Sabtu, 19 November 2016

BAB 8-9 MR. CRUSH

BAB 8
“ABANG..” tegur Edin setelah mereka turun dari motor.
“Hmm..”
“Abang marah Edin ke?”
“Taklah. Dahlah. Sesak otak abang ni. Dia dah besar. Tak payah Edin cakap pasal dia lagi dengan abang. Dia tak mahu kenal abang, buat apa abang nak sibuk fikir pasal dia,” ujar Raid separuh merengus.
Edin terdiam. Selalunya Cikgu Fareena tidak begitu. Sepanjang hari ini dia perasan guru muda itu tidak seperti selalu dengan mereka ketika di kelas.
“Jom masuk. Abang laparlah.”
“Okay. Abang jangan balik dulu ya? Lepak kat sini,” ajak Edin lembut.
Sudah biasa berada di rumah itu, Raid terus ke dapur. Membasuh tangan sebelum ke meja makan. Tidak lama kemudian Edin turun setelah selesai mengganti pakaian.
“Sedapnya lauk. Ada udang galah!” seru Edin sudah mula tidak sabar.
“Cepatlah makan. Abang dah lapar sangat ni.” 
Mereka berdua segera membaca doa. Seterusnya sepinggan lauk udang galah itu dibedal oleh mereka berdua tanpa menunggu lagi.
“Abang... kalau Edin cuba pujuk Cikgu Fareena, abang nak tak?”
Raid mendecit serta merta. “Edin, dahlah. Dia tak suka abang datang dekat dengan dia. Dahlah. Kita terima ajalah. Kita kena hormati keputusan dia.”
“Abang janganlah marah cikgu tu. Dia tu baik,” pujuk Edin.
Raid menggeleng sambil menghela keluhan. “Abang tahu dia baik. Tapi dia tak suka abang pun. Takkan kita nak paksa? Jadi cukuplah. Lebih baik Edin fokus pada pelajaran Edin daripada fikir pasal hidup cikgu tu. Tahulah dia urus hidup dia sendiri,” nasihat Raid.
Edin diam pula. Dia sukakan cikgu itu. Baginya Cikgu Fareena itu istimewa. Sayangnya hanya dia yang merasa begitu.
“Hari ni tak ada latihan parkour ke?” Raid segera mengubah topik perbualan.
“Tak. Mummy tak bagi. Member-member Edin semua pun dah tak pergi. Dah nak exam. Nanti lepas exam baru kita orang sambung practice,” jawab Edin rendah.
Raid mengangguk. Sedar yang tahun ini Edin, Firdaus, Taj dan Rauf akan menduduki peperiksaan penting.
Sesudah itu mereka lepak di dalam kamar Edin. Edin membuat kerja sekolah di atas katil. Raid berbaring di sebelahnya.
“Cuba abang buatkan..” Edin menyengih sambil menyerahkan buku latihan miliknya kepada Raid.
“Eh! Tak ada masa abang pulak nak buatkan. Buat sendiri. Abang nak tidur kejap,” ucap Raid selamba.
“Abang ni.. Edin banyak homeworklah,” rungut Edin perlahan.
“Baguslah. Kalau abang yang buat, abanglah yang pandai. Abang ajar sikit-sikit bolehlah,” ujar Raid lembut.
Sehingga ke petang Raid menemankan Edin membuat kerja sekolah. Sempat juga terlena di atas katil Edin. Sehingga ke jam 6 petang barulah Edin selesai mengerjakan kerja sekolah. Mereka bersolat asar bersama.
“Abang nak balik ni.”
“Nanti bila abang cuti, abang datanglah jumpa Edin ya?”
“Insya-Allah... Nanti abang datang. Kirim salam abang dengan mummy dan daddy Edin.”
“Okay,” sambut Edin senang hati.
Edin menghantar lelaki itu sehingga ke pintu pagar. Memerhatikan Raid menghidupkan motorsikalnya.
“Bye. Abang balik dulu.”
“Hati-hati..” Edin melambai sehingga lelaki itu menghilang. Seketika kemudian sebuah helaan nafas terhela. Sunyi semula dirasakan hidupnya.

“SORRY... I lambat.” Sapaan wanita itu kedengaran amat perlahan.
Lelaki itu segera mengangkat pandangan. Lama wajah di hadapannya itu ditatapnya sehingga Fareena duduk selesa di kerusinya.
“What?” soal Fareena hairan.
“Nothing. Dah lama kita tak jumpa. How are you?” tanya Hairi.
“Okay aja.” Fareena menjawab biasa.
Lelaki segak itu melambai pelayan. Seorang lelaki berkemeja putih kemas mampir membawa menu.
“Order, sayang...”
Fareena sempat tersenyum kepada lelaki pelayan itu. Gelagatnya diperhatikan Hairi agak lama. Setelah selesai Fareena membuat pesanan, pelayan itu berlalu.
“Dengan I tak senyum sikit pun. Dengan orang luar boleh pulak senyum,” luah Hairi perlahan.
Fareena hanya diam. Sebuah helaan nafas dilepaskan panjang. “I feel empty now.”
Hairi menggeleng sambil memandang ke arah lain. Dahinya diusap perlahan.
“Boleh tak kalau you berhenti ingat hal yang lepas-lepas, Reen? Kita dah janji akan mulakan hidup baru, kan? Jadi berhentilah ingat semua tu.”
Fareena membisu. Kelat rasa hatinya. Sudahlah kosong, terasa hambar, tawar, lesu, malas. Semua dia rasa tentang lelaki ini!
“I tak tahu nak berbual apa. Sorry,” ucap Fareena rendah.
“You terlalu dingin sekarang. Apa lagi yang patut I buat supaya keadaan kita berubah??” tekan Hairi dalam nada tertahan.
“I dah tak nak, Hairi. Janganlah paksa! Semua ni takkan menjadi! Kenapa you nak buang masa lagi??? Kenapa you tak teruskan saja hubungan dengan perempuan tu? Lepaskanlah I, Hairi! Sampai bila kita nak macam ni???” rintih Fareena lantas menggeleng.
No. You are wrong! Kita hanya perlukan sedikit masa lagi. Boleh tak you beri peluang kepada diri you sendiri untuk terima I seikhlas hati? You tahu I terlalu sayangkan you, kan?” pujuk Hairi bersungguh.
Fareena diam. Namun pandangannya mula berubah jengkel. Bicara sayang yang tak mampu menyentuh permukaan hatinya. Setelah dia tahu Hairi bermain cinta di belakangnya, lagilah hatinya susah untuk disentuh.
“See? You pandang I macam tu lagi.”
“Kalau apa yang ada dalam fikiran I ni mudah untuk dipadam, I dah padamkan, Hairi! Masalahnya tak boleh!” tegas Fareena.
Lelaki itu menghela nafas sabar buat kesekian kalinya. Dia tersilap. Ya. Dia tahu itu! Tetapi dia sudah bertekad untuk berubah.
“I dah tak boleh. Hairi, you suka tengok keadaan I macam ni ya? You happy. I tak happy tapi you tak peduli.”
“I sedang cuba buat you happy, Reen! Can’t you see that???” tekan Hairi pantas.
Fareena tersenyum jengkel. “Tapi I tetap macam ni. Kalau you sedarlah hakikat tu.”
“Reen, I serius dengan you. I nak kahwin dengan you! I tahu sebelum ni I dah buat silap. I dah cuba berubah. Reen, setahun aja I minta. Kalau keadaan kita masih tak berubah, I akan lepaskan you, Reen. I janji,” ucap Hairi bersungguh dalam nada merayu.
“You nak buang masa setahun lagi untuk I. Dah dua tahun tapi keadaan kita tak berubah. Malah makin teruk. I dah beri peluang tapi you sia-siakan. Hairi, I tak mampu nak paksa hati ni untuk terima you. Cubalah faham itu. I tak mahu beri you harapan palsu. I nak teruskan hidup, Hairi. Tolonglah..”
“Reen, setahun aja. Kali ni kita ikut cara you, okay? Please... I tak mahu terlalu cepat putus asa. Mak I dah tahu pasal kita. Mana I nak letak muka, Reen?” pujukan Hairi kian mendayu lembutnya.
Fareena tersandar. Bosan bercakap dengan lelaki ini.
“You hanya fikir perasaan you. I ni tak ubah macam patung,” ucap Fareena rendah. Sudahlah hatinya memang amat susah untuk dibuka buat setiap lelaki yang cuba mengambil hatinya. Dia percayakan Hairi. Sayangnya kepercayaannya dirobek begitu sahaja. Sekarang dia harus akur untuk menjalinkan hubungan ini untuk setahun lagi dalam keadaan hati terpaksa. Seolah-olah dia tidak berhak ke atas hatinya sendiri. Tidakkah itu kejam namanya?
“Reen, berilah I peluang. Sekali aja lagi. Please. Kita lupakan hal yang lepas-lepas. I percaya kita akan berjaya juga nanti. Kita hanya perlu sabar, sayang.”
Fareena bungkam. Sehingga pelayan tiba membawa pesanannya, dia terus bungkam. Terasa ingin menangis entah kenapa.
“Reen, makanlah. Jangan banyak fikir.”
“I tak selera nak makan. Sebetulnya I tak ke mari untuk mendengar you berjanji apa-apa dengan I. I nak kita putuskan hubungan ni. I tak mahu you call I lagi. I tak mahu you mesej I lagi.”
“I tak boleh terima tu. I masih terlalu sayangkan you.”
“Sayangkan I tapi layan perempuan lain? Lelaki... lelaki...” ejek Fareena sinis.
Hairi terdiam sambil menghela nafas. Kali itu disabarkan diri untuk mendengar segala ungkitan Fareena agar wanita itu puas. Agar dia diterima semula.
“I masih ingat waktu kita mula-mula berkawan. You tahu, kan? I ni memang dah lama serik dengan kerenah lelaki. You tak tahu apa sebabnya I jadi begitu. Tapi you tahu I memang benci dengan lelaki penipu. Lelaki... fitrah yang dijadikan Allah dijadikan alasan untuk buat sesuka hati kepada perempuan. I rasa mual bila kenang itu! Bila I mintak hak ke atas diri I sendiri, you tak mahu berikan. You tak tahu betapa menyakitkan untuk menghadapi keadaan itu setiap hari. You have no idea! Yang you tahu, you nak I tetap jadi hak you,” luah Fareena agak tajam nadanya. Sinis.
Hairi terus membisu sambil menelan liur. Nada seperti itu seolah-olah menyampaikan maksud, tiada kompromi lagi setelah apa yang dibuatnya sebelum ini.
“You nak setahun lagi? Okay! Tapi kita tak janjikan yang ini akan berjaya, kan? Terserah kepada keadaan.”
Serta merta berubah wajah lelaki itu. Fareena tersenyum hambar meraikan kegembiraan lelaki itu.
“Sayang, I...”
Fareena terus mencapai sudu di tepi pinggannya. Kata-kata Hairi tidak dilayannya. Hairi mahu ikut caranya, ya! Mereka akan ikut caranya!

LETIH! Hari ini dia mahu pulang awal dari kerja. Ketika dia meninggalkan perkarangan sekolah, masih ramai pelajar berpusu-pusu keluar biarpun tidak seramai tadi. Jalan di hadapan sekolah masih sesak. Fareena terpaksa menunggu kenderaan ibu bapa meninggalkan kawasan hadapan pintu pagar sekolah.
Sebaik sahaja kenderaan membelok keluar, dia terlihat dari jauh kelibat Edin sedang berdiri di hadapan perhentian bas. Kereta hanya dapat diberhentikan di belakang kereta lain.  
Baru sahaja Fareena mahu keluar dari kereta, sebuah motosikal jenis scrambler berhenti di hadapan keretanya. Tidak jadi mahu keluar. Edin sempat memandang ke arah kereta gurunya itu. Namun kemudian dia memandang ke arah motor itu.
Edin segera mendekati kereta Fareena. Fareena menurunkan cermin sebelah kiri.
“Tunggu bas nak balik?” tanya Fareena.
“Ha’ah. Tapi Abang Raid datang tu,” jawab Edin. Serba salah pula.
“Cikgu ingat nak ajak balik sama,” ujar Fareena sambil memandang ke hadapan. Lelaki di atas motor itu segera turun lalu mendekati Edin.
“Balik dengan abang.”
“Helmet tak ada?” jawab Edin perlahan.
“Tak payah. Dekat aja,” jawab Raid sambil menarik beg adik sepupunya agar mengikutnya.
Fareena menghela nafas perlahan. Serba salah melihat wajah keruh lelaki muda itu. Masih marahkan dia agaknya. Perlahan Fareena menanggalkan tali pinggang keledar lalu keluar dari kereta. Motosikal lelaki itu segera didekatinya.
“Raid..” sapa Fareena.
Raid sekadar menoleh tanpa senyuman.
“I minta maaf atas apa yang berlaku hari tu. I tak sengaja buat begitu kepada Edin. Dan juga kepada you,” ucap Fareena lembut.
Raid hanya diam. Enjin motor terus dihidupkan dan dia menoleh ke arah Edin.
“Naik!”
“No!” Fareena lebih cepat menahan.
“Bahaya, Raid. You marah dengan I, tak apa. Jangan babitkan dia.”
“Naik, Edin!”
Fareena lebih cepat memulas kunci. Sekaligus enjin motor itu mati. Raid menghela nafas perlahan. Pegun memandang ke hadapan tanpa sedikit pun memaniskan wajah.
“I tak berniat nak berkasar hari tu. I’m so sorry,” ucap Fareena kian lembut.
Raid memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir jam tiga petang. Edin mesti pulang segera ke rumah.
“Pergi naik sana. Abang tunggu Edin kat rumah.” Raid menghulurkan tangan kepada Fareena. Meminta kunci motornya semula.
“I betul-betul minta maaf.” Nada Fareena kian lembut.
“Maaf diterima, teacher. Tak perlu merayu-rayu. Saya tak akan ganggu cikgu lagi. Let’s ho home!” balas Raid selamba.
Fareena menghela keluhan. Sesaat kemudian kunci itu diserahkan semula. Raid terus memecut pergi setelah enjin motor dihidupkan. Edin pegun memandang abang sepupunya itu.
“Cikgu tak bermaksud nak marah dia hari tu, Edin. Cikgu minta maaf atas apa yang cikgu cakap,” ujar Fareena perlahan.
“Tak apa. Saya tak marah cikgu pun. Abang Raid memang macam tu. Dia tak mahu bercakap dengan orang yang dia tak suka.” Teringat pak cik biadap di tempat kerja Raid itu. Raid langsung tidak mahu bercakap dengan lelaki itu. Hanya buat bodoh saja.
Fareena menggeleng perlahan. Menolak dengan kata-kata yang kasar. Sekarang dia rasa amat bersalah dengan keadaan ini.
“Jomlah. Nanti lambat sampai rumah.”
Edin segera masuk ke dalam kereta wanita itu. Jalan agak sesak. Fareena lebih banyak berdiam pula kali itu. Terkesan dengan keadaan tidak aman antara mereka bertiga.
Setiba di rumah, Fareena menjengah ke ruangan parkir. Motor Raid ada di sana.
“Terima kasih, cikgu.”
“Sama-sama.” Fareena menjawab perlahan. Namun kemudian dia keluar pula dari kereta.
“Panggilkan abang sepupu awak tu sekejap,” ucap Fareena perlahan.
“Okay.” Senyum Edin melebar serta merta. Cepat sahaja dia masuk ke dalam rumah. Raid sedang melingkar di atas sofa sambil memegang remote tv.
“Abang, cikgu tu panggil sekejap.”
“Hmm?” Raid menoleh.
“Cikgu Fareena ada kat luar.”
Raid menghela keluhan perlahan sambil berlalu ke pintu. Edin mengekor sehingga ke pintu. Raid mendekati Fareena dengan riak wajah keruh.
“Ada apa lagi, cikgu?” tanya Raid biasa.
“I minta maaf tentang hari tu.”
“Kan saya kata saya dah maafkan tadi? Tak payahlah kita besarkan lagi hal itu,” ujar Raid biasa.
“I tahu I dah beri penilaian yang tak baik kepada you. I tak maksudkan apa yang I ucapkan waktu tu, Raid. I tak suka bermusuhan dengan orang.”
“Kita tak bermusuh pun. Kita teruskan hidup macam biasa. Buat aja macam tiada apa-apa berlaku. Simple, kan? Tak perlulah kita nak panjangkan lagi cerita sampai meleret-leret begini. Cikgu dengan life cikgu. Saya dengan life saya.”  
Fareena tunduk sambil menghela nafas perlahan. “Okaylah. I balik dulu.”
“Okay.” Raid terus berlalu tanpa menunggu wanita itu masuk ke dalam kereta.
Fareena sempat memandang gelagat lelaki itu. Macam tiada apa-apa berlaku kata Raid. Membawa maksud, maafnya tiada makna kepada lelaki itu. 


BAB 9
“RAID...” tegur satu suara saat dia masuk ke dalam rumah.
Raid menoleh. Mamanya sedang menuruni tangga menuju ke arahnya.
“Mama belum tidur?”
“Belum. Baru balik? Raid kerja full lagi ke hari ni?” tanya Nur Ain kepada anak bujangnya itu.
“Hari ni tak cukup staff. Ada yang MC.” Raid menjawab pertanyaan sang ibu dalam nada longlai. Sudah terlalu letih sebenarnya.
“Tak apalah. Esok boleh rehat. Esok Raid kerja petang, kan?”
“Raid masuk pukul 3 esok. Papa dah tidur?”
“Dah. Awal pagi esok dia nak ke airport.”
Raid mengangguk perlahan. Papanya perlu ke Indonesia untuk tiga hari.
“Raid naik dulu ya, ma?” Raid segera mencapai tangan ibunya. Jemari wanita itu dikucupnya. Namun Nur Ain menatap wajah sang anak dalam-dalam.
“Sehari dua ni mama nampak Raid semacam aja. Kenapa?” tanya Nur Ain dalam nada lembut.
“Tak ada apa-apa. Raid okay aja,” jawab Raid lembut.
“Betul ke? Ada apa-apa yang Raid nak share dengan mama?”
“Tak adalah. Raid okay.”
Nur Ain mengangguk perlahan. “Tak mahu makan dulu?”
“Tak apalah. Raid dah makan tadi. Kenyang lagi.”
“Jangan lupa mandi dulu ya?” pesan Nur Ain lembut. Raid sekadar mengangguk dengan senyuman lembut.
Nur Ain terus memandang anak sulungnya itu mendaki anak tangga. Jelas kepenatannya. Kasihan. Tetapi dia tahu kadang kala kasih sayangnya terlalu berlebihan. Tidak seperti suaminya mendidik Raid.
Dalam kamar, baju kerjanya terus ditanggalkan. Tubuhnya dihumban ke tilam serta merta. Tidak berdaya lagi kaki untuk menongkat tubuh. Telefon di dalam poket seluarnya dihumban ke tepi bantal.
Namun kemudian telefon itu berkelip-kelip tanpa suara. Mata yang sudah layu itu kembali segar. Raid membelek telefonnya. Satu nombor asing masuk. Butang menjawab ditekan lalu telefon itu dilekapkan ke telinga.
“Hello..” sapa Raid sambik mengerut kening.
“Err.. Hello...”
“Siapa ni?” suara seorang wanita membuatkan mata Raid segar bugar.
“Sorry, wrong number.”
“Nanti kejap! Macam pernah dengar suara. Cikgu ke ni?” tanya Raid.
“Err.. iya. I tak berniat nak menganggu. I bukan nak call you sebenarnya.”
“Jadi kenapa call?” balas Raid pantas.
Terdiam Fareena di hujung sana. Geram dengan budak seorang itu semakin melambung. Pandai Edin mengelentong dia!
“Nak cari Edin ke?” tanya Raid lagi.
“Ia. Dia kata ni nombor dia.”
“Ni nombor saya. Edin mana ada telefon. Takkan cikgu tak tahu?”
Fareena mendecit. Sahlah Edin mengenakan dia. Nak juga kenen-kenenkan Raid kepadanya. Masalahnya Raid pun bukannya sukakan dia pun!
“Call Edin tengah malam ni untuk apa?” tanya Raid di kala wanita itu membisu.
“Encik Raid, I call semenjak pukul 4 petang tadi. Tak ada siapa yang jawab. Edin tertinggal name tag dan buku dalam kereta I. Semua benda ni dia perlukan esok. I kena pergi kursus sampai hari Jumaat nanti. Sebab tu I call,” jelas Fareena lembut di hujung sana.
Raid menghela keluhan perlahan. Dia tahu apa maksud guru itu bercakap begitu.
“Nak kena pergi ambik ke benda tu? Saya penat sangat ni. Baru balik kerja. Biar ajalah dia kena denda esok,” ujar Raid malas. Sudah tidak sanggup mahu meredah udara sejuk di tengah malam semata-mata demi buku si Edin. Siapa suruh tinggalkan buku itu di dalam kereta orang. Entahkan Edin memang sengaja tinggalkan supaya cikgu itu menghubunginya.
“Tak apalah. I sepatutnya call mummy dia tadi.”
Raid menggaru kepalanya. Nak dibiarkan tak sampai hati. Entahkan memang buku itu penting.
“Rumah cikgu di mana?”
“Taman Alam Damai. Jauh ke dari rumah you? Kalau you nak datang I boleh bagi alamat.”
“Jauhlah jugak. Tunggulah. Saya pergi ambil. Sent me your address. Saya gerak sekarang.” Raid mendengus. Benar-benar menyusahkannya!
Cepat-cepat menyarung baju semula. Kemudian dia terus keluar. Kelam kabut menyarung jaket dan topi keledar. Sebelum menolak motosikalnya keluar dari halaman rumah, dia sempat membelek alamat yang diberikan oleh Fareena melalui mesej.
Biarpun udara di sekeliling sedang teramat sejuk, dipecutnya juga motornya. Mahu lekas sampai. Jalan lengang, Raid tiba kawasan perumahan yang dimaksudkan sekitar lima belas minit kemudian. Mudah sahaja mencari rumah guru itu. Terlihat Honda City berwarna hitam ada terpakir di hadapan rumah, Raid segera memberhentikan motornya.
Raid sekadar menunggu di atas motor. Dia terlihat seseorang menyelak langsir di bahagian pintu gelangsar. Tidak lama kemudian, guru itu keluar.
Sorry. Menyusahkan you aja.”
Raid sekadar memandang guru itu membuka pintu pagar. Dia tidak mampu lagi bergerak. Terlalu sejuk! Menggigil kekejangan di atas motor dan pundi kencing pula terlupa hendak dikosongkan sebelum pergi tadi. Raid kalut dalam diam.
Belum sempat Fareena mendekat. Raid turun pula dari motornya.
“Cikgu pergi masuk sana. Masuk kejap!”
“Kenapa? Saya cuma nak beri...”
Belum sempat Fareena menghabiskan kata-kata, Raid sudah lintang pukang mencari tempat bersembunyi. Fareena mengerut kening. Namun kemudian dia segera berpaling. Sungguh kurang sopan lelaki seorang itu! Menyesal pula tak masuk seperti yang disuruh Raid tadi. Sudahnya dia sekadar meletakkan buku Edin di atas kusyen motor Raid. Sengaja berdiri agak jauh dari motor itu.
Sesudah lega Raid pegun pula. ‘Apasal aku tak berhenti aja kat mana-mana sebelum sampai kat rumah ni tadi? Aduh! Apa nak buat sekarang? Malu gila ni...’ bisik hati Raid kalut.
“Lamanya? Dah ke? I nak masuk tidur ni.”
Lambat-lambat Raid menoleh. Zip seluarnya ditarik ke atas. Lalu dia mendekati motornya semula. Malu muka tak usah katalah. Ada ke buar air kecil di longkang hadapan rumah cikgu cantik itu?? Ini memang betul-betul memalukan!
“Sorry, cikgu. Tak tahan sangat. Tak sempat nak menyorok dah. Saya ingat nak pergi ke sana tu... err... saya tak sepatutnya buat macam tu.”
Fareena menggeleng seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Namun rasa nak tergelak sebenarnya sudah tidak mampu ditahan.
Raid berdiri di tepi motornya sambil memandang sekeliling.
“Ada apa-apa yang you perlukan ke?” tanya Fareena sambil tersenyum-senyum. Dia tahu Raid malu kepadanya.
“Saya nak tumpang basuh tangan.”
“Ada paip kat dalam ni,” ujar Fareena lembut.
Raid mengangguk. Segan pula mahu berjalan dekat dengan wanita itu. Namun sudahnya dia buat selamba. Tiada lain yang diinginkannya. Mahu segera pergi dari situ agar semua peristiwa memalukan itu dapat dilupakan segera.
Topi keledar ditanggalkan lalu diletakkan di atas tembok batu di tepi longkang. Selesai menggunakan paip, Raid keluar semula. Fareena sekadar bersandar di belakang keretanya sambil berpeluk tubuh. Gelagat lelaki itu terus dipandangnya sambil tersenyum-senyum.
“Saya harap cikgu jangan bagitahu Edin pasal tadi tu.”
“Pasal apa? I tak ingat apa-apa pun,” jawab Fareena pantas.
“Saya balik dulu. Maaf tentang tadi tu. Saya tak berniat nak buat begitu.” Tidak terpandang oleh Raid wajah guru itu.
“Raid, you datang sini naik motor tengah malam begini semata-mata untuk buku ni. Tak apa. Tak perlu minta maaf.” Fareena menjawab lembut.
Raid mengangguk pula. Masih tidak berani untuk memandang perempuan itu. Rasa macam tak mahu jumpa wanita ini sampai bila-bila. Malu!
“Sekurang-kurangnya I tahu you tak seperti yang I sangkakan sebelum ni.”
“Saya... kalau boleh tak mahu jumpa cikgu lagi.” Raid menjawab amat perlahan.
“Why? Sebab tadi atau...” Fareena sengaja tidak menghabiskan bicaranya.
Raid menghela nafas perlahan. Setelah apa yang dikatakan Fareena kepada dan ditambah dengan insiden tadi, dia tidak tahu mahu kata apa lagi.
“Saya segan dengan cikgu. Saya tahu Edin sukakan cikgu. Maksud saya, dia sukakan cikgu sebagai kakak. Tapi saya rasa saya bukan orang yang sesuai untuk penuhi kehendak dia,” ucap Raid lembut. Memaksa diri menerima seseorang kerana kasihan atau rasa bersalah, itu bukan sikapnya. Dan dia juga tidak mahu dirinya dilayan begitu.
Fareena diam memandang lelaki itu. Baru sekejap tadi dia dapat merasakan lelaki ini memang baik seperti yang dikatakan Edin. Sekarang kenapa dia terasa sedang ditolak oleh lelaki ini pula? Raid mahu balas dendam kepadanya?
“Tak sesuai sebab apa? Sebab I ni lebih tua dari you ke?”
“Saya pun tak suka bila Edin asyik cuba mendekatkan kita. Saya takut saya menganggu kehidupan cikgu.”
Sekali lagi Fareena terdiam.
“I pernah terlupa. Edin cuma nak I kenal you. Tak semestinya kita akan pergi lebih jauh. Sekadar kenal sebagai kawan, itu tak salah. Tapi I luahkan kata-kata yang tak sepatutnya. I betul-betul minta maaf, Raid.” Fareena bersuara seketika kemudian.
Raid membisu.
“Dia selalu tanya, I ada pakwe ke? Tapi I tak jawab. Sebenarnya, ya. I ada seorang lelaki yang selalu berhubung dengan I selama ni.”
Hampa yang teramat sangat mendenga itu. Lidah terasa kelu. Patutlah dia ditolak. Jadi bukankah salah guru itu juga. Raid tunduk seketika. Perlahan dia menoleh kepada cikgu itu.
“Saya balik dulu.”
“Raid, I tahu you tak sukakan I sebab apa yang I katakan hari tu.”
Raid segera menoleh ke arah perempuan itu. “Kenapa cikgu rasa penilaian saya tentang cikgu itu penting?”
“Sebab I yang mulakan keadaan yang tak elok ni...”
“Tak ada apa yang penting tentang itu. Tak perlu kita besarkan lagi hal yang dah lepas,” pintas Raid.
“Tapi you tetap macam ni. Dingin aja. I rasa tak selesa.”
“Saya tak biasa dengan orang yang baru saya kenal.” Raid beri alasan itu sebagai penutup cerita.
“Really? Bukan sebab you memang tak suka I ke?” ujar Fareena sedikit sinis.
“Jadi cikgu nak saya buat apa? Cikgu nak saya sukakan cikgu dalam keadaan cikgu dah ada teman lelaki???” balas Raid hairan.
“Sekurang-kurangnya I tak mahu tergolong di kalangan orang yang you tak suka.”
Raid diam. Malas mahu menjawab kata-kata wanita itu. Enjin motor segera dihidupkan. Dia ingin segera pergi. Entah kenapa wanita itu membuat dia resah pula. Tidak tentu arah. Tidak sanggup berada dekat dengan wanita itu. Sesudah memasukkan gear, Raid segera menggerakkan motornya.
Namun baru sekejap motor itu berlalu, dia tersedar sesuatu. Di atas kepalanya tiada topi keledar!
“Adoiiii... apa kena dengan aku ni??” ucap Raid sambil memberhentikan motornya seketika. Dahinya ditepuk. Mahu tidak mahu terpaksalah memusingkan motornya semula ke arah rumah itu. Macam mana dia boleh terlupa yang dia meletakkan helmet di atas tembok di tepi pagar rumah itu tadi sebelum dia pergi membasuh tangan.
Fareena ketawa gelihati sambil menggeleng sebaik sahaja motor Raid berhenti lagi di tempat yang sama.
“Lupa pulak helmet.”
“You tak mahu balik ke sebenarnya?” usik Fareena lantas ketawa.
Kejung reaksi Raid. Malu mukanya tidak tertahan. Macam baru pertama kali dekat dengan perempuan lagaknya.
“Saya minta maaf kerana mengganggu cikgu malam-malam macam ni. Saya balik dulu,” ucap Raid setelah duduk semula di atas motornya.
“Raid...” Fareena mendekati motor lelaki itu.
Raid sekadar menoleh tanpa menjawab.
“Terima kasih kerana sudi datang. Terima kasih kerana sudi bercakap dengan I. Sebetulnya tak ramai orang tahu di mana I tinggal.” Fareena berkata lembut.
Raid sekadar memandang wanita itu dengan kerutan di keningnya. Entah kenapa dirinya terasa seperti diawang-awangan. Indah. Tetapi dia takut dengan rasa yang ada dalam hatinya kala ini. Wanita ini sudah dicop orang. Siapalah dia? Hanya watak tempelan!
“Saya balik dulu,” ucap Raid sebelum menggerakkan motornya.
Fareena menggeleng perlahan sebaik sahaja lelaki itu berlalu. Seterusnya pintu pagar dikunci dan dia masuk ke dalam rumah semula. Harus segera tidur. Esok dia perlu keluar awal.
Namun sebelum melelapkan mata dia teringat semula apa yang berlaku tadi. Fareena ketawa seorang diri. Lucu benar melihat gelagat Raid ketika kelam kabut tadi. Agaknya lelaki itu terlupa nak meminjam tandas di rumahnya. Atau pun sudah tidak tahan benar nak terkucil.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan