Jumaat, 18 November 2016

BAB 5 MR. CRUSH!

BAB 5
“SAYANG..” sapa Jannah sambil menolak pintu kamar si anak. Edin menoleh ke arah pintu.
“Dah pukul 11 ni. Tak tidur lagi?” tanya sang emak lantas masuk.
“Banyak homework.” Edin menjawab perlahan.
Jannah berdiri di sebelah si anak. Memerhatikan apa yang sedang dikerjakan anak sulungnya itu. Semenjak plaster di lengannya sudah dibuka oleh doktor, pergerakan Edin kembali cergas seperti dahulu.
“Semua nak hantar esok ke ni?”
“Hari Jumaat.”
“Lah.. kan esok ada masa lagi?”
“Esok Edin nak tengok Abang Raid practice pakour dengan kawan-kawan dia, mummy.”
“Tak habis-habis dengan parkour!” telinga anak itu ditarik Jannah spontan.
“Biarlah. Edin suka.” Nada Edin menjawab sedikit meleret. Tangannya terus menulis di buku latihan. Sedikit pun tidak terganggu dengan kehadiran ibunya.
“Jangan nak ikut melompat sekali pulak. Tangan tu baru nak baik. Jangan balik lambat,” pesan Jannah sebelum dia tunduk mengucup kepala anaknya itu.
“Okay..” jawab Edin senang hati.
“Ni duit belanja sampai hari Jumaat. Bawa air dari rumah. Jimat sikit duit tu.” Dua helai not sepuluh diletak di atas meja Edin.
“Thank you, darling.”
Jannah ketawa kecil sambil menepuk bahu anak bujangnya. Edin mengambil wang itu lalu diletakkan di dalam dompetnya yang leper. Sesen duit pun tiada di dalam dompetnya itu. Anak orang kaya yang menyedihkan!
Gigih menyiapkan tugasan yang diberikan guru semata-mata mahu meluangkan masa untuk aktiviti kesukaannya esok.
Awal pagi rumah itu sudah terang benderang saat sebelum azan subuh kedengaran. Rayland ke masjid sendirian. Jannah sibuk mengejutkan anak-anaknya. Pembantu rumah sedang sibuk menyediakan sarapan pagi.
Setelah si ayah pulang, sebahagian anak-anak sudah siap dengan pakaian sekolah. Riuh rendah di tingkat atas. Edin turun dengan beg sekolahnya.
“Apa bising tu?” tanya Rayland.
“Nela gaduh dengan Hana,” jawab Edin selamba. Rayland menggeleng perlahan.
“Makan dulu,” suruh Rayland lembut. Kemudian dia terus menapak untuk naik ke atas.
Di atas meja bermacam-macam hidangan tersedia. Ada sandwich juga. Edin ke dapur. Meminta pembantu rumah membungkuskan makan tengah hari untuk dia bawa ke sekolah.
“Kok mummy kamu tidak beri kamu uang, Edin?” tanya Yuli hairan.
“Bagi. Edin balik lewat hari ni. Nanti lapar.”
Yuli segera akur dengan permintaan anak itu. Dua bekas makanan diambil. Makanan di atas meja dicedok masuk ke dalam bekas. Turut dimuatkan sandwich di dalam bekas lain.
“Terima kasih, Kak Yuli.”
“Sama-sama. Belajar bagus-bagus ya? Biar kamu jadi orang yang pandai!” ucap Yuli senang hati.
“Ia. Edin pergi dulu. Bye..”
Edin naik ke atas mencari ibunya. Wanita itu sedang sibuk menyiapkan adik kecilnya untuk dihantar ke taska.
“Mummy, Edin pergi dulu ya?”
“Hati-hati, sayang.”
“Ia. Bye, daddy..”
“Jangan balik terlalu lewat,” pesan Rayland lembut.
“Okay.”
Seperti selalu dia berjalan kaki ke perhentian bas. Sudah ada ramai orang di situ. Berdiri terpacak memandang ke arah jalan. Mencari kelibat bas. Tetapi satu kereta tiba-tiba memberi signal ke tepi lalu berhenti di hadapan Edin. Cermin sebelah pemandu turun.
“Hai.. come.” Fareena terus mengajak masuk.
“Okay.” Edin tersengih lebar. Pintu kereta dibukanya dan terus masuk.
“Tunggu bas ke?”
“Ha’ah.. terima kasih cikgu tumpangkan saya. Jimat duit tambang bas. Esok saya keluar awal lagi. Mana tahu cikgu nampak saya. Boleh tumpangkan saya lagi.” Dengan muka tak tahu malu, Edin menyengih lebar.
Fareena menoleh sambil tersenyum. Alang-alang mereka ke destinasi yang sama. Apa salahnya dia tumpangkan.
“Kenapa tak suruh ayah hantar?”
“Saya tak suka susahkan ayah saya. Saya lebih suka susahkan cikgu.”
Berderai gelak Fareena mendengar jawapan loyar buruk Edin. “Awak ni... ada aja jawapan yang buat cikgu nak tergelak!”
“Saya main-main aja tadi. Cikgu jangan ambil hati ya?”
“Taklah. Cikgu tak ambil hati. Awak memang student yang paling cikgu suka. Cikgu suka student yang suka dekatkan diri dengan cikgu.”
Sebagai pembodek cikgu yang sejati, kembang hidung si Edin mendengar itu. Sebagai tanda berterima kasih kepada guru itu kerana menumpangkannya, sebaik sahaja tiba di sekolah, dia bersusah payah menolong mengangkat barang-barang yang dibawa oleh Cikgu Fareena.
“Terima kasih banyak, Edin.”
“Sama-sama. Kalau cikgu perlukan bantuan, panggil aja saya ya?” pelawa Edin dengan senang hati.
“Ialah..”
Terus ke kelas setelah itu. Kemudian dia keluar semula bersama kawan-kawannya. Setiap hari ada perhimpunan pendek sebelum kelas pertama bermula. Mata pelajaran pertama ialah matematik.
Fareena muncul di kelas pelajar tingkatan tiga itu tidak sampai lima minit selepas pelajar-pelajar masuk ke kelas masing-masing.
“Stand up, class..” ucap guru itu sebaik sahaja masuk. Kesemua pelajar itu berdiri. Ucapan selamat sejahtera diberikan.
“Padam white board, Edin.” Cepat sahaja nama Edin dipetik oleh guru itu. Dengan senang hati Edin bangun untuk menunaikan permintaan gurunya. Sambil guru itu membuka buku, mulut-mulut sumbang kedengaran di belakang kelas.
Fareena mengangkat pandangan. Mencari dari mana suara itu datang. Seseorang ketawa sambil meluahkan kata-kata kurang sopan.
“Awak cakap apa, Arina?” tanya Fareena kepada gadis yang duduk di bahagian belakang bilik darjah itu.
“Nothing...” jawab Arina sambil mengjongket dua kaki kerusi ke atas. Gelagatnya membuatkan Fareena mula rasa tercabar.
“Bangun!” arah Fareena pantas. Dia berjalan ke arah papan hitam. Pembaris panjang diambil lalu dia mendekati meja gadis itu. Arina sekadar menayang muka tidak gentar.
“I said stand up, girl! Are you listening???”
Dengan mimik wajah menjengkelkan Arina bangun juga dari duduknya.
“Apa awak cakap tadi?” tanya guru muda itu sambil berdiri di hadapan meja Arina. Arina membisu sambil memandang permukaan mejanya.
“Dia cakap apa tadi?” tanya Fareena kepada murid di sebelah Arina.
Gadis itu terkulat-kulat tidak sanggup mahu meluahkan.
“Awak dengar apa dia cakap tadi?” tanya Fareena kepada murid di sebelah kanan Arina pula. Murid itu mengangguk.
“Apa dia cakap?”
“Sugar mummy...”
Fareena segera mengalihkan pandangan ke wajah Arina. Lama pandangannya melekat di wajah itu. Dalam dada ada rasa nak marah berkocak hebat. Sungguh berani melemparkan kata-kata tidak bermaruah itu kepadanya di hadapan pelajar lain.
“Dan kepada siapa awak tujukan kata-kata biadap itu tadi, Arina?”
Arina sekadar menjungkit bahu. Tunduk dengan dua tangan diletakkan di belakang punggungnya.
“Kenapa awak panggil saya begitu? Bersuara sekarang! Tadi mulut awak lantang di belakang saya. Kenapa???” tanya Fareena bersungguh.
Arina terus pegun dengan reaksi yang sama. Fareena menghela nafas panjang. Ikutkan hatinya pelajar itu mahu ditamparnya agar beradab di lain masa. Tetapi dia sedar dia tidak berhak berbuat begitu.
“Berdiri sampai habis kelas!” ucap Fareena tajam kepada gadis itu. Dengan selamba dia mengambil kerusi Arina lalu dibawa ke hadapan.
Masam mencuka wajah Fareena saat memulakan sesi pembelajaran. Edin pegun di tempatnya. Tiba-tiba merasa bersalah pula. Kerana dia gurunya mendapat malu.
Sehabis sesi pengajaran matematik itu, seisi kelas itu berdiri memberi ucapan terima kasih.
“Panggil Arina ke sini,” arah Fareena kepada pelajar wanita yang duduk paling hadapan.
Salah seorang pelajar bangun memanggil gadis itu. Dengan muka selamba Arina mendekati meja guru.
“Bawak buku ni!” arah Fareena tanpa memandang Arina. Rasa nak marah semakin bergelodak melihat sikap pelajar itu.
“Why me?” balas Arina tidak berpuas hati.
“Awak cemburu saya lebihkan pelajar lain berbanding awak? Dengar sini, kelas..” Fareena berjalan ke arah meja barisan tengah yang paling hadapan.
“Siapa antara kamu semua yang rasa saya ni tak adil antara pelajar-pelajar? Angkat tangan sekarang.”
Kesemua pelajar di dalam kelas itu diam. Tiada lagi suara nakal bergurau dan mengusik guru itu. Arina sekadar pegun di hadapan meja guru.
“Hari ni saya dimalukan oleh pelajar saya sendiri. Saya tak tahu apa sebabnya pelajar saya sanggup melemparkan kata-kata kesat itu kepada saya! Apa masalah awak sebenarnya, Arina?” lantang suara guru itu.
“Bitch!” desis Arina sambil memandang ke luar tingkap di hadapannya.
Terbeliak mata Edin mendengar itu. Namun dia terus tunduk saat Fareena mendekati Arina.
“Nampaknya awak tak kesal langsung dengan apa yang awak buat. Come with me, girl. Kita jumpa orang yang sesuai berurusan dengan awak.”
Fareena terus mengaut bukunya.
“Edin, bawa buku ni,” arah Fareena dalam nada keras.
Edin segera bangun mendapatkan timbunan buku latihan di atas meja guru itu.
“Saya suka pelajar yang rajin tolong guru. Tak bermaksud saya nak bercinta dengan pelajar itu. Saya belum segila itu lagi, Arina. Let’s go!” ucap Fareena serius.
Kelas itu hening sehingga tiga manusia itu berlalu. Seketika kemudian barulah terdengar suara pelajar-pelajar di dalam situ.
“First time tengok cikgu naik angin. Seram woi!” Pelajar-pelajar itu bercakap sesama sendiri. Selalunya waktu matematik amat disukai mereka, kali ini sesi bersama guru jelita itu menjadi amat serius. Tandanya, biar siapa pun guru itu.. hormatilah mereka!

Sehabis waktu sekolah, Edin menunggu di perhentian bas bersama dua tiga orang pelajar lain. Bayang Raid masih belum kelihatan. Lelaki itu berjanji akan mengambilnya hari ini.
Sedang Edin terteleng-teleng mencari bayang Raid, empat orang pelajar senior tiba-tiba mendekat. Edin menoleh. Salah seorangnya begitu cepat mengayunkan tangan sehingga terkena ke wajah Edin.
“Aduh!” Edin cuba menolak lelaki itu agar menjauhinya. Namun kolar bajunya ditarik sehingga tertanggal butangnya.
“Jangan, bang. Tolong! Tolong!” namun beberapa pelajar yang berada di situ, berlari ke pintu pagar sekolah. Ketakutan!
“Kau nak mampus ya??” 
Edin cuba melepaskan bajunya dari lelaki itu. Cuba melarikan diri sayangnya dia diterajang dari belakang sehingga terjatuh.
“Kau nak lari ke mana, setan???”
“Janganlah!!! Saya tak mahu gaduh!” tegas Edin. Dikepung oleh pelajar-pelajar lelaki itu dalam keadaan dia sudah terbaring, dia mula kecut perut. Sedangkan dia hanya seorang. Sudah terperangkap di situ. Tidak tahu apa sebabnya keempat-empat pelajar senior itu mencarinya.
“Adik aku kena rotan pasal kaulah, setan. Kau dengan Cikgu Fareena ada skandal ya???” Kepala Edin ditendangnya. Sempat Edin menahan. Tetapi tangannya merasa amat sakit.
“Jangan pukul!!! Saya tak tahu apa-apa pun. Janganlah ganggu saya!”
Bedebuk!! Edin mengerekot. Perutnya diterajang tanpa belas kasihan.
“Berani kau menjawab??”
“Janganlah. Sakitlah,” rayu Edin sambil menahan kaki yang mengenai wajahnya. Kepalanya terdongak akibat dihentam oleh kaki pelajar itu. 
“Hei!!” keempat-empat pelajar itu menoleh. Raid berlari membawa helmetnya ke arah mereka. Pantas mereka berlari ke arah pintu pagar sekolah. Namun... belebuk!!!
Salah seorang tersungkur akibat dihempuk dengan helmet itu. “Kau pukul adik sepupu aku!!!”
Raid sambung mengejar tiga lagi budak remaja itu ke dalam kawasan sekolah. Sempat juga menghadiahkan libasan helmetnya kepada salah seorangnya. Biarpun sedar dia sedang berada dalam kawasan sekolah, peduli apa dia! Akibatnya tersungkur pelajar itu setelah menerima hentaman topi keledar itu di atas belakangnya. Dua lagi sudah selamat melarikan diri.
“Pengecut!!!” jerit Raid berang.
Beberapa orang guru sesi petang berkejaran di situ. Raid keluar semula untuk mendapatkan Edin. Tidak dipedulikan salah seorang pelajar yang masih bergolek di atas aspal. Sakitlah agaknya. Edin terhegeh-hegeh cuba bangun sambil memegang perutnya.
“Edin!” Raid terus meluru untuk membantu.
“Sakit!”
“Slow-slow. Kenapa budak-budak tu pukul Edin??” tanya Raid.
“Tak tahu. Tiba-tiba aja dia orang datang. Kenapa Abang Raid lambat?” keluh Edin.
“Manalah abang tahu nak jadi macam ni. Macam mana ni?” Raid resah. Sedang dia memandang sekeliling, beberapa orang guru sudah keluar dari kawasan sekolah untuk melihat apa yang berlaku.
“Apa dah jadi ni???” tanya salah seorang guru itu. Ikut membantu Edin.
“Saya nampak budak tu belasah dia,” jawab Raid sambil menunding ke arah seorang lagi pelajar tidak jauh dari mereka. Dua orang guru sedang cuba membantunya.
Edin cuba bangun. Senak perutnya masih tidak hilang. Terpaksa dibantu guru lain yang datang.
“Kita pergi klinik dulu?” tanya guru itu sambil memegang bahu Edin.
“Tak apa. Saya okay, cikgu.” Edin menggeleng. Kalau boleh dia ingin pulang saja.
“Masuk dalam. Pergi pejabat. Cuba bangun. Boleh tak?”
“Saya nak balik.”
“Jangan balik dulu. Nanti ibu bapa awak marah cikgu pulak. Masuk dulu. Kita ambil ubat. Ini siapa ni?” tanya guru itu sambil menunding Raid.
“Abang sepupu saya,” jawab Edin sambil memandang Raid yang memerhatikan dia dibantu oleh guru itu.
“Masuk dalam, encik. Kita buat report,” ucap guru itu kepada Raid. Raid sekadar mengangguk.
Edin dibawa ke bilik rawatan sementara Raid diminta naik ke pejabat sekolah. Namun ketika mereka melintasi bilik guru, Fareena sempat terpandangkan Edin sedang dipapah oleh guru. Terus dia keluar.
“Kenapa ni?” tanya Fareena kepada guru sesi petang yang mahu masuk ke bilik guru.
“Budak tu kena belasah kat depan sekolah tadi. Nampak budak tingkatan lima lari tadi. Saya rasa budak itulah yang pukul. Dua dah dapat dah. Sempat kena pukul dengan budak tu,” cerita guru itu sambil memuncungkan mulut kepada seorang lelaki di hadapan tangga naik ke pejabat.
Fareena segera memandang ke sana. Seorang lelaki mundar-mandir keresahan.
“Siapa tu? Orang luar ke?”
“Abang sepupu dia. Empat lawan satu. Mana tak lembik budak tu dibuatnya,” jawab guru itu sambil melintasi Fareena yang berdiri di ambang pintu bilik guru.
Fareena terpaku. Budak tingkatan lima? Dadanya mula berdebar. Namun sekadar mampu memandang bayang Edin yang sudah menjauh. Sempat dia memandang lelaki asing itu. Kerani sekolah turun mengajaknya naik ke tingkat dua. Lelaki terus mengangguk.
Fareena menghela nafas perlahan. Terbayangkan beberapa orang pelajar tingkatan lima yang kerap mengusiknya. Lagak semacam sudah dewasa mengorat guru. Salah seorangnya adalah abang kepada Arina!

AGAK lama Raid menanti di dalam ruangan pejabat itu. Tiba-tiba muncul seorang guru di muka pintu pejabat. Raid menoleh dan wanita itu juga memandang tepat kepadanya.
Wajah Raid berubah sedikit. Kalau tidak silapnya wanita itulah yang ditemui di pasaraya Econ Save beberapa bulan lalu. Raid bangun. Namun guru itu masuk lalu terus ke kamar pengetua.
Raid terkebil-kebil memandang. Entahkan wanita itu tidak ingat lagi kepadanya. Hampir lima belas minit kemudian pintu pejabat pengetua terbuka semula. Guru itu keluar dengan riak keruh di wajah. Raid terus tercengang. Wanita itu langsung tidak memandang kepadanya saat lalu di hadapannya. Sudahnya dia hanya mampu memandang wanita itu kembali menyarung kasut dan pergi.
Edin muncul di pintu pejabat setelah mendapatkan rawatan. Guru kelasnya ada bersama dengannya.
“Macam mana? Sakit lagi?” tanya Raid lantas mendekati Edin. Edin dipapahnya masuk. Bibirnya besar sebelah.
“Sakit..” jawab Edin perlahan.
“Saya dah panggil ibu bapa awak ke sini. Duduk dulu. Ayah awak cakap nak datang,” ujar Puan Suria lembut.
Mereka berdua duduk duduk di sofa sementara menunggu Jannah dan Rayland tiba. Dua orang guru disiplin keluar masuk bilik kaunseling. Tengking herdiknya kedengaran sehingga ke tempat mereka menunggu.
Lebih setengah jam duduk di pejabat, sudahnya kelibat emak dan ayah Edin tiba di muka pintu pejabat.
“Edin..” Jannah terus masuk. Anak kesayangannya itu dibelek segera.
“Macam mana boleh kena pukul ni?” tanya Jannah sedikit meninggi.
“Tak tahu. Tiba-tiba aja jadi macam ni,” jawab Edin perlahan.
“Raid nampak ke?”
“Nampak,” jawab Raid perlahan.
“Ya Allah... kenapa sampai jadi macam ni? Ni yang mummy risau ni!” ucap Jannah sedikit keras.
“Kita jumpa pengetua dulu,” ajak Rayland kepada isterinya.
Edin dan Raid menunggu di luar sementara sepasang suami isteri itu berjumpa dengan pengetua sekolah. Di dalam pejabat pengetua itu, darah Jannah menggelegak panas mendengar laporan dari lelaki itu. Anaknya dibuli akibat cemburu!
“Apa nak jadi ni??? Anak saya tu baru 14 tahun. Takkanlah budak sebesar itu ada hubungan cinta dengan cikgu dia pulak. Edin tu perangai pun macam budak-budak lagi!” tegas Jannah.
Pengetua itu menghela nafas perlahan. “Yang memukul tu pun budak-budak sebenarnya, puan. Tapi kadang kala remaja ni mereka rasa mereka dah cukup dewasa untuk buat sesuatu tindakan. Susah mengawal perasaan. Suka memberontak. Kalau remaja lelaki, inilah dia masalahnya. Cepat tercabar. Mulalah nak jadi samseng. Saya ada tanya cikgu kelas Edin ni. Anak puan ni, dengan semua cikgu pun dia rapat. Bukan dengan Cikgu Fareena aja. Cikgu kelas dia pun suka melayan dia. Cuma, budak-budak ni tak faham itu.”
“Jadi apa tindakan pihak sekolah untuk selesaikan masalah ini?” tanya Jannah sedikit mengendur nadanya.
“Kes buli begini, kami tidak berani ambil risiko. Dengan persetujuan pihak tuan dan puan, saya ingin buat laporan polis.”
“Saya nak jumpa mak dan ayah pelajar yang tendang anak saya!” tegas Jannah. Rayland menoleh kepada isterinya. Aura-aura nak mengamuk dah keluar.
“Kami sudah cuba panggil ibu bapa pelajar ini. Tapi mereka tidak dapat hadir sekarang.”
“Beritahu mak bapak budak-budak tu, saya sanggup berhabis untuk upah peguam yang paling handal di Malaysia ni untuk penjarakan anak-anak dia kalau dia tak mahu berdepan dengan saya! Dia ingat anak saya tu anak patung? Sedap-sedap aja tendang anak orang.”
Terkedu pengetua itu mendengar ucapan Jannah. Spontan telefon di angkat. Nombor yang telah didail tadi, dipanggilnya semula.
Dua minit bercakap melalui talian, hasilnya benar-benar menyakitkan hati Jannah.
“Emak dan ayah pelajar ini tidak dapat datang. Dia minta kami memberi denda rotan kepada anaknya. Dia minta kepada tuan dan puan, jangan perbesarkan hal ini. Hal budak-budak katanya.”
Rayland menggeleng dua kali tanda tidak cukup berpuas hati. Hatinya sakit mendengar jawapan itu.
“Apa?? Wah! Sedapnya dia bercakap. Anak dia tendang anak saya. Yang sakit anak saya. Esok lusa dia tumbuk pulak ke???” meninggi lagi suara Jannah.
“Kalau begitu kami nak jumpa pelajar-pelajar yang pukul anak saya.” Rayland pula yang bersuara.
Pengetua sekolah itu diam seketika.
“Saya tak pernah ajar anak-anak saya memukul orang lain jika dia merasa tidak puas hati. Dan saya juga tak boleh terima jika anak saya dijadikan beg tinju oleh orang yang tidak ada tamadun. Jadi, demi keselamatan anak saya, saya minta untuk bertemu dengan empat pelajar itu, cikgu!” tegas Rayland. Jannah segera mengangguk.
“Okaylah. Silakan, tuan.” Pengetua itu terus bangun dari kerusinya.
Rayland segera bangun diikuti oleh isterinya. Rayland dan Jannah dibawa ke bilik kaunseling. Empat pelajar itu mengangkat wajah sebaik sahaja kamar itu dimasuki orang.
“Salah seorang dari kamu semestinya ketua. Siapa antara kamu yang tendang anak saya?” tanya Rayland. Empat pelajar itu memandang sesama sendiri.
Rayland pergi mendekat. “Siapa tendang anak saya?”
Spontan tiga pelajar itu menunding kepada seorang pelajar di tengah-tengah mereka.
“Nama kamu?”
“Shah..” jawab pelajar lelaki itu perlahan.
“Shah..”
Rayland mengangguk perlahan. Dia bergerak ke belakang kerusi pelajar itu. Bahu pelajar itu dipegangnya lalu dipicitnya kuat. Kebetulan pula bahagian itulah yang telah mendapat hadiah hempukan dari Raid. Shah menyeringai kesakitan.
“Sakit... sakit... sakit...”
“Sakit? Saya tak akan berdiam diri jika anak saya diapa-apakan. Kamu ganggu Edin lagi, saya akan cari kamu sampai ke lubang cacing. Ibu bapa kamu tak mampu didik kamu dengan baik. Saya yang akan ajar kamu sehingga kamu menyesal. Ingat itu baik-baik,” bisik Rayland. Remaja itu terangguk-angguk dalam keadaan tidak tentu arah.
“Ingat itu baik-baik. Saya akan selalu bertanya nanti. Okay?” ucap Rayland sambil dia memandang sisi paras anak remaja itu. Remaja itu mengangguk berkali-kali.
“Adakah kamu akan menganggu Edin lagi nanti? Cuba jawab dengan jelas.”
“Tak.” Remaja lelaki itu menjawab pantas.
“Tuhan jadikan kita manusia, kita jangan jadi binatang. Kamu faham itu? Kamu faham?”
“Faham, tuan.”
“Bagus. Kamu bukan binatang, kan?” ujar Rayland dalam nada serius.
“Bukan.”
“Bagus. Jadi lain kali, kamu tidak berlagak macam binatang lagi, kan? Kamu tak akan ganggu orang lain yang nak belajar di sini, kan?” ucap Rayland di tepi telinga anak itu.
Shah mengangguk berkali-kali.
“Yang lain boleh dengar? Sesiapa di antara kamu menganggu anak saya, saya akan cari balasan yang setimpal untuk diberikan nanti. Boleh faham, kan?”
“Faham..”
“Bagus. Anak saya suka berkawan dengan guru-gurunya. Itu tiada kena mengena dengan kamu berempat. Jadi, kamu jangan ganggu Edin kalau tak mahu dapat susah. Saya bimbang ibu dan bapa kamu nanti tak dapat bantu untuk lepaskan kamu dari saya. Boleh faham itu?”
“Faham, tuan.”
Rayland memandang isterinya seketika. Jannah tersenyum sedikit kepadanya. Pengetua itu pula sekadar memandang sambil berpeluk tubuh.
“Saya rasa mereka sudah cukup faham dengan peringatan tadi. Sekarang baru saya rasa kita tak perlu perbesarkan hal itu ke pihak polis kerana saya akan selalu memerhatikan mereka berempat.” Rayland memandang semula empat pelajar itu. Tunduk!
“Terima kasih atas kerjasama tuan dan puan.”
“Mari kita pulang..” ajak Rayland setelah keluar dari bilik kaunseling.
“Sakit ke sayang mummy ni?” tanya Jannah saat anak itu memegang perut.
“Sakit. Tak boleh jalan ni, mummy..” adu Edin rendah. Raid menggeleng sambil memandang ke arah lain. Lembik!
“Meh mummy dukung meh. Syayang dia... Mummy lempar dari atas ke bawah ya?” ucap Jannah bersungguh.
Spontan Edin menegakkan tubuhnya. Tak adalah sakit benar sebenarnya. Baru ingat nak bermanja-manja.
“Tu elok aja tu?” tukas Jannah geram.
Edin tersengih memandang ibunya. Raid mengekek ketawa dengan gelagat Edin. Rayland menggeleng sambil menepuk belakang Edin. Manja dan mengada-ada. Itulah anaknya!
Namun saat mereka turun ke tingkat bawah, mereka bertemu dengan Fareena.
“Edin macam mana?” tanya Fareena kepada ibu Edin.
“Okay aja tu. Sikit aja.”
“Saya minta maaf. Disebabkan saya, dia terima tempiasnya. Pagi tadi, saya ada bawa seorang pelajar sekelas dia berjumpa dengan cikgu disiplin. Pelajar tu adik beradik dengan budak yang pukul anak puan.”
“Budak perempuan tu mulut jahat sangat, mummy!”
“Hei! Menyampuk mummy bercakap dengan cikgu! Cubit mulut tu karang!” Jannah sempat menjegilkan matanya kepada Edin.
Edin segera memuncungkan bibirnya sambil memandang bawah. Fareena tersenyum melihat gelagat Edin. Sekarang dia percaya yang Edin memang takut dengan mummy dia!
“Tak apalah, cikgu. Budak-budak punya perangai. Dah jumpa kat atas tadi. Kalau dia orang buat lagi, nanti dia tahulah nasib dia nanti. Kami tak salahkan cikgu. Budak seorang ni pun memang mesra alam. Orang peramahlah katakan,” jawab Jannah sambil mengerling anaknya.
Fareena tergelak tanpa sengaja mendengar wanita itu memerli anak teruna suntinya. Namun senyumannya memudar sedikit saat terpandang lelaki asing itu berdiri di belakang Jannah dan suaminya. Lelaki itu ralit merenung wajahnya.
“Tak apalah. Saya harap hal ini tak berlarutan lagi. Sekali ni, maafkan ajalah. Budak-budak ni, kadang-kadang action saja yang lebih. Rapat dengan cikgu pun nak jelous.”
“Saya harap pun janganlah jadi kali kedua. Kesian dia. Dia tak tahu apa-apa pun,” ujar Fareena.
“Cikgu dah ada pakwe ke? Saya nak kenalkan cikgu dengan abang sepupu saya...” belum habis Edin membuat iklan, mummynya sudah mencubit pipinya sehingga senget mulutnya.
“Terima kasihlah, cikgu. Jangan dilayan budak ni. Susah juga kalau dah jenis banyak mulut ni.” Jannah segera menyampuk.
“Sama-sama...” Fareena ketawa gelihati melihat gelagat ibu dan anak itu. Ceria. Namun dia hanya mengangguk sopan saat Raid melintas di hadapannya. Tegur? Malulah! Mesti lelaki itu masih ingat perihal dia membelek kotak kondom itu!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan