Ahad, 21 Mei 2017

MAWAR BERDURI-BAB 18

BAB 18
 PULANG ke rumah mencari isterinya. Rauf menemukan Diane sedang termenung di birai katil. Diane segera bangun sebaik sahaja terlihat lelaki itu. Meluru. Mengharapkan lelaki itu akan mendakapnya.
“Sayang...” Rauf memeluk erat isterinya.
“I takut... I takut you tak akan balik jumpa I lagi. Jangan tinggalkan I. I tak mampu hidup tanpa you. I dah tak ada sesiapa lagi selain you,” ucap Diane perlahan.
“Kenapa cakap macam ni? Takkanlah I nak tinggalkan you?” ujar Rauf bersungguh. Terasa begitu erat pelukan isterinya. Tiba-tiba hatinya sayu. Dia tahu betapa besarnya harapan yang disandarkan oleh wanita ini sebagai pelindung.
“I tak pergi mana-mana. I ada dengan you ni,” pujuk Rauf lagi. Pelukan dileraikan. Wajah isterinya diraih. Kedua-dua belah pipi wanita kesayangannya itu dikucup lembut.
“Soal keluarga I, you jangan bimbang. Biar I yang selesaikan. Diane, semua orang akan hadapi cabaran dalam hidup. Tak ketinggalan kita. I tak akan mengalah, sayang. Percayalah. I tetap sayangkan you.”
Terharu. Dia tahu lelaki ini bersungguh menyayanginya.
“Kakak you tak sukakan I.”
“Biarkan dia. Ini hidup kita. Kita yang tentukan hidup kita,” balas Rauf lembut. Isterinya ditarik ke birai katil. Mereka duduk saling berhadapan.
“I dan Marina dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Tapi semua tu ada bayarannya. I dah agak ini akan berlaku selepas apa yang I lakukan kepada Marina. I dah bersedia, Diane. Keluarga I dah tahu tentang kita. Tapi jangan risau... I tak pernah terfikir nak sisihkan you demi mama. Dua-dua pun penting dalam hidup I. Cuma, I minta you bersabar dengan segala macam kesakitan yang kita kena tanggung. Sebagai anak menantu, I mahu kita yang mengalah untuk ambil hati mama. Selagi I ada... you jangan takut. I tak akan biarkan sesiapa sakitkan you.”
Diane segera mengangguk. Namun kemudian lelaki itu dipeluknya lagi. Agar keresahan hatinya ini segera pergi.
“Apa pun yang berlaku... you tetap isteri yang I sayang. Ingat tu selalu,” bisik sang lelaki sambil mengusap rambut isterinya.
“I sedih... you dan mama you bersengketa sebab I. I tahu I hanya orang kebanyakan. I tak setanding Tengku Marina. Tapi I akan cuba jadi menantu yang baik kalau mama you sudi beri I peluang,” ujar Diane rendah. Terngiang-ngiang lagi bicara kakak iparnya itu. Nadanya cukup jelas bencikan dia. Mungkin kerana kisah lalunya bersama Tan Sri Fattah. Mungkin juga kerana dia hanya orang kebanyakan. Tidak setaraf dengan keluarga Rauf.
“Insya-Allah... suatu hari nanti mama akan terima you juga. Kita jangan putus asa, sayang. Allah ada bersama orang yang sabar. Jangan ambil hati dengan kata-kata Kak Manda tu ya?” pujuk Rauf lembut.
Diane membisu. Sungguh terkesan hatinya ini. Dihina oleh orang lain, mungkin tiada apa-apa baginya. Tetapi dibenci dan dihina oleh ahli keluarga suami sendiri... sakitnya begitu dalam.
“You dah makan ke ni, sayang?”
Diane menggeleng pula. Sepanjang hari ini hatinya resah. Manalah dia mampu makan.
“Kita pergi makan ya? I tak suka macam ni. Hidup biar bermasalah macam mana pun, kita perlu layan diri kita sebaik-baiknya.” Rauf terus bangun sambil menarik tangan isterinya. Lebih dari itu dia mahu membawa isteri keluar dari rumah. Agar dapat mereka lupakan segala masalah itu seketika.
Membawa isterinya ke dada kota. Melihat-lihat gelagat orang. Singgah seketika di Crystal Palace Plaza.
“Nak singgah?” tanya Rauf saat mereka melintasi butik barangan wanita.
“Tak payahlah...” Diane menggeleng perlahan. Bukan calang-calang butik yang diajak singgah oleh suaminya. Prada!
“Jomlah,” ajak Rauf lantas menarik tangan isterinya. Biarpun dia tidak begitu gemar berada di situ. Hari ini dia rela menahan dirinya demi melihat isterinya gembira.
“Mahal. Habis duit you nanti.”
“Tak apa. Bukan selalu,” balas Rauf bersungguh.
Tidak ramai orang di butik itu pada ketika itu. Namun kemudian datang sepasang kekasih ke situ. Perhatian Rauf mula tergugah. Tidak lagi kepada isterinya. Dia sibuk memerhatikan merpati dua sejoli itu.
“Ni okay tak?” tanya Diane.
“Ha?” Rauf menoleh kepada isterinya.
“Tunggu sekejap, sayang. I rasa macam kenal tu. Sekejap ya?”
Diane sekadar mengangguk sambil memandang suaminya mendekati sepasang kekasih yang sedang memilih di bahagian lain.
“Tunku Iskandar...”
Lelaki muda itu segera menoleh. Matanya membesar serta merta.
“Rauf, right?” balasnya.
“Yup.”
“Oh My God... last jumpa waktu di London dulu. Ingat lagi ya? How are you, bro?” lelaki itu segera menghulur tangan untuk berjabat. Kemudian tubuh Rauf dipeluknya erat.
Good enough. Apa pulak tak ingat. Tak sangka jumpa di sini. Wife ke ni?” tanya Rauf lantas memandang perempuan cantik di sisi Tunku Iskandar Jeffry itu.
“Ada pulak wife. Ini Tunku Najihah. Adik I,” ucap Tunku Iskandar sambil ketawa kecil. Tunku Najihah hanya tersenyum kepada Rauf.
“You dengan siapa?” tanya Tunku Iskandar ceria.
“My wife...” Rauf menoleh ke arah isterinya. Namun Diane sudah tiada di situ.
“Alah... mana pulak dia pergi.”
“Eh! Bagi nombor.” Tunku Iskandar menepuk bahu Rauf membuatkan pandangan Rauf kembali terhala kepada lelaki itu.
Sempat dua lelaki itu bertukar-tukar nombor. Kemudian berbual kosong seketika. Sekadar bertukar-tukar perkembangan terkini.
“I terpaksa pergi dulu ni. tadi dah janji dengan my wife,” ujar Rauf. sudah agak lama dia bersembang dengan lelaki itu.
“Okay. Jumpa lagi.”
Rauf mengangkat tangan sebelum pergi mencari isterinya. Dilihatnya Diane masih ralit membelek beg tangan.
“Siapa tu?” tanya Diane setelah lelaki itu tiba di sisinya semula.
“Seseorang yang I pernah jumpa ketika di London dulu. Dia tu anak kepada Tunku Imran.”
“Siapa Tunku Imran?” Diane menoleh semula kepada suaminya.
“Lah... Yang Amat Mulia Tunku Imranuddin you tak kenal?” Rauf ketawa kecil.
“Tak kenal. Kerabat sebelah mak cik you tu ke?” tanya Diane biasa.
“Bukan, sayang. Tak ada kena mengena pun. Malaysia ni kan ada ramai sultan. Dia tu anak kepada sultan. Baru aja ditabalkan jadi putera mahkota. Anak lelaki seorang,” ucap Rauf lembut.
“Oh...” Diane hanya mengangguk. Tidak begitu ambil tahu tentang kerabat diraja itu semua. Bukan sebahagian dari kehidupannya.
“Dah pilih ke?” tanya Rauf.
“Nak yang ni?” balas Diane lantas menunjuk beg tangan itu.
“Boleh.”

Ketika mereka membuat pembayaran, kelibat dua beradik tadi sudah tiada. Rauf terus menarik tangan isterinya ke butik lain. Sambung membeli belah. Hanya ingin masa ini dihabiskan berdua tanpa gangguan orang lain.

2 ulasan: