Selasa, 9 Mei 2017

MAWAR BERDURI-PROLOG

PROLOG
KEHADIRAN pekerja baru di situ menarik perhatian sebilangan orang. Masing-masing memanjangkan leher saat lelaki muda itu dibawa ke mejanya. Kacak orangnya. Masih muda. Sudah tentu mata kaum perempuan lebih terbuka luas memerhatikan langkah lelaki itu sehingga ke mejanya.
“Ada apa-apa masalah, call saya. Sambungan 232. Tunggu sekejap. Nanti saya datang semula,” ucap wanita itu kepada Rauf.
“Terima kasih, puan.” Rauf membalas lembut. Wanita itu mengangguk sebelum berlalu.
Rauf memandang mejanya sambil beg yang tersangkut di bahunya diturunkan. Di atasnya banyak fail yang ditinggalkan untuknya.
“Baru?” teguran satu suara membuatkan pandangan Rauf terpusat ke sebelah. Seorang lelaki bersandar di kerusinya sambil menggigit pena memandang kepadanya.
“Baru.”
“Yuszar..” lelaki itu segera menghulur tangan.
“Rauf Zuhayr,” balas lelaki muda itu lantas menyambut huluran tangan lelaki itu. Masing-masing bertukar senyum.
“Handsome macam ni elok jadi model aja. Tak ada offer ke?”
Rauf terpaku seketika pada saat Yuszar masih ralit merenungnya. Namun kemudian lelaki di sebelah itu ketawa. “Aku melawak aja.”
Rauf tergelak tiba-tiba.
“Perlukan bantuan apa-apa, beritahulah.” Yuszar kembali meneruskan kerjanya. Rauf mengangguk juga biarpun Yuszar sudah tidak melihatnya. Kerusi ditarik lalu dia duduk.
Namun baru sahaja dia melabuhkan duduk dia terpandangkan seorang perempuan keluar dari lif bersama lelaki berusia 40-an. Dua manusia itu berbual seketika di pintu cermin. Dek kerana kedudukan meja Rauf berada paling hujung, dekat dengan pintu cermin itu... matanya tidak mampu lari dari memandang wanita yang sedang bercakap kepada lelaki tua itu.
Cantiknya... desis hati sang lelaki kagum. Mata mudah mabuk kepada keindahan yang terzahir dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
“Psstt...” suara Yuszar kedengaran semula.
Rauf menoleh ke sebelah kirinya semula.
“Itu Tan Sri Fattah, CEO di sini dan dia adalah suami kepada MD. Puan Sri Engku Ameenah.”
Rauf mengangguk semata. Namun matanya masih memandang Yuszar. Mengharapkan dia diberitahu tentang insan kedua itu pula.
“Yang tinggi lampai macam Miss Malaysia tu namanya Diane. Perempuan simpanan dia,” bisik Yuszar lantas menyambung kerjanya semula. Dia terpandangkan Diane Rose sedang membuka pintu itu untuk CEO mereka.
Rauf memandang semula ke arah pintu itu. Wanita bernama Diane itu sedang memegang pintu sambil membiarkan CEO itu masuk. Namun kemudian pintu kaca itu sekadar dibiarkan tertutup semula. Wanita itu berlalu semula ke arah lif. Punat pada lif ditekan kemudian dia berdiri di situ untuk beberapa saat tanpa sedar ada seseorang sedang memerhatikan dia. Seterusnya wanita itu lenyap di dalam kotak lif.
Rauf menghela nafas seketika. Kepalanya digelengkan sedikit. Tidak mahu bayangan wanita itu menganggu perhatiannya. Di sini amanahnya sedang digalas dan harus dijaganya.

WAKTU makan tengahari sudah tamat. Mereka berdua bergerak ke arah lif. Namun ramai pekerja lain berkumpul di hadapan lif. Yuszar mengajak dia mendekati satu lagi lif lain. Lif itu hanya digunakan oleh pegawai atasan dan bomba. Sekali sekala dia menggunakan lif itu untuk tiba cepat di pejabatnya.
Namun beberapa saat kemudian muncul pula dua orang perempuan di situ. Salah seorangnya sempat memandang ke arah Rauf dan Yuszar sebelum kembali menaip di telefonnya. Rauf berganjak ke belakang. Sengaja membiarkan dua wanita itu berada di hadapan.
“Milik siapakah gadis ini. Wajah lembut bagaikan sutera. Ingin hatinya kumiliki. Apakah kan terdaya...” tiba-tiba kedengaran satu suara menyanyi. Spontan Diane dan Amy memandang ke belakang. Yuszar sengaja membuat isyarat kecil ke arah Rauf. Spontan dua pasang mata itu memandang ke arah Rauf pula.
Kaget. Wajah Rauf berubah. Sempat memandang Yuszar yang tersengih kepadanya.
“Bukan I. Dia yang nyanyi!” ucap Rauf membuatkan dua wanita itu tergelak serentak.
“Gadis mana yang you maksudkan? I ke dia?” tanya Amy sambil memuncungkan mulutnya ke arah Diane.
“Eh! Serius. Bukan I yang nyanyi. Tanya dia.”
Yuszar ketawa gelihati melihat wajah Rauf sedikit kemerahan. Namun Diane kembali memandang telefonnya tanpa mahu memanjangkan hal itu. Tanpa dilihat oleh dua wanita itu, Rauf menumbuk bahu Yuszar keras. Geram! Namun Yuszar hanya tergelak.
Setelah pintu lif terbuka, mereka masuk ke dalam kotak itu. Rauf sengaja berdiri agak jauh dari dua wanita itu. Matanya masih tidak mampu lekang dari Diane yang masih ralit menaip di telefonnya.
Namun entah kenapa Diane menoleh ke arah Rauf. Rauf buat-buat memandang ke arah laun. Macam tidak pernah dilihat lelaki ini sebelum ini. Namun pertanyaan itu hanya terkulum. Bola matanya menyapu raut lelaki itu buat sesaat dua sehingga Rauf turut membalas pandangan wanita itu.
Segan kepada lelaki itu, Diane kembali memandang telefonnya. Rambut ikal lelaki itu tiba-tiba menarik perhatiannya. Tanpa menggunakan jel, hanya diminyakkan... rambut lelaki itu kekal pada potongan asalnya. Unik. Jambang jarangnya bersambung sehingga ke bawah leher. Tipulah jika perempuan seperti dia tidak suka melihat semua yang ada pada lelaki itu.
Setelah pintu lif terbuka Diane keluar diikuti oleh Amy. Rauf sempat memandang langkah gadis itu. Laju berjalan ke arah kamar kerjanya tanpa berkata apa-apa kepadanya.

Namun kemudian punggungnya dihempas di kerusi sambil menghela nafas panjang. Longlai. Terbayang-bayangkan pandangan gadis itu kepadanya tadi. Mungkin perempuan itu tidak tahu... luaran dia hanya tenang. Tetapi dalamannya? Lembik lutut dibuatnya!

2 ulasan: