BAB
6
“AMBOI...
merah menyala kereta. Siapa punya?” tegur Tan Sri Fattah sebaik sahaja Diane
keluar dari kereta itu. Terangkat keningnya sedikit.
“Pakwe baru I punya. I pinjam aja. You nak apa, tan sri?”
jawab Diane selamba. Berubah sedikit wajah lelaki itu mendengar jawapan Diane.
“Main-main!” rengus lelaki itu tidak senang dengan jenaka
kekasih hatinya itu.
Diane hanya mencebik sambil mendekati pintu sebelah sana.
Pintu itu dibukanya lalu dia duduk dengan kaki sengaja dibiarkan di luar. Tan
Sri Fattah tersenyum sendiri memerhatikan betis tidak bersalut apa-apa itu.
Diane memang suka mengenakan skirt separas lutut semata. Ketika duduk, sudah
tentulah skirt itu tersingkap ke atas.
Namun sedang dia ralit merenung betis Diane, sebuah motor
menderu ke arahnya lalu berhenti mengejut. Hampir sahaja terlanggarnya.
“Kau dah kenapa??? Buta ke apa???” marah Tan Sri Fattah kepada
si penunggang motor itu. Wajahnya tidak kelihatan dek kerana topi keledarnya
bertutup penuh. Diane keluar semula dari kereta untuk melihat apa yang berlaku.
“Tan Sri duduk tengah jalan ni kenapa? Nak bunuh diri ke
apa?” ujar Rauf setelah menaikkan cermin penghadang. Hanya kelihatan mata
sahaja. Diane mengulum senyum mendengar bicara itu. Dari suaranya, dia tahu
lelaki itu adalah Rauf.
“Kurang ajar!” Tan Sri Fattah sempat menolak kepala yang
bersalut helmet itu.
“Janganlah! Ingat ni kepala alien starwars ke?” marah
Rauf.
“Kau jangan nak main-mainlah, budak! Aku pecat kau
nanti!” ucap Tan Sri Fattah agak keras. Kolar jaket anak muda itu dicekak lalu
ditariknya.
“Hei! Orang tua... tak payahlah nak pegang-pegang! Koyak
nanti baju aku ni. Ingat baju ni free ke?” ucap Rauf lantas menepis tangan
lelaki itu kasar. Terlepas pegangan Tan Sri Fattah serta merta. Terbeliak mata
lelaki itu melihat keberanian si penunggang motor itu.
“Bukak helmet kau! Bukak! Aku dapat tahu kau siapa,
memang kau nahas!”
Rauf hanya buat tidak peduli. Tangan lelaki itu
ditepisnya. Sebaliknya dia memandang ke arah Diane dan membuat isyarat agak
menutup telinga. Diane mengerut kening tidak mengerti. Namun saat dia melihat
Rauf meletakkan tangan di kemudi motor itu, dia segera menutup telinganya.
Rauf menolak sedikit motornya ke hadapan seolah-olah mahu
pergi. Sengaja dihalakan corong asap motor itu ke arah Tan Sri Fattah. Dan...
prengg... prengggggg....
“Hoi! Jahanam punya budak. Memekak!!!” pekik Tan Sri
Fattah. Namun dia segera melibas wajahnya. Asap motor itu terasa seperti sudah
ditelannya tadi! Rasa petrol!
Setelah puas membuat bising, Rauf segera memecut pergi.
Puas hatinya dapat mengenakan lelaki tua itu. Diane mengulum tawa saat
berpandangan dengan Tan Sri Fattah.
“You kenal siapa budak tadi tu?”
“Entah. Tak cam siapa.” Diane sekadar menjawab biasa.
“Kalau I tahu tu siapa, memang nahaslah dia! Kurang ajar.”
Bebelan lelaki itu sekadar didengari sahaja oleh Diane.
Pintu kereta ditutup wanita itu lalu dia menekan butang. Seterusnya lelaki itu
ditinggalkannya begitu saja.
“Sayang...” Tan Sri Fattah tetap mengekori gadis
itu.
“You jangan panggil I macam tu lagi. You tak ingat ke apa
yang I cakap hari tu???” marah Diane. Meluat pula mendengar nada merayu-rayu
begitu.
“Sayang, dengar dulu. Itu semua fitnah nak menjatuhkan
I.”
“Whateverlah. I dah malas,” ucap Diane sambil terus
berjalan menuju ke lif. Malang nasibnya, tiada sesiapa di antara mereka
menyebabkan dia terpaksa terus menadah kepada pujuk rayu lelaki itu.
“Diane, dengar dulu... I dengan budak tu tak ada apa-apa.
I tak pernah tidur dengan dia. Itu semua fitnah.”
“Ya. Waktu begitulah elok untuk you cabut lari, biarkan I
handle masalah yang you dah buat, kan? Apa jadi pada I, you tak peduli. You
balik sini, you mesej I, minta I jangan ganggu you sebab you dengan wife you.
Okay. Sekarang I takkan ganggu you lagi sebab I dah muak. Tugas I di sini adalah
untuk syarikat. Bukan untuk selesaikan masalah skandal you sedangkan you hanya
tahu menghirup nikmatnya!” marah Diane. Terkedu sekejap Tan Sri Fattah
mendengar bicara gadis itu. Sinis dan kasar.
“I tahu I dah kecilkan hati you. I akan tebus semula,
sayang. Janganlah buat macam ni.”
“I serius dengan apa yang beritahu hari tu, Fattah. I dah
jemu macam ni.”
“No. No. No. I tak boleh terima. You tahu betapa
sayangnya I pada you?”
“Kalau you sayang, you tak akan buat I macam ni! You
ingat I tak ada perasaan ya? you keluar pergi berfoya-foya sana, isteri you
marah I. Segala macam habit buruk you, itu pun I yang nak kena jaga ke?” balas
Diane meninggi.
“Sayang, I’m so sorry...” lelaki berusia 47 tahun itu
mendengus apabila Diane terus meluru keluar dari lif. Laju berjalan
meninggalkan dia di belakang. Nampak Diane marah benar kepadanya.
Diane terus menuju ke kamar kerjanya. Tirai dikembangkan
agar tiada siapa dapat melihat dia di dalam kamar itu. Namun ketika dia
mendekati mejanya, dia terpandangkan sesuatu di atas meja. Diane mencapai kad
itu selepas beg tangannya diletakkan di atas mejanya. Kad itu dibukanya. Keningnya
berkerut.
Rauf,
Youlah lelaki yang paling romantis, paling baik, paling
sesuai jadi bakal suami I. Sudi tak kiranya I melamar you untuk jadi kekasih I?
I love you.
Yang mabuk cinta,
Diane Rose.
(Okay. Boleh hantar pada I sekarang...)
Diane segera mendekati tirai yang menjadi penghadang
dinding kamarnya itu. tirai itu ditarik ke bawah, cuba mengintai Rauf. Dan entah
bagaimana, timbul sepasang biji mata dari persembunyiannya di sebalik partition
meja lelaki itu. Dan dia tahu dari alias mata itu, lelaki itu sedang tersengih
di sana.
Geram! Diane melepaskan tirai itu. Dia kembali semula ke
mejanya. Punggungnya dihempas ke kerusi. Ganggang telefon diangkat, lalu nombor
sambungan ke meja lelaki itu didailnya.
“Rauf...” sambut suara satu lelaki setelah talian
bersambung.
“You ni memang sengal, tahu tak! I rasa macam nak
renyuk-renyuk aja muka you ni,” ucap Diane serta merta. Namun Rauf ketawa.
“I love you too...” balas Rauf dengan bibir termuncung. Kemudian
dia menyeringai bahagia.
Diane menghela nafas panjang. Namun sudahnya dia tergelak
entah kenapa. Entah bahagian mana pula yang lucu. Semenjak dari bawah tadi
hatinya tercuit gelihati dengan gelagat Rauf mengenakan Tan Sri Fattah. Sungguh
berani.
“Rauf, you ni memang tak reti mengalah ya?”
“Tak. Selagi you bukan isteri orang, I tak akan mengalah.”
“You tahu... I masih ada teman lelaki, Rauf.”
“Tan Sri tu? I tak peduli. I tahu I lebih berkeyakinan
berbanding dia. I sanggup jadi kekasih gelap you,” ujar Rauf bersungguh. Sekurang-kurangnya
dia bukan lelaki yang menumpang harta isteri biarpun dia tidaklah sehebat
lelaki itu dalam soal kekayaan.
“Okaylah. Disebabkan kegigihan you mengurat I tak
habis-habis, I nak belanja you dinner malam ni,” ucap Diane lembut.
“Haa... macam tulah. Okay. Walau jauh di negeri China
sekalipun, I akan berusaha untuk datang demi you.”
Diane tergelak lagi. “You ni ada-ada ajalah! Tak ada
siapa nak ajak you dinner di negeri China pulak. You nak I ambil you atau you
nak datang sendiri?”
“Kalau you sudi datanglah jemput teruna pemalu ni. I
tunggu,” ujar Rauf lembut. Bicara itu membuatkan gadis itu tersenyum pula.
“Okaylah. I datang jemput. Jam 9 ya?”
“Okay, sayang. Eh! Bilik tu janganlah dikandang macam tu.
Bukalah sikit tirai tu. Barulah semangat I nak kerja kalau nampak buah hati I
ni.”
“Dahlah. Malas nak layan!” ucap Diane lantas meletakkan
ganggang. Namun kemudian dia bangun juga. Tirai yang bertutup itu dikembangkan
semula. Sekaligus dia terlihat lelaki itu sedang memandang ke arah kamarnya.
Rauf menunjukkan ibu jarinya. Diane sekadar tersenyum. “Pakwe
senget!” ucapnya seorang diri.
Baru hendak memulakan kerja, kedengaran suara Tan Sri Fattah
memanggil dia ke kamarnya. Diane menghela nafas panjang. Bosan!
“Diane, I panggil ni!” sekali lagi interkom berbunyi.
“Ya, tan sri. I datang sekarang,” jawab Diane mendatar. Pantas
dia bangkit dari duduknya untuk keluar. Sempat terpandangkan Camille,
setiausaha lelaki itu merenung kepadanya sebelum dia menolak pintu kamar CEO.
“Sayang... I nak bawa you pergi lunch hari ni,” ujar
lelaki itu lembut.
“Ada apa?” tanya Diane sekadar acuh tidak acuh.
“Ada hal penting yang I nak bincang.”
“Kalau pasal kita, I tak nak, Fattah. Cukuplah. I dah tak
berminat,” ujar Diane bersungguh.
“Beri peluang pada I sebelum you buat keputusan, Diane.”
“I dah beri peluang banyak kali tapi keadaan masih sama. Ini
bukan tentang isteri you tapi you! You yang paling bermasalah sekarang,” jawab
Diane tanpa nada mesra lagi.
Tan Sri Fattah menghela keluhan perlahan. “I tak boleh
terima keputusan you. I masih perlukan you, Diane. I tak main-main. Sayang,
maafkanlah kesilapan I. I tak ada niat nak abaikan you.”
“Whateverlah. I bosanlah bercakap tentang ini,” balas
Diane lantas berpaling semula. adakah lelaki itu fikir dia terasa hati kerana
Puan Sri Engku Ameenah? Sama sekali tidak! Apa pulak haknya untuk merasa
cemburu? Sebaliknya dia sakit hati apabila lelaki itu melarikan diri dari gosip
itu sedangkan dia terumbang ambing, terpaksa menguruskan semua itu.
Itukah tanda sayang? Atau dia sekadar dipergunakan atas
dasar hubungan cinta? Dia sudah tahu jawapannya. Dan dia sudah jemu
dipergunakan. Jadi, cukuplah mereka setakat ini sahaja.
yyeesss.. cukup2 sudah diane... abaikan org tua tu... rauf sedia menanti...
BalasPadamAdui..47 tahun kut..gatal nah org tua tu..cik author..handsome tak atau boroi ke TS Fattah? Hehehe..
BalasPadamElla, handsome sebagai orang tua. Biasalah... Segak orang berduit.
Padam