Selasa, 22 November 2016

BAB 15 MR. CRUSH

BAB 15
SUNGGUH! Dengan lelaki itu dia merasa kelainan kepada sikap sendiri. Tanda cinta itu sudah merubah manusia? Bukankah cinta mampu mengubah seseorang? Namun tidak kurang juga manusia yang tidak berubah demi kebaikan cinta itu sendiri.
Hari itu dia tahu Raid akan pulang ke Kuala Lumpur. Lelaki itu berjanji untuk datang bertemunya selepas habis sekolah. Hari Jumaat, sesi persekolahan habis awal. Fareena menghabiskan masa di bilik guru sementara menunggu Raid selesai solat Jumaat.
Namun tiba-tiba ada satu mesej masuk ke kotak What’s Appnya.
-I kat luar sekarang. I nak jumpa you. Keluarlah. Kalau tidak, I masuk dalam sana cari you.
“Ya Allah, ya Tuhanku...” Spontan Fareena menghempas telefon di atas meja. Mesej itu dari Hairi!
“Reen?” Cikgu Jamilah menegur. Hairan melihat gelagat gadis itu.
Fareena memandang ke arah wanita awal 40-an itu. Reaksinya tadi sedang dibaca oleh guru itu.
“Tak ada apa-apa, kak.”
Cikgu Jamilah sempat memandang gelagat Fareena. Namun kemudian dia meneruskan kerjanya.
Fareena menghela nafas panjang. Cuba bersabar lagi. Namun beg tangannya diambil lalu dia bangun. Buat seketika dia berdiri di hujung blok itu. Diintai ke arah pintu pagar. Kemudian dia mengambil telefon dari dalam beg tangannya.
+I dah ada kat luar. Tunggu I depan kantin. Sorry, I terpaksa minta you tunggu sekejap. Hairi tiba-tiba datang.
Setelah mesej itu dikirim kepada Raid, Fareena kembali menapak. Dari jauh dia sudah nampak Hairi berada di pondok pengawal. Fareena terus menonong sehingga ke luar pagar. Dia tahu Hairi sedang mengekorinya. Setelah berada di kawasan tidak ramai pelajar, Fareena menghentikan langkahnya.
“You tahu tak, I memang pantang you datang sini! Ini tempat I kerja, Hairi!”
“Dah susah sangat nak jumpa you. I terpaksa buat macam ni. mama you ajak I lunch dengan dia esok. You pergi?”
“No. Mama tak ajak I pun.”
“Eloklah you pergi sekali. Kita boleh bincang pasal kita.”
“Tak ada apa nak dibincangkan lagi. I dah tak nak. Bilalah you nak faham, Hairi??? You sengaja gunakan kelemahan I ya? You dengan bapak you sama aja!” tegas Fareena dalam nada tertahan.
“Apasal kaitkan ayah I sekali? Ini hal kita.”
Fareena tersenyum pahit saat menentang pandangan lelaki itu. “Hairi, I ada hal di luar sekarang. Boleh tak you balik? Tolonglah jangan ganggu waktu I di sekolah!”
“I takkan buat macam ni kalau you jawab mesej I, Reen.”
Fareena menggeleng. Memaksa! Itu taktik Hairi saban hari. Dia sudah tidak tahan.
“I dah tak boleh terima lagi keadaan ni...” belum habis Fareena meluahkan bicaranya sebuah kereta berhenti di tepi mereka.
Hairi dan Fareena menoleh serentak.
“Uber! Uber!” ucap si pemandu setelah menurunkan cermin. Fareena terdiam. Gentar dan panik dalam diam.
“Cik yang panggil uber tadi, kan?” ucap si pemandu sambil menyengih. Hairi mengerut kening.
“Oh, ya. Sorry, I lupa.”
“Kenapa pulak you naik uber? Mana kereta you?”
“Bengkel.” Fareena menjawab sepatah. Pintu kereta bahagian penumpang belakang Nissan Almera itu terus dibukanya.
“I boleh hantar you balik. Kenapa tak cakap tadi?”
“Sorry. I dah call uber, takkan nak cancel.” Fareena menjawab selamba. Terus dia masuk ke dalam kereta itu.
“You nak hantar dia pergi mana?” tanya Hairi kepada pemandu kereta itu.
“Ke tempat yang dia nak pergi.”
“Iyalah! Kat mana???” bentak Hairi.
“Yang you sibuk nak tahu ni kenapa? Tepi boleh tak???” tegas Fareena semakin geram dengan lelaki itu.
Hairi tidak peduli. Dia ikut masuk lalu pintu ditutup. Fareena tersandar menahan sabar.
“Kita belum habis bincang lagi tadi. Driver, jalan sekarang!” nada Hairi keras.
Si pemandu terus memandu. Fareena sempat memandang lelaki itu melalui cermin pandang belakang. Raid hanya tenang memandu sambil memandang sekeliling. 
“Setelah apa yang I korbankan selama tiga tahun ini untuk you, I tak boleh terima bila you buat I macam ni.”
“I tak mahu komen banyak lagi,” jawab Fareena sambil memandang ke luar.
“I nak ajak you jumpa mama you esok. Apa yang susah sangat???”
“Susah sebab I tak nak! I tak nak jumpa bapak you! I tak nak bercakap pasal kahwin depan mama dan bapak you! I tak nak kahwin, Hairi!!!” ucap Fareena serta merta meninggi suaranya.
Hairi bersandar sambil memandang ke arah pemandu uber itu. “Hei! Perlahan sikit radio tu! Bising!”
Raid sekadar akur dengan kehendak lelaki itu. Fareena memandang lagi lelaki yang sedang memandu itu. Kali itu Raid ikut memandangnya melalui cermin itu. Kemudian Fareena menoleh kepada Hairi. Dia tahu lelaki itu tidak cam Raid.
 “Apa yang patut I buat supaya you terima I dengan seikhlas hati.”
“Hairi, dah tiga tahun kita mencuba. Masih tak berjaya. Tolonglah beri peluang untuk I pilih jalan hidup I sendiri. I dah cukup susah dengan keadaan kita sekarang, Hairi. Takkanlah tak ada sikit pun belas kasihan you pada I?” ucap Fareena separuh merayu.
“I tak boleh terima kalau you pilih lelaki lain,” jawab Hairi perlahan.
Raid yang mendengar segera memandang Fareena melalui cermin pandang belakang. Simpati. Jelas di matanya Fareena amat tertekan dengan kerenah Hairi.
“You dah makan?” Hairi menoleh kepada kekasihnya itu.
“I tak ada selera nak makan sekarang.” Dalam diam resah. Arah tujuannya kini kabur dengan kehadiran lelaki di sebelahnya itu. Mereka berdiam sementara Raid menghala kereta itu ke ibu kota Kuala Lumpur.
Apa yang patut dibuatnya? Fareena diam memikir. Ingin berterus terang saja dengan Hairi tentang dia dan Raid. Namun dia bimbang tindakan lelaki ini lebih teruk lagi.
“You nak pergi mana sebenarnya ni?” tanya Fareena kepada Hairi.
Hairi menoleh kepada Fareena. “Entah. Tak boleh ke kita habiskan masa sekejap? Alang-alang kita dah ada dalam ni?”
Fareena tersandar lantas ketawa. Entah apa yang lucu. Sebelahnya sekarang ini adalah lelaki yang tidak ingin dihadap lagi. Tetap datang kepadanya, membuat dia tidak berdaya. Di hadapan itu lelaki yang sedang disayanginya. Dia sedang tersepit di tengah-tengah.
“Apa yang lucunya?”
“I nak pergi dating sebenarnya ni. You nak ikut? Jomlah,” ujar Fareena selamba.
“Dengan siapa?” nada Hairi berubah tajam tanda ada rasa marah sedang tertahan.
“You nak ikut, kan? Nanti you kenallah siapa orangnya.” Fareena merengus kasar.
Spontan Hairi mencapai pergelangan tangan Fareena. Tangan itu ditariknya kuat sehingga tubuh Fareena tertarik kepadanya.
“Jangan main-main dengan I, Reen! I kerjakan lelaki tu cukup-cukup nanti,” ugut Hairi tajam.
“Apa ni, Hairi??? Lepaslah!!!”
Raid segera memberi isyarat ke tepi. Kereta itu dibawa ke tepi lalu berhenti. Kaca mata hitamnya ditanggalkan lalu dia memusingkan tubuhnya menghadap dua manusia itu di belakangnya.
“Lepaskan dia, encik.”
“Kau drive aja. Tak payah masuk campur hal kami.”
Raid tiba-tiba membuka pintu kereta itu sambil menghela nafas perlahan. Kemudian dia ke pintu bahagian Hairi. Pintu itu dibukanya lalu kolar baju lelaki itu dicengkam.
“Saya menyediakan perkhidmatan yang selesa dan selamat untuk penumpang wanita. Orang macam kau, sila pergi mampus!” ucap Raid sambil lelaki itu ditarik sekuat-kuat hatinya sehingga Hairi terseret keluar. Lelaki itu ditolaknya ke tepi longkang. Pintu yang sedang terbuka itu terus ditutupnya.
“Hei! Aku report polis nanti.” Hairi sempat menjerit kepada Raid.
“Alang-alang report dekat bomba sekali,” jawab Raid dalam nada bersahaja sambil berjalan ke arah tempat duduknya semula. Seterusnya kereta itu terus dipandu pergi.
Fareena pegun di dalam kereta itu biarpun kereta itu sudah jauh meninggalkan Hairi.
“Are you okay, baby?” tanya Raid sambil mengintai kekasihnya itu melalui cermin pandang belakang.
“You tinggalkan dia tepi jalan macam tu aja?” ucap Fareena macam tidak percaya dengan apa yang berlaku tadi.
“Kita kena ambil dia semula ke?” ucap Raid lantas ketawa.
“You ni memang selamba betullah. I terkejut, tahu tak.” Fareena tergelak juga sudahnya. Tidak sangka Raid akan berbuat begitu kepada Hairi.
“Nak duduk depan?” tanya Raid lembut.
“Susah nak fokus ke kalau I duduk belakang?”
Raid ketawa pula. “Yang penting awak ada dekat dengan saya.”
“Raid, thank you so much. I tak mampu nak buat macam you buat tadi,” ujar Fareena lembut.
Raid tersenyum senang sambil memandang perempuan itu. “I will protect you, Reen. I promise.”
Aduh! Sungguh hatinya jatuh bergolek-golek mendengar janji itu. Adakah itu sekadar janji kosong untuk membeli hatinya? Dia masih terlalu ingat apa yang dilakukan lelaki ini untuk Edin ketika Edin dibuli dahulu.
“Kita pergi makan dulu ya?” ucap Raid seketika kemudian.
Okay. Back to our planning.”
Raid terus mengangguk senang hati. Tiada lagi pengacau menganggu mereka.

SELESAI makan mereka sekadar melepak menghabiskan masa di meja itu.
“Betul ke awak tak mahu ke mana-mana?”
Fareena sekadar menggeleng. “Kalau masuk shopping complex, masa akan jadi sangat panjang. So, tak payahlah. Lepas ni you nak balik rumah orang tua you, kan?” jawab Fareena lembut.
“Saya lebih suka macam ni,” ucap Raid perlahan. Ikutkan hatinya jemari yang sedang terbiar di atas meja itu ingin disentuhnya. Tetapi keinginan itu terpendam begitu sahaja.
“Cincin apa di jari tu?” tanya Raid saat memandang jari manis Fareena. Ada cincin emas tersarung. Sudah lama dia perasan. Namun tidak pernah bertanya.
Fareena memandang cincin itu seketika. “Cincin nikah mama dengan arwah ayah I. Mama beri pada I. So, I pakai. Saja-saja.” Fareena senyum saat memutar cincin itu di jari manisnya.
“Sorry about your father.”
“It’s okay. Dah lama. I dah terbiasa. Ayah I meninggal tiba-tiba. I pun tak begitu tahu apa punca kematian dia.” Fareena berkata perlahan. Samar-samar raut seorang lelaki hadir dalam fikirannya. Hanya sekejap merasa kasih sayangnya. Namun sebagai manusia, dia akur dengan ketentuan Ilahi.
“Lepas pemergian dia, tak ada siapa yang mampu jadi ayah I. I rindu. Sekurang-kurang seorang lelaki yang mampu panggil I sebagai anak. Beri tunjuk ajar.” Fareena tunduk menghela nafas perlahan.
“I tak suka cerita pasal ni semua, Raid. Ini bukan sesuatu yang manis untuk dikenang.”
“I faham,” ucap Raid lembut.
Fareena menghela nafas lagi. Masih ada sesuatu yang memberati fikirannya.
“Esok mama I nak jumpa Hairi. I tak tahu apa akan jadi lepas tu,” luah Fareena lagi.
“Just wait until tommorow. Don’t think too much.”
“I takut keadaan jadi tak seperti yang I harapkan,” balas Fareena sambil mengalihkan pandangan ke arah lain.
Raid membisu. Mengerti apa yang sedang mengusuti wanita itu saat ini. Sebagai kekasih, adakah dia akan membiarkan sahaja keadaan mereka ditentukan begitu sahaja tanpa berjuang? Sudah tentulah tidak.
“Kita tak akan biarkan keadaan tu begitu saja, kan?” ucap Raid seketika kemudian.
“Apa maksud you?” Fareena menoleh semula.
Raid tersenyum sambil mencapai cawan kopinya. “Kita tunggu dan lihat. Don’t worry. Esok cuma perbincangan.”
Fareena terus memandang lelaki itu meneguk baki kopi hitamnya.
“You ni kadang-kadang sukar dijangka jugak ya?”
“Iya ke?” sambut Raid sambil tersenyum kepada wanita itu.
“Tadi. I betul-betul tak sangka you buat macam tu pada Hairi,” ujar Fareena berserta tawa kecil.
“Saya buat apa perlu aja. Saya tak suka dia buat sesuka hati begitu,” jawab Raid lembut. Ikutkan hatinya tadi, sebiji penumbuk mahu dihadiahkan kepada lelaki itu.
“Dia akan terus cari I lepas ni. Nasiblah,” keluh Fareena perlahan.
“Dia tak tahu di mana awak tinggal?”
Fareena menggeleng. “Kalau dia tahu, memang habislah I. I tak jawab call dari dia, dia cari I di sekolah. Kalau dia tahu rumah I, agak-agak apa dia buat? Pening kepala I dengan Hairi ni.”
Raid diam. Hakikatnya dia juga lebih kurang sama saja. Masih bermasalah dengan Natasha.
“Esok free?” tanya Raid seketika kemudian.
“Nak keluar, tunggu petanglah. Pagi I ada kerja kat rumah.”
Raid mengangguk akur. Dalam kebisuan terfikir-fikir tentang mereka berdua.
“Apa yang membuatkan Hairi tu begitu susah nak lepaskan awak?” tanya Raid sambil termangu seketika. Hanya sebab cinta? Pasti ada salah satu alasan di sebalik alasan yang lain.
“You rasa?”
“Dia pernah ada perempuan lain. Tapi dia nak awak juga. Mesti ada sesuatu tentang awak istimewa pada dia.”
Fareena sekadar menjongket bahu sambil mengalihkan pandangan. “I nak beritahu dia tentang you. Tapi I takut entah apa dia buat nanti.”
“Don’t tell him.” Raid menggeleng sambil berfikir.
Fareena kembali memandang lelaki itu. “Jadi you nak kita rahsiakan tentang kita.”
“Hanya untuk dia. Saya tak mahu dia ganggu awak. Tengok apa dia buat tadi lepas awak beritahu dia yang awak nak keluar dating. Biarkan dulu. Sampai masa untuk beritahu, baru beritahu dia.”
Fareena mendengus sambil meraup wajahnya. “I tak tahu macam mana nak teruskan hidup dengan keadaan begini, Raid. This is my life. Kenapa I tak boleh buat apa yang I suka dengan hidup I sendiri. I tak boleh berkawan dengan sesiapa yang I suka sebab nak jaga perasaan dia. Lojik tak?”
Raid tersenyum sendiri. Fareena pernah memberitahunya yang lelaki itu obses kepada Fareena. Sekarang dia percaya kata-kata Fareena itu benar.
“Mungkin sebab terlalu sayangkan awak, dia jadi begitu.”
“Kita baru jumpa lepas beberapa hari tak jumpa. Then, topik perbualan kita dari tadi ialah dia. So boringlah. I dah stuck dengan lelaki seorang ni. Dia tak boleh move on, I pun tak boleh move on dengan sesiapa yang I nak. Like father like son betul!”
“Saya percaya keadaan ni sementara aja. Semua orang hadapi kesukaran dalam hidup, dalam hubungan sesama manusia. Tak kurang kita. Insya-Allah, akan ada jalan keluarnya nanti,” jawab Raid lembut.
Fareena bersandar di kerusinya sambil berpeluk tubuh. Ikutkan hatinya ingin sahaja meminta tukar sekolah supaya lelaki itu tidak lagi boleh menganggunya. Tapi berat benar hatinya untuk berbuat begitu. Dia suka bertugas di tempat sekarang.
“Esok I nak ambil kereta di sekolah. You datang ya? Hantarkan I pergi sekolah. Dan I minta maaf kalau keadaan ni tak seperti yang you harapkan.”
“It’s okay. Kita hadapi sama-sama. Selesaikan masalah ni sama-sama. Saya tak mahu mementingkan diri sendiri, Reen. Hidup kita bukan tentang yang manis-manis aja. We support each other.”

Tersilapkah dia memilih seorang lelaki dalam hidupnya? Buat kali pertama setelah sekian lama, dia merasa seperti sedang bernafas tenang di dalam kemelut hidup sendiri. Tidak. Dia yakin dia tidak lagi tersilap. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan