Jumaat, 18 November 2016

BAB 6 MR. CRUSH

BAB 6
TERKEKEH-KEKEH ketawa empat remaja itu berjalan kaki terhoyong-hayang di tepi. Mengajuk Shahrul. Tidak mempedulikan kereta yang bersimpang siur di sekeliling mereka.
“Diamlah!” marah Shahrul.
“Aku tak boleh ingat rupa orang tua yang sound kita tu. Bapak budak poyo tu.”
“Aku dapat budak tu, siaplah,” ucap Shah keras. Sakit hatinya. Malu! Mereka berempat digantung sekolah.
“Aku rasalah, bapak dia tu ada rasuah cikgu,” sampuk Jimi.
“Mana kau tahu?” Shah memandang Jimi di sebelahnya.
“Dia orang tu kaya! Takkan cikgu nak pandang muka kita. Cikgu Fareena tu... takkan nak pandang kau? Perempuan sekarang ramai yang mata duitan!” ucap Jimi.
“Siallah! Cikgu tu yang rotan Ina.” Shahrul mencemuh. Bertambah geram mengenangkan guru itu tidak pernah ingin senyum kepadanya setiap kali dia menyampaikan salam.
“Amacam?”
Shahrul memandang Jimi di sebelahnya.
“Apa?”
“Bodohlah kau ni. Takkan kau nak biar aja budak tu menang? Kena buang sekolah? Aku tak takut! Bukan best sangat pergi sekolah ni,” hasut Jimi. Dua lagi remaja itu mengangguk.
Shahrul terus berjalan sambil berfikir. Namun kemudian dia menoleh semula kepada teman-temannya. Baru sahaja dia hendak membalas sebuah kereta berhenti di sebelahnya. Shahrul menoleh.
“Masuk!” arah lelaki tua itu kepadanya.
“Aku blah dulu,” ucap Shahrul perlahan. Tidak sempat teman-temannya menjawab, dia segera mendekati kereta itu. Pintu dibuka dan dia masuk.
“Kau buat apa kat sekolah?” tanya si ayah garang.
Shahrul diam. Kebisuannya mendapat hadiah penumbuk dari lelaki itu pada bahagian tepi matanya.
“Aku suruh kau pergi sekolah, supaya kau jadi manusia!!! Tapi kau buat lain!!! Dasar tak reti diajar kau ni!!!” Dua penumbuk lagi ditambah kepada anaknya. Tiga lagi rakan Shahrul terpaku. Lelaki tua itu keluar dari kereta lalu mendekati tiga remaja itu.
“Aku tengok kau orang dekat lagi dengan anak aku, kau orang aku belasah depan mak bapak kau orang nanti! Kau faham??? Kau nak main-main aku, kau cakap sekarang!!!” jerkah Encik Ramlan agak lantang kepada tiga remaja itu.
Tiga remaja itu terpaku. Gentar melihat kebengisan lelaki itu. Keberanian yang berkobar-kobar tadi tidak tersisa sedikit pun!
Lelaki tua itu kembali masuk ke dalam kereta. Kereta itu dipecut pergi. Ketiga-tiga remaja itu terus terkaku mengenang apa yang mereka lihat tadi.

DUA hari berlalu tanpa kelibat Edin di sekolah. Tertanya-tanya sementelah guru kelas Edin juga tidak ada menelefon emak Edin untuk bertanya apa sebabnya remaja itu tidak datang.
Sudahnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia membelokkan kereta ke satu kawasan perumahan. Pernah dijejakinya dahulu ketika menghantar Edin pulang ke rumah. Masih ingat di mana kedudukan rumah remaja itu.
Kereta Honda City itu menyusur dalam kelajuan perlahan di dalam kawasan perumahan itu. Melintasi sebuah taska dan taman permainan kanak-kanak. Terlihat dua lelaki sedang rancak melompat di taman itu, Fareena menghentikan keretanya di tepi. Salah seorangnya dia cam benar. Edin!
“Cikgu!!!” jerit Edin ceria saat terpandangkan wanita itu keluar dari kereta. Malangnya jeritannya menganggu tumpuan Raid. Sedang melompat jarak jauh, dia sempat pula memandang ke arah tepi taman itu. Sudahnya dia tersalah mendarat. Dari atas palang itu dia terjatuh ke bawah.
“Aouchh!!!” Fareena menekup mulut melihat lelaki itu jatuh bak nangka ke atas tanah.
“Kenapa??” Edin menoleh ke arah yang dipandang Fareena. Abang sepupunya sudah terduduk di atas tanah.
“Eh! Saya nak kenalkan cikgu dengan abang sepupu saya. Sekejap ya?”
“Edin! Tak payahlah...” rengus Fareeena. Dia datang mencari Edin. Bukan lelaki itu.
Edin terus mendapatkan Raid.
“Jom jumpa cikgu, nak? Cikgu tu cantik..” tangan Raid terus diambil lalu ditarik.
Raid mengertap bibir sambil berjalan perlahan-lahan ke arah perempuan itu. Segan ya ampun apabila perempuan itu memerhatikan cara dia berjalan.
“Ini abang sepupu saya. Nama dia Raid.”
“Nama saya Raid, cikgu. Cikgu apa khabar? Nanti... nanti kejap! Saya tak tahu apa nak cakap ni. Aduh!!! Sakitnya...” Raid tertunduk memegang punggungnya. Fareena meletakkan tangan di bibir. Kalau boleh janganlah lelaki yang sedang kesakitan itu digelakkannya.
“Sakit ke, Abang Raid?” tanya Edin dengan wajah melugu.
“Shttt!!! Diam! Jangan cakap apa-apa. Otak abang dah tak boleh nak proses apa-apa sekarang ni. Biar abang tenangkan fikiran dulu.” Raid terus berpaling untuk mencari tempat duduk. Sebaik sahaja lelaki itu berlalu, Fareena tergelak. Lucu melihat lelaki itu berjalan terhencot-hencot sambil memegang punggung sendiri.
Edin tercengang memandang Raid menjauh. Kemudian dia memandang gurunya itu.
“Edin dah dua hari tak datang sekolah. Kenapa?”
“Hari tu mummy bawak pergi klinik. Tangan ni bengkak semula. Doktor kata ada cedera sikit. So, dapatlah MC.” Edin menjawab ceria. Seronok. Guru itu sudi datang bertanya khabarnya.
“Oh... cikgu risau sebab mummy awak tak ada call ke sekolah pun. Cikgu ingat ada kecederaan serius disebabkan hari tu,” ujar Fareena sambil memandang Edin.
“Yang lain tak serius pun. Tangan saya ni aja masih sakit.”
“Awak tak ada di kelas, susah hati cikgu.”
“Cikgu mesti rindukan saya, kan?” Edin menyeringai kepada wanita itu.
Fareena ketawa kecil. “Rindulah. Awak yang selalu usik cikgu, selalu tolong cikgu.”
Edin menyengih senang hati. “Sekejap ya? Saya nak panggil abang sepupu saya. Cikgu jangan balik dulu.”
Fareena sempat mendecit saat remaja itu berlalu. Tahu apa yang bakal berlaku sekejap lagi.
“Abang Raid, cepatlah! Nak berkenalan dengan Cikgu Fareena tak?”
Mahu tidak mahu Raid bangun juga. Guru itu sudah berdiri di tepi pintu keretanya. Bersedia untuk pergi. Terhencot-hencot Raid mendekati wanita itu.
“Cikgu dah nak balik ke?” tanya Raid perlahan.
“Ia. Saya singgah sekejap aja.”
“Oh... emm...” Raid menggaru kepalanya.
“Cikgu ada nombor telefon? Abang Raid tanya..” sampuk Edin sambil menunding kepada abang sepupunya itu.
Fareena sekadar menggeleng dengan sedikit senyuman hambar.
“Tanyalah cepat!” Edin sempat menyenggol Raid. Raid mula kalut. Pertama kali seumur hidupnya meminta nombor telefon wanita. Mahunya tidak gugup?
“Err... Cikgu ada nombor telefon?” ucap Raid perlahan.
“Maafkan saya, Encik Raid. Tak ada.” Fareena bersuara perlahan sambil membuka pintu keretanya. Terus dia masuk ke dalam kereta.
Terkulat-kulat Raid memandang wanita itu berlalu. Macam baru kena reject saja??? 
“Entah-entah cikgu dah ada pakwe tak?” ucap Edin perlahan. Pernah dia bertanya sebelum ini. Namun wanita itu tidak menjawabnya secara jelas.
Raid sekadar menjungkit bahu. Malu mukanya! Pertanyaannya tidak dilayan.
“Ni Edin punya pasallah. Malu abang!” rungut Raid sambil menghela nafas panjang.
“Manalah Edin tahu.” Edin menjawab rendah. Dia pun tidak sangka gurunya akan menjawab begitu.
“Takkanlah cikgu cantik begitu tak ada pakwe? Mesti dia dah ada pakwe tu. Hish! Malu abang, Edin. Malu!” getus Raid sambil berpaling.
“Nak pergi mana?”

“Baliklah. Bontot abang sakit ni. Hati pun sakit!” rungut Raid sambil terhencot-hencot meninggalkan kawasan taman itu.

2 ulasan: