Khamis, 17 November 2016

BAB 2 MR. CRUSH

BAB 2
KERETA diberhentikan di hadapan pasaraya Econ Save. Raid terus mendapatkan troli di hadapan pasaraya itu. Lengang. Tidak begitu ramai orang di waktu ini. Sambil menolak troli, Raid mendail di telefon.
“Ma, Raid kat Econ Save ni. Ada apa-apa nak beli?” tanya Raid melalui talian. Dia berdiam mendengar kata-kata mamanya.
“Lagi?” tanya Raid lembut. Matanya melilau kiri kanan memandang barangan di sekelilingnya.
“Ha?? Ma, manalah Raid tahu. Suruhlah dia beli sendiri,” keluh Raid. Langkahnya terhenti dicelahan rak barangan. Mendengar kata-kata mamanya di hujung talian.
“Iyalah... iyalah... jenama apa tadi, ma?” Raid diam mendengar kata-kata ibunya.
“Okay. Raid dah ingat. Nanti Raid cari ya? Bye..”
Talian terus dimatikan. Raid menghela nafas perlahan. Seluruh pasaraya itu dikelilingi untuk mencari keperluannya. Sudahnya dia terlupa apa yang dipesan oleh mamanya tadi. Sehinggalah dia terpandangkan rak yang dipenuhi keperluan wanita.
“Alamak... lupa!” keluhnya seorang diri. Troli segera disorong ke kawasan itu. Dua tiga orang perempuan mula menoleh. Ada yang memandang aneh kepadanya. Membuatkan Raid membuat pusingan U untuk keluar semula. Dia bersembunyi di hujung rak.
“Semua perempuan. Macam mana aku nak masuk situ?” buat seketika dia berdiri di situ. Menunggu seorang demi seorang pergi. setelah itu dia menyorong troli masuk ke situ. Namun terpandangkan rak padat dengan tuala wanita, dia sudah mula pening. Tambahan pula sudah lupa jenama dan jenis yang disebut mamanya.
“Boleh ke aku main beli aja ni? Apasal jenama sama tapi plastik warna lain-lain?” ucap Raid seorang diri.
Sebungkus diambil. Namun dia letak semula.
“Buatnya aku salah beli, mati aku kena marah.”
Sehingga datang seorang perempuan menjinjing bakul ke situ. Raid sudah mula tidak senang hati. Wanita itu berdiri sedikit jarak darinya. Kemudian seorang pekerja bahagian itu melintas.
“Allo... encik. Apa carik? Mahu beli kotex arr??”
“Kotex??” Raid tercengang. Suara perempuan itu teramatlah kuat.
“Sudah berapa hari datang bulan?” tanya nyonya berambut kerinting itu selamba.
Perempuan di sana itu mengerling dan ketawa entah kenapa. Masam kelat wajah Raid.
“Saya... saya mahu beli untuk adik saya. Auntie, suara tu janganlah kuat sangat.”
Wanita cina itu ketawa pula. “Haiyaaa... wa tahulah lu beli untuk lu punya adik perempuan. Apa brand mahu?”
“Nanti saya tanya saya punya adik.” Telefon di keluarkan dari poketnya. Nombor Amanda didailnya. Sekejap saja talian bersambung.
“Manda, apa nak beli ni? Cakap cepat. Abang suruh pekerja kedai ni tolong cari.”
“Alah.. cakap aja kat staff tu, jenama kotex, wings, panjang.”
Raid melekapkan telefon ke dada lalu berbicara dengan pekerja wanita itu. “Mana satu Kotex yang ada kepak panjang?”
“Apa lu cakap? Apa itu kepak panjang?”
Perempuan di hujung sana tergelak seorang diri. Raid terkulat-kulat memandang wanita yang sedang membelakangi mereka. Namun kemudian perempuan itu berpaling.
Raid cepat-cepat menghalakan pandangan ke arah lain saat wanita itu melintasinya. Malu mahu memandang perempuan itu. Namun dalam keadaan itu dia tidak sedar, wanita itu mengambil sebungkus tuala wanita lalu diletakkan di dalam troli Raid. Dia hanya tersedar setelah perempuan itu berlalu.
“Hah! Itu perempuan sudah tolong sama lu.”
“Okay. Terima kasih ya, auntie.” Raid terkeruk-keruk memandang bungkusan yang diletakkan wanita itu. Sempat dibaca tulisan di luarnya.
“Overnight? Mana kepaknya?” tanya Raid sambil membelek bungkusan itu.
“Susah betullah jadi perempuan ni!” rengus Raid lantas meletakkan bungkusan itu kembali di dalam troli.
Troli terus disorong pergi. Kemudian sampai pula ke satu bahagian lain. Sayangnya baru sahaja dia membelok, dia terlihat perempuan cantik itu berada di hujung sana. Belum sempat wanita itu menoleh, Raid sudah membelok semula untuk keluar dari situ.
Fareena sempat memandang lelaki itu dari jauh. Kemudian kepalanya digelengkan sambil tersenyum sendiri. Dapat agak yang lelaki itu malu kepadanya.
Raid terus berlalu ke kaunter bayaran. Hanya dua kaunter dibuka. Dia memilih satu kaunter. Namun sedang dia mengisi barang-barang di atas kaunter itu, perempuan cantik tadi datang beratur juga di kaunter yang sama.
Masakan nak buat bodoh? Dia sempat memandang ke belakang. Wanita itu sedang memandang susunan gula-gula dekat dengan kaunter itu.
“Err... thank’s tolong saya tadi.”
Wanita itu menoleh ke arah Raid.
“Welcome...” hanya sedikit senyuman diberikan kepada lelaki itu.
Setelah semua barang diletakkan di atas kaunter, Raid menyorong trolinya ke hujung kaunter. Barang-barang yang sudah dibungkus dimasukkan semula ke dalam troli. Tetapi berkali-kali juga matanya terpandangkan perempuan itu di sebelah sana. Wanita itu membelek sesuatu di atas rak di tepi kaunter itu.
“Akka... itu kondom. Bukan gula-gula,” tegur gadis juruwang itu kepada Fareena.
“Opss! Sorry, I tak baca tadi.” Merah muka Fareena. Lelaki di sana menahan senyum.
Raid sempat mencuri pandang wajah yang sedang merona itu. Cantik!
Tapi... nak tanya nama, seganlah! 

2 ulasan:

  1. Hahahahaha.. Td raid malu.. Skrg fareena plk malu..

    BalasPadam
  2. Hahahahaha.. Td raid malu.. Skrg fareena plk malu..

    BalasPadam