk itu ketawa. Ada yang melambai dengan lambaian menggoda.
Edin turut membalas dengan lambaian bak seorang putera kacak. Siap diberikan flying kiss kepada kakak-kakak yang cantik jelita di meja itu. Sayangnya dia terlanggar mummynya yang berhenti berjalan tiba-tiba. Gadis-gadis itu tergelak gelihati melihat insiden itu.
“Opss! Mummy, are you okay?”
“Pandang mana? Mummy yang sebesar ini tak nampak ke?” tekan Jannah. Geram betul dengan anak bujangnya ini.
“Taklah. Edin pandang sana. Tak nampak mummy stop tadi.” Terkulat-kulat Edin. Jannah memukul bahu anaknya itu agak kuat.
“Jalan kat depan! Jalan kat belakang mummy, habis semua perempuan nak dilambai. Misai pun tak tumbuh lagi dah miang nak melambai anak dara orang. Cili nak? Kalau nak, cakap cepat! Mummy boleh bagi!” leter Jannah.
Edin menggaru kepala sambil menunduk. Lupa.. yang dinding di sekitar lobi itu sedang memantulkan bayangannya pada pandangan ibunya. Sudah tentulah emaknya sedang melihat aksinya sekejap tadi!

SEKADAR satu mesej biasa-biasa, darahnya tersirap. Tiada kata-kata memaki hamun. Cuma mesej yang ingin bertanya khabar. Begitulah rapuhnya perasaannya kala itu. Fareena menghentikan kerjanya. Telefonnya didail.
“Hello... boleh tak you ganggu I waktu I kat sekolah?”
“I rindu. Kenapa susah sangat nak contact you ni? I what’s App you langsung tak jawab. Entah-entah baca pun tidak.”
“I tengah kerja, Hairi.” Nada Fareena semakin menekan dalam tanda tidak senang mahu berbual dengan lelaki itu kala ini.
“Lepas sekolah pun, I call you tak jawab. Why? You betul-betul nak larikan diri dari I ya?”
“Cakaplah apa yang you nak! Dah tahu buat apa tanya lagi?” talian terus dimatikan Fareena. Bosan melayan kerenah lelaki itu.
Sekali lagi Hairi memanggil telefon wanita itu. Fareena mematikan talian dan sekalian telefon itu juga dimatikan kuasanya. Telefon itu disumbatnya ke dalam laci meja.
Namun kemudian dia menghela keluhan perlahan. Hampir dua tahun hubungannya dengan lelaki itu. Hubungan cinta? Entahlah. Lelaki itu dikenalinya ketika masih di UPM dahulu. Tidak pernah jemu menghimpitnya. Sudahnya diterima juga walau hati tidak begitu cinta. Setelah lelaki itu tamat pengajian. Dia masih bergelut di tahun akhir. Manakala Hairi memulakan kerja. Beberapa bulan yang lepas seorang perempuan menelefonnya. Memberitahu yang Hairi memutuskan hubungan dengan wanita itu kerana dia.
Hairi mengaku dia kerap berhubung dengan wanita itu ketika Fareena sedang membuat praktikal mengajar di sebuah sekolah sebelum ini. Alasannya lelaki itu sunyi. Mereka tidak selalu berjumpa. Tetapi hubungan sulit dengan perempuan itu sudah pun diputuskan semenjak dia mula bertugas di sekolah ini.
Terkejut! Hampa? Tidak sama sekali. Tetapi dia sakit hati kerana ditipu. Senyap-senyap buat kerja di belakangnya. Puas cuba memutuskan hubungan, lelaki itu macam tidak reti bahasa. Merayu-rayu peluang ke dua. Sedangkan dia sudah tidak lalu mahu memandang wajah Hairi. Muak!
Tiada mood! Dia antara guru yang paling awal mengemas meja. Nak balik cepat!
Di luar sekolah, pelajar-pelajar sesi pagi rata-ratanya sudah pulang. Hanya sebahagian yang masih berlegar di kawasan sekolah dengan aktiviti masing-masing. Namun sebelum dia masuk ke dalam kereta, suara Edin kedengaran memanggilnya.
Fareena menoleh. Betapa terkejutnya dia melihat Edin menyeret Raid ke arahnya.
“Ada apa ni?” tanya Fareena.
“Abang sepupu saya nak berkenalan dengan cikgu.”
“Edin, stop it! Can you guys just leave me alone??” ucap Fareena tiba-tiba tajam nadanya. Bukan sekadar wajah Edin, wajah Raid ikut berubah mendengar kata-kata Fareena.
“Edin, jomlah balik.” Raid berkata perlahan kepada Edin. Sahihlah kehadirannya tidak dialu-alukan. Sudah ditolak sekali, dia memalukan diri sekali lagi pula. Bodoh! Raid mengutuk diri sendiri.
“Kenapa cikgu cakap macam tu?” tanya Edin rendah. Tidak pernah melihat gurunya sekasar itu.
“Ini hal peribadi cikgu, Edin. Jangan tanya banyak kali boleh tak??? Cikgu...”
“Jangan marah dia!” pintas Raid agak mengeras nadanya. Fareena terdiam.
“Saya yang suruh dia buat macam ni. Cikgu tak suka, tak apa. Kami minta maaf kerana menganggu. Saya tak akan buat lagi macam ni. Jom balik, Edin.”
Edin membisu saat tangannya ditarik Raid. Terkejut. Hampa dan terasa hati.
“Edin, cikgu minta maaf. Cikgu tak bermaksud nak marah Edin.” Fareena sempat meluahkan kata-kata itu sebelum anak muridnya itu berlalu. Edin sempat berpaling memandang Fareena. Namun langkah tidak mampu dihentikan. Raid sedang menyeretnya pergi.
Fareena termangu pula di situ. Tiba-tiba kesal bergaung kuat dalam dirinya kerana memarahi Edin. Bukan kepada anak itu dia sedang marah sekarang. Bukan kepada Raid hatinya berbuku. Tetapi kepada Hairi!
Fareena masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan namun dia termenung pula memandang cermin di hadapan. Serabut fikirannya dengan apa yang baru sahaja berlaku. Seketika kemudian Fareena membuka beg tangannya. Telefonnya diambil lalu dihidupkan semula.
Wanita itu mendail nombor Hairi. Sekejap sahaja panggilannya berjawab.
“Hello...”
“Sayang?” sapa Hairi hairan. Tidak sangka Fareena akan menghubunginya semula.
“Kita jumpa Ahad ni? Tempat biasa. Pukul 3. Boleh?” ucap Fareena tanpa berbasi basa.
“Okay. Since kita pun dah lama tak jumpa,” jawab Hairi lembut.
Talian terus dimatikan Fareena. Langsung tiada penutup kata. Kemudian keretanya diundur keluar dari kawasan parkir.
 Tiba di persimpangan lampu isyarat, banyak motor memenuhi bahagian paling hadapan. Wanita itu sekadar pegun memandang ke hadapan. Menunggu lampu isyarat bertukar warna. Namun tiba-tiba sebuah motor jenis scrambler berhenti di sebelah kanan keretanya.
Fareena menoleh. Segera perasan seorang budak berpakaian sekolah duduk di belakang motor itu tidak ubah seperti Edin. Fareena menurunkan cermin di sebelahnya. Nak tergelak melihat Edin memeluk Raid macam pasangan kekasih.
“Hei..” sapa Fareena ke arah dua lelaki di sebelah keretanya.
“Eh! Cikgu..” Edin segera melambai dengan sebelah tangan. Agaknya dah terlupa tadi dia kena marah dengan Fareena.
Raid sekadar menoleh sekilas. Wajah Fareena berubah sedikit. Tidak ada biarpun sedikit senyuman di wajah lelaki itu.
“Kenapa tak pakai helmet?” tanya Fareena sambil menunding ke arah Raid.
Edin cuba mengintai abang sepupunya itu. Raid tetap diam. Macam tidak mendengar soalan gurunya itu.
“Helmet ada satu aja. Edin yang pakai. Abang tak payah,” jawab Edin sambil tersenyum.
Fareena sekadar mengangguk. Cermin jendelanya dinaikkan semula.
Raid terus buat tidak tahu. Fareena lihat Edin berkata sesuatu kepada Raid. Namun lelaki itu hanya menggeleng. Fareena sekadar tersenyum melihat dua lelaki itu. Kali itu matanya tidak lagi banyak memandang Edin. Sebaliknya dia sibuk memerhatikan lelaki seorang itu.
Marahkah lelaki itu dengan apa yang berlaku tadi? Entah! Tidak tahu kenapa, hatinya terdetik rasa kesal pula.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan