Selasa, 15 Disember 2015

PROLOG-BAB 3 RELAKAN JIWA

PROLOG
“SAYA sayangkan awak. Semenjak dulu saya tak pernah berhenti sayangkan awak. Walaupun awak pergi tinggalkan saya, saya tetap tak pernah jemu sayangkan awak. Tapi saya faham. Saya tak mahu terus jadi penghalang. Saya nampak awak terseksa berada di sisi saya. Saya pun tak mahu awak berpura-pura semata-mata kerana kasihankan saya. Kalau dia mampu sayangkan awak lebih dari saya, saya terima dengan lapang dada. Saya tak akan cari awak lagi. Saya akan buat apa saja untuk lupakan awak. Saya harap dia akan jaga awak baik-baik.”
Ucapan itu bermain terus-terusan di benak Adira. Sekalian wajah sendu lelaki itu. Terasa berdosa membiarkan lelaki itu pergi. Salahkah dia kerana tidak mampu membalas cinta lelaki itu? Dan salahkah dia, memilih sekeping hati untuk dicintai sedangkan dia tahu hati itu hanya terpaksa. Apa yang harus dia buat untuk membiarkan setiap hati yang berharap itu tidak terluka?
Telefon berdering di atas ribaannya menyentak pemikiran gadis itu. Pantas dia memandang skrin. Sangkanya lelaki itu yang menghubunginya. Namun nombor mamanya yang tertera. Adira segera menjawab.
“Mama..”
“Dira kat mana ni, sayang?” suara mamanya menerpa lembut namun bernada risau.
“Masih kat sini.”
“Dira okay ke ni? Bila nak balik?”
Adira hanya membisu. Matanya terus terpusat ke lautan luas sambil berfikir apa yang harus diluahkan kepada mamanya.
“Dira, cakap dengan mama. Mama risau ni. Mana Dani? Dia okay, kan?”
“Dani dah tinggalkan Dira, mama. Dani nak lupakan Dira.” Sekalian itu air mata Adira menitis ke pipi. Entah kenapa hidupnya terasa amat kosong sekali. Dan talian itu hening buat seketika. Pastinya sang ibu kelu untuk membalas kata.
“Dira dah cuba sayangkan dia. Tapi tak boleh.” Seterusnya esakan Adira terluah sarat bersama rasa pilu.

BAB 1
SEPULANG dia ke rumah, mamanya masih berjaga. Wanita itu terus mendekati anak itu. Tubuh anak itu dipautnya.
“Dira ni kejam, mama.” tangisan Adira terhela lagi buat kesekian kali.
“Jangan cakap macam tu. Mama tahu Dira tak berniat untuk mengecewakan sesiapa. Sabar ya?” bisik Fatyma perlahan. Seketika kemudian wajah anak itu dipegang Fatyma. Wanita itu tersenyum lembut.
“Masa akan beri penawar kepada setiap kelukaan tu. Mama mahu Dira tabah. Mama percaya Dani buat begitu ada sebabnya. Demi kebaikan Dira juga. Kalau dah tersurat jodoh Dira bukan dengan Dani, dia kena terima dan kita semua kena terima. Mama percaya dia seorang lelaki yang tabah.”
“Dira rasa bersalah pada dia. Dira tak boleh lupa apa yang dia katakan pada Dira sebelum ni. Muka dia, sedih. Dira rasa kejam sangat pada dia.”
“Dira, setiap manusia akan diuji dengan kegagalan dalam sesetengah hal. Mama tahu Dani seorang lelaki yang baik. Dah tentu dia mampu terima apa yang Allah telah takdirkan kepada dia dan Dira. Sesetengah perkara tak mampu kita tahan dengan tangan sendiri kerana kita manusia biasa.”
Adira mengangguk perlahan. Sedih. Kerana cinta dia hilang seorang teman yang baik.
“Pergi rehat. Jangan banyak fikir.”
Langkah anak itu terus dipandang Fatyma. Seketika kemudian sebuah helaan nafas dilepaskan. Di dalam kamar itu, Adira tidak terus terlena. Telefon dibeleknya lagi. Entah kenapa hatinya ralat. Tiada lagi mesej di aplikasi what’sAppnya dari lelaki itu. Sepi sama sekali. Sedikit sebanyak dia tertanya, di mana lelaki itu berada sekarang? Adakah dia baik-baik sahaja?
Perlahan Adira membelek pula ruangan mesej antaranya dan lelaki seorang lagi. Mesej terakhir tiga hari sekitar lalu ditatap tanpa jemu. Ada sedikit harapannya agar kata-kata terakhirnya di dalam mesej itu diberikan jawapan. Namun sehingga kini sepi. Satu soalan yang baginya mudah. Namun Darius hanya membisu.
-Abang pilih untuk kembali semula pada Dira kerana sayang atau sebab hal lama tu?
Soalan terakhir itu langsung tidak dijawab Darius. Seketika kemudian telefon itu diletakkan di atas dada. Berharap dipenghujung malam ini Darius akan menghubunginya. Namun entah kenapa dalam menungan itu, perihal Mat Dani yang terus beraja di dalam fikirannya. Teringat waktu dulu. Saat hubungan mula akrab sebagai teman.

“DAH nak hujanlah. Jom kita baliklah.” Ajak Mat Dani saat memandang awan di langit. Berarak hitam.
“Boleh ke? Saya takut kilat.”
“Kalau hujan lebat tengah jalan kita berhentilah kat mana-mana sampai hujan reda.”
Adira pantas mengangguk. Tidak selesa mahu berada di situ terus biarpun baru sekejap mereka menghabiskan masa situ. Perjalanan dari Kolam Air Panas Sungai Klah ke kampong mereka tidaklah jauh sebenarnya. Namun dipertengah jalan hujan turun lebat tiba-tiba. Kelam kabut Mat Dani memberhentikan motorsikal yang dipandunya di sebuah perhentian bas. Basah kuyup mereka berdua berteduh di bawah bumbung itu. Adira duduk di bangku sementara Mat Dani berdiri memandang sekeliling. Hampir setengah jam duduk di situ, hujan mula reda. Namun tidak berhenti sepenuhnya.
“Dah nak maghriblah. Jomlah. Nanti mak awak marah,” ucap Mat Dani sambil berpeluk tubuh. Menggigil menahan sejuk.
“Hujan lagi. Saya takut,” balas Adira.
Dani memandang deraian hujan di luar pondok menunggu bas itu. Kelam pandangannya. Senja sudah dekat benar. Risau benar hatinya. Bimbang mama Adira risaukan anaknya.
“Saya hati-hati. Awak pegang bahu saya,” ucap Mat Dani sambil mendekati motor cabuk milik datuknya itu. Topi keledar disarungkan ke kepala. Adira turut mendekati motor itu. Setelah enjin di hidupkan Mat Dani, dia naik di belakang.
“Pakai helmet elok-elok. Nanti terbang pulak,” tegur Mat Dani sambil menoleh ke belakang. Klip di bawah dagu gadis itu dipasangkan.
“Awak tu?” tegur Adira sambil memuncungkan mulutnya ke arah helmet Mat Dani.
“Saya punya klip ni dah tak ada. Ni helmet untuk cukup syarat aja. Tak bagi polis tahan kita.”
Motor itu terus digerakkan membelah hujan. Sejuk jangan katalah. Keras paru-paru mereka berdua. Terpaksa Adira memegang bahu Mat Dani. Saat sebuah lori melintas laju, air di atas jalan menyimbah kepada mereka berdua. Terpaksa Mat Dani memperlahankan motornya. Adira sempat menyapu wajahnya yang basah. Namun saat mata dibuka, dia lihat helmet di atas kepala Mat Dani sudah lesap.
“Helmet saya dah terbang!”
Tidak semena-mena dalam hujan lebat itu Adira tergelak mengekek-ngekek. Kelakar pula dilihatnya lelaki ini. Topi keledar dia selamat, milik Mat Dani pula yang lesap entah ke mana. Sudahnya anak muda itu berhenti di tepi jalan. Berlari anak pergi mengutip topi keledarnya semula. Mujurlah simpang ke kampong sudah tidak jauh.
Kepulangan dua manusia itu disambut oleh Mak Cik Milah di jendela.
“Ha.. ni dah balik budak berdua ni. Seronok benar pergi mandi air panas sana. Lepas tu mandi hujan pulak tengah jalan.”
Fatyma terus berdiri di sebelah emak mentuanya. Kepalanya digelengkan saat memandang dua manusia itu basah kuyup.
“Mama risau tahu tak! Uncle Im dah pergi cari,” getus Fatyma.
“Maaf, auntie. Saya takut auntie risau Dira balik lambat. Jadi saya bawak dia balik juga dalam hujan,” ujar Mat Dani.
“Tak apa. Yang penting selamat balik.”
“Jangan lupa mandi lepas ni. Nanti awak demam,” ujar anak muda itu kepada Adira.
“Bai..” ucap Adira sambil tersengih-sengih kepada lelaki itu.
Mat Dani terus mengangkat tangan, melambai balas gadis itu. Adira dipandang sehingga tiba di tangga rumah. Namun berderau darahnya saat terpandangkan renungan mama Adira. Wanita itu mengangkat kening kepadanya.
“Err. Saya.. saya balik dulu, auntie. Nanti opah saya marah saya tak balik-balik.”
“Ialah. Rumah jauh ke?” balas Fatyma sengaja mengusik anak muda itu.
“Kat sebelah tu aja.”
“Bila nak bawak auntie pergi mandi kolam air panas pulak? Takkan Dira aja? Esok auntie free.”
Tersengih-sengih Mat Dani di atas motor itu. Fatyma dan Mak Cik Milah ketawa kecil memandang gelagat Mat Dani kelam kabut semacam. Gelihatinya melihat anak itu menolak motornya dengan kaki dek kerana mahu lekas pergi.
“Sakan pergi berdating dengan Mat Dani. Balik redah hujan. Sehati sejiwalah tu,” cebir Mak Cik Milah sambil mencuit Fatyma. Mulutnya sempat dimuncungkan ke arah Adira.
“Kita orang pergi jalan-jalan aja, okay. Janganlah pandang Dira macam tu. Malu tau!”
“Seronok ke mandi kolam air panas dengan Mat Dani? Bukan main lagi anak dara mama ni. Naik motor dengan lelaki,” perli Fatyma selamba.
“Alah kita orang Tak mandi pun. Jalan-jalan aja. Bila tengok hari macam nak hujan dia ajak balik.” Cepat-cepat dia membawa diri ke kamar mandi. Takut mamanya meneruskan bebelan.

“OPAH mana?”
“Bersembang kat sebelah. Opah awak pun ada kat situ,” ucap Mat Dani sambil menunding ke rumah jiran sebelah.
“Awak buat apa ni?” tanya Adira terus memandang gelagat Mat Dani.
“Kupas kelapa. Abang awak mana?” tanya Mat Dani pula sambil menoleh kepada gadis itu.
“Tidur.” Adira sekadar menjawab sepatah.
“Awak pun baru bangun tidur, kan?” Mat Dani tersengih sedikit sambil mengerling gadis itu.
“Duduk rumah opah asyik makan aja. Lepas tu tidur.”
“Sebab tu saya suka duduk kampong dengan opah. Opah awak pun baik. Dia dah macam opah saya. Selalu beri makanan kat rumah.”
Adira tersenyum merenung lelaki muda itu mengupas kulit kelapa. Usai meleraikan sabutnya, kelapa itu diletak ke tepi sebelum kembali memandang.
“Nak air kelapa? Kelapa muda banyak kat pokok tu.”
“Nak!”
“Nanti saya ambil dulu.”
Adira terus mengekor Mat Dani ke pokok kelapa rendang di tepi halaman rumah. Dek kerana anak muda itu memang tinggi orangnya, kelapa dipetik dengan tangan saja.
“Yang warna kuning ni memang sedap. Ramai orang mintak kelapa ni. Sebab tu pokok ni banyak buah. Opah saya suka sedekah pada orang. Sekarang awak pulak rasa,” ujar Mat Dani sambil membawa tiga biji kelapa gading ke pangkin kayu.
“Awak suka duduk kampong?” tanya Mat Dani sambil mengupas hujung kelapa itu dengan golok.
“Suka. Opah baik. Semua orang baik.”
Mat Dani senyum mengerling Adira. “Opah awak dulu selalu seorang. Sekarang dia ramai cucu. Saya pun dah ada kawan sekarang.”
“Sebelum ni tak ada kawan kat sini?”
“Sini ramai budak lelaki sebaya saya dah jadi mat motor. Opah saya tak suka saya bergaul dengan budak-budak tu. Buang masa. Nah! Cuba minum.”
Adira terus menyambut huluran Mat Dani. Kecil sahaja kelapa itu. Namun airnya memang manis. Isinya enak. Sudahnya tiga biji itu dihabiskan Adira dalam masa yang singkat. Mat Dani pergi memetik lagi. Kali itu dia memetik kelapa hijau pula.
Di pangkin itulah mereka mengabiskan petang bersama-sama setiap hari. Ada sahaja aktiviti mereka berdua. Kadang kala opah mereka turut bersama. Sehingga Adira dibawa semula ke Kuala Lumpur. Mereka terpisah seketika. Mat Dani kembali sendirian di kampong itu.

HARI yang mendukacitakan. Awal pagi lagi mereka dihadiahkan dengan khabar duka. Setelah beberapa hari bertarung nyawa di ICU, adik kesayangannya pergi juga menghadap Ilahi. Serta merta rumah itu dirundung duka. Sepanjang masa dia duduk tidak jauh dari jenazah sang adik. Memandang tanpa jemu apa yang dilakukan oleh wanita-wanita itu. Sedang dia duduk termenung seseorang mencuit bahunya.
“Dira, kawan datang tu. Ada kat luar.” Rayyan sekadar memberi pesan itu sambil lalu. Seketika kemudian dia terus berlalu mencari ayah tirinya.
“Ha?” pantas Adira mencelah di celahan orang ramai untuk ke pintu utama. Di halaman rumahnya kelihatan Mat Dani sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumahnya. Bergegas dia menyarung selipar untuk mendapat lelaki itu.
Mat Dani tersenyum saat terpandangkan Adira berjalan kepadanya. Cantik benar gadis itu dengan kurung johornya. Elok bertudung penuh di kepala.
“Saya dengar adik awak meninggal. Saya datang nak ziarah,” ucap Mat Dani saat gadis itu semakin hampir kepadanya.
“Mana Dani tahu?”
“Opah yang cakap. Opah awak call opah saya pagi tadi. Kebetulan ayah saya nak balik KL pagi ni, saya ikut sekali. Tak apa kan saya datang?” ujar anak muda itu sambil memandang ke dalam kawasan rumah itu. Ramai orang lelaki berkumpul di luar.
“Awak okay ke?” tanya Mat Dani lembut. Mata Adira nampak kemerahan. Pastinya kerana menangis.
“Okay. Kesian mama. Mama sedih,” ucap Adira sambil menghela nafas perlahan. Punggungnya dilabuhkan di tembok batu tepi pintu pagar itu.
“Adik awak yang meninggal tu lelaki ke perempuan?” tanya Mat Dani sambil mendekati Adira.
“Perempuan. Nama dia Ameena.”
Mat Dani mengangguk perlahan. “Dulu mak saya pun pernah kehilangan anak macam mama awak. Saya tahu perasaannya macam mana,” cerita Mat Dani lalu duduk bercangkung di sebelah Adira. Batu-batu kecil di atas tar itu dikuis dengan hujung jari.
Adira menoleh ke sebelahnya. “Dani, terima kasih sebab datang. Perasaan saya lain macam sangat. Saya tak suka keadaan ni.”
“Maksud awak?”
“Sedih. Saya tak suka rasa sedih macam ni. Bila ada kematian, perasaan rasa terkurung.”
“Sebab tu saya datang. Saya tak mahu awak sedih,” sambut Mat Dani dengan senyum lembut. Adira menoleh kepada lelaki itu. Sedikit senyum diukir buat Mat Dani. Seorang teman yang baik.
“Awak nak tengok adik saya tak?”
“Boleh ke? Saya tak mahu menganggu urusan keluarga awak.”
“Boleh. Tapi ramai orang kat dalam tau,” omel Adira sambil dia bangun. Mat Dani segera mengekori gadis itu masuk ke halaman rumah. Sedikit senyum dihadiahkan kepada beberapa lelaki yang memandang kepadanya.
Di dalam rumah, seperti yang diberitahu Adira ramai kaum ibu sedang berkumpul. Jenazah kecil itu hampir selesai dikafankan. Dia sekadar memandang dari jauh. Dia lihat mama Adira sedang dibawa turun dari atas untuk melihat anaknya. Sedih dia melihat wanita itu. Lemah berhadapan dengan kenyataan yang pahit.
Usai jenazah kecil itu dikafankan, ruangan hadapan rumah itu mula dikosongkan untuk solat jenazah. Imam mengajak kaum lelaki untuk menyertai solat jenazah. Lantas dia memilih untuk ikut bersolat sekali. Mereka mengambil wudhuk di luar rumah sebelum masuk ke dalam saf.
Usai solat itu, Mat Dani menadah tangan turut sama berdoa. Semoga diberikan ketabahan kepada ibu dan ayah bayi itu. Juga kepada sahabat kesayangannya Adira. Semoga kehilangan ini Allah gantikan dengan kenikmatan yang lain.
Ketika jenazah dibawa ke kuburan, Mat Dani tidak ikut sekali. Dia berhasrat mahu pulang sahaja. Namun ditegah oleh Adira.
“Temankan saya sekejap. Saya tak ada kawan.”
Mat Dani akur. Apalah sangat sekadar meluangkan sedikit masa untuk menenangkan sekeping hati yang sedang bersedih itu? Mereka duduk di halaman rumah. Adira terus termenung memandang manusia yang datang dan pergi. Hari ini pintu rumahnya terbuka luas untuk orang ramai datang berziarah.
Adira menoleh saat tersedar seseorang duduk di hadapannya. Mat Dani tersenyum lalu menghulurkan sekuntum bunga. Terpana dia seketika.
“Jangan sedih. Saya petik bunga ni sebab saya nampak bunga ni antara yang paling cantik di laman ni. Allah beri ujian kepada hamba-Nya semula kerana hamba-Nya itu istimewa. Keluarga awak istimewa. Sebab itu Allah sayang.”
Lama Adira memandang bunga di tangan Mat Dani. Sedikit senyum terkuntum tanpa dapat ditahan. Mat Dani ikut tersenyum merenung tampang di hadapannya.
“Awak nampak cantik bila pakai tudung. Nampak matang.”
Adira mengerling lelaki itu sedikit. Nak suruh aku pakai tudunglah tu!
“Rumah awak besar. Keluarga awak kaya. Rumah saya rumah flat aja. Itu pun rumah pinjam,” ujar Mat Dani dengan sedikit senyuman.
“Ini rumah datuk saya. Rumah mama saya, kami dah tak duduk situ.”
“Kenapa?”
“Entah. Mama tak mahu duduk sana lagi.”
Mat Dani diam seketika merenung tampang sedang menunduk itu. Namun dia turut terpandangkan lambaian seseorang dari pintu utama. Opah Milah sedang memanggil mereka berdua.
“Opah awak panggil.”
Adira menoleh ke belakang.
“Ajak Mat Dani makan. Mari!”
“Eh! Saya ni menyusahkan tuan rumah aja. Dahlah keluarga awak tengah ada kematian. Tak baik macam ni,” ujar Mat Dani sedikit tidak senang.
“Tak apa. Jomlah.”
Terkedu Mat Dani saat tangannya dicapai Adira. Macam orang bodoh dia mengekori Adira ke dalam.
“Mari makan Dani. Opah ada masak sikit nak sedekah pada orang masjid. Dira pun makan sekali dengan Dani. Dira belum makan dari tadi lagi,” ujar Mak Cik Milah lembut.
“Terima kasih, opah. Buat susah-susah aja.”
Tidaklah mewah masakan yang disediakan. Sekadar mihun goreng dan mee goreng. Itu yang sempat dibuat untuk dihantar ke masjid waktu asar nanti. Mereka berdua mengambil sedikit mihun ke dalam piring sebelum kembali semula ke tempat tadi.
Jika tadi Adira sedikit murung, moodnya berjaya dipulihkan sedikit demi sedikit. Celoteh Mat Dani berjaya memancing minatnya untuk berbual. Sesungguhnya lelaki itu pandai memujuknya.
“Cuti awak panjang lagi, awak nak buat apa?” tanya Adira.
“Tak tahu lagi. Ayah saya tak bagi saya berkerja,” jawab Mat Dani. Sebahagian masanya hanya diisi dengan mengintai peluang untuk ke universiti.
“Awak nak ambil bidang apa?”
“Engineering kut. Itu minat saya.” Mat Dani menjawab perlahan sambil memandang piring mihunnya.
Adira mengangguk perlahan. Sesuailah bidang itu dengan orang lelaki.
“Awak?” tanya Mat Dani pula.
“Saya? Tak tahu lagi. Exam pun belum,” jawab Adira biasa. Lainlah Mat Dani. Baru sahaja selesai peperiksaan SPMnya.
“Tak akan tak ada target?”
“Emm..” Adira termenung seketika.
“Entah. Lepas habis sekolah masuk U, kalau layak. Lepas tu kerja dengan mama kut.”
Mat Dani tersenyum sambil menunduk. Sudah diagaknya.
“Saya sebenarnya nak jadi cikgu. Tapi mama mesti tak bagi. Mama tak suka saya pergi jauh dari dia,” ucap Adira perlahan.
“Baguslah. Tugas yang sesuai dengan orang perempuan. Tapi lebih bagus kita ikut cakap mak dan ayah. Gembirakan hati ibu dan ayah itu lebih baik,” ujar Mat Dani lembut.
Adira diam mendengar komen lelaki itu. Ya, mungkin. Mamanya mahu dia dan abang-abangnya menganti tempat mama suatu hari nanti. Kepada siapa lagi harapan akan diletakkan jika bukan dia dan adik beradiknya?
“Masjid jauh ke?” tanya Mat Dani usai makan di meja marmar itu.
“Dekat simpang masuk ke sini tadi. Perasan tak?”
Mat Dani menggeleng.
“Surau ada kat hujung sana. Jalan kaki aja boleh sampai. Masjid memang jauh sikit.”
“Saya nak pergi surau. Dah nak asar ni. Lepas tu saya terus balik. Boleh ya?” ujar Mat Dani penuh hati-hati.
Adira tersenyum lembut. Kata-kata lelaki ini penuh sopan santun. Tidak pernah kedengaran bahasa kesat atau bahasa ‘remaja’ yang kurang sopan seperti yang dia selalu dengar dari teman-teman seusia dengannya di sekolah.
“Boleh. Terima kasih sebab sudi datang, Dani.”
“Tak apa. Bila orang lain ditimpa musibah, kita kena ambil tahu.”

BAB 2

‘BILA orang lain ditimpa musibah, kita kena ambil tahu..’
Sebaris kata-kata itu melekat di benaknya sehingga kini. Adira tidak sedar bila masanya dia terlelap. Dia hanya tersedar ketika suara Ammara kedengaran di tepinya.
“Bangun. Mama suruh bangun. Solat!”
Adira mendengus seketika sambil mengeliat. Jam dipandang. Sudah jam enam setengah. Dia harus ke pejabat.
Usai bersiap, Adira turun. Adik-adiknya sudah berkumpul di meja makan dengan beg sekolah masing-masing.
“Dira balik lewat ke semalam?” tanya Imran saat gadis itu duduk di kerusi.
Adira mengangguk sambil mencapai cawan. Imran memandang lama gadis itu. Masih ada garis-garis duka di wajahnya. Namun dia memilih untuk tidak mahu bertanya banyak dalam keadaan gadis itu begitu. Usai menghabiskan secawan air, Adira bangun mendapatkan mamanya.
“Dira pergi dulu ya, ma.”
“Ialah. Hati-hati bawak kereta, sayang.” Pipi anak itu dikucup bergilir.
Imran terus memandang sehingga anak itu menghilang. Kemudian wajah isterinya dicari.
“Dia cakap apa semalam?”
“Dia dengan Dani dah berpisah.”
Spontan Imran menghela nafas perlahan. Menungnya pergi mencari seorang lagi anak muda. Darius. Berkerja dengan mereka. Saban hari berjumpa. Pantaslah Adira susah mahu melupakan anak muda itu.
“Kesian Dani..” keluh Fatyma perlahan.
“I percaya dia mampu cari ubatnya nanti. I lebih kesiankan Dira. Tertipu dengan perasaan sendiri. Darius tidak jujur pada diri sendiri hanya sebab tak mahu kita terluka. Tapi kesannya menyakitkan nanti. Terutama sekali pada Adira.”
Spontan Fatyma memandang suaminya. “Habis tu apa patut kita buat?”
Imran diam. Soal anak-anak dia tidak mahu masuk campur terlalu banyak. Tetapi Adira, ada sesuatu yang membuatkan dia benar-benar bimbang. Antara Mat Dani dan Adira, yang masih tidak boleh terima kenyataan sebenarnya adalah Adira.
“Biarkan dulu. I pun nak tengok sejauh mana mereka berdua boleh kawal keadaan,” ujar Imran. Air di dalam cawan dicicipinya sehingga habis.
“Jom?” ajak Imran kepada isterinya.
 Fatyma segera mengangguk. “Ni anak-anak mama ni bila nak habis makan? Uncle Husin dah tunggu kat luar tu. Cepat sikit!” tegur Fatyma kepada dua anak perempuannya itu. Mentang-mentang sekolah dekat. Terhegeh-hegeh bersarapan. Udin dan Fuad terus bangun menggalas beg.
“Cepatlah. Asyik makan sebab tulah debab! Dahlah debab! Debab! Siapa lambat, dia kena sumpah jadi stoking busuk,” jerit Udin kepada si kakak yang masih duduk di meja makan. Kemudian dia terus berlari ke pintu bersama Fuad.
“Mama, tengok Udin tu! Benci! Suka ejek kakak,” marah Ammara dengan wajah kelat.
“Udin..” tegur Imran dengan suara agak kuat. Dua beradik itu ketawa-ketawa di pintu.
“Cepat makan! Pagi-pagi buta dah bergaduh.”

MAK..” seru Mat Dani sambil menyua sudu ke arah emaknya.
“Mak dah kenyang, nak.” Wanita itu tersenyum lembut. Menggigil tangan saat cuba memegang raut anak kesayangannya itu.
“Sikit sangat mak makan,” ujar Mat Dani sambal meletakkan bekas bubur itu di atas piring. Jemari ibunya dicapai. Sejuk. Mat Dani tunduk mengucup tangan ibunya.
“Dani tak kerja ke?”
“Hari ni Dani masuk lambat sikit. Dani kerja luar. Dani ada masa untuk mak,” jawab anak muda itu lembut.
Bibir pucat Marlia tersenyum merenung tampang anak itu. Dia tahu ada kedukaan sedang disembunyikan Daniel.
“Gaduh dengan kawan ya?” ucap Marlia lembut.
Mat Dani menggeleng dengan sedikit senyuman. Soal Adira apalah sangat hendak dikisahkan. Kecewa itu sudah lama menjadi makanannya. Sudah lali. Namun memikirkan emaknya yang sakit, dia benar-benar susah hati. Sesudah pemergian arwah ayahnya tiga tahun lalu, dia hanya ada ibunya yang kini menghidap penyakit kanser rahim peringkat ke 4.
“Dani dah tak ada sesiapa lagi selain mak. Jangan tinggalkan Dani,” luah Mat Dani perlahan.
Lama Marlia merenung wajah mendung itu. Perlahan tangannya singgah di wajah Mat Dani. “Mak tak akan dapat temankan Dani selama-lamanya. Tapi kasih sayang mak selalu ada dengan Dani.”
“Dani nak temankan mak selalu.”
Marlia tersenyum lagi. Namun pahit. Dia tahu bukan sedikit kesedihan yang sedang disimpan Mat Dani. Namun dia tahu anaknya tabah. Setabah arwah ayahnya. Perlahan Dani berbaring di sebelah wanita itu. Tubuh itu dipeluknya. Namun air matanya jatuh setitis demi setitis menangisi hidupnya yang berbalut duka.
“Jangan sedih, sayang. Mak tahu banyak yang Dani cuba sembunyikan dari mak. Dani anak yang baik. Dani tak mahu mak terluka,” ujar Marlia sambil mengusap kepala anaknya itu. Perlahan Mat Dani menyeka air matanya. Dia tidak mahu ibunya tahu dia menangis.
“Kalaulah Dani tahu di mana penawar kepada kesakitan mak sekarang, biarlah Dani jadi semiskin manusia asalkan Dani dapat penawar tu. Dani nak mak sembuh.”
“Penawar tu ada pada Allah. Doa senjata kita sebagai hamba Allah. Mak dah lama reda. Bukankah penyakit itu penghapus dosa? Allah tak pernah kejam pada kita, nak. Jangan kesalkan apa yang dah Allah takdirkan kepada kita.” Marlia membalas lembut.
Mat Dani diam. Benar kata ibunya. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mengapa emaknya lebih tabah sedangkan kesakitan itu bersarang di dalam tubuh ibunya?
Mat Dani bangun pula.
“Dani nak pergi dah ke?”
“Tak. Dani nak ambil wuduk. Lebih baik berdoa daripada meratap,” ujar Mat Dani sambil turun dari katil itu.
Marlia mengangguk perlahan. Belakang anaknya itu diusap lembut. Ya Allah, hidup anakku ini sudah terlalu banyak bersulam duka. Engkau berikanlah dia kebahagiaan yang abadi. Kurniakan dia seorang wanita yang mampu mengganti tempatku nanti. Kasihanilah anakku, Ya Allah.. hati Marlia membisikkan doa itu dalam sendu.

ADIRA sempat mendengus saat lelaki itu duduk di hadapannya. Lewat lagi!
“Sorry. Abang ada banyak kerja tadi.” Darius mengerling gadis itu sedikit.
Dah tahu dah.. bisik hatinya ralat. Malas mahu bising dia sekadar memanggil pelayan untuk lelaki itu.
Saat pelayan tiba membawa minuman Adira, secara tidak sengaja bekas gula terjatuh dari dulang lalu berderai di lantai. Darius segera mendongak merenung pelayan itu yang membuat dia terkejut.
“Sorry..” serba salah anak muda itu mengutip kaca di lantai.
“Tukar ni. Takut ada kaca kat dalam,” ujar Darius sambil menarik cawan di hadapan Adira ke tepi meja.
“It’s okay. Just go!” getus Adira malas mahu membiarkan pelayan itu terus berada di situ. Cawan itu ditarik semula kepadanya. Bukan pelayan itu yang dia mahu marah sebenarnya. Tetapi lelaki di hadapannya ini.
“Kenapa tak mahu tukar? Kan bahaya?”
“Kaca tu atas lantai. Air ni atas meja. Tak payah nak susahkan dia lagi,” balas Adira sedikit merengus.
“Cuai!” rungut Darius sambil memandang menu.
Spontan Adira mengangkat pandangan. “Excuse me?”
“Abang maksudkan budak tadi tu. Cuai!”
“Dia tak sengaja. Kenapa kita nak panjangkan cerita seolah-olah benda tu tak pernah berlaku pada kita?”
Darius diam pula. Adira terus bersandar ke penyandar sambil memandang lelaki itu.
“Dira faham ada berjuta manusia yang mudah berubah mengikut masa.”
“Yesss, yang tak pernah berubah cuma Dani aja. Jangan bandingkan abang dengan dia.”
“Dira tak pernah berniat nak sebut nama Dani sekarang. Kenapa abang sebut lagi pasal dia??” getus Adira semakin menebal rasa tidak puas hati dengan lelaki ini.
Spontan Darius mendecit. “Okay. Abang tak mahu gaduh dengan Dira. Abang minta maaf. Abang tak sepatutnya cakap macam tu.”
Adira diam. Maaf itu sudah lali untuknya. Malangnya hatinya terus sahaja sakit.
“Dira..” panggil Darius. Wajah mendung itu cuba dipandangnya.
“Abang minta maaf. Janganlah asyik marah abang aja. Abang pun stress kalau macam ni,” ujar Darius semakin lembut nadanya.
“Dahlah. Penat asyik gaduh aja,” ucap Adira dengan helaan nafas perlahan.
Spontan Darius tersenyum pula. Lega hatinya melihat Adira sudah terpujuk. Usai makan tengahari bersama mereka pulang ke pejabat. Dia terus ke kamarnya. Kerja diteruskan seperti biasa sehingga dia terdengar ada bunyi pada telefonnya. Pantas telefon itu dibeleknya. Mesej dari mamanya membuatkan dia menghela nafas panjang.
Ganggang telefon diangkat. Sambungan ke kamar Darius didailnya.
“Tak jadilah malam ni, bang. Ada hal dengan mama,” ujar Adira melalui ganggang.
“Hal apa?”
“Mama ajak dinner kat luar. Lain kalilah,” ucap Adira lembut.
“Okay. Maknanya kita seri. Bukan abang seorang suka mungkir janji.”
Gadis itu mendengus. “Ialah. Ialah. Suka mengungkit!” cebir Adira perlahan. Ganggang terus diletak semula.
Dia suka mungkir janji? Dia membatalkan janji sebelum waktunya. Darius? Suka berjanji, kemudian hilang begitu sahaja membuatkan dia tertunggu-tunggu macam orang bodoh. Jadi bodohkah dia kerana masih mengharap lelaki itu berubah untuknya jika dia tahu janji-janji itu tidak pernah berada di tempat teratas di dalam hidup Darius?


BAB 3
LELAKI muda itu termenung lama memandang sisa kain kapan di tangannya. Sehingga bahunya ditepuk, dia tersentak lalu menoleh. Tidak sedar rupanya orang ramai sudah berlalu pergi.
“Dani, mari ke rumah tok ya?”
“Tak apalah. Saya di rumah aja, tok.” Mat Dani menjawab lembut sambil tersenyum.
“Sabar banyak-banyak ya? Allah sayangkan mak kamu. Redakan dia pergi.”
Mat Dani sekadar mengangguk perlahan. Seketika kemudian dia memandang ke hadapan. Timbusan tanah merah yang sedang membukit itu disentuh lembut. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa ibu dan ayahku. Mak, Dani rindu mak.. seru hatinya penuh kehibaan.
Lewat petang itu baru dia pulang ke rumah. Sepi sekali rumah itu. Mat Dani menjengah lagi kamar emaknya. Kosong. Tiada lagi tubuh ibunya terbaring di katil. Perlahan dia duduk di birai katil. Bantal yang menjadi alas kepala emaknya itu dibawa ke dalam pelukan. Setitis air mata jatuh lagi ke pipi. Seperti mimpi belaka. Saban hari dia menemani emaknya di kamar ini, hari ini kamar ini sepi. Dan ruang hidupnya terasa amat hiba. Seluruh jiwanya seperti mahu menjerit. Kepada siapa mahu diluahkan kesedihannya ini?
Puas melepaskan rindu di dalam kamar itu, Mat Dani bangun. Tubuhnya dibersihkan sebelum dia bergerak ke masjid. Tiga malam Jemaah masjid akan mengadakan tahlil untuk arwah ibunya. Syukur dia, masih ramai yang sudi membantu anak yatim piatu yang sebatang kara sepertinya. Namun sepanjang masa itu dia seperti terawang-awang sendiri. Ternyata bukan mudah untuk mengharungi perpisahan ini.
Usai tahlil, Mat Dani duduk seketika di hadapan mimbar. Memandang kosong, memikir lagi tentang masa depannya. Sehingga selesai siak masjid mengemas kawasan dalam itu, dia ikut bangun.
“Baliklah rumah, Dani. Rehatkan badan. Jangan sedih-sedih,” ucap seorang lelaki sambil menepuk bahu anak muda itu. Mat Dani sekadar mengangguk.
Di rumah, dia duduk lagi di dalam kamar emaknya. Teringat pesan emaknya beberapa minggu lalu. Ada sekeping sampul surat untuknya sekiranya ada apa-apa berlaku kepada emaknya. Mat Dani bangun membuka almari. Tempat yang diberitahu emaknya diraba.
Mat Dani duduk semula di birai katil. Sampul surat yang sudah lusuh itu dibuka semula. Di dalamnya ada beberapa dokumen penting peninggalan arwah emaknya. Lama dibaca isi kandungan surat itu. Di dalam wasiat bertulis tangan itu ada tertulis tentang sebidang tanah dan sebidang tanah tapak rumah di kampong asal arwah emaknya telah ditukar hak milik kepada namanya.
Dani termenung seketika. Patutkah dia ke sana? Untuk apa? Apa yang boleh dibuatnya di sana? Dan bahasa apa yang hendak diucapkan di sana? Entah.

 MAT Dani menoleh saat ada seorang lelaki berdiri di sebelahnya. Mereka sempat berbalas senyum.
“Nak ke mana?” tanya lelaki di sebelah Mat Dani itu. Sekadar mahu beramah tamah.
“Cambodia.”
“Melancong ke?”
Lelaki muda itu menggeleng. “Saya nak cari kampung arwah mak saya.”
“Oh. Mak awak asal orang sana ke?” balas lelaki itu sedikit terkejut.
“Mak saya keturunan Melayu-Champa. Datuk saya pendatang di sini.”
“Oh..” lelaki itu terlopong sedikit merenung wajah anak muda itu.
“Jadi anak ni nak menetap di sana ke?”
Mat Dani menggeleng. “Saya pun tak tahu apa saya nak buat di sana, pak cik. Saya hanya ikut kehendak hati. Mak saya baru meninggal. Saya rindukan dia.”
Lama lelaki itu memandang anak muda itu. Sedih benar kedengaran jawapan itu. Namun dia tidak ingin terus bertanya.
Seterusnya Mat Dani sekadar merenung permandangan di luar cermin bangunan lapangan terbang itu. Memikir lagi dan lagi. Sehingga sebahagian memori kembali ke benaknya.

LELAKI itu tersenyum-senyum memerhatikan sekeluarga itu berkumpul riang. Namun seketika kemudian senyumannya memudar. Dia tidak pernah lupa gadis itu akan pergi jauh. Lebih jauh lagi. Mat Dani tunduk seketika menghela nafas. Sudah lupakan dia kepada aku?
Saat lelaki muda itu termenung sendiri, seseorang menoleh. Segera terperasan dia ada di situ. Tidak sempat dia mahu melarikan diri dia sudah dilambai.
“Mat Dani!” panggil Imran. Seluruh mata mula sudah terpusat kepadanya. Mat Dani terkapai-kapai sendiri mahu mengelak. Namun tidak manis pula rasanya. Sudahnya dia mendekat.
Wajah Adira berubah habis saat terpandangkan lelaki itu.
“Kenapa duduk sana? Bila sampai?” tanya Imran sambil bahu anak itu ditepuknya.
“Baru lagi uncle. Saya temankan kawan tadi. Kebetulan ternampak Dira kat sini,” bohong Mat Dani. Wajah Adira tidak mampu ditatapnya. Dia tahu dia tidak dijemput ke mari.
“Dira..” tegur Fatyma agak tidak senang melihat Adira hanya membisu.
Mat Dani cuba tersenyum kepada gadis itu. Senyumannya dibalas hambar oleh Adira.
“Jaga diri baik-baik kat sana nanti,” ucap Danial perlahan.
Adira sekadar mengangguk. Tiba-tiba dia rasa serba salah. Semuanya sudah berubah kini. Perasannya terasa kosong saat memandang lelaki ini. Mengapa begini?
“Mama, Dira nak bercakap dengan Dani sekejap ya?”
Fatyma sekadar mengangguk membiarkan dua anak muda itu berlalu. Buat seketika mereka berdua berpandangan begitu saja.
“Mana Dani tahu?”
Mat Dani sekadar menggeleng sambil tersenyum. Biarlah dia berahsia sahaja bagaimana dia tahu Adira akan berangkat pergi.
“Awak kena belajar rajin-rajin. Sebab tak semua orang ada peluang macam ni.”
“Terima kasih, Dani. Saya minta maaf. Saya dah lama tak balas mesej awak.” Adira berkata perlahan. Sedar dia sudah terlupa akan kewujudan Mat Dani semenjak dia kenal Darius. Tambah pula Mat Dani meneruskan pengajian di Pulau Pinang sedangkan dia di KL. Secara tidak sengaja dia mengabaikan lelaki ini.
“Tak apa. Saya pun sibuk dengan study. Dira pun mesti hal Dira sendiri, kan? Saya faham. Saya tetap akan tunggu Dira balik ke sini.” Pahit nadanya cuba menyembunyikan rasa luka itu.
Lama tampang lelaki itu dipandang Adira. Sekalian itu satu lagi wajah bersilih ganti membuatkan dia serba salah.
“Pergilah. Saya doakan awak bertemu dengan apa yang awak impikan,” ujar Mat Dani lembut.
“Jumpa lagi nanti, Dani.”
Mat Dani sekadar mengangguk sambil menelan liurnya payah. Saya akan tetap tunggu awak.. kata-kata itu bergaung hebat di hatinya sendiri.
Namun penantiannya menjadi sia-sia. Betapa hebat kelukaan hatinya saat terpandangkan status cinta di facebook Adira dengan seorang lelaki bernama Darius. Begitu riang menghabiskan masa bersama di kota London. Mereka nampak secocok bersama.
Dia? Terperuk sendiri menahan duka di hati. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan