Khamis, 18 Mei 2017

MAWAR BERDURI BAB 12

BAB 12
ENTAH apa ributnya, Rauf tiba-tiba memberi notis 24 jam. Dia sudah mengagak ada sesuatu yang tidak kena biarpun lelaki itu kerap menggambarkan yang semuanya baik-baik saja.
Lebih dari itu, Rauf memberitahu dia terpaksa ikut kehendak mamanya. Tinggal bersama keluarganya. Berjumpa dengannya pun dalam keadaan curi-curi. Nombor telefon lelaki itu juga telah ditukar yang lain. Rauf tidak membenarkan dia menelefon nombor yang lama. Semacam ada satu gambaran lain yang dapat ditekanya tentang Rauf. Lelaki itu seolah-olah sedang dikawal oleh keluarganya.
Beberapa minggu kusut fikirannya dengan keadaan ini. Dan jauh disudut hatinya, dia rindukan kehadiran lelaki itu. Hidupnya terasa amat kosong. Meja yang selalu diduduki lelaki itu dipandang tanpa jemu. Berharap lelaki itu akan ada di situ semula. Tapi sayang... itu semua hanya angan-angan belaka.
Hari itu, sepanjang hari terpaksa menghadap pengarah-pengarah di dalam kamar mesyuarat. Usai mesyuarat petang itu, dia menjadi orang pertama keluar dari kamar itu. Tiada mood lagi untuk berada di pejabat. Jiwanya seolah-olah tiada di sini.
“Diane...” panggilan itu membuatkan langkah Diane terhenti. Terpandangkan Datin Paduka Engku Fatimah berjalan kepadanya.
“Datin,” sapa Diane.
Wanita itu berdiri di hadapan Diane seketika. Menatap lama raut itu. Belas hatinya entah kenapa. Namun kemudian dia membuka beg tangannya. Satu sampul merah diberikan kepada Diane.
“Apa ni, datin?” tanya Diane.
“Bacalah,” ucap wanita itu perlahan. Gadis itu ditolaknya ke arah kamar kerjanya. Sebagai isyarat dia tidak mahu Diane membacanya di hadapan orang.
Di dalam kamar kerjanya, Diane terus ke mejanya. Belum sempat duduk sampul itu terus dibukanya. Keningnya berkerut melihat kad itu seperti kad undangan perkahwinan. Ada satu kertas berlipat disertakan bersama. Diane memilih untuk membaca kertas itu terlebih dahulu. Namun setelah dibacanya semangatnya merudum jatuh habis kesemuanya.
Kasih, aku tahu tahu kau berat menerima kenyataan ini. Tetapi demi kedua orang tuaku. Aku harus patuh kepada mereka untuk dijodohkan dengan gadis lain. Walau sekarang bukan zaman Siti Norbaya. Tapi... aku tak mahu dikatakan anak yang tidak berbakti. Percayalah, aku akan tetap mencintaimu...
-Rauf-
Diane segera membuka kad itu pula. Bola matanya terpasak lama ke permukaan kad itu.
Undangan majlis pertunangan antara Muhammad Rauf Zuhayr Bin Muhammad Rafael dan Tengku Puteri Marina Binti Tengku Muzaffar Shah...
Diane terduduk di kerusinya serta merta. Berkali-kali dia membaca nama si lelaki. Mana tahu matanya kabur? Tetapi memang benar nama Rauf! Dan tiba-tiba kad undangan itu turut terlepas dari tangannya.
Diane terkaku memandang ke hadapan. Patutlah lelaki itu tidak ada menghubunginya sepanjang hari ini. Dadanya merasa sesak. Seperti mahu menangis. Betapa kejamnya lelaki itu. Tanpa amaran memberikan dia kesakitan seperti ini. Kehampaan ini terasa teramat-amat menyakitkan. Tiga bulan menjalin cinta dengan lelaki itu, kini janji tinggal janji. Lelaki itu terpaksa memilih wanita lain.
Diane memandang ke arah komputernya. Cuba melupakan hal itu. Namun matanya berkaca-kaca tanpa dapat ditahan. Mutiara itu jatuh sebutir demi sebutir di pipinya begitu saja. Disekanya namun jatuh lagi. Sudahnya dia terlupa apa sebenarnya yang hendak dibuatnya tadi.
Lost! Dirinya seperti telah hilang arah hidup. Fikirannya kosong begitu sahaja. Hanya dengan kehadiran sekeping kad itu, dia seperti telah hilang segala-gala dari hidupnya ini. Sungguh dia merasa betapa cinta itu berharga setelah dia kehilangannya. Itulah yang dirasainya saat ini.
Tidak berupaya melakukan apa-apa Diane, tertunduk menekup wajah di meja. Air matanya terus mengalir di pipi. Sedar, biarpun tidak diminta oleh Rauf, dia harus melupakan lelaki itu.
“Diane...” tegur Amy tatkala terlihat Diane sudah mengangkut beg tangannya.
“I nak balik, Amy.”
“You kenapa, sayang? You menangis ya?” tanya Amy hairan. Sahabat itu diekorinya sehingga ke hadapan lif.
“Babe, kenapa ni? Mata you bengkak.”
Diane berdiam. Tiba-tiba dia terasa mahu menangis semula. Butang lif ditekan berkali-kali. Agak emosi.
“Babe, talk to me,” desak Amy semakin tidak sabar mahu tahu.
“Rauf nak bertunang dengan perempuan lain.”
“What???” membuntang luas mata Amy mendengar itu. Seterusnya dia kelu. Sudah tentu lebih risaukan keadaan temannya ini.
“Babe, you macam mana?”
“Macam mana apa? Macam nilah. Sendiri lagi,” jawab Diane lantas menyeka air mata yang jatuh.
“Oh my God...” keluh Amy. Sungguh dia tidak tahu apa yang hendak diucapkan kepada Diane. Meminta bersabar? Tabah? Memadaikah? Entahlah. Rasanya itu tidak memadai. Ingin didakapnya Diane agar wanita itu kuat menghadapi ujian ini.
“Dia tak cakap apa-apa pun dengan I. Tiba-tiba aja jadi macam ni. I tak tahu apa nak buat, Amy. I terkejut.”
Amy sempat memandang ke arah pejabatnya. Waktu pejabat masih belum tamat. “Tunggu sekejap. I ambil beg. Kita turun bawah ya?”
“No. It’s okay. I cakap banyak mana pun keadaan tak akan berubah. I kena terima hakikat ni. Tu aja. I okay, Amy. I dah biasa. Kumbang bukan seekor, kan?”
“Tak. Tak. You jangan berlagak macam semuanya okay tapi sebenarnya tak okay, Diane!” tegas Amy tetap berkeras. Membiarkan begitu sahaja itu kedengaran agak kejam bagi dirinya sebagai teman yang paling rapat dengan Diane.
Namun ketika di dalam kereta, dia tidak mampu untuk menggerakkan kereta itu pergi. Seolah-olah arah jalan hendak ke rumahnya pun dia sudah terlupa.
“Biar I drive,” ucap Amy lantas keluar semula dari kereta. Segera pergi ke tempat pemandu. Namun dia lihat Diane tunduk di stereng. Diane menangis!
“Keluarga dia tak sukakan I, Amy. I dah dapat jangka tapi dia tak mahu mengaku,” jelas Diane setelah puas dia meluahkan kesesakan jiwanya.
“Mungkin dia hanya nak jaga perasaan you, Diane. Dia pun tersepit dengan keadaan. I percaya selama ni dia tak pernah berniat nak main-mainkan you.” Amy menjawab perlahan. Sungguh dia belas melihatnya.
“Sekurang-kurangnya beritahu I, Amy. Itu aja yang I nak. Mak dia pernah minta I jangan call Rauf lagi. Tapi bila I tanya Rauf, dia tak mengaku yang mak dia tak sukakan I. I tahu dia terpaksa resign sebab mak dia nak pisahkan kami.”
Amy terdiam mendengar bicara Diane. Cerita dari pihak Rauf dia masih tidak tahu. Apa yang hendak dikatakannya?
“Biar I drive ya? You tak okay ni,” pujuk Amy lembut. Diane keluar juga dari kereta.
Sepanjang perjalanan ke rumah Diane, gadis itu hanya membisu memandang ke luar. Sekali sekala dia menyeka lagi air matanya. Sungguh sakit rasa ini. Jauh lebih sakit berbanding dia mendapat tahu Tan Sri Fattah meniduri wanita lain. Jauh lebih sakit saat dia dihina orang. Jauh lebih sakit saat dirinya digelar perempuan murah. Terlalu sakit berbanding semua itu!
Paling menyedihkan saat menyedari dia kini sendiri lagi tanpa lelaki itu. Sejauh mana untuk dia tabah saat memandang lelaki itu mengahwini wanita lain? Diane memejamkan matanya rapat-rapat. Air matanya jatuh lagi tanpa jemu. Biar sesakit mana pun dia saat ini, hati kian degil, terus menjerit memanggil nama lelaki itu. Tetap menginginkan lelaki itu hadir lagi di dalam hidupnya.
I'll let you go... I'll let you fly. Why do I keep on asking why?
Amy menoleh ke sebelahnya. Diane menangis tanpa suara. Sungguh dia tidak terdaya untuk memujuknya. Sakit untuk meninggalkan ketika hati sedang terlalu sayang, itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditawarkan. Sepanjang hidup akan tetap merasai kesannya. Hanya dia berharap temannya ini akan terus bersabar dengan ujian yang datang.

“NAK ke mana???”
Rauf tidak jadi mahu keluar. Pandangan dihalakan kepada ibunya di permukaan tangga.
“Rauf nak pergi tengok Diane sekejap.”
“Nak buat apa???” marah Puan Sri Nur Ain. Pantang benar mendengar nama itu. kakinya dihalakan ke arah anaknya itu.
Rauf menghela nafas panjang. “Dia tak sihat. Rauf cuma nak tolong dia.”
“Tolong? Tolong layan dia punya ragam???” tekan Puan Sri Nur Ain benar-benar tidak senang. Hanya tinggal seminggu lagi Rauf akan bertunang. Masih juga mahu pergi mencari perempuan seorang itu.
“Ma, dia jadi begitu sebab Rauf! Tolonglah faham. Rauf tak sampai hati, ma! Sekejap aja. Rauf cuma nak pergi tengok sekejap aja,” tekan Rauf. Sedikit meninggi suaranya dek kerana sudah tidak tahan dengan tekanan yang ditanggungnya saat ini.
“Takkan tak ada orang lain...”
Rauf menggeleng sambil dia berjalan ke arah pintu. Sudah tidak tahan mendengar emaknya membebelkan dia. Panggilan ibunya itu tidak diendahkan. Rauf terus memandu keluar dari rumah.
Sesak kepalanya dengan bayangan Diane. Hati turut merasa terluka. Sehari dua ini dia sengaja tidak menghubungi Diane. Sayangnya dia diperdengarkan khabar duka ini. Hatinya menangis hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Sebaik sahaja tiba di kediaman Diane, Rauf segera menghubungi Amy. Beberapa ketika dia menunggu di hadapan pintu pagar, Amy muncul di situ mengajak dia naik ke atas.
“Macam mana keadaan dia?”
“Panas dia tinggi. I ajak pergi klinik dia tak mahu. Dia asyik menangis. Banyak sangat menangis, mulalah sakit kepala. I risaulah, Rauf.” Amy menjawab sambil berjalan laju di hadapan Rauf.
Makin resah hati lelaki muda itu mendengar itu. Sudah tidak sabar mahu melihat keadaan kekasih hatinya. Ingin segera memujuknya agar bersabar dengan keadaan ini.
“Diane...” Amy mengusap lengan Diane setelah berada di sisi temannya itu semula.
“I nak tidur. I nak lupakan semua ni, Amy...” keluh wanita itu perlahan.
Amy sempat memandang ke arah Rauf.
“Diane...” panggil Rauf pula. Amy segera menghindar untuk memberi ruang itu kepada Rauf.
Diane tidak menoleh biarpun dia mendengar suara itu. Namun air matanya jatuh lagi di pipi. Mengapa lelaki ini membiarkan dia begini setelah berjanji bulan dan bintang kepadanya? Tidakkah ini kejam untuk dirinya?
“Diane... I datang ni, sayang.”
“Stay away from me! You buat I jadi macam ni! You buat I jadi tak berdaya. I benci you!” tukas Diane lantas menolak tangan lelaki itu.
“Sayang, I tak berniat begitu. I pun tak berdaya.” Bicara Rauf kedengaran sedikit menggigil. Sungguh hatinya remuk melihat keadaan wanita ini. Dia sedar bukan sedikit kelukaan yang telah diberikannya.
“Diane... sayang, look at me.”
Namun Diane menggeleng dikala air matanya kain banyak tertumpah. Memandang lelaki ini hanya akan membuatkan dia bertambah tidak mampu menerima hakikat yang satu itu.
“I sayang you, Diane. Jangan macam ni.”
Diane menangis semahu-mahunya tanpa mampu membalas bicara lelaki itu. Malah saat lelaki itu meraih tubuhnya, dia terus longlai. Di dalam pelukan lelaki itu, dia menangis lagi.
“I’m so sorry, baby. I tak mampu biarkan you begini. Hati I hancur, sayang.”
“I perlukan you. I tak boleh lalui keadaan ni, Rauf. I sayang you sangat-sangat. Tapi kita...” Diane tidak mampu menambah bicara. Leher Rauf dipautnya. Di bahu lelaki itu kesedihannya terus tertumpah.
“I know... I know...” bisik lelaki itu. Namun entah bagaimana air matanya jatuh juga di pipi.
Amy hanya memandang sayu sepasang kekasih itu. Syukurlah dia tidak pernah diduga dengan cinta antara dua darjat.
Seketika kemudian Rauf meletakkan semula tubuh gadis itu di atas ranjang. “You tak sihat...” ucap lelaki itu perlahan.
“I tak boleh terus hidup begini. I nak pergi jauh dari sini. I tak mahu jumpa you lagi!”
“Sayang, jangan menangis. You dah lemah sangat ni,” pujuk lelaki itu rendah.
“I nak hidup dengan you...” Tangisannya tidak mampu ditahan. Diane berpaling. Enggan membiarkan lelaki itu melihat dirinya begini lemah.
“Sayang, I tak berniat nak biarkan keadaan jadi begini. I tak sampai hati nak beritahu. I tak mahu you terluka. Tapi I sedar I tetap perlu berterus terang,” ucap Rauf perlahan.
“Kenapa you datang pada I. You tahu I macam ni. I tak layak untuk berada dalam keluarga you.”
“Apa pun alasannya I tetap sayangkan you, Diane. Sayang... look at me.” Rauf menarik tangan kekasihnya itu.
“Kita pergi klinik ya? I temankan,” pujuk Rauf lembut.
Namun Diane menggeleng. “Pergilah. Jangan pedulikan I! Pergi balik pada famili you. I perempuan yang bertaraf rendah. I tak layak hidup dengan you.”
“Diane, tolong jangan buat hati I bertambah hancur. I tak sanggup tengok you begini, sayang.”
“I dah tak ada apa-apa lagi dalam hidup ni. Kenapa? Sampainya hati you buat I macam ni. You datang pada I kemudian berikan semua ni untuk I tanggung. Apa salah I???” Diane menangis lagi.
Rauf terdiam sambil menghela nafas panjang. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu dia merana dengan semua ini. Melihat keadaan wanita kesayangannya jadi begini, dia bertambah sengsara.
“Diane,” panggil Rauf. Tangan gadis itu ditariknya agar Diane bangkit dari ranjang itu.
“Kuatlah, sayang. Sekurang-kurangnya untuk I. I janji I akan jaga you baik-baik,” pujuk Rauf bersungguh. Wajah Diane dipegang dengan kedua-dua belah tangannya. Air mata yang jatuh segera disekanya.
“I akan bawa you pergi jauh dari sini untuk sementara waktu. Berjanjilah you akan bertahan dengan keadaan ni. I akan berusaha agar pengakhirannya nanti, kita akan tetap bersama,” ucap Rauf bersungguh.
“I cuma nak you dalam hidup I. Jangan tinggalkan I,” jawab Diane perlahan.
“I tahu, sayang. I sayangkan you. Untuk sekali ni, I mahu you berhenti menangis. I ada dengan you. I akan kotakan janji I pada you,” ucap Rauf bersungguh.
Diane hanya terkebil-kebil memandang raut sang lelaki.
“I tetap sayangkan you biar apa pun keadaannya. Biar satu dunia ni menentang, I tak akan lepaskan tangan you lagi, Diane. I janji.”
Diane hanya mengangguk begitu sahaja. Layu hatinya dengan janji kekasih. Jiwa yang dahagakan kasih sayang kembali terisi dengan kehadiran Rauf di hadapan matanya.
“Jangan pergi. I nak you dekat dengan I selalu.” Tanpa segan silu lelaki itu dipeluknya. Namun Rauf kembali meleraikan pelukan.
“I akan pergi. Tapi I terpaksa bawa you bersama I,” ucap Rauf bersungguh. Jemari wanita itu diraihnya lalu digenggam erat.
“I pernah berjanji I tak akan biarkan you lalui hidup ni sendiri. I akan kotakan janji tu. Percaya pada I, sayang. I akan jaga you baik-baik.”
Seperti orang tidak siuman yang baru diberikan penawar penyakit gilanya, Diane hanya mengangguk akur. Akur begitu sahaja dek kerana hatinya masih tergila-gilakan lelaki itu. sungguh benar kata orang. Kadang kala manusia menjadi buta kerana cinta. Begitulah dia saat ini!


3 ulasan: