Sabtu, 13 Mei 2017

MAWAR BERDURI-BAB 3

BAB 3
“MANALAH anak awak ni pergi? Malu saya pada tetamu. Saya dah pesan banyak kali suruh dia balik, sudahnya dia tak balik. Call tak reti nak jawab!” bebel Puan Sri Nur Ain kepada suaminya malam itu.
“Tak ada rezeki keluarga Tengku Muzaffar tu nak jumpa dia. Biarlah... ada jodoh tak akan ke mana,” ujar Tan Sri Rafael biasa.
Puan Sri Nur Ain merengus. Tidak puas hati dengan jawapan suaminya. Dia tahu Rauf buat begini kerana mahu mengelak darinya. Kasihan melihat Tengku Marina terkebil-kebil begitu sahaja. Ingatkan hendak didekatkan Tengku Marina dengan Rauf. Tetapi anak bujangnya itu lebih pandai melarikan diri.
“Saya berkenan sangat dengan Marina tu. Baik budaknya. Elok paras rupa. Keluarga baik-baik. Perempuan macam mana lagi yang Rauf nak?”
“Jangan dipaksa kalau dia tak mahu, Ain. Susah kita nanti. Awak pun tahu Rauf tak sama macam anak-anak kita yang lain.”
“Dia dah berumur 30 tahun. Fir pun dah ada calon isteri. Awak tak risau ke tengok dia masih begitu?” bebel si ibu lagi.
“Berilah dia masa. Soal jodoh, janganlah kita terburu-buru. Aturan Tuhan tu dah cantik. Lebih baik dari apa yang kita rancangkan. Kalau tak jadi pun tak apa, Ain. Kita hanya cuba saja.” Tan Sri Rafael menjawab lembut.
Puan Sri Nur Ain diam pula. Terbayangkan wajah Tengku Marina. Kecewa. Gadis itu hanya tersenyum hambar saat bersalaman dengannya tadi. Macam sudah mengerti yang Rauf tidak inginkan dirinya.
“Balik dia nanti, siaplah. Saya gulai-gulaikan anak awak tu!” bebel Puan Sri Nur Ain lagi.
“Aik? Bila dia buat perangai yang awak tak suka, awak kata dia anak saya. Bila tengah sayang macam nak timang-timang, masa tulah awak kata dia tu anak awak. Ain... Ain...”
Tan Sri Rafael tersenyum sendiri. Bukannya dia tidak tahu. Rauf itu anak yang paling banyak diberi perhatian oleh isterinya. Rauf sedikit berbeza berbanding dua anak lelakinya yang lain. Suka ikut kepala sendiri. Suka berahsia. Suka menyendiri. Namun yang payahnya apabila anak lelakinya itu kerap dikawal oleh isterinya. Membuatkan Rauf kadang kala tersepit antara kehendak diri dan ibunya. Terlalu dikongkong menyebabkan Rauf mula kurang pulang ke rumah. Mungkin bosan. Dia mahu bebas.
“Sekurang-kurangnya cubalah kenal dulu dengan Marina tu. Apa salahnya?” rungut Puan Sri Nur Ain perlahan.
“Ain, tak ada salahnya jika dia mahu. Yang salahnya jika dia buat kerana kita yang paksa. Apa-apa hal nanti, kita yang akan disalahkan. Dia dah beri hint banyak kali yang dia tak mahu kita aturkan jodoh untuk dia. Janganlah terlalu mengongkong dia, Ain. Beri dia peluang untuk buat pilihan. Kita tak boleh samakan sikap dia dengan Firdaus atau Raid.” Tan Sri Rafael membalas tenang. Bukan kali pertama anak ketiganya itu buat perangai begini. Masuk kali ini sudah dua kali Rauf menolak apabila dibawakan calon isteri.
“Saya hanya nak yang terbaik untuk dia,” ujar Puan Sri Nur Ain rendah.
“Saya faham. Tapi tak semestinya pilihan dia sendiri itu tak baik. Siapa tahu semua tu, Ain.”
Puan Sri Nur Ain menghela nafas panjang. Kecewa benar dia kali ini dengan Rauf. Berkecai harapannya hendak bermenantukan Tengku Marina. Mungkin Tengku Marina pun tidak sudi lagi mahu tersorong-sorong jika tuan punya badan cakna tidak cakna saja.
Menjelang petang, barulah terlihat kelibat kereta Rauf memasuki ruangan porch rumah itu. sambil bersiul riang, Rauf menuju ke pintu rumah bersama sebungkus beg plastik.
“Assalamualaikum...” sapa Rauf kepada orang di dalam.
“Ha! Baru balik anak bertuah ni!”
Rauf menanggalkan kasut sambil menyengih. “Mama,” sapa Rauf lantas mendekati ibunya. Tangan dihulur kepada wanita itu namun tidak bersambut. Puan Sri Nur Ain merenung tampang Rauf dengan pandangan kelat. Geram benar melihat riak tidak bersalah di wajah anaknya itu.
“Pergi mana baru balik? Kan mama cakap hari Jumaat mesti balik sini?”
Wajah Rauf berubah. “Ya ke? Alah... Rauf lupalah, ma. Ni Rauf bawakan ikan.”
“Nak buat apa ikan? Jangan nak tukar topik. Mama dah cakap, hari ni Tengku Muzaffar datang makan tengahari di sini. Rauf ke mana? Mama call tak dapat!”
Rauf pegun seketika di hadapan ibunya dengan mata terbuntang.
“Err... Rauf pergi tangkap ikanlah, ma. Ni ikan banyak ni. Ambiklah. Rauf hadiahkan kat mama ni. Penat Rauf jadi penunggu kat kelong tu tau. Mama tak hargai pun.” Sekali lagi Rauf menghulurkan plastik ikan itu.
“Bertuah punya anak! Pergi memancing tak habis-habis macamlah kat rumah ni tak ada ikan.”
“Ma, Rauf lupa. Kat kelong tak ada line. Sebab tu mama call tak dapat,” jawab Rauf rendah.
Puan Sri Nur Ain mendengus. Sudahnya plastik ikan itu diambil dari anaknya. Sempat dijengah di dalam. Ada beberapa ekor ikan pari.
“Nasib baik ikan pari. Kalau ikan kembung besar ibu jari lagi, mama bagi kucing aja.” Puan Sri Nur Ain merengus sambil menjeling anaknya itu. Rauf tersengih sambil memandang ibunya berlalu. Sebelum ini dia pernah mengikut kawan-kawan kaki memancing ke kelong. Dua tiga hari berada di kelong, dia hanya membawa pulang ikan kecil saja.
Di dapur Puan Sri Nur Ain memberikan ikan itu kepada Sutinah.
“Tinah, bersihkan ikan ni. Esok boleh masak. Rauf yang tangkap ni tau.” Ada berbau kebanggaan dalam nada wanita itu.
“Baik, puan sri.” Sutinah menjengah ke dalam plastik itu. Setelah wanita itu berlalu, ikan itu dilambaknya di dalam sinki. Namun ada sehelai kertas kecil terjatuh. Sutinah mengutip kertas yang sudah basah itu.
“32 ringgit? Dia beli ke dia tangkap?” ucap Sutinah seorang diri. Namun kertas itu segera dibuangnya ke dalam tong sampah. Ikan-ikan itu dibersihkan lalu disimpan di dalam tempat pembeku. Kemudian dia membancuhkan air buat anak tuan rumah itu.
“Minum, Rauf. Pasti capek seharian memancing di kelong, kan...” pelawa Sutinah sambil meletakkan jus oren di atas meja di tepi sofa itu.
“Terima kasih, bik.” Rauf tersenyum kepada wanita itu.
“Pandai sekali kamu memancing ikan ya, Rauf? Ikan pari, ikan kesukaan ibu kamu yang kamu bawak pulang,” ucap Sutinah sambil merenung anak muda itu meneguk air.
“Banyak ikan pari kat laut tu, bik.” Rauf menjawab sebelum sambung meneguk air.
“Iya? Kamu sudah pandai memancing sekarang. Beberapa kali kamu ke kelong sama teman-teman kamu, alah... ikan kecil saja kamu bawa pulang. Sempat ditertawakan sama kakak-kakak kamu. Tapi kalau di pasar... iya, mudah saja dapat sebegitu banyaknya. Bayar saja uangnya 32 ringgit. Selesai masalah,” perli Sutinah. Spontan tersembur air dari dalam mulut Rauf.
“A... apa, bik???” Rauf terbatuk-batuk lagi.
“Waduh... kok terkejut benar kamu ya? Kamu menipu mama kamu ya? Pergi memancing di kelong konon. Sebenarnya kamu sengaja tidak mahu pulang, kan?” ujar Sutinah sambil mencapai tisu lalu dihulurkan kepada Rauf.
 “Shhttt... shhttt... bik, diamlah! Kantoi nanti! Jangan cakap dengan mama, bik. Mati Rauf kena marah nanti!” Rauf meletakkan jari di bibirnya. Tidak tentu arah dia. Takut mamanya dapat tahu tentang itu.
“Ada-ada saja kamu ni. Bikin ribut mama kamu saja!” getus Sutinah lalu segera membawa diri ke dapur.
Rauf mendengus pula. “Cis! Macam mana pulak boleh kantoi harga ikan tu???” ucap Rauf seorang diri.
Sebetulnya dia tidaklah jadi penunggu dengan joran di kelong seperti yang diperkatakannya. Dia sibuk jadi penunggu di resort milik keluarganya. Ada seseorang yang diintainya di situ tanpa jemu semenjak hari Jumaat lalu.

TIBA ketika waktu pejabat sudah hampir benar. Namun ketika dia sibuk memuatkan kunci kereta di dalam bag tangan, Diane menoleh ke arah sebuah kereta yang dilintasinya. Kemudian dia berundur semula untuk melihat nombor pendaftaran kereta itu.
RZR 201
Dan di bawahnya tertera tulisan Crystal Palace Auto Sdn Bhd.
Kening Diane berkerut sedikit. Nombor pendaftaran dan Audi TTS berwarna merah itu membuatkan dia mudah mengecam, kereta ini pernah dilihatnya beberapa kali sebelum ini ketika dia berada di PD Resort.
Diane segera mendekati kereta itu. Sekadar mahu mengenali siapa pemilik kereta itu. Namun ketika dia menjengah di kerusi penumpang sebelah pemandu, dia terpandangkan satu kad seperti ID bergambar dari syarikat lain. Tidak jelas nama pada kad itu. Tetapi dia masih dapat melihat dengan jelas gambar pada ID itu. Diane terpaku lama.
Sekali lagi dia mendekati nombor pendaftaran kereta. RZR 201... Diane diam seketika. Namun kemudian dia bergerak meninggalkan kereta itu untuk masuk ke lobi.
“You tahu siapa punya kereta tu?” tanya Diane kepada pengawal keselamatan. Sempat jarinya ditunding ke arah Audi merah menawan itu.
“Tak perasan, cik. Jarang nampak kereta tu di sini.”
“Okaylah.” Diane senyum sedikit kepada pekerja itu sebelum meninggalkan ruangan lobi.
Namun sebaik sahaja tiba di atas, dia terus terlupakan kisah Audi merah itu. Teringat yang pass pekerjanya tiada bersamanya. Mencelah melalui pass pekerja lain, Diane terus singgah di meja Rauf untuk mendapatkan miliknya semula.
“Hai, Encik Rauf.”
Rauf menoleh serta merta. Terkejut dirinya disapa Diane. Cepat-cepat dia bangun. “Err... ya.”
“ID I ada dengan siapa?”
“Ni ha. I lupa nak beri pada Amy.” Rauf lekas-lekas mengambil kad di atas mejanya itu lalu diberikan kepada Diane.
“You kena record thumb print lagi sekali,” ujar Rauf lantas tersenyum sedikit.
“Thank’s a lot,” ujar Diane sambil memandang ke arah lelaki itu semula. sempat terpandangkan nama di pass pekerja Rauf.  Dia terbacakan nama M. Rauf Zuhayr.
“Mr. Zuhayr...” ucap Diane dengan pandangan aneh.
Rauf terpaku begitu sahaja buat seketika. Mulutnya terbuka seperti mahu berkata sesuatu. Namun tidak terluah. Sudahnya Diane berundur sedikit. Kekok mahu berada di hadapan lelaki itu tanpa apa-apa perbualan.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, I pergi dulu,” ujar Diane lembut.
“Err... ya. Pergilah cepat. Maksud I... selamat kembali bekerja, Cik Diane.”
“Okay.” Diane tergelak sedikit sebelum dia menggeleng sedikit. Lucu melihat gelagat menggelabah Rauf.
“Err... tapi apa kata you belanja I dinner sebagai tanda terima kasih?” ucap Rauf sebelum wanita itu menjauh. Diane menoleh semula dengan kerutan di kening. Rauf menjongket bahu sedikit. Terpaksa menebalkan muka demi mendapatkan apa yang dia mahu.
“High tea pun boleh,” ucap Rauf lagi.
“Maybe next time, Encik Rauf.” Diane menjawab lembut.
Rauf terduduk semula di kerusinya sambil mendengus. Kesal dengan dirinya yang gugup tidak tentu pasal. Paling menggeramkannya apabila terdengar ada orang di sebelah ketawa. Rauf lekas menoleh.
“Percubaan yang berani. Gagal sekali tak semestinya gagal selamanya. Tak apa. Cuba lagi dengan skill lain,” ucap Yuszar perlahan lantas menyambung tawa.
Geram punya pasal. Lelaki itu dibalingnya dengan pena. Yuszar hanya menunduk buat tidak tahu dengan balingan itu.
Rusuh jiwa! Sepanjang hari ini dia lihat kamar Diane hanya bertutup tirai. Agak sukar memandang gadis itu membuat kerja. Selalunya kalau bertutup begitu, bermakna moodnya tidak baik. Rauf menghela nafas kehampaan. Mungkin Diane begitu kerana kekasihnya masih tiada di pejabat. Tan Sri Fattah masih berada di luar negara.
Sementara di dalam kamar itu Diane masih setia menanti berita dari seseorang tentang maklumat yang dicarinya. Semakin lama detik berlalu, semakin dia tidak sabar. Namun sebaik sahaja telefon di atas mejanya berbunyi, dia segera mengangkat.
“Dapat tak?”
“Dapat...” ucap suara di hujung talian.
“Beritahu I apa yang I nak tahu,” ucap Diane mula cerah wajahnya oleh kegembiraan.
“Crystal Palace Group Establish by Tan Sri Muhammad Ariff Buhler in 1990. Crystal Palace Auto adalah anak syarikatnya. Managing Director Crystal Palace Group sekarang ini adalah Datuk Seri Mikhael Buhler, anak kedua kepada Tan Sri Muhammad Ariff, suami kepada Datin Paduka Engku Fatimah. Dan lelaki yang you tanyakan tadi... dia adalah anak ketiga kepada Tan Sri Rafael, anak pertama kepada Tan Sri Muhammad Ariff Buhler.”
“Really?” Diane menolak kerusinya rapat ke dinding. Bilah tirai ditarik ke bawah sedikit. Matanya dapat mengintai meja Rauf. Namun orangnya tidak kelihatan. Sedang terlindung di sebalik partition meja itu.
“Ada lagi kalau you nak tahu...”
“Apa dia?” Diane kembali menolak kerusinya ke meja.
“Royal Swiss Hotel, Royal Buhler... itu semua di bawah kuasa mereka. Keluarga ni bukan sembarangan orang. Mereka orang berkedudukan.”
Diane terdiam. Pandangan dihadap ke permukaan meja sambil memicit dahinya.
“Kenapa you nak tahu tentang semua ni, Diane?”
“Tak ada apa-apa. Saja nak tahu. Thank’s a lot for your help, Vivian.”
“Most welcome, dear.” Dan talian dimatikan oleh orang di sana.
Selesai itu, Diane mencapai beg tangannya. Kad yang masih tersimpan di dalam beg itu segera diambilnya. Kemudian dia keluar dari kamarnya untuk mendapatkan Rauf di mejanya.
“Hai...” sapa Diane sambil berdiri di sebalik partition itu. Rauf mendongak. Terkejut.
“Hai... anything?” soal Rauf lantas menegakkan tubuhnya. Diane tersenyum sedikit sambil berkalih untuk berada di sebelah kerusi Rauf. Dia terpandangkan satu memo pad terlekat pada tepi skrin komputer itu. Helaian itu dicabutnya serta merta. Tulisan pada helaian kertas itu dipandang seketika. Rauf tercengang melihat perbuatan gadis itu.
“Explain please...” ucap Diane lantas meletakkan kad yang disorokkan tadi bersama helaian memo pad itu di atas meja Rauf.
Rauf kaget melihat kad itu semula. Tulisan di atas helaian memo pad itu adalah bukti terbesar yang dia adalah pengirim kad itu.
“RZR 201 kereta you ya? You ada di PD. I nampak kereta you di bawah. Dan I perasan dua hari di sana, kereta tu juga ada di sana. Tak berganjak di tempat yang sama. Kebetulan ke?” ucap Diane.
“Kita bercakap di luar, boleh?” ucap Rauf perlahan sambil menunding ke arah pintu.
“Okay.” Diane segera mengambil kad itu semula. Kemudian dia berdiri di hadapan pintu utama. Menunggu lelaki itu membuka pintu. Sebaik sahaja Rauf mengimbas kad pekerjanya, Diane segera menolak pintu. Dia berjalan ke arah tangga kecemasan. Tidak mahu pekerja lain melihat kelibatnya dengan Rauf.
Namun setelah berada di dalam kawasan tangga, Rauf terkeruk-keruk pula. Tidak tahu apa yang hendak dijelaskan biarpun gadis itu sedang bersandar di dinding, berpeluk tubuh memandang kepadanya. Setia menanti penjelasannya.
“You buat apa sebenarnya ni, Encik Rauf?” tanya Diane akhirnya.
“Err... I sedang cuba mengurat you.” Tidak tahu apa hendak dijawabnya, sudahnya dia menjawab jujur sahaja. Lintang pukang ayat yang hendak diluahkan. Serba tidak kena susunan katanya membuatkan dia kelu.
Diane ternganga sedikit. “Mengurat?”
“You know, bila kita suka seseorang... kita akan cuba tarik perhatian dia.”
“Ya. I tahu apa yang you maksudkan. Cuma I hairan, you tahu I siapa, kan?” ujar Diane dengan kerutan di kening.
“Tahu. You Diane Rose...”
“You sebabkan pekerja hotel panggil I dengan nama McLachlan. I tak suka begitu.”
Rauf berdiri tegak beberapa ela dari Diane sambil memandang gadis itu. Dia tahu apa yang dimaksudkan Diane. Memanggil dengan nama keluarga sebelah ibu memaksudkan seseorang itu tiada ayah, atau anak haram.
“I tak bermaksud macam tu. I minta maaf.”
“I cuma tak mahu buang masa dengan sesuatu yang tak baik untuk you. I tahu you siapa, Encik Rauf.” Diane bersuara lagi. Kali ini nadanya jelas sedang serius.
“Kenapa dengan lelaki tu? I lebih baik berbanding dia!”
“Siapa yang you maksudkan? Tan Sri Fattah?”
“Ya.”
“Selain daripada you anak orang kaya, apa yang you lebih dari dia?”
“I masih muda. I lagi macho. Lagi banyak tenaga.”
Spontan Diane tergelak mendengar jawapan Rauf.
“Eh! Jangan salah faham. Maksud I...”
“It’s okay... tak payah jelaskan. You ni luculah, Encik Rauf. Serius ke you mengurat perempuan yang sudah berusia 31 tahun dengan kata-kata macam ni?” ujar Diane lantas tergelak lagi.
“Yalah... Ni baru starting. You asyik gelak aja. Susah I nak bercakap dengan serius,” ujar Rauf bersungguh.
“Bila masa I gelak. Ni baru I gelak bila I dengar you kata you banyak tenaga tu semua. I macam faham apa yang ada dalam fikiran you sebenarnya.”
“Eh! Jangan salah faham. I tak maksudkan yang kotor-kotor tu semua... maksud I...”
“I bayangkan you lebih bagus dalam hal memikat perempuan, Encik Rauf. Langsung tak ada kena mengena tentang hal di dalam bilik tidur. You dah beritahu I apa sebenarnya yang sampaikan tadi.”
Rauf terkedu dengan mata terbuntang sedikit. Bibirnya bergerak sedikit seperti mahu mengatakan sesuatu. Tetapi dia sedar, dia sudah terperangkap dengan kata-kata sendiri. Diane mengangkat kening sedikit.
“Itu sebenarnya maksud you tadi, kan?” ucap Diane lembut.
“Err... ya.” akui Rauf akhirnya.
“Well done, Encik Rauf. Good for you dan juga... bakal isteri you nanti. Tak ada perempuan yang nak lelaki yang lembik atas katil,” ucap Diane selamba lantas kembali berjalan ke arah pintu. Namun sebelum menarik pintu itu semula, dia kembali memandang Rauf.
“Maaf, coklat tu I dan Amy dah tibai sampai tinggal sampah saja. Tentang kita berdua... anggap saja kita ni bermimpi. I tak mahu you kecewa nanti bila tahu I ni tak secantik yang dipandang, Encik Rauf. Terima kasih atas perhatian you. Tolong berhenti buat begini.”

Rauf terpaku. Riak wajahnya berubah sedikit mendengar bicara Diane tadi. Apa maksud Diane? Dia kena reject ke apa? Sampai hati perempuan itu menolak hasrat hatinya setelah menghabiskan coklat pemberiannya. Sungguh kejam!

2 ulasan:

  1. As long as she's not materialistic Im okay. Dianne pun segan agaknya atau rasa rendah hati.

    BalasPadam