Ahad, 20 November 2016

BAB 10 MR. CRUSH

BAB 10
BERHARI-HARI jadi pemikir. Rasa kecewa di hati tidak mudah dipadamkan. Berhari-hari itulah dia hanya mengenang guru jelita itu. Sukar untuk menerima hakikat. Tetapi dia tetap juga perlu menerima hakikat itu.
Raid jadi pendiam tiba-tiba. Nur Ain perasan perubahan sikap itu. Makin ketara saban hari. Dia bimbang. Sudah acap kali bertanya Raid hanya berkata tiada apa-apa. Sebagai ibu, mampukah jawapan itu dihadamnya? Tidak! Hari ini dia lihat Raid termenung memandang gelanggang bola di sudut hadapan rumah itu. Entahkan Raid rindu hendak berkumpul dengan adik-adiknya. Entahkan ada masalah lain yang dipendamkan.
“Mama dah tak boleh tahan lagi bila tengok Raid macam ni. Kenapa ni? Selalunya Raid tak macam ni?”
Raid menoleh kepada mamanya. Dia diam terus terusan.
“Raid, cakaplah. Apa masalahnya? Raid ada masalah di tempat kerja ke?” tanya Nur Ain.
“Raid dah bebas pun dari situ, ma.” Raid menjawab perlahan. Musim cuti pengajian sudah hampir tamat. Dia pun sudah berhenti kerja.
“Jadi? Apa masalahnya?”
Raid kembali diam.
“Raid ada masalah tentang perempuan?” teka Nur Ain lagi.
Tiada gelengan. Tiada juga anggukan. Nur Ain tahu tekaannya tepat.
“Perempuan yang Raid suka, rupanya dah ada teman lelaki.” Raid tiba-tiba bersuara.
Melurut jatuh bahu Nur Ain mendengar itu. Simpati mendengar itu. Dia sedar bukan mudah untuk melupakan seseorang yang disukai.
“Raid rasa sedih?”
Raid mengangguk perlahan. “Tapi tak apa, ma. Raid bukan kenal sangat dia tu pun. Raid okay,” ucap Raid lantas mengukir senyuman buat ibunya.
“Sesuatu yang bukan untuk kita, kita kena siap melupakan. Susah. Tapi kena terima hakikat. Minta Allah tolong permudahkan. Insya-Allah... jika tidak dia, pasti ada wanita lain yang akan datang ke dalam hidup Raid nanti.”
“Ya. Raid faham tu, ma.”
Nur Ain memegang bahu sang anak perlahan. Bahu Raid dipicit lembut.
“Macam mana mama boleh terlupa yang anak bujang mama ni dah dewasa? Dah ada rasa suka pada perempuan.”
Raid tersenyum mendengar kata-kata ibunya.
“Raid, kadang-kadang kisah hidup manusia ni boleh jadi sangat rumit. Bergantung. Setiap manusia ada jalan hidup dan cerita kita sendiri. Papa dengan mama pernah berpisah lama sebelum kami berjumpa semula. Kemudian kami berkahwin. Kita tak tahu siapa jodoh kita. Biasa terjadi kepada manusia, bercinta dengan orang lain, kahwin dengan orang lain. Dalam soal jodoh, campur tangan Allah itu yang terbesar. Kita tak ada upaya yang banyak. Tapi Allah suruh kita meminta kepada-Nya dan berusaha.”
Raid memandang mamanya seketika. Namun kemudian dia mengangguk faham.
“Jangan sedih. Bunga bukan sekuntum. Jangan petik bunga di laman orang. Tak baik.”
“Raid tak apa-apa, ma. Mama jangan bimbang.”
“Baguslah. Mama tak suka Raid duduk seorang diri. Itu lebih membuatkan Raid teringat. Jom ikut mama. Mama nak sediakan minum petang ni. Tak ada idea nak masak apa. Tolong sumbangkan idea.”
Raid terus bangun mengekori ibunya masuk ke dalam rumah. Sepi rumah itu. Ayahnya masih di pejabat. Firdaus di sekolah. Rauf pula di asrama. Amanda sudah pulang ke kampus. Sedikit masa lagi dia juga akan pulang ke Penang. Makin sunyilah ibunya.
Terisi sedikit kekosongan hati saat melayan mamanya bertonyeh di dapur. Sekaligus belajar memasak. Hidup membujang jauh dari orang tua. Sekali sekala dapur kena berasap juga!

SELESAI waktu sekolah Edin berpusu-pusu ke luar pintu pagar. Hari ini Raid berjanji mahu menjemputnya. Mereka akan makan tengahari bersama sementelah lelaki itu baru mendapat gaji. Tetapi di luar, di tempat lelaki itu selalu menunggunya, tiada kelibat Raid. Yang kelihatan kelibat Shahrul dan teman-temannya sedang melepak. Hisap rokok!
Sebelum keempat-empat samseng itu perasan akan dia, Edin masuk semula ke dalam kawasan sekolah. Resah. Teringat peristiwa dia dibelasah oleh senior itu. Sudahnya Edin berjalan laju ke bilik guru. Pertama yang dicarinya ialah Cikgu Fareena.
Fareena menoleh sebaik sahaja seseorang berdiri di tepi kerusinya.
“Tak balik lagi?”
“Belum.” Edin menggaru pipinya seketika.
“Kenapa?” tanya Fareena hairan. Macam ada masalah saja?
“Cikgu... saya nak pinjam telefon.”
“Nak buat apa?” tanya Fareena lantas laci mejanya dibuka.
“Saya nak call Abang Raid. Nak minta ambil saya.”
“Oh... tapi dengan syarat. Jangan tengok skrinnya ya?”
“Kenapa?” balas Edin hairan.
“Rahsia cikgu. Jangan tengok langsung.” Fareena segera mendail nombor Raid. Setelah panggilan bersambung, telefon itu segera diserahkan kepada Edin.
Tidak sampai seminit pun berbual di talian. Telefon itu mahu diserahkan semula kepada wanita itu. Namun dia sempat terpandangkan perkataan ‘crush’ tertera di bahagian tengah skrin itu. Talian itu belum dimatikan oleh abang sepupunya di sebelah sana.
“Dah?” Fareena mengangkat pandangan.
Edin mengangguk sambil merenung tampang guru itu. “Terima kasih, cikgu.”
“Sama-sama...”
“Saya balik dulu ya? Abang sepupu saya dah ada di luar,” ucap Edin lembut.
“Okay. Hati-hati, Edin.”
Edin sekadar mengangguk. Namun sebelum melintasi pintu bilik guru itu, dia berpatah semula kepada Fareena.
“Kenapa cikgu tulis crush pada nombor Abang Raid?”
Serta merta berubah habis wajah Fareena. Alamak! Dia nampak pulak!!!
“Eh! Mana ada. Pandai ajalah Edin ni,” ujar Fareena bersungguh dalam keadaan wajahnya sudah merona. Sumpah! Dia memang malu yang teramat sangat saat ini.
Edin membisu. Keningnya berkerut. Agaknya dia tersalah pandang. Kepalanya digaru.
“Edin, kan Abang Raid awak dah tunggu kat luar? Pergi cepat. Jangan fikir yang bukan-bukan. Cikgu tertulis crash. Bukan crush.”
“Kenapa pulak crash?”
“Err... err... cikgu saja-saja aja suka letak nama pelik-pelik pada nombor orang. Semua orang cikgu buat begitu. Kecuali mama cikgulah,” jawab Fareena. Macam tidak lojik pula jawapan itu. Tapi hentam sajalah!
“Oh...” Edin terkebil-kebil merenung wajah Fareena. Aneh pula rasanya. Andaian yang sudah hadir semenjak tadi masih tidak dapat lupus dengan mudah.
“Jangan beritahu Abang Raid awak tu yang cikgu tulis macam pada nombor dia tau. Nanti dia marah dengan cikgu lagi.”
“Err... iyalah.” Edin berpaling semula untuk keluar.
Ia ke crash? Dia nampak tadi. Memang crush!

“MAKIN susah nak jumpa you ni. Berkali-kali ajak jumpa baru ni dapat jumpa. Sentiasa ada alasan.”
“I tak suka keluar sangat. You masih ingat itu, kan?” balas Fareena biasa.
Hairi merenung lama tampang wanita di hadapannya itu. Pedih hatinya. Rasanya Fareena sudah cukup tahu isi hatinya. Tetapi sengaja buat tidak tahu.
“You pandang muka I lama-lama dapat apa?” ujar Fareena agak tidak senang.
“Dapat lepaskan rindu.”
“Hairi, pleaselah...” rengus wanita itu pantas.
“You masih buat perangai macam dulu, Reen. Salah ke apa yang I rasa ni? I kata I rindukan kekasih I, itu salah?” tekan Hairi bersungguh-sungguh.
“Tak salah. Tapi I tak macam tu. Berapa kali nak cakap?” jawab Fareena hambar.
“Semenjak dulu you suka menyendiri. Apa masalahnya, Reen? Apa yang susah sangat you nak ceritakan kisah lama tu?” ujar Hairi sambil mendekatkan tubuhnya ke meja.
Fareena menghela keluhan. Soalan itu sudah acap kali ditanya Hairi. Sudah acap kali juga dia meminta Hairi jangan bertanya. Dia tidak suka! Fareena diam memandang pengunjung restoran lain. Serabut fikirannya. Teringat kisah lama tentang dirinya. Dia tidak lagi punya ayah. Ayahnya sudah pergi ketika dia berusia 12 tahun. Seterusnya emaknya menikahi seorang pegawai tinggi polis ketika dia berusia 14 tahun. Semenjak itu hidupnya jadi kacau bilau.
“You fikir apa? Cakaplah dengan I, sayang.”
Fareena kembali memandang Hairi. Kemudian dia menggeleng. “I tak tahu nak jawab apalah, Hairi. Jangan sebut-sebut lagi pasal tu. I tak senang!”
“Reen, I bukan paksa. I hanya nak faham you. Jangan jauhkan diri dari I. Please?”
“I tak mampu nak bawa diri I lebih dekat kepada you atau mana-mana lelaki dalam hidup I ni, Hairi. You nak I cerita sesuatu yang besar tentang hidup I dalam keadaan I tak yakin pun lelaki tu boleh dipercayai. Sekaligus, I tak yakin juga dia akan jadi suami I suatu hari nanti.”
Berubah wajah Hairi mendengar itu. Cukup berterus-terang! Namun hatinya rabak mendengar itu. Fareena mendekatkan diri ke meja.
“You pernah lalui keadaan bila kita tak mampu lepaskan diri dari seseorang. Tetapi dalam diam kita asyik fikir tentang orang lain. You pernah rasa?”
“Maksud you?” wajah Hairi mula berubah serius.
Fareena hanya diam merenung wajah lelaki itu.
“You sukakan orang lain?” tanya Hairi.
“Mungkin...”
Hairi mendengus keras. “Itu hanya alasan you untuk putuskan hubungan kita, Reen.”
Spontan Fareena ketawa. Kepalanya digelengkan perlahan. Sungguhlah lelaki ini tidak pernah mampu masuk ke dalam jiwanya. Hairi tidak tahu apa-apa, tidak mampu meneka.
“Kenapa you ketawa? Ini lucu??” nada Hairi mula berubah.
“You sakit hati?”
Hairi mendengus sambil memandang luar. Tindakan Fareena saat ini tidak ubah sekadar mahu membalas dendam kepadanya. Sungguh, dia tidak tahu Fareena jenis pendendam.
“You sanggup terus hidup macam ni? You rela?”
“I kenal you, Reen. Baru tadi you cakap you tak mampu nak biarkan mana-mana lelaki dekat dengan you. Setahu I, I satu-satunya lelaki yang dapat keluar makan dengan you,” jawab Hairi selamba. 
Fareena senyum biasa sambil memusatkan pandangan ke meja lain. Sudah diagaknya. Lelaki ini memang pandai bercakap.
Berjam-jam melepak di situ. Sudahnya mereka bersetuju untuk ke tempat lain pula. Fareena meminta untuk pulang. Hairi segera melambai pelayan yang berdiri di hadapan kaunter bayaran. Fareena ikut memandang ke arah kaunter bayaran. Tetapi secara tidak sengaja dia ternampak seseorang sedang berurusan di situ. Lelaki itu pula kebetulan menoleh sekilas ke arah meja mereka.
Raid menoleh semula ke meja itu sesaat kemudian. Terkejut melihat wanita itu ada di hujung sana. Fareena tersenyum kepadanya. Dia sekadar membalas biasa. Senyum kian hambar melihat lelaki di hadapan Fareena. Kemudian dia kembali memandang ke hadapan.
Sesudah membuat bayaran, Hairi mengajak gadis itu beredar.
“You baliklah dulu. I ada hal sekejap.”
“You nak ke mana? I boleh temankan,” ucap Hairi lembut.
“No. I tak perlukan itu. I ada hal. Please?”
Hairi mengerut kening merenung wajah kekasihnya. Fareena kalut semacam. Itu yang membuatkan dia makin sibuk nak tahu.
"Cikgu, buat apa kat sini?" sapa satu suara.
Hairi dan Fareena menoleh serentak.
"Makan dengan kawan." Fareena sempat memandang kawan yang dimaksudkannya.
Raid mengangguk perlahan.
"You?" tanya Fareena pula.
"Saya kerja kat sini sebelum ini. Hari ni singgah sana. Nak ambil barang di locker."
"Oh... I tak tahu tu. I selalu datang sini. Tak pernah nampak you pun?" Fareena membalas dengan kerutan di kening.
"Bukan sini di restoran ini. Saya kerja di Royal Swiss Hotel sebelum ni. Dekat sebelah sana tu. Saya selalu singgah makan di sini waktu rehat." Raid sempat memandang lelaki yang berdiri berselok poket di sebelah Fareena.
“Raid...” tangan segera dihulur untuk berkenalan.
“Hairi.” Lelaki itu memandang dari atas ke bawah lelaki itu. Wajahnya ketara masih ‘budak-budak’ berbanding dia. Sudah matang!
"Bakal suami, cikgu?" pertanyaan itu diberikan kepada Fareena sambil memuncungkan mulutnya kepada lelaki itu.
"Entahlah.." Fareena pamer senyum tawar.
Raid menelan liur kelat. Jawapan tidak. Namun serba salah. Macam ia sahaja.
“Let’s go, Reen.” Hairi segera menyampuk. Tidak suka melihat budak itu merenung wajah kekasihnya.
“See you, Raid?” sungguh dia memaksudkan kata-kata itu. Mengharap agar lelaki itu faham akan sesuatu.
"No way.." balas Raid perlahan.
"Excuse me?" Spontan Fareena berpaling semula kepada Raid. Tidak jadi mahu berlalu.
"I don't want to see you anymore. Have a good day, teacher." Raid terus berpaling ke arah lain dan berlalu.
Fareena termangu memandang langkah lelaki itu. Kata-kata itu cukup jelas sampai ke pendengarannya. Membuatkan hati pecah berderai.
"Reen?" Panggil Hairi sekali lagi.
Fareena memandang sekilas lelaki itu. Namun kemudian dia memandang Raid yang makin menjauh. Kenapa begitu sekali sikap Raid kepadanya? Lelaki itu terus pergi tanpa sekali pun menoleh kepadanya.
“Nur Fareena!”
Spontan Fareena menoleh kepada Hairi.
“Let’s go! What the hell is that??” tegas Hairi dengan pandangan tajam.

Langkah wanita itu longlai. Entah kenapa dirinya dirasakan sedang terbang melayang tanpa arah tujuan lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan