BAB
17
PERTEMUAN semula dua keluarga. Namun kali ini bukanlah untuk
membincangkan tentang majlis perkahwinan Rauf dan Tengku Marina yang dijangka
bakal berlangsung dua bulan lagi. Sebaliknya pemulangan cincin dari pihak
perempuan.
“Kita ni hanya merancang. Tapi Tuhan yang menentukan.
Seandainya keputusan dari pihak saya ini mengguriskan hati mana-mana orang...
saya mohon maaf banyak-banyak,” ujar Tengku Muzaffar perlahan.
Tan Sri Rafael hanya tenang mendengar itu.
“Sebab musababnya, rasanya tak perlulah kita ceritakan di
sini. Sebaiknya kita masing-masing tanya pada anak-anak kita apa masalah
mereka. Saya tak salahkan mana-mana pihak. Semua ni ada hikmahnya. Sebagai
ayah, sudah tentu saya mahu yang terbaik buat puteri bongsu saya. Dan Marina
juga terima keputusan saya. Soal jodoh ni... kita paksa macam mana pun, kalau tak
jadi maka tak jadilah. Cuma harapan saya, janganlah kerana hal ini... kita
sekeluarga terputus silaturrahim,” ujar Tengku Muzaffar lembut.
Tan Sri Rafael mengangguk setuju. Puan Sri Nur Ain tunduk
menahan rasa hampa dan terkilan. Sebaliknya Rauf hanya tenang mendengar itu.
“Saya reda dengan ketentuan. Soal jodoh bukan kuasa kita
yang menentukan.”
Namun usai pertemuan dua keluarga itu, Tengku Muzaffar
meminta untuk bercakap dengan Rauf. Berdebar dada anak muda itu.
“Marina ada bercakap dengan uncle tentang perangai kamu.
Sesuatu yang uncle susah nak hadam.”
Rauf hanya tunduk mendengar bicara lelaki tua itu.
“Kamu mahu Marina yang memutuskan pertunangan ini.
Kenapa?” tanya Tengku Muzaffar. Nadanya cukup tenang biarpun keluarganya
dipalitkan kisah luka ini.
“Saya boleh putuskan. Tetapi saya tak mahu dia menanggung
rasa terhina sekiranya saya yang memutuskan. Sedangkan ini bukan salah dia,”
jawab Rauf perlahan.
Tengku Muzaffar terdiam merenung anak muda itu. Sudah
diagaknya. Namun jawapan Rauf cukup-cukup melegakan hatinya.
“Kamu tak berterus terang yang kamu tak ada hati pada
Marina selama ini?”
Rauf menghela nafas perlahan. Hanya tinggal belum
dijeritkan kepada dunia ini yang dia tidak ingin mengahwini Tengku Marina.
Selebihnya sudah berkali-kali dia meminta keluarganya mempertimbangkan semula
keputusan agar tidak meneruskan ikatan pertunangan ini. Tetapi suaranya tidak
ingin didengari.
“Uncle, saya minta maaf. Saya tahu perbuatan saya
memalukan kedua-dua belah keluarga.”
“Keluarga kamu tahu yang kamu tidak mencintai Marina?”
Perlahan Rauf mengangguk. Tengku Muzaffar tersandar
mendengar bicara anak muda itu.
“Kamu dipaksa?”
Sekali lagi Rauf mengangguk.
“Jadi cerita Marina tentang perangai kaki perempuan kamu
itu benar atau tidak? Atau kamu buat begitu supaya Marina berhenti berharap
kepada kamu?”
Rauf mengangkat pandangan kepada lelaki itu.
“Saya nikahi seorang perempuan sebelum saya dipaksa
bertunang dengan Marina. Saya terpaksa buat begitu. Mama tak terima wanita
pilihan saya.”
“Siapa yang paksa kamu terima Marina?”
“Mama...” ucap Rauf perlahan.
“Marina tahu semenjak awal lagi yang kamu tidak sukakan
dia?”
“Tahu.”
Tengku Muzaffar menggeleng sedikit. Sudah diagaknya. Dan
sudah tentu isterinya juga itu ikut bersekongkol sama bagi menunaikan kehendak
puteri bongsunya itu. Bukannya dia tidak tahu isterinya dan Puan Sri Nur Ain
itu memang akrab selama ini.
“Kamu sepatutnya beritahu uncle semenjak awal lagi,” ucap
Tengku Muzaffar.
“Saya terpaksa. Kalau saya tidak menurut, saya akan
dibuang keluarga. Apa pilihan yang saya ada?” balas Rauf rendah.
“Astaghfirullah... mengapa perlu sampai begitu?” ucap
Tengku Muzaffar kesal.
“Keadaan ni tak sama seperti Amanda dan Nasimuddin. Uncle
tak pernah paksa Nas menikahi kakak kamu. Sebaliknya Nas sendiri juga sukakan
Amanda. Uncle tak pernah membayangkan keadaan sehingga begini sekali. Ini bukan
yang uncle mahukan. Macam mana uncle mampu membiarkan kamu menikahi Marina
sedangkan hati kamu ada pada orang lain?” ujar Tengku Muzaffar lembut. Sudah
tentu dia tidak ingin membiarkan anaknya menikahi seorang lelaki yang tidak
cinta kepadanya. Apatah lagi lelaki itu sudah pun menikahi wanita lain.
“Saya minta maaf banyak-banyak, uncle. Saya tak sampai
hati. Saya tahu Marina sayangkan saya. Tapi saya tahu saya tak mampu jadi suami
yang baik untuk dia.”
“Uncle nak marah kamu, Rauf. Dah tentu uncle marah kamu
melukai hati Marina. Tapi dalam soal perasaan, uncle tak boleh komen banyak. Itu
bukan hak kami. Tak mungkin uncle mampu paksa kamu menyayangi Marina. Jauhkan
diri kamu dari Marina agar mudah untuk dia lupakan semua ini.”
Rauf mengangguk akur kepada permintaan lelaki itu. Tengku
Muzaffar menepuk bahu anak muda itu lembut.
“Teruskan hidup kamu. Uncle tak mahu kerana hal ini ada
antara kita yang bermusuhan. Itu tak bagus,” ucap Tengku Muzaffar bersungguh.
Rauf mengangguk. “Terima kasih banyak atas pengertian
uncle. Saya sangat hargai,” ujar Rauf perlahan.
“Putus tunang, putus cinta itu lumrah dunia. Dunia masih
belum kiamat,” balas lelaki tua itu bersungguh.
Sungguh hatinya kian tenang dengan keputusan dari Tengku
Muzaffar. Hanya dia berharap keadaan Tengku Marina baik-baik saja kemudian
nanti. Lebih dari itu dia berharap akan ada seorang lelaki yang akan hadir
merawat luka di hati gadis itu.
Namun setelah keluarga Tengku Muzaffar berlalu, Puan Sri
Nur Ain bingkas bangun sebaik sahaja terlihat Rauf masuk semula ke dalam rumah.
“Mama...” panggil Rauf. Namun panggilan itu tidak
dipedulikan oleh wanita itu. Rauf segera mengekori ibunya.
“Mama, maafkan Rauf. Rauf terpaksa buat begini demi
kebaikan Marina.”
“Kebaikan Marina atau betina tu???” jerkah Puan Sri Nur
Ain serta merta naik hantu.
“Kau fikir mama kau ni nak terima perempuan tu lepas
Marina putuskan hubungan dengan kau... fikir sekali lagi. Jangan bermimpi di
siang hari! Kalau bukan disebabkan dia, keadaan tak akan jadi begini. Muka tak
malu punya persempuan! Orang dah tak sudi, masih nak menghimpit anak teruna
orang!” ucap Puan Sri Nur Ain meninggi.
“Rauf sayangkan dia, ma. Biarlah buruk pada pandangan
orang, Rauf tetap sayangkan dia. Mama, dia tak sempurna sebagai seorang yang
berdarjat tinggi. Memang Diane tak sehebat Tengku Marina. Tapi dia tetap
perempuan yang baik untuk Rauf, ma. Tolonglah jangan buang Rauf dari hidup mama
semata-mata kerana Rauf sayangkan dia.”
“Jangan kau tunjuk muka depan mama selagi nama perempuan
tu bermain di bibir kau, Rauf. Begini sekali keaiban yang perlu diterima oleh
keluarga ni demi kerana cinta kau pada dia, maka pergilah pada dia. Tapi jangan
balik lagi pada mama kau ni.”
“Ain!” tegah Tan Sri Rafael meninggi. Terkejut mendengar
bicara isterinya itu kepada anaknya.
“Ini anak yang awak lahirkan 30 tahun dulu. Awak sayang
dia melebihi dari anak-anak awak yang lain. Hari ni awak buang dia semata-mata
kerana dia tak mampu ikut kehendak awak! Di mana nilai kasih sayang seorang ibu jika semudah itu awak semudah itu memberi hukuman begini pada dia???”
“Dia anak yang paling saya harapkan. Tapi dia juga yang
paling banyak menghancurkan hati saya!”
“Jadi ambillah nyawa dia sekarang supaya dia tidak perlu
hidup tanpa keredaan awak!” jerkah Tan Sri Rafael kepada isterinya.
Puan Sri Nur Ain sekadar menggeleng sebelum dia berpaling
semula untuk naik ke atas.
“Mama...” Rauf cuba mengejar lagi.
“Rauf...” panggil Tan Sri Rafael dari hujung tangga. Anak
muda itu memandang ayahnya semula. Sang ayah berdiri memandang kepada anak
lelakinya itu dengan pandangan sayu.
“Mama tak mahu maafkan Rauf.”
“Biarkan mama sejuk dulu,” ucap sang ayah perlahan. Susah
hatinya dengan keadaan keluarganya ini. Sang anak tersepit antara kehendak diri
dan ibu. Si ibu pula tetap berkeras dengan keinginannya.
“Rauf tak ada niat nak lukai hati mama. Rauf hanya...”
“Rauf...” pintas sang ayah lembut. Bahu anaknya itu
dipegangnya. Anak itu seperti sudah mula hilang arah.
“Jangan putus asa. Beri mama masa. Papa akan pujuk mama
nanti. Bersabarlah, nak. Ini dugaan untuk keluarga kita,” ucap lelaki tua itu
tenang.
“Rauf tak mahu jadi anak derhaka, pa. Rauf pun sayangkan
mama.”
“Papa tahu, nak. Sabar... sabar.” Anak muda itu terus
dipeluk oleh ayahnya. Rauf hanya terkebil-kebil. Bicara ibunya tadi bagaikan
satu hentaman kuat kepada dirinya. Tiba-tiba fikirannya jadi kosong. Tiadalah
erti hidupnya ini tanpa keredaan ibunya. Bayangan isterinya hadir lagi.
Membuatkan hatinya kian merana.
“Papa akan pujuk mama,” ucap Tan Sri Rafael bersungguh.
Rauf terduduk di sofa sambil memegang kepalanya. Sungguh
dirinya terasa begitu rendah nilainya. Sebagai anak, dialah anak yang tidak
mampu membahagiakan hati ibunya. Dialah anak yang tidak berguna itu!
RESAH bersendirian di rumah. Hatinya dapat meneka ada sesuatu
yang tidak elok berlaku di rumah keluarga Rauf. Semenjak pagi tadi Rauf tidak
ada memanggil atau memberi mesej kepadanya.
Duduk tidak kena. Berdiri pun tidak kena. Sudahnya Diane
mencapai kunci kereta lalu keluar dari rumah. Kereta dipandu ke rumah keluarga
mentuanya. Namun setiba di sana, Diane kaku di dalam kereta. Dia lihat kereta
Rauf ada di hadapan rumah itu. terkumpal-kumpal di dalam kereta, tidak tahu apa
yang perlu dibuat.
Tok! Tok! Diane menoleh pantas ke arah cermin di
sebelahnya. Berderau darahnya melihat kakak iparnya sedang berdiri di sebelah
sana. Seorang lelaki turut ada di belakang Amanda. Mahu tidak mahu dia menurunkan
cermin.
“You buat apa di sini?” tanya Amanda sebaik sahaja cermin
diturunkan.
“Err... I cari Rauf,” jawab Diane perlahan.
“Diane, you ni masih tak reti bahasa ya? Keluarga kami
sedang berpecah belah disebabkan you! Adik I baru saja putus tunang. Mama I
mengamuk dalam sana. You dengan muka tak malu datang cari Rauf di sini!” jerkah
Amanda terus naik hantu.
Diane terdiam. Tidak mampu menjawab apa-apa. hilang
semangatnya entah ke mana.
“Why don’t you go
and get a life, lady! Jangan ganggu adik I lagi. Tak boleh ke you lupakan saja
Rauf??? Tak cukup-cukup menggoda suami orang. Sekarang kau nak jadi perosak
dalam keluarga ni!”
“Amanda, sudahlah...” tegur Tengku Nasimuddin. Isterinya cuba
ditarik agar menjauhi kereta itu. Namun Amanda menepis tangan suaminya.
“Sudahlah tu!” tekan Tengku Nasimuddin. Isterinya dipaksa
menjauhi Diane.
“Biar I bahasakan perempuan muka tak malu tu! I tak puas
hati lagi ni!”
“Sudah! Jangan kusutkan lagi keadaan!” jerkah Tengku
Nasimuddin mula berang dengan kerenah isterinya. Wanita itu tetap ditarik ke
arah rumah mentuanya.
Diane segera memasukkan gear dan berlalu dari situ. Tidak
betah rasanya untuk berada di situ dalam keadaan dirinya tidak diterima. Namun baru
sahaja kereta itu berlalu, Rauf berlari keluar. Hanya sempat terlihat kelibat
kereta Diane setelah kereta itu menjauh.
Hampa. Rauf kembali semula ke dalam rumah. Mahu pergi
mencari isterinya.
“Rauf nak ke mana???” meninggi suara Amanda akibat
bengang.
“Rauf nak cari Diane.”
“Mama lebih penting atau Diane???” marah Amanda.
“Dia isteri aku!!! Stay away from my life! Aku hidup
hanya untuk tunaikan kehendak kau orang semua ke ha???” meledak suara Rauf di
ruang tamu itu. Amanda terpempan dijerkah adiknya itu.
“Demi perempuan tu kau sanggup jadi begini ya?” ucap
Amanda sebal.
“Beristerikan Marina itu impian mama dan Kak Amanda. Itu bukan
impian Rauf. Terima kasih kerana menjadikan Rauf sebagai alat di sini. Terima
kasih banyak-banyak!” ucap Rauf meninggi. Seterusnya dia keluar dari rumah.
“Rauf!” Amanda terus mengejar adiknya. Namun suara Tengku
Nasimuddin mematikan perbuatannya.
“Cukup-cukuplah mengusutkan keadaan, Amanda. Biarkan dia!
Kerana Diane keluarga ni jadi begini atau kerana Marina sebenanrnya???” marah
Tengku Nasimuddin kepada isterinya.
“Perempuan tu porak perandakan hidup adik you. You masih
nak beri muka???”
“I tak pernah terfikir Marina akan mengahwini Rauf selama
ni, Amanda. You yang berangan ke arah itu. I tahu you sayangkan Marina. Tapi dengan
akal fikiran yang waras, I tak mahu adik I ambil risiko mengahwini lelaki yang
I tahu tak cintakan dia! I buat begini kerana sayangkan Marina. I tak mahu dia
merana kemudian nanti. Tapi you buat apa untuk adik you? Paksa dia menerima
orang yang dia tak mahu, itu tanda sayang?” ujar Tengku Nasimuddin bersungguh.
Amanda terdiam mendengar bicara suaminya. Tengku
Nasimuddin menggeleng sendiri.
“Kalau I tahu keadaan akan jadi seteruk ini, I tak akan
benarkan Marina bertunang dengan Rauf. Sepatutnya kita reda. Ini semua sudah
ketentuan Allah!”
Amanda terduduk di sofa menahan sebal. Geramkan Rauf dan
Diane masih juga tidak surut. Tambah lagi keadaan mamanya di atas sana. Masih berduka
cita. Sungguh dia sakit hati mengenangkan Rauf lebih rela pergi mengejar
isterinya berbanding memujuk mama mereka.
Terbaikkk
BalasPadamHrap mlm ni ade lgi. Dri pgi mngun.
BalasPadam