Isnin, 9 November 2015

DIKAULAH SELURUH CINTA BAB 8-11

Bab 8
“Meeting pagi ni cancel. Puan sri tak sihat dengarnya.”
“Ha?” Imran tersentak mendengar khabar itu. Meeting kansel itu memang dia suka benar. Tapi puan sri seorang itu tidak sihat, itu memang dia tidak suka.
“Tadi I nampak dia masuk ofis?” ucap Imran macam tidak percaya.
“Entah. I cuma sampaikan apa yang Melly baru beritahu. Encik Imran pergilah tengok sendiri,” ucap Dalila lembut.
Imran terus bangun dari kerusinya. Melly tiada di mejanya. Pasti sedang berada di dalam kamar bosnya. Imran menolak sedikit pintu kamar CEO. Fatyma masih berada di pejabat.
May I come in?” ucap Imran dari celahan pintu itu.
Dua wanita itu menoleh serentak. Fatyma sekadar menggangguk tanda membenarkan.
“Puan sri, you tak sihat ke?” tanya Imran cukup perihatin.
“I selesema,” jawab Fatyma tanpa memandang. Gelas air masak yang dihulur Melly segera disambutnya. Air itu sudah dilarutkan bersama sebiji panadol.
“You ambil ubat selesema ke?”
Fatyma sekadar mengangguk. Kepala sudah mula terasa berat semacam akibat hidung tersumbat.
“I keluar dulu, puan sri.” Tanpa menanti jawapan Fatyma, Imran berlalu dari situ. Kali itu hala tujunya ke lif. Tanpa memberitahu sesiapa, Imran melarikan kereta ke farmasi terdekat. Hanya beberapa minit masa diambil untuk mendapatkan apa yang dimahukannya. Terus sahaja dia ke kaunter bayaran.
“Terima kasih. Datang lagi,” ucap gadis cashier sambil memasukkan beberapa risalah ke dalam beg plastik itu. Dan sebaik tiba semula di pejabat, Imran singgah di meja Melly.
“Bagi bos you. Baik untuk hilangkan selesema dia tu.”
“Apa ni?” tanya Melly sedikit terpinga.
“Vitamin C. Larutkan dalam air. Kemudian minum. Insya-Allah okay. I selalu amalkan. Lebih baik berbanding ambil ubat selesema yang mengantuk tu,” ujar Imran sebelum dia berlalu ke kamarnya. Kerja yang masih bertimbun dilunaskan seperti biasa. Namun setengah jam kemudian telefon di hadapannya berbunyi.
“Yup,” sapa Imran setelah ganggang dilekapkan ke ke telinga.
“I tak faham sesuatu.” suara Fatyma menerpa ke gegendang telinga Imran. Spontan terbuka luas mata lelaki itu.
“Tak faham apa?”
“Apa perlunya you selitkan sekali kertas iklan produk membesarkan payudara dalam plastik ni? You perli I ke apa ni?” soal Fatyma serius nadanya.
Tersentak Imran mendengar kata-kata wanita itu. “Apa you cakap ni? Eh! Mana ada. I tak tahu, puan sri. Sumpah! Ish! Takkanlah I nak suruh you besarkan payudara pulak,” balas Imran terpinga-pinga.
“Apa you cakap?”
“Tak! Tak! Lupakanlah. I tak tahu menahu pasal tu. Sungguh,” ucap Imran sedaya mahu menyelamatkan air mukanya. Teringat dia di kaunter tadi gadis juruwang itu yang memasukkan beberapa risalah ke dalam beg plastiknya. Spontan lelaki itu menepuk dahi. Tak guna punya juruwang! Getus hatinya sebal.
By the way, thank you so much, Imran.” Suara Fatyma mula melembut di talian tanda tidak mahu hal itu diperpanjangkan lagi.
“You dah okay ke?” tanya Imran perlahan.
Much better. Berapa harga vitamin tu? I bayar balik,” ujar Fatyma terus bernada lembut.
“Tak apalah. I belanja. Tak mahal mana pun. Yang penting you sihat I pun senang hati,” sambut lelaki muda itu dengan sedikit senyuman.
“Betul ke ni? Terima kasih banyak-banyak, Im.”
“Kasihmu kuterima dengan senang hati, puan sri. Kalau dah kasih sangat dengan I ni, kahwinlah dengan I.”
“You ni tak habis-habis jual minyak! Malas I nak layan.” Spontan talian terus dimatikan Fatyma. Imran menyeringai sentah kenapa. Sebelum ini Imran. Sekarang semakin maju dengan panggilan ‘Im’ sahaja. Hati di dalam sudah kembang setaman. Tiba-tiba hari ini telah menjadi hari yang paling indah sepanjang hidupnya.
“Hai, puan sri. Bilalah kau nak kahwin dengan aku ni,” omel Imran semakin asyik mengenang perempuan itu. Tanpa sedar kerjanya sudah terbiar. Dia semakin seronok melayan angan. Dan tiba-tiba Melly muncul di situ mengejutkan lamunan lelaki itu.
“Nah! Puan sri suruh you try produk ni pada bakal isteri you supaya you tak tidur malam,” ujarnya sambil beberapa risalah diletakkan di atas meja Imran.
“Ha?” Imran ternganga seketika. Namun pantas tangannya mencapai apa yang ditinggalkan Melly.
Payudara anda leper? Mengelembir? Tidak seksi? Kini anda tidak perlu gusar lagi. Gunakanlah produk kami. Dijamin mantap! Pasti suami anda tidak mahu tidur malam.
Spontan dia menekup wajah setelah membaca apa yang tertera di atas risalah itu. Cis! Apa leper-leper ni semua? Buat malu aku aja! Getus hatinya sebal.

“I kesian tengok Encik Imran tu. Buat kerja sampai tak sempat nak lunch, puan sri. Dia tu memang berdedikasi dan bertanggungjawab,” adu Melly.
Spontan Fatyma mengangkat pandangannya ke hadapan. “I tak pernah suruh staf kerja mati-matian sampai tak sempat nak makan, Melly.” Fatyma sekadar menjawab biasa.
“I tahulah. Tapi dia tu, memang seorang yang bertanggungjawab. I nampak dia cuba buktikan kemampuan dia. Dan I nampak dia sanggup berkorban apa saja asalkan kerja yang you suruh, dapat diselesaikan cepat. Dia tak suka main-main dalam kerja,” ujar Melly pula.
Fatyma sekadar diam tanpa komen. Suapannya diteruskan menandakan apa yang diluahkan Melly tidak penting untuk difikirkan.
“Kalau I jadi bos, I akan rasa bersalah. I makan sedap-sedap. Staf I kebuluran kat atas sana. Risau. Takut dia sakit nanti,” omel Melly tanpa memandang wanita itu.
Tersentap Fatyma mendengar bicara gadis itu. Sebahagiannya macam memperli dia aja? Namun Fatyma terus berdiam diri. Dalam kebisuan itu dia terus memikirkan lelaki seorang itu. Sikap dan setiap tutur kata Imran melekap erat di benaknya. Membuatkan dia merasa semakin sulit mahu berhadapan dengan lelaki itu. Mudah untuk dia menolak cinta Imran. Namun kadang kala renungan lelaki itu membuatkan dia resah dalam diam. Dan dia tahu lelaki itu sentiasa mengambil berat akan dirinya.
“Bertuah perempuan yang dapat suami macam Imran tu. Kalau I, I tak akan tolak tuah. Dia tu baik sangat. Selalu buat I ketawa,” ujar Melly lagi.
“Bila you nak berhenti bercakap pasal Imran, Melly?”
“Ha? You tak suka ke I bercakap pasal dia? Sorry, bos. I tak sensitif dengan keadaan you.” Melly membalas perlahan.
Fatyma mendengus perlahan. Semakin dia mahu menjauhi lelaki itu, semakin itu dia dibawa dekat kepada Imran.
“I rasa semua ni dah menyimpang jauh dari soal kerja. I tak mahu ada apa-apa hubungan istimewa dengan lelaki tu. Dan I nak dia jauhkan diri dari I,” jelas Fatyma rendah.
“I faham, puan sri. Sekadar mengambil berat sebagai bos dengan pekerja tak apa-apa, kan? Macam dia. Dia selalu ambil berat tentang you. You sakit dia risau. Apa salahnya you pun ambil berat pada dia. Macam you ambil berat tentang I.”
“I tak mahu dia salah anggap nanti. Dia lelaki. You tu perempuan, Melly. Besar bezanya.”
Melly terus berdiam menikmati makanannya. Namun fikirannya terus berkisarkan lelaki seorang itu. Kasihan Imran. Jatuh cinta tapi cinta tak disambut.
Usai makan tengahari, Fatyma meminta bil. Tanpa menunggu Melly selesai makan, dia berlalu membiarkan Melly sendirian di situ. Lagi pula waktu makan tengahari masih bersisa berberapa minit. Dia ingin segera menunaikan solat zuhur.
“Apalah puan sri ni. Orang dah betul-betul suka, terima ajalah. Kalaulah Imran tu sukakan I, dah lama I layan dia. Ego sangat. Penat aja I melobi si Imran tu. Tak laku jugak!” rungut Melly seorang diri.

“HAI. Belum balik?” sapa Imran di celahan pintu.
“You nak apa?” balas Fatyma cuba berlagak biasa.
Imran terus masuk ke dalam ruangan wanita itu. “Mana Melly? I tak nampak dia.”
“Dah balik. You nak apa?” balas Fatyma malas mahu berbasi basa lagi.
“I perlukan semua dokumen berkaitan tanah di Kinta tu, puan sri.”
“Sekarang?” tanya Fatyma lantas memandang jam tangannya. Sudah hampir jam enam petang. Dia sudah mahu pulang.
“Ya,” jawab Imran bersungguh.
Mahu tidak mahu Fatyma bangun mendekati sebuah kabinet di sudut kamarnya. Imran ikut mendekati Fatyma.
“Hari ni I tak dapat bercakap dengan you langsung. I rindu nak dengar suara you,” ucap Imran sambil berdiri di tepi wanita itu.
Fatyma sekadar mengerling sedikit. Dia dah mula dah, bisik hati wanita itu resah.
Tidak ketemu dokumen yang dicari di atas, Fatyma membuka laci yang paling bawah. Satu fail diambilnya lalu dibuka. Kemudian dia bangun dalam pada pandangannya masih kepada fail tersebut. Dan dengan satu tolakan menggunakan kaki, laci kabinet itu tertutup. Fatyma berpaling mahu ke mejanya.
“Don’t move!” tegur Imran cepat. Namun amaran yang diberi terlambat tiba.
“Auww..” terjerit perempuan itu akibat terkejut. Saat dipandang ke belakang hujung kainnya sudah tersepit di celahan pintu kabinet.
“Apa you buat?” cepat sahaja Fatyma mencari orang untuk dituduh.
“Apa I pulak? You yang tutup drawer tu macam tu aja,” balas Imran sambil menunduk. Kain perempuan itu cuba ditariknya perlahan-lahan.
“Cepatlah bukak kebinet ni! You tarik kain I, koyak nanti!”
“Biarlah. I aja yang tengok,” jawab Imran selamba.
Semakin geram Fatyma dengan jawapan main-main lelaki itu. “Tepilah!” Imran ditolaknya menjauh.
“Janganlah tolak I, sayang. I nak tolong you ni. Degil! Ada jugak yang kena cium ni nanti.”
Berderau darah Fatyma serta merta. Lembik lututnya mendengar nada separuh mengusik itu. Sudahnya dia pegun di situ. Bimbang sekiranya dia berdegil, ugutan itu akan menjadi nyata.
"See? Senang aja, kan? You suka sangat main tolak-tolak dengan I. Kalau suka I, cakap aja terus terang. I pun suka you," ucap Imran selamba.
"Shut up, please!!" marah Fatyma sambil menjeling tajam. Semakin lama semakin tidak keruan dia dibuat oleh lelaki ini. Mengapa lemah benar jiwanya? Kuasa apa yang dimiliki oleh lelaki ini sehingga jiwanya kerap terusik dalam diam biarpun dengan kata-kata yang biasa? Di mejanya Fatyma membelek isi kandungan fail itu seketika sebelum diserahkan kepada Imran.
“Semuanya ada dalam tu termasuk salinan geran,” ucap Fatyma tanpa mahu memandang wajah sang lelaki.
Imran mengangguk. Fail itu diambilnya sambil memandang wanita itu. “I tahu, beberapa hari ni you cuba mengelak dari I.”
“Baguslah kalau you faham,” ucap Fatyma dalam ketenangan yang dibuat-buat.
“Tapi semakin hari I nampak you semakin cantik. Forgive me. I tak mampu lepaskan apa yang I rasa tentang you,” ucap Imran lembut.
“Imran, sudahlah. I tak mahu keadaan kita terus begini. I nak berkerja pun tak senang. Jangan buat I serba salah. I tak happy dengan keadaan ni. Selagi you masih mahu bercakap soal ini, I memang tak happy. I tak peduli apa yang perlu dikorbankan asalkan you lupakan semua ni, Imran. Lelaki seusia you memang tak pernah ada dalam angan-angan I selama ni. I tak mahu memangis kemudian hari.” Fatyma membalas dengan riak tanpa emosi di wajah.
“Apa yang you maksudkan sekarang ni? You rasa I main-mainkan you ke?”
“No. I tahu you lelaki yang baik. Tapi I yang tak boleh terima you. Banyak yang I nak kena fikir sebelum buat keputusan, Imran.”
“Salah satunya anak?” teka Imran
“Ya. Keputusan yang perlu buat, I perlu fikir tentang anak-anak I terlebih dulu.”
“Jadi sebab anak-anak you pilih bersendirian sampai bila-bila?” ucap Imran agak serius nadanya. Alasan yang diletakkan Fatyma di antara mereka langsung tidak mampu meredakan kekecewaannya.
“Baguslah kalau you faham,” jawab Fatyma seolah tidak berperasaan.
Lama mereka berdua berpandangan sehingga lelaki itu tunduk akhirnya. Tidak ingin kesan kekecewaan kelihatan di hadapan mata wanita itu.
“Okay. I’m so sorry.” Imran menghela keluhan perlahan. Fatyma langsung tidak mahu memandangnya. Dia kecewa.
“I keluar dulu,” ucap Imran akhirnya.
Wanita itu terus pegun tidak memberi sebarang reaksi. Tanpa kehadiran sesiapa di kamar itu, Fatyma terus termenung sendiri. Senangkah hatinya saat ini?  Perlahan sebuah helaan nafas panjang dilepaskan Fatyma. Entah kenapa dia rasa benar-benar sedih saat ini.
Sebelum keluar dari kamarnya, Fatyma terpandangkan kamar Imran masih terang benderang. Dia tahu lelaki itu masih belum berhasrat untuk pulang sedangkan ruangan pejabat sudah lengang. Entah bagaimana hatinya bagaikan ditarik-tarik mahu mendekati kamar lelaki itu. Namun seketika kemudian langkah Fatyma terpaku melihat seseorang sedang berbual dengan Imran.
“Ehemm.” Fatyma sekadar berdeham mahu menyedarkan dua manusia yang sedang ralik berbual. Salah seorangnya duduk bersandar pada tepian meja Imran.
“Eh! Puan sri, belum balik?” sapa gadis itu lantas menjauhi bosnya itu.
“You?” balas Fatyma buat-buat selamba. Benci dia mahu memandang raut lelaki itu. Sebentar tadi bermain ayat-ayat cinta dengannya. Sekarang? Melayan perempuan lain.
“Encik Imran suruh I stayback dengan dia. Ada kerja nak siapkan. Urgent,” ujar Johanna serba tidak kena dengan pandangan tajam Fatyma.
Fatyma menggangguk semata. Sempat lelaki itu dikerlingnya. Wajah lugu Imran semakin menyakitkan hatinya. Macam orang tidak bersalah lagak lelaki itu. Sudahnya dia berpaling untuk berlalu.
“Tunggu sekejap,” ucap Imran kepada gadis itu.
Johanna sekadar mengangguk sambil memandang Imran keluar dari kamar itu. Api di dalam dada wanita itu semakin marak saat melihat Imran mendekatinya.
“You nak apa lagi?” meninggi suara Fatyma tiba-tiba.
“I temankan you sampai bawah.”
“Tak payahlah nak tunjuk baik, Encik Imran. I tahu turun sendiri,” jawab Fatyma keras.
“Yang you marah I ni kenapa?” balas Imran tidak senang.
“Ikhlas konon,” ejek Fatyma lantas ketawa sinis. Pintu lif sudah terbuka luas. Fatyma segera masuk. Imran ikut masuk ke dalam.
“Tak payah menyibuk kat sini. I tahu balik sendiri. Get out!” bentak Fatyma semakin tidak senang dengan kehadiran lelaki itu.
“I tak faham, kenapa I kena marah sekarang ni? I ada buat salah ke?” ucap Imran bersungguh.
Fatyma mula memandang lelaki itu. “I marah diri I sendiri. Kebodohan I selama ni sebab I mudah percaya pada you. You dekati I tapi dalam masa yang sama you layan perempuan lain. Itu you kata ikhlas??”
“You tak nak I. You tolak perasaan I mentah-mentah. Tapi bila I layan perempuan lain you marah?” balas Imran mula serius.
“Keluar sekarang, Imran!” tegas Fatyma.
“I akan keluar lepas you jawab kenapa you marah I sekarang ni, puan sri. I takde buat apa-apa pun dengan Johanna. Dia hanya tolong I,” balas Imran bersungguh.
“Tolong? Macam tadi tu tolong??” tanpa sedar suara Fatyma mengeras lagi. Turun naik dadanya menahan geram.
Imran menghela nafas perlahan. “I takde buat apa-apa yang pelik pun tadi. I yang panggil dia ke bilik I. Jangan disebabkan itu, you tuduh I yang bukan-bukan. Dia duduk tepi meja I. Bukannya atas riba I,” ucap Imran lantas punat ditekan sehingga pintu lif tertutup.
Fatyma mendengus sambil memandang ke arah lain. Berduaan dengan lelaki ini hanya membuatkan hatinya semakin berbahang panas.
“I minta maaf. Takde apa yang berlaku antara kami berdua. Sumpah!” ucap Imran bersungguh.
Fatyma ketawa sinis. “Kalau I tak tegur tadi agaknya dia ada atas riba you akhirnya, kan?”
“Takpelah. Kalau dah begitu akhirnya, siapalah I nak menghalang, puan sri. Cuma, I betul-betul tak faham. Mulut kata tak suka tapi cemburu. Macam mana tu?” balas Imran selamba.
Berderau darah Fatyma mendengar ujaran selamba lelaki itu. Spontan beg tangannya dihayun ke arah lelaki itu untuk melepaskan geram. Gelagat Fatyma membuatkan lelaki itu ketawa pula.
“Tak kuasa nak cemburu.”
“Ialah. Siapalah I ni kalau nak dibandingkan dengan lelaki-lelaki kenamaan yang pernah tergila-gilakan you, puan sri. I bukan tan sri. I ni lelaki biasa aja.”
“Jangan nak mengada-ada. I tak pernah terfikir sampai ke situ,” getus Fatyma benar-benar tidak senang dengan kata-kata Imran.
“Come,” ajak Imran setelah pintu lif terbuka luas. Wanita itu dihantar sehingga ke kereta yang sedang menanti. Sebelum wanita itu masuk ke dalam kereta, Imran sempat mencapai lengan perempuan itu.
“I tak rela biarkan hidup sendiri. I nak temankan you. Jangan jauhkan diri dari I. I tak sanggup tanggung kekecewaan tu. I tak sekuat itu,” ucap Imran separuh merayu.
“Imran, anak I Adira tak boleh terima lelaki lain dalam hidup kami. You takkan faham apa yang I lalui selama ni.”
“Buat I faham. Biarkan I berkongsi rasa tu, sayang. I tak berdiri depan you sekadar untuk menabur janji kosong. Please, bagilah I peluang. Jangan minta I lupakan you.”
“Cukuplah, Imran. Jangan teruskan. I yakin di luar sana lebih ramai perempuan yang jauh lebih baik berbanding I. Lebih sepadan dengan you. I ni dah tua. I sedar diri I ni siapa,” balas Fatyma bersungguh.
Sayu pandangan lelaki itu meratah raut di hadapan matanya. Perlahan Imran mengangguk. Tangan wanita itu dilepaskan.
“Jangan balik lambat sangat,” ucap Fatyma lembut.
“See you tommorow.”
Fatyma sekadar mengangguk sebelum masuk ke kereta. Seterusnya kereta itu terus berlalu. Imran terus berdiri di situ memandang kereta itu kian menjauh bersama hati yang retak seribu. “Hai, Imran. Kenapalah dalam ramai-ramai, perempuan tu yang kau nak. Sudahnya kau jugak yang merana,” keluhnya sambil menggeleng sendiri.

Bab 9
I rasa macam nak mati rindukan you.
Fatyma mendengus tatkala melihat mesej dari Imran. Awal pagi Imran dah menganggu dia. Laju tangannya menulis sesuatu untuk lelaki itu.
I dah kata jgn sms I! Tak faham ya?
Fatyma mengeluh perlahan sambil menyimpan telefon itu di dalam beg tangannya. Namun seketika kemudian kedengaran lagi bunyi pada gadjet itu.
I love you, puan sri. I tak mampu lupakan you.
Makin kuat dengusan Fatyma. Tidak sedar ada mata sedang memerhatikan kelakuannya. Laju tangannya menaip.
Imran, sudahlah. Jangan ganggu I. Anak I ada dengan I ni!
“Siapa tu, ma?” tegur Adira hairan melihat wajah emaknya berubah.
Fatyma segera memandang anaknya yang sedang bersarapan. “Err. Melly. Dia MC hari ni. Dia baru aja mesej mama.” Alasan yang melintas sekali lalu dibenaknya itu segera diberikan kepada anaknya.
Baru sahaja Fatyma mahu meletakkan telefonnya di dalam beg, ada lagi sms masuk ke telefonnya. Fatyma menghela nafas lagi. 
I nak mengadu dengan mak I. You tolak cinta I. Biar mak I marah you. I merana ni, puan sri. You langsung tak kesiankan I.
Fatyma menggeleng lagi. Sengal! Getus hatinya geram. Miang lelaki ini makin tak terkawal pula. Stres dia jadinya. Tanpa memandang Adira dia segera membalas sms Imran.
Im, I ni dah tua! Jangan buat I macam budak-budak, boleh tak??
“Mama tahu tak..” suara Adira kedengaran lagi mencantas keralikan Fatyma kepada telefon itu.
Pantas Fatyma memandang anak daranya itu. “Tahu apa, sayang?”
“Kawan sekelas Dira. Mak dan ayah dia dah bercerai beberapa bulan yang lepas. Then baru-baru ni dengarnya mak dia nak kahwin lain,” cerita Adira sambil memandang hidangan di dalam pinggannya.
“So?”
“Mama dia nak kahwin dengan dengan lelaki umur hampir sebaya dengan abang dia tau, ma. Bakal bapak tiri dia muda. Tak macam mama dia, dah tua. Eee.. menyampah gila! Kenapa nak kahwin dengan lelaki semuda itu? Tak sedar diri betul,” cerita Adira siap dengan mimik jengkel di wajah.
Serta merta berderau darah Fatyma mendengar ucapan anak daranya itu. Berdesing telinganya terasa disindir. Alahai.. aku pun apa kurangnya berbanding mama kawan si Dira itu.. keluh hati Fatyma sendiri.
“Kalau mama kahwin dengan lelaki semuda itu, Dira pun akan cakap macam tu ke pada mama?” soal Fatyma sengaja mahu menduga.
“Mama tak payah kahwin lagi. Mama dengan Dira aja. Dira tak suka ada bapa tiri. Dira benci!” jawab Adira selamba.
“Tak baik Dira cakap macam tu. Entah-entah bapa tiri kawan Dira tu baik orangnya,” nasihat Fatyma lembut.
“Biarlah baik ke apa. Mama dia tu tak malu ke orang semua mengata.”
“Habis tu perempuan macam mama, macam kawan mama Dira tu, tak boleh kahwin langsunglah selepas bercerai ya?” duga Fatyma sambil memandang anaknya lagi.
“Ialah. Anak-anak ada. Jaga ajalah anak-anak kat rumah. Buat sibuk nak bercinta lagi. Tak sesuai kut. Dah tua buatlah cara tua.” Semakin sedap Adira meluahkan kata-kata mengikut kehendak hatinya.
Kali itu Fatyma terdiam. Berdesing juga telinga dibuat oleh anaknya. Dah tua buat cara tua??
“Kalau dah jodoh mama dia tu dengan lelaki muda. Apa kita boleh buat. Kita tak berhak menghalang. Itu semua qada’ dan qadar Allah,” ucap Fatyma perlahan.
Adira diam mendengar kata-kata ibunya. Keningnya terus berkerut-kerut sendiri. Masih ada yang membelenggu fikirannya.
“Kalau mama terpaksa berkahwin sekali lagi. Takkan Dira nak bencikan mama sampai bila-bila?” sengaja Fatyma menduga pendirian sang anak.
Tersentak Adira mendengar ucapan ibunya. “Dira tak mahu ada kehadiran orang luar dalam keluarga kita. Dira tak suka ada bapak tiri,” bantah Adira begitu cepat.
Fatyma menghela nafas perlahan. “Kenapa dengan ayah tiri?” tanya Fatyma lagi.
“Ayah tiri ni jahat.”
“Tak semua orang macam tu. Ada aja orang ada ayah tiri yang baik,” ujar Fatyma pantas.
“Kenapa mama tiba-tiba cakap pasal ni? Mama pun nak kahwin lagi ke? Mama dah ada boyfreind??” balas Adira semakin tegang nada suaranya kepada si ibu.
“Janganlah marah-marah mama. Mama saja tanya. Dira ni sensitif betullah. Yang nak kahwin tu mama kawan Dira. Bukannya mama Dira ni. Dira marah mama pulak.” Cepat-cepat topik itu ditutup oleh Fatyma. Kalau dibahas lagi, mahu bergaduh mereka anak beranak.
Biarpun berdiam Adira terus memandang Fatyma. Cuba mencari apa-apa yang mungkin sedang disembunyikan ibunya. Namun dia keliru.

SESUNGGUHNYA rasa itu tidak semudah itu boleh dilepaskan dari hati. Apatah lagi jika kerap mereka bertemu.
Kawasan lobi bangunan itu sudah lengang. Kebanyakan pekerja sudah masuk ke pejabat. Imran terus berdiri di sebelah Fatyma.
“Puan sri..” sapa Imran.
Fatyma pantas menoleh kesebelahnya. Sekadar senyum biasa diberikan tanpa memandang lelaki itu lama-lama. Dia tidak sanggup lagi bermain dengan perasaan.
“Dah breakfast?” suara Imran kedengaran lagi.
“Dah. You?”
Imran menggeleng sedikit sambil memandang ke arah lif. Lif dilihatnya sedang bergerak menuju ke bawah.
“I tersedar lewat tadi. Sangkut dalam jem. Ni baru sampai,” jawab lelaki itu lembut. Fatyma sekadar mengangguk. Entah kenapa dia rasa kekok dengan keadaan dia dan Imran saat ini. Lelaki ini nampak serius sahaja.
“Pergilah breakfast dulu,” suruh Fatyma sekadar mahu mengisi ruang dengan kata-kata.
“Jom sekali? I ada hal nak bincang,” ajak Imran lembut.
“Tentang?” kening Fatyma berkerut memandang gelagat Imran. Hatinya terus berharap. Janganlah Imran merayu-rayu lagi.
“Pasal tanah di daerah Kinta tu. I ada buat research sikit tentang projek tanaman sawit. Dan ada orang sudi tolong kita.”
Mendengar itu Fatyma mengangguk akur. Sudahnya mereka ke cafe.
“Sampai sekarang I masih tertanya-tanya, macam mana wakil dari Mahawangsa boleh contact Razak tentang tanah tu? Lebih pelik lagi macam mana dia tahu tentang tanah milik syarikat,” ujar Imran setelah mereka selesai membuat pesanan.
“Dia ramai kawan kat KL ni,” jawab Fatyma perlahan.
“Oh. Dia orang lama, kan? Dah tentu ramai contact. Tapi Tan Sri Ahmad tak pernah bercakap dengan you sendiri tentang itu. Semuanya melalui Razak. Dan semuanya datang tiba-tiba. I tak berapa sedap hati.”
“Ada apa-apa yang patut I tahu tentang Razak ke, Im?” Fatyma terus bertanya. Memang benar kata-kata Imran itu. Macam ada sedikit keanehan tentang semua itu. Razak lebih kepada orang kepercayaan arwah Rafizi. Bukan dia.
“Takde apa-apa. I saja tanya aja.” Imran menggeleng perlahan. Bimbang dia tersilap menuduh. Bahaya.
“So, you kenal ke Tan Sri Ahmad tu?” tanya Fatyma tentang lelaki itu pula.
Imran menggeleng lagi. “I kenal anak saudara dia. Sebetulnya baru kenal. Lepas I hubungi seseorang di sana,” jawab Imran jujur.
“You hubungi mereka untuk apa?”
Imran diam seketika. Memberi peluang pelayan meletakkan minuman yang mereka pesan. Buat sesaat dua lelaki itu terus membisu. Berfikir tentang sesuatu.
“I tertanya tentang status tawaran tu. Sama ada sudah dijawab atau tidak. Idayu kata masih belum ada sebarang jawapan dari pihak kita.”
“Really? Razak tak cakap apa-apa ke?” kening Fatyma mula berkerut. Kalau tidak salah dia sebelum ini dia sudah meminta Razak menyelesaikan masalah itu. Kata putus sudah diberikan. Mengapa pihak sana masih berkata begitu?
“I tak tahu. I berat hati nak tanya dia tentang itu. I nak tengok dulu. Macam ada yang tak kena dengan dia tu. Tapi pada wakil Mahawangsa Group, I dah tolong jawab. Mungkin ada baiknya you berjumpa sendiri dengan Tan Sri Ahmad. I dengar nilai tawaran yang disebut Idayu, hanya 20 million. Bukan 40 million.”
Fatyma tersentak dalam diam. Riak wajahnya mula berubah. “Maksud you ni, ada orang cuba ambil untung atas angin ke?”
“I pun tak tahu kenapa maklumat yang ada pada kita tu salah. Seingat I Razak kata 40 million. Tapi Idayu bukan CEO. Dia cuma beritahu apa yang disebut dalam meeting sebelum ni. Mungkin ada salah faham di sini.”
“I tak berminat sebab tu I tak pernah terfikir nak contact Tan Sri Ahmad sebelum ni. Sekarang I rasa I patut jumpa dia. I tak mahu guna orang tengah lagi. Susahlah kalau selalu macam ni.”
Imran diam. Keruh di wajahnya semacam ada sesuatu yang masih tidak difahaminya. Namun kehadiran pelayan membawa makanannya mencantas apa yang sedang difikirkan.
“Betul you tak mahu makan?” pelawa Imran lembut.
“I kenyang lagi ni,” jawab Fatyma perlahan. Tanpa sedar gelagat lelaki itu dipandang tanpa jemu.
“So, siapa yang you kata sudi bantu kita tu?” Fatyma kembali bersuara seketika kemudian.
“Idayu tulah.”
“Oh. Idayu lagi. Berapa umur Idayu ni? I tak pernah kenal sesiapa dari Mahawangsa group. Pantas betul you berkenalan dengan anak saudara CEO tu ya? Cantik ke orangnya?”
Spontan Imran mengangkat pandangannya. Nada Fatyma lain macam. Kerlingan ekor mata Fatyma cukup mudah difahaminya.
“You ni selalu macam ni. Asal ada perempuan dekat dengan I, mulalah you fikir lain. I tak pernah jumpa dia. Cuma berbual melalui telefon. Kalau tak salah I, dia dah bersuami. Anak seorang. Takkanlah I ni kejam sangat nak ganggu hak orang? Depan mata I sekarang ni ada hot mama. Janda pulak tu. Mata I ni dah tak boleh pandang tempat lain. Asyik nak pandang dia aja. Cuma dia aja suka main tarik tali dengan I. Suka tengok I terseksa,” omel Imran selamba.
“You ni kalau tak mengarut dalam sehari tak boleh ya?” tukas Fatyma mula ditimpa rasa segan sendiri. Hot mama konon!
“I cakap yang betul.”
“So apa dia kata?” tanya Fatyma segera kembali ke topik asal.
“Projek usahasama. Mereka takde tanah. Tapi ada kepakaran dan sedikit modal. Kita ada tanah lebih seratus hektar. Tapi takde kepakaran. Mungkin kita boleh berkongsi usahakan sesuatu. Mahawangsa Group perlukan tanah tu untuk projek tanaman sawit. Ladang yang ada dah tak mampu nak tampung permintaan minyak sawit. Ini cadangan awal saja. I cuma dengar. Mana yang I rasa okay, I kemukakan pada you. Sekurang-kurangnya apa yang dia cakap tu lebih sedap didengar berbanding cadangan Razak supaya jual aja tanah tu. Sebab tu I kata you kena jumpa Tan Sri Ahmad tu,” jelas Imran bersungguh.
Fatyma diam tanpa jawapan. Mungkin ada baiknya dia menuruti cadangan Imran agar berbincang dengan pihak sana. Ada kebaikan yang dapat dikongsi bersama.
“Apa pendapat you tentang Razak tu?”
Imran menggeleng serta merta. “Pendapat I, I tak suka dia. I tahu dia pun tak suka I.”
Why?” sambut Fatyma sambil ketawa kecil. Dia selalu merasakan dua lelaki ini saling bersaing untuk membuktikan kehebatan kepadanya.
“I tahu dia pandang rendah pada I. I pulak memang tak suka orang yang suka cakap besar,” jawab Imran lagi.
“Dia tak suka you mungkin sebab you rampas angan-angan dia selama ni. I tahu dia harapkan jawatan GM. Dia bengang dengan I. Sekarang I nampak dia buat apa saja yang dia suka semata-mata nak tunjuk protes pada I.”
“So, kenapa you biarkan? Dia dah tak layak jawat jawatan tu. Dia buat macam tu, I yang susah. Kerja dia I yang kena buat,” komen Imran pantas.
Fatyma menghela nafas perlahan. “Tidak semudah itu, Im. I ada banyak perasaan yang perlu dijaga.” Lirih luahan Fatyma saat itu.
“Maksud you?”
“Razak tu dua pupu dengan arwah suami I. Mereka berdua memang rapat semenjak kecil. Sekiranya I pecat Razak, I akan dimusuhi oleh keluarga Rafi. Biarlah. I nak tengok sejauh mana dia nak buat perangai macam tu.”
Terdiam Imran merenung tampang Fatyma. Ada sesuatu yang sedang ditahan wanita itu. “Kalau you nak bercerita, I sedia mendengar.”
Fatyma menggeleng perlahan. Kisah itu tidak mahu diperpanjangkan saat ini. Biarlah disimpan saja.
“So, I akan minta Melly tetapkan waktu perjumpaan dengan Tan Sri Ahmad. I nak you ikut I nanti,” ujar Fatyma kembali kepada pokok utama.
“Of course.” Imran mengangguk akur sebelum kembali menyuap makanan.
Biarpun perbincangan sudah selesai, Fatyma memilih untuk terus berada di situ.
“You balik pukul berapa semalam?”
“Lambat. Pukul 10 lebih kurang. Tidur pun lambat. Tak boleh tidur.” Lelaki itu menjawab perlahan.
“Kenapa pulak tak boleh tidur?” tanya Fatyma lagi dengan sedikit kerutan di kening.
“Ingat youlah. Rindu,” balas Imran selamba.
Berubah wajah wanita itu serta merta. Imran sempat ketawa gelihati.
“Main-main!” desis Fatyma geram. Sempat dia menyangka Imran ada masalah tidur. Rupanya masalah angau!
“Sebelum tidur I mesti fikir tentang you dulu. I terfikir, malam ni you pakai baju tidur warna apa. Seksi ke tidak. Sebelum tidur you mesti duduk depan cermin sikat rambut. Pakai losen kasi wangi. Lepas tu naik atas katil. ambil bantal, peluk erat-erat. Seolah-olah bantal tu adalah I,” ujar Imran sambil menyeringai.
Fatyma hanya mampu menjeling. Ikutkan hatinya mahu sahaja lelaki miang itu diketilnya.
“Kadang-kadang I rasa semua ni macam mimpi. I tak pernah bayangkan I akan jatuh cinta pada bos sendiri. Ini semua betul-betul buat I rasa macam nak gila. I tak tahu macam mana nak tepis perasaan yang I ada sekarang,” luah Imran perlahan. Fatyma tunduk sedikit tidak mampu menjawab apa-apa. Resah dengan bicara itu. Hatinya berdenyut oleh rasa indah. Tetapi, dia sedar di mana dia berpijak sekarang.
“Apa yang patut I buat, puan sri?”
“Dengan I akan ada macam-macam halangan, Imran. Keluarga I. Keluarga you sendiri pun mungkin susah nak terima pilihan you. Apa yang ada perempuan yang dah nak senja macam I ni? Hari ni I nampak muda. Sepuluh tahun kemudian, I mungkin dah tak mampu beri apa-apa lagi kepada you. Cabarannya terlalu banyak,” jawab Fatyma cuba membuat lelaki itu mengerti apa yang sering bermain dalam fikirannya.
“Dalam dunia ni ada bermacam-macam jenis manusia saling jatuh cinta. Sesetengahnya berjaya hadapi segala macam cabaran. Pengakhirannya mereka reda dengan takdir Allah. Kenapa kita tidak? Puan sri, you tahu tak betapa seksanya bila kita sayangkan seseorang sedangkan orang tu asyik menolak kita jauh dari dia. I tahu you lebih tua dari I. I tahu you ada anak-anak. Kalau I kisah tentang jarak usia tu, I takkan merayu-rayu macam ni. Please, sekurang-kurangnya I tak mahu mengalah terlalu awal. Sekurang-kurangnya I nak you tahu yang I takkan biarkan you merana hidup dengan lelaki macam I,” ucap Imran bersungguh.
Fatyma diam. Kemudian dia menghela keluhan sendiri. Semakin ditolak, semakin dekat lelaki ini kepadanya.
“Kadang-kadang I rasa serik dengan janji manis lelaki. Kemewahan yang ada buat I rasa makin susah nak hidup macam perempuan lain. Lepas arwah Rafi pergi I tak pernah terfikir nak cari pengganti. Bukan sebab anak semata-mata. Tapi sebab I pernah sengsara sebab lelaki. Tak semudah itu I boleh lupa kehidupan I dengan Rafi. Kadang-kadang I rasa dia macam selalu ada di sekeliling I. Kerana dia I susah nak terima lelaki lain,” ujar Fatyma perlahan.
“Tapi dia dah takde, kan? I tak mahu you anggap I sama macam Tan Sri Rafizi. Atau mana-mana lelaki yang pernah buat you sengsara. Puan sri, mungkin you tak tahu di mana I letakkan seorang perempuan yang I sayang. Dan you mungkin tak nampak apa penilaian I pada makhluk bernama perempuan. Kalaulah I mampu, I tak mungkin biarkan perempuan yang I sayang menanggung kesusahan sepanjang hidup dia. Apatah lagi kerana seorang lelaki. I mengangkat tinggi kaum perempuan, sebab I tak mampu bayar balik setiap kesusahan yang dilalui oleh seorang ibu demi melahirkan zuriat ke dunia ni. You pun seorang ibu. Mak I juga ibu. Dalam hati seorang ibu kaya dengan kasih sayang. Kadang-kadang you tak sedar, I pun nampak kasih sayang tu. Tapi di sebelah you takde sesiapa yang temankan you. Untuk memberi apa yang you berhak terima sebagai perempuan dari seorang lelaki. I nak jadi lelaki tu. Beri I peluang, puan sri. Terlalu awal untuk you menolak I sekarang,” pujuk Imran bersungguh.
Dalam kebisuannya mata perempuan itu berkaca entah kenapa. Kelembutan kata-kata Imran membuatkan dia dibaluti rasa sedih tiba-tiba. Sekian lama mata hatinya dihidang dengan keegoan seorang suami. Hari ini seorang lelaki hadir membawa sedikit kelembutan sebagai pengubat lara.
“Sayang, I minta maaf kalau you tak suka dengan apa yang I cakap tadi. I takde niat nak buat you menangis,” pujuk lelaki itu perlahan.
“No. Bukan sebab you,” balas Fatyma pantas menyeka air mata yang mahu turun. Sedikit senyuman diberikan kepada lelaki itu dalam pada kesedihan itu cuba disembunyikan.
“I tahu bukan senang kita nak berdepan dengan masyarakat. Tapi I lebih rela cuba berdepan dengan semua masalah berbanding mengalah hari ni. I tahu apa yang ada dalam hati I sekarang ni lebih berharga berbanding tanggapan orang lain pada kita. I sayangkan you. I tak mahu tabur kata-kata kosong yang kononnya I ikhlas. I nak you beri peluang pada diri you untuk kenali siapa I sebenarnya. You takkan menyesal,” ujar Imran lagi.
“You ni memang berani, kan? You tahu I ni siapa? I ni bos you. Tapi you dengan muka tak tahu malu mengaku sukakan I. Asal berdua aja, mulalah buka ayat nak memikat,” getus Fatyma sambil menjeling. Rasa hati yang berbunga-bunga cuba diselindungi sebaik-baiknya.
Imran ketawa perlahan. “I pertaruhkan kerjaya I di sini untuk dapatkan perempuan yang I suka. I tak peduli kalau I terpaksa cari kerja lain. I tetap nak you!” jawab Imran bersungguh.
“Dah. Malas nak layan. I nak naik ni,” rengus Fatyma malas mahu mendengar. Dia sudah terasa akan kalah bila-bila masa sahaja kepada lelaki ini.
“Tunggulah kejap. Kita belum habis bincang lagi ni. You belum bagi jawapan,” pujuk Imran semakin mendayu-dayu.
Perlahan Fatyma mula menghela nafas dalam sebelum kembali membuka bicara. “I suka you. I tahu you lelaki yang baik, Im. Dan you ni memang tak reti bahasa!”
“Okay. Itu boleh jadi mukadimah yang baik..” sambut Imran cuba untuk menenangkan dirinya.
“You tahu, I tak pernah buat macam ni. I tak tahulah kenapa dengan you ni I jadi macam ni,” ucap Fatyma lagi.
“Jadi yang macam mana maksud you ni? Jatuh cinta pada I?” balas Imran mula menayang sengih.
Fatyma menggeleng sendiri sambil tersenyum. “Kadang-kadang I rasa nak renyuk-renyuk aja muka you ni. Geram!”
“Itu tandanya you memang suka pandang I. Tapi tak mahu mengaku,” balas Imran lantas tergelak seronok. Makanan yang masih belum habis kembali disuapnya. Lapang selapang-lapangnya ruang di dalam dada.
Fatyma hanya mampu menggeleng. Satu soalan yang masih tidak mampu dijawabnya sehingga kini. Kalau benar dia tidak senang dengan semua ini, mengapa dia masih membiarkan Imran mendekatinya? Selama mana dia mampu membohongi hatinya sendiri?
Namun saat terbayangkan wajah Adira, senyum Fatyma kian layu. “Anak I tak suka mana-mana lelaki hadir dalam hidup I, Im. Adira, dia berani zahirkan penentangan bila I sebut pasal kahwin. She is so complicated,” ujar Fatyma seketika kemudian.
“I dah dapat agak semenjak I dengar you sebut pasal anak waktu kita di Gunung Lang hari tu,” jawab Imran tenang sahaja. Tidak terkejut langsung.
Fatyma menggeleng perlahan. “So, kenapa you masih nak membuang masa? Apa yang ada depan I bukan senang, Im.”
“Sebab perasaan ni tak boleh dipaksa-paksa, sayang. I tak boleh paksa diri I jatuh cinta pada si fulan atau lupakan si fulan. Sekurang-kurangnya I tak mahu mengalah sebelum I berusaha selesaikan masalah yang ada. I hanya akan mengalah kalau benar tiada jalan untuk I memiliki you.”
Fatyma diam memandang lelaki itu. Keteguhan dan kesungguhan Imran selama ini membuatkan dia terharu. Tidakkah seharusnya dia juga memberikan ruang untuk melihat samaada mereka mampu mengharunginya atau tidak? 



BAB 10
“MAMA.”
Laungan itu menyentak keralikan wanita itu berbual di telefon. “Anak I panggil. I’ll call you back,” bisik Fatyma pantas.
“Okay,” jawab sang lelaki di hujung sana. Panggilan terus dimatikan Fatyma.
“Ma,” tegur Naufal lembut.
“Ya, sayang.” Fatyma segera tersenyum kepada sang anak di sisinya. Naufal mengerut kening memandang gelagat mamanya.
“Semacam aja mama ni? Mama bercakap dengan siapa tu? Boyfreind ya?” usik Naufal lantas duduk di sisi emaknya.
“Ish! Jangan nak mengarutlah Naufal ni,” getus Fatyma pantas. Macam budak-budak pula simpan teman lelaki. Padahal umur dah nak menuju senja.
“Alah, mama jangan nak kelentonglah. Bercakap jauh-jauh dari Naufal dengan Dira. Ni mesti ada apa-apa ni. Selalu mama tak macam ni,” giat anak itu semakin tidak yakin. Dia sedar ada sesuatu yang merubah mamanya semenjak kebelakangan ini. Ada panggilan telefon rahsia sering mengganggu ibunya ketika di rumah.
“Oh ya? Selalunya mama macam mana?” duga Fatyma sambil tersenyum.
“Mama jarang layan seseorang di telefon waktu mama ada dengan anak-anak. Maksud Naufal panggilan dari orang luar. Mama tak suka cakap pasal kerja waktu cuti macam ni. Naufal teka, yang call tu mesti lelaki, kan?” Naufal mula menyeringai di hadapan mamanya.
“Pandai aja kononnya. Mana tahu lelaki?” sabar Fatyma selamba.
“Alah, mama tak payah nak soroklah. Kalau Naufal nak tengok phone mama tu boleh?”
Terdiam Fatyma serta merta. Pandai pula anak itu memerangkap dia.
“Mama dah ada boyfreind ya?”
“Jangan nak mengarutlah! Ingat mama ni budak-budak ya?” tegas Fatyma lantas mengalihkan pandangan. Berdebar dadanya tidak terkawal. Cemas dalam diam.
“Tengok tu? Apasal pandang sana? Ha! Naufal tahu mama cuba nak selindungkan sesuatu. Mama cakap ajalah terus terang. Naufal boleh terima kalau betul mama dah ada seseorang,” balas anak itu lembut.
“Mana ada. Mama ni dah tua nak ada boyfreind ni semua.”
“Tua pun apa salahnya kalau ada lelaki yang sukakan mama? Dalam dunia ni berlambak orang tua yang ada teman lelaki atau teman wanita. Takde apa yang pelik pun?” sanggah Naufal bersungguh.
Fatyma diam. Teman lelaki? Lelaki di sana itu teman lelaki dialah agaknya. Semenjak kebelakangan ini dia semakin tidak mampu mengelak. Dari sudut hatinya pula, kehadiran Imran membawa sesuatu erti kepadanya. Ada teman berbual. Dia sedar dia memerlukan seseorang dalam hidupnya.
“Ma, berterus teranglah.”
Suara Naufal mengembalikan pandangan Fatyma kepada anak itu. Perlahan nafas dihela panjang.
“Semenjak kebelakangan ni mama rasa sebahagian hidup mama berubah. Ada seseorang selalu dekat dengan mama,” luah Fatyma.
“Dia sukakan mama?”
Fatyma terus mengangguk.
“Mama?”
“Kalau mama kata mama pun suka dia, macam mana?” duga Fatyma sekadar mahu melihat reaksi anak itu.
“Macam mana apanya? Kalau dah jatuh cinta, kahwin ajalah.” Naufal menyeringai di hujung bicara.
“Amboi. Senang aja dia bercakap!” gerutu Fatyma geram melihat anak itu tidak serius.
“Naufal cakap yang betul. Naufal suka kalau mama ada seseorang dalam hidup mama. Ada seseorang sayangkan mama Naufal, kenapa Naufal nak halang? Naufal kesian tengok mama. Mama buat semua untuk anak-anak, mama selalu lupa diri mama sendiri. Mama Naufal belum tua lagi tau. Mama Naufal vouge habis!”
“Ialah tu..” cebir Fatyma malas mahu melayan olah anak lelakinya.
“Betul. Kawan-kawan Naufal pun cakap mama ni macam anak-anak dara. Naufal sebagai anak mama, kembang setaman. Disebabkan mama ni vouge gila, Naufal terpaksa terima hakikat yang Naufal ni handsome. Semua orang kata Naufal ni handsome.” Sehabis meluahkan kata-kata anak itu ketawa pula. Fatyma hanya mampu menggeleng sendiri. Perasan handsome betul! Gerutu hatinya menyampah.
“Mama..” panggil Naufal perlahan. Fatyma kembali menoleh kepada sang anak.
“Ma, kahwinlah. Naufal tahu mama sunyi. Asalkan lelaki tu sudi bahagiakan mama, Naufal terima seikhlas hati. Setiap manusia atas dunia ni perlukan pasangan hidup,” ucap anak itu bersungguh.
Gelagat anak itu pula diperhatikan Fatyma tanpa jemu. Namun fikirannya masih merangka apa yang harus dikatakan kepada anak ini. “Mama kena fikir anak-anak sebelum mama buat apa-apa keputusan, Naufal. Kahwin bukan soal mudah. Macam mana dengan Adira.”
“Naufal tahu, ma. Tapi kami sebagai anak tak seharusnya menjadi penghalang kebahagiaan mama walaupun tak suka. Mama berhak terima apa yang terbaik untuk diri mama sendiri. Ma, selama ni Naufal nampak mama pendam segala-galanya sendiri. Dulu waktu arwah papa masih ada, hidup kita terumbang ambing. Kadang-kadang Naufal nampak mama menangis. Takde siapa yang pujuk. Mama berkorban apa saja untuk papa. Waktu papa sakit pun mama masih setia di sisi dia sedangkan hidup kita tak macam orang lain. Mama tahu tak apa yang Naufal rasa waktu tu? Naufal rasa sedih. Selalu Naufal berdoa pada Allah, minta Allah berikan jalan supaya mama kembali gembira. Naufal tak mahu mama terus menangis. Kalau ada seorang lelaki atas dunia ni mampu buat mama ketawa semula. Mampu beri apa sahaja yang mama perlukan sepanjang hidup mama. Terimalah, ma. Naufal nak mama teruskan hidup. Lupakan masa lalu. Naufal akan happy kalau mama pun happy,” luah Naufal lembut.
“Adira tak akan faham, sayang. Bukan semudah itu.”
“Naufal tahu. Dia budak-budak, ma. Lama kelamaan dia akan faham juga. Kita cuma perlukan masa untuk pujuk dia,” ujar Naufal penuh pengertian.
Sebuah helaan berat dilepaskan Fatyma. Pujuk bagaimana? Itu yang dia tidak tahu.
“Ma, jangan risau. Mama tak keseorangan. Kami semua ada untuk support mama. Naufal faham, Dira tak semudah itu boleh terima orang luar dalam hidup kita. Tapi keadaan tu tak boleh dibiarkan. Dia kena terima hakikat tu. Papa dah lama takde. Kita semua kena teruskan hidup,” pujuk anak muda itu lembut.
Perlahan sedikit senyuman merayap di bibir Fatyma. Anak itu ditarik ke dalam pelukannya. Syukurlah, dalam kesempitan perasaan dia dikurniakan anak-anak yang memahami. Biarpun tidaklah semuanya mahu mengerti perasaan seorang ibu. Bak setandan kepala. Sudah pasti ada yang komeng. Begitulah mereka.

“Buka gate, Naufal. Ada orang kat depan tu,” tegur Fatyma dari atas. Dia terdengar loceng dibunyikan seseorang di luar pagar.
“Okay, ma.”
Adira terpinga-pinga memandang abangnya bangun. “Siapa datang?” tanya Adira.
“Entah,” jawab Naufal alat kawalan jauh ditekan. Pintu pagar dilihatnya sedang menggelungsur perlahan. Kemudian dia pergi ke arah tangga.
“Ma, Naufal panggil masuk ya?” laung anak itu dari bawah.
“Ya. Suruh uncle tu tunggu sekejap. Mama pakai tudung,” jawab Fatyma dari atas.
“Siapa uncle?” tanya Adira.
“Entah.”
“Apasal dia datang sini?” tanya Adira semakin tidak mengerti. Pantas dia bangun mengekori Naufal. Kelibat Walkswagon The Jetta merayap masuk ke halaman rumahnya lalu berhenti di belakang kereta mamanya.
“Hai, uncle..” sapa Naufal sebaik sahaja lelaki tampan itu keluar dari kereta.
“Hai,” jawab Imran sambil mengerling Adira yang berdiri tidak jauh dari situ.
“Mama ajak masuk dulu,” ucap Naufal biasa.
“Takpelah. Uncle ada kerja nak disiapkan. Uncle singgah untuk hantar barang aja. Puan sri kirim tadi,” jawab Imran sambil menuju ke belakang keretanya. Penutup bonet belakang diangkat. Beberapa plastik berlambang jusco dikeluarkan lalu diserahkan kepada Naufal.
“Im..” sapa Fatyma dari muka pintu.
“Puan sri, ini barang yang you suruh beli,” ucap Imran sekadar dari keretanya.
“Masuk dulu.”
“Takpelah. I singgah sekejap aja,” ucap Imran tiba-tiba berubah jadi begitu sopan.
“Masuklah. Minum dulu,” ajak Fatyma bersungguh.
“Okay,” jawab Imran konon macam terpaksa.
“Hai. Ini mesti Adira, kan?” sapa Imran saat melintasi Adira. Anak itu ralik merenung wajahnya.
Namun Adira menjeling entah kenapa. Sapaan Imran tidak dijawab. Dia terus berpaling menuju ke rumah.
Terkedu Imran memandang gelagat anak itu. Hancur harapannya nak berkenalan dengan lebih dekat.
“Siapa tu, ma?” terpa Adira di dalam rumah.
“Behave sikit. Itu GM syarikat. Hormat sikit pada orang tua,” ucap Fatyma serius kepada anaknya.
Adira sekadar mencebik tidak senang dengan kehadiran lelaki tampan itu di rumah mereka. Siap minum petang bagai. Hanya Naufal melayan mesra tetamu mereka itu. Adira pegun di depan tv melayan rasa tidak suka.
Lebih sejam berada di dalam rumah itu, Imran akhirnya meminta diri. Seperti mana tadi, Adira terus tidak mempedulikan biarpun Imran ada menegurnya sebelum berlalu. Fatyma hanya mampu menghela nafas sabar dengan perangai anak perempuannya.
“Dira kenapa buat macam tu tadi? Saja nak malukan mama ya? Biar semua orang tahu yang mama ni tak pandai didik anak,” tegur Fatyma setelah Imran pulang.
“Sibuk aja datang sini. Nak buat apa entah!” gumam Adira seorang diri.
Fatyma menggeleng kesal. “Mama yang suruh dia datang hantar barang tu. Barang dapur dah takde,” jawab Fatyma pantas.”
“Alah, selalunya kan uncle Husin yang beli? Kenapa mama suruh dia? Saja nak mengorat mama kitalah tu,” jawab Adira jengkel.
“Uncle Husin ada hal. Mama suruhlah orang lain. Salah ke?” ujar Fatyma. Kali itu Adira berdiam diri. Fatyma hanya mampu menggeleng. Niatnya mahu mendekatkan Imran kepada anak-anaknya secara halus. Namun belum apa-apa Adira sudah menunjukkan sikap biadapnya kepada Imran. Tiba-tiba Naufal masuk ke dalam rumah tanpa menyedari ketegangan antara mama dan adiknya.
“Baik uncle Im tu, ma. Naufal suka dia.”
Spontan Adira bangun. Satu jelingan tajam diberikan kepada mamanya sebelum menuju ke tangga. Terpinga Naufal memandang gelagat adiknya.
“Aik? Cakap macam tu aja pun marah?” gerutu Naufal sendiri.
“Dahlah. Jangan bagi mama pening,” tukas Fatyma malas mahu memikirkan anak daranya itu.

CADANGAN Imran agar dia bertemu dengan lelaki bernama Ahmad itu akhirnya ditunaikan Fatyma. Sementelah pihak di sana kelihatan bersungguh mahu berkerjasama dengan syarikatnya. Peluang kelihatan sedang terbuka luas untuk mereka menerokai bidang lain. Pertemuan selepas maghrib itu berganjak ke malam hari. Perbualan mereka turut terkait tentang tawaran pembelian tanah seluas 120 hektar sebelum ini.
“Kami beri tawaran 20 million. Harga tu sudah cukup tinggi sebenarnya. I kira bentuk muka bumi kawasan tu sangat sesuai untuk projek perladangan. Risiko sangat rendah. Tapi nilai 40 million tu datang dari Razak. Dia menawarkan nilai 40 million untuk kami dapatkan tanah tu,” jelas lelaki tua itu kepada Fatyma.
“So selama ni you yang berurusan dengan Razak?” jawab Fatyma hairan. Lelaki ini tidak pernah menghubunginya untuk urusan itu.
“Bukan I. Salah seorang pengarah yang selalu berurusan dengan dia. I hanya kutip berita. Perbincangan tu masih diperingkat awal. Belum muktamad,” jawab Tan Sri Ahmad lembut.
Spontan Fatyma memandang Imran yang tercengang. Dia pun rasa mahu tercengang.
“Ada apa-apa masalah ke?” tanya Tan Sri Ahmad hairan melihat gelagat Fatyma dan Imran.
“Takde apa. Sepatutnya I bawa Razak sekali hari ni supaya urusan kita ni lebih jelas,” balas Fatyma dengan sedikit senyuman.
“Puan sri, kami tidak main-main dengan tawaran yang kami ajukan sebelum ni. Tapi Idayu ada beritahu yang syarikat puan sri tidak berminat untuk menjual tanah tersebut. Kami tawarkan usahasama antara dua pihak memandangkan syarikat kami baru mempelopori pengeluaran minyak sawit di negeri Perak. Peluang di sana sangat luas. Kita boleh tubuhkan satu anak syarikat bagi pihak pengurusan.”
Imran terus memandang bosnya. Cadangan yang diberikan oleh Tan Sri Ahmad itu ternyata telah menarik perhatiannya.
“I akan bawa cadangan ni kepada board director, tan sri. I lebih berminat dengan projek usahasama berbanding menjual tanah tu begitu saja. Tanah tu dibeli oleh arwah suami I. Ada kepentingan I dalam pemilikan tanah tu,” balas Fatyma.
“I faham tu, puan sri. Zaman sekarang ni pula nilai hartanah cepat naik. Nak memiliki sesuatu aset bukan mudah.”
“Betul. Cuma, mulai sekarang apa-apa urusan tolong berhubung dengan Encik Imran. Bukan lagi Razak. Dia tak memiliki apa-apa kuasa untuk membuat keputusan dalam hal ini.”
Tan sri Ahmad mula mengalihkan pandangan kepada lelaki seorang itu. “Idayu ada bercerita sedikit sebanyak tentang Encik Imran kita ni. Katanya suara GM you ni merdu. Orangnya pun muda lagi rupanya. Boleh tahan juga,” ujar Tan Sri Ahmad lantas ketawa.
Tersipu-sipu Imran mendengar usikan lelaki itu. Fatyma yang mendengar rasa nak mencubit paha lelaki di sebelahnya itu. Sukalah kena puji agaknya.
Usai perbincangan kira-kira jam sudah mencecah ke angka sepuluh malam. Seperti selalu, Imran akan menghantar wanita itu ke kereta.
“Lepas ni you terus balik?”
“I ada barang tertinggal kat ofis. Nak singgah sana sekejap,” ujar Imran.
“Okay. Jangan balik lambat sangat.”
Lelaki itu sekadar mengangguk akur. “Bye..” ucapnya sambil pintu kereta itu ditutupnya. Sebaik sahaja Fatyma berlalu, Imran pergi mendapatkan keretanya pula. Sepantas mungkin kereta dilarikan ke pejabat.
Usai mendapatkan barangnya, dia turun mendapatkan keretanya di hadapan lobi. Saat barang-barang dimasukkan ke dalam kereta, kelibat empat buah motor jenis scrembler tiba-tiba muncul lalu berhenti di tepi keretanya. Imran menegakkan tubuhnya untuk melihat penunggang-penunggang itu. Salah seorang pembonceng pantas turun mendekati Imran. Dan tanpa sebarang amaran lelaki itu menghayunkan penumbuknya ke perut lelaki itu.
Imran terus tertunduk menahan senak. Tidak sempat mahu berbuat apa-apa, satu lagi hentaman mengenai dadanya membuatkan dia tersandar ke keretanya. Imran hanya mampu mengerang tidak berdaya untuk melawan. Seterusnya lelaki asing itu mencekak rambut Imran sehingga terdongak memandang ke atas.
“Aku datang untuk sampaikan pesanan. Jauhkan diri kau dari Puan Sri Fatyma kalau kau nak hidup lama. Kalau tidak, aku hantar kau ke kubur!” Seterusnya penumbuk lelaki menghentam sebelah mata Imran membuatkan lelaki itu terkapar tidak berdaya. Tidak habis di situ, lelaki asing itu memasukkan sesuatu ke dalam kocek kemeja Imran.
“Aku ingatkan sekali lagi. Jauhkan diri kau dari perempuan tu kalau kau sayangkan nyawa.” Kali itu lelaki asing itu cuba menghayun kepalanya yang bersarung helmet ke wajah Imran. Mujurlah dia sempat berpaling untuk mengelak dari hentaman objek keras itu. Namun hentaman itu mengenai tepi kepalanya. Terkulai Imran serta merta.
“Hoi!! Apa kau buat tu??” jeritan dari dalam lobi mengejutkan mereka di situ. Beberapa orang pengawal berlari ke arah mereka.
“Blah!” ucap lelaki asing lantas meloncat naik ke atas motor. Si penunggang segera memecut pergi.
“Encik Imran..” salah seorang pengawal cuba menyedarkan Imran.
“Aduh..” keluh Imran sambil memegang kepalanya.
“Ada orang belasah encik ni. Saya call ambulan ya?”
Imran pantas menggeleng. Sesuatu yang diletakkan dalam kocek kemejanya diambil. Wajah Imran berkerut melihat gambar di tangannya itu. Cepat-cepat gambar itu dilindunginya dari pandangan lelaki di hadapannya itu. Telefon bimbitnya dicari di dalam poket seluarnya.
“Datang ofis sekejap. I ada masalah ni,” pinta Imran tanpa berbasi basa.
“Ada apa?” balas Fatyma kehairanan.
“Datang aja. Penting ni. Sekarang!” tegas Imran serius.
“Okay.”
Lima belas minit dua lelaki itu menunggu di lobi itu, Fatyma tiba juga. Betapa terkejutnya dia melihat baju lelaki itu diselaputi darah. Imran terduduk di tepi keretanya sambil memegang botol air mineral.
What happened?” tanya Fatyma pantas.
“Ada orang tiba-tiba datang serang dia. Kami tak sempat nak tangkap orang tu. Cepat sangat lari,” ujar pengawal keselamatan di situ.
Terlupa ada orang lain di situ, Fatyma duduk membelek wajah lelaki itu. “Kita pergi klinik, Im.”
“No. I ada benda lain nak cakap dengan you. Naik kereta I. I hantar you balik,” ucap Imran lantas bangun.
Melihat wajah keruh lelaki itu, Fatyma tidak berani mahu menolak. Sudahnya dia meminta Husin pulang sendiri. Dia terus masuk ke dalam kereta Imran. Di dalam kereta Imran menyerahkan kepingan gambar yang diterimanya sebentar tadi.
“Oh, God!” Berubah habis wajah Fatyma melihat gambar itu. Kelibat dia dan Imran di hadapan hotel IOI Marriot dahulu tertera di dalam kertas itu. Gambar kedua dan seterusnya pula di hadapan bangunan tempat kerja mereka. Berlainan hari dan masa. Fatyma lantas tersandar ke kerusi.
Imran menghela keluhan sambil menggaru kepalanya. “Orang tu ada ugut I. I kena jauhkan diri dari you. Siapa orang ni, puan sri? I dah ganggu hak orang ke?” tanya Imran bersungguh.
“No!” tegas Fatyma pantas.
“Habis tu kenapa orang tu suruh I jauhkan diri dari you? Siapa dia orang ni semua?” balas Imran bersungguh.
“Kita pergi klinik dulu.”
“I nak jawapan sekarang! Siapa orang tu? Selain I, ada sesiapa lagi yang cuba dekat dengan you? Kenapa dia suruh I jauhkan diri dari you?” meninggi suara Imran tiba-tiba.
“I tak tahu siapa! Kalau I tahu I dah cakap awal-awal, Im!”
Spontan Imran menghela nafas perlahan. Kereta itu tiba-tiba diberhentikan di tepi.
“Im..”
“I sakit kepala ni. I tak nampak depan,” ucap Imran sambil memicit kepalanya.
“Biar I yang drive. I hantar you ke klinik ya?” ucap Fatyma mula lembut nadanya.
Tanpa kata Imran membuka pintu. Mereka berdua keluar dari kereta itu. Namun tatkala mereka berselisih di hadapan kereta, Imran terpaku memandang ke arah jalan raya yang sunyi. Di hujung sana kelibat beberapa buah motorsikal tadi sedang kembali semula ke arah mereka.
“Get in!!!” jerit lelaki itu kepada Fatyma.
Wanita itu sempat masuk ke dalam kereta. Namun tidak dengan Imran. Lelaki itu terpelanting dilanggar salah sebuah motorsikal itu. Sebuah lagi berhenti di tepi Imran. Pemboncengnya turun lalu menghadiahkan beberapa kali sepakan kepada Imran yang terlantar di atas aspal. Sepakan terakhir terkena ke wajah Imran. Jerit pekik Fatyma berjaya menyuraikan kekalutan itu. Empat buat motorsikal itu menderu pergi begitu pantas.
“Imran!!”
Lelaki itu kaku tidak mampu menjawab.
“Jangan biarkan I sorang-sorang macam ni. Bangun, Imran!!” jerit Fatyma sambil lelaki itu digoncangnya kuat. Tiba-tiba lelaki itu bergerak semula.
“Aduh, sakitnya..” keluh Imran lantas membalikkan tubuhnya. Fatyma mengusap wajah lelaki itu. Sebahagiannya sudah dikotori oleh debu aspal.
“Apa sebenarnya dah jadi? You okay?” ucap Imran amat perlahan.
“I tak apa-apa. Kita pergi hospital ya?”
Imran membisu tanpa reaksi. Matanya dipejam rapat bagi meredakan sakit di kepalanya yang kian mencengkam.
“Call Husin sekarang. You balik dengan dia,” ucap Imran dalam mata terpejam.
“Habis tu you ni macam mana?” gesa wanita itu benar-benar bimbang. Masakan dia harus membiarkan sahaja lelaki ini?
“Dia orang tu tak mahu tengok you dengan I. Pergilah. I tak mahu jadi apa-apa pada you,” ucap Imran perlahan.
“You ingat lepas I tinggalkan you kat sini macam tu aja, hati I akan senang?” balas Fatyma sedikit tertekan. Suaranya mula menggigil menahan tangisan.
“I pergi klinik lepas ni. You pergi balik.”
“No way!”
“I tak nak apa-apa jadi pada you. I tahu jaga diri I sendiri. I tahu ada orang sedang ikut kita. Please go!” tekan Imran bersungguh.
“Imran, you jangan buat I macam ni. I tak tahu siapa di sebalik semua ni.”
Perlahan lelaki itu bangun. Terbongkong-bongkok dia berjalan mendekati keretanya. Telefonnya dicapai. Nombor Husin dipanggil tanpa mempedulikan bantahan Fatyma. Imran meminta lelaki itu datang ke tempat mereka.
“Kita jumpa esok.”
“I nak kita report polis!”
“I takde mood nak pergi mana-mana sekarang. Go home!” balas Imran tanpa memandang wanita itu.
Spontan Fatyma mencapai lengan lelaki itu. “You tak percayakan I?”
“I tak tahu nak cakap apa. Budak-budak motor tadi tu nampak macam main-main ke, puan sri? Mustahil you tak kenal siapa yang buat semua ni!” balas Imran serius.
Fatyma terdiam.
“Kalau I tahu, I dah jawab soalan tu tadi, Imran. Sebab dia orang tu tak main-mainlah I ajak you buat report. You ingat I tak risau biarkan you seorang kat sini?”
Imran diam. Kepalanya dipegang kuat. Sedang mereka membisu di situ, kereta dipandu Sidik tiba juga.
“Please, kita buat police report.”
Imran menggeleng perlahan. Teringat pesanan lelaki asing itu sebentar tadi, dia terasa mahu menangis. Menjauhkan diri dari Fatyma atau nyawanya melayang. Kedua-duanya dia tidak sanggup!
“Im, dengar cakap I. Kita buat report. Ini bukan kali pertama I kena macam ni.”
“Apa maksud you?”
“Kita cerita nanti. I nak kita pergi balai polis sekarang. Please. Dengarlah cakap I. I tak mahu you hadap masalah ni seorang diri. Ini bukan tentang you. Tapi I. Kalau you sayang I, tolong dengar cakap I,” rayu Fatyma bersungguh.
Imran akhirnya mengangguk juga.

Ketenangan pagi itu terganggu lagi. Kali itu sepucuk sampul diletakkan di atas mejanya entah oleh siapa. Fatyma segera mengambil sampul itu. Di dalamnya ada lagi beberapa keping gambar berserta dengan surat ugutan.
CEO Rafi Holding ada hubungan sulit dengan kakitangan sendiri yang jauh lebih muda. Hebat! Kalau masuk akhbar pasti meletup cerita ni. Aku bagi kau kenal apa itu binasa. Maruah kau aku carik secebis demi secebis, puan sri. Selagi aku belum puas aku tak akan berhenti. Kau tunggu!
Hampir sahaja kertas itu mahu direnyuk Fatyma. Namun akhirnya dia tunduk memicit kepala. Tidak mungkin Melly yang letak sampul ini. Mereka tiba serentak sebentar tadi.
“Apa yang kau nak dari aku sebenarnya?” keluh Fatyma seorang diri.
Saat Melly masuk ke dalam kamarnya pantas Fatyma menyembunyikan gambar itu.
“You ada nampak sesiapa keluar dari ofis ni? Orang luar,” ucap Fatyma.
“Takde pulak. Ada apa, puan sri?” tanya Melly mula terasa lain macam. Dia tahu bosnya sedang merahsiakan sesuatu.
“Takde apa. Imran ada masuk kerja?”
“Tak tahu. I belum nampak dia,” jawab Melly perlahan. Matanya masih tidak mampu berkalih dari raut kusut wanita di hadapannya itu.
“Tanya Dalila,” arah Fatyma tanpa sedikit senyuman di wajah.
“Are you okay, puan sri?” tanya Melly sedikit gusar.
“I okay. Panggil Dalila ke sini. I nak bercakap dengan dia,” ucap Fatyma tiba-tiba mengubah arahannya pula.
Melly sekadar mengangguk. Seminit kemudian gadis yang dicari Fatyma hadir di dalam kamar itu.
“Imran ada call you pagi ni?”
“Ada tadi. Dia tak masuk hari ni. Tak sihat katanya,” jawab Dalila lembut.
“Tu aja I nak tahu. Thank you,” ucap Fatyma tanpa memandang gadis itu lagi.
Dalila sempat memandang hairan wanita itu. Susah payah memanggil dia semata-mata mahu bertanya itu. Namun dia keluar juga.
Bersendirian di kamar itu, tiada satu kerjapun yang disudahkan Fatyma. Dia asyik termenung. Simpati dan bimbangkan Imran. Jam sebelas pagi itu pejabatnya dikunjungi beberapa orang pegawai penyiasat. Kehadiran mereka mula mewujudkan seribu tanda tanya kepada kakitangan yang lain. Masing-masing masih tidak tahu apa yang berlaku.
“Kita akan ambil rakaman cctv berkaitan kejadian semalam. Saya minta puan sri kurangkan aktiviti di luar untuk sementara waktu sehingga kami berjaya mengesan empat individu semalam. Kami akan tempatkan pegawai peronda di rumah dan pejabat puan sri sekerap yang mungkin,” ucap pegawai penyiasat itu.
“Tolong selesaikan masalah ni secepat yang mungkin. Dah bertahun masalah ni tertangguh macam tu aja. Takde perkembangan positif. I ada anak-anak. I tak mahu anak-anak I bimbang,” tekan Fatyma separuh merayu.
“Insya-Allah, kami akan cuba selesaikan masalah ni secepat yang mungkin.”
Fatyma hanya diam. Kata-kata itu sudah kerap didengarinya. Namun hasilnya masih belum nampak. Betapa liciknya pengugut itu sehingga pihak berkuasa masih gagal mengesan identiti mereka. Namun dia tiada daya selain menyerahkan hal itu kepada polis.



BAB 11
“SORRY. I lambat sikit. You tak takut ke orang nampak kita kat sini?”
Kata-kata itu sedikit pun tidak menarik perhatian Fatyma. Sebelum dia mengajak Imran ke sini, dia sudah memikirkan semua itu.
“Sakit lagi ke?” tanya Fatyma. Lebam pada sebelah mata Imran masih belum mengurang. Kasihan dia melihat keadaan lelaki itu. Tidak semena-mena lelaki itu turut terpalit dalam masalahnya.
Imran sekadar mengangguk tanpa memandang Fatyma. Punggungnya dilabuhkan di kerusi hadapan Fatyma.
“Kenapa tak pergi klinik semula?”
Kali itu lelaki itu menggeleng pula. Sebelah matanya ditekup dengan tangan. Bola matanya seperti mahu meletup rasanya. Sakit ya amat.
“Kenapa tak pergi?” tanya Fatyma sekali lagi. Bimbang melihat kesakitan lelaki itu tidak mengurang.
“Malaslah. Balik-balik dapat ubat yang sama. Yang penting doktor kata takde apa yang serius. Sehari dua lagi okaylah ni,” jawab Imran sepatah.
Fatyma menghela nafas perlahan. Kusut dengan keadaan saat ini. Satu sampul diambilnya dari dalam beg tangan lalu di letakkan di hadapan Imran.
“I dapat gambar ni pagi tadi. Tengoklah sendiri.”
Imran sekadar memandang setiap keping gambar itu sambil mengeluh. Ada di antaranya sudah dilihatnya semalam. Tiada komen dapat diberikan. Penghabisannya gambar itu kembali disimpannya.
“I tak tahu apa dah jadi sekarang. Nak keluar rumah pun I rasa malu,” keluh Fatyma perlahan. Dahinya dipicit kuat. Namun kekusutan dalam fikiran tetap sama.
“Takde orang tahu pun.”
“For now..” sambut Fatyma enggan begitu yakin.
“Siapa orang tu semua? Apa dia nak dari you?” tanya Imran masih tidak berpuas hati.
“I takde jawapan tu, Imran. Kalau I tahu kita takkan jadi macam ni.” Jawapan Fatyma tetap sama seperti semalam. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dijelaskan kepada Imran.
“Dah berapa lama you kena macam ni?” tanya Imran lagi.
Fatyma diam seketika. “Semenjak beberapa tahun yang lepas. I dah tak ingat. Dia ni tenggelam timbul. Kadang-kadang macam main-main. Dia ugut. Lepas tu diam. Takde apa-apa berlaku.”
Imran mengerut kening. Kejadian semalam membuktikan ugutan itu bukan main-main. “Ada sebab kenapa dia agresif tiba-tiba. Dia target I seorang. Bukan you,” ujar Imran perlahan.
“No. Dia pun ugut I. I dah beri surat ugutan tu pada polis pagi tadi. Dia ugut akan hancurkan I,” bantah Fatyma.
“Mungkin arwah Rafi masih ada berhutang pada seseorang,” telah Imran setelah dia berdiam seketika.
“I dah cuba korek rahsia dari kawan-kawan dia sebelum ni. Takde siapa yang tahu. I sendiri pun tak tahu apa dia nak dari I selama ni. Sekarang dia dah libatkan you. I tak sangka dia akan buat macam ni pada you,” jawab Fatyma bersungguh.
“Takpe. Sekurang-kurangnya I dapat tahu sesuatu tentang you.”
Fatyma memandang lelaki itu seketika. Imran dilihatnya tenang sahaja. Macam tidak kisah langsung dirinya terbabit dalam masalah ini.
“Pergilah klinik semula. Nak I bawakan ke?”
“Tak payahlah. I okay. I cuma geram dengan manusia yang tumbuk I semalam. Kalau I dapat, I patah-patahkan jari dia. Nasib baiklah ada jari jemari belai I semalam. Rasa macam nak sambung pengsan aja,” rungut Imran tiba-tiba.
 Terbeliak mata Fatyma serta merta. “I tolong you. Bukan belai. You jangan nak cipta cerita yang takde.”
“Ialah. Kira belai jugalah tu. Bukan senang nak dapat merasa keadaan tu. Kira okaylah kena tumbuk pun. Mintak-mintaklah esok kena tumbuk lagi,” ucap Imran lantas menyengih sendiri.
“Esok kalau you kena tumbuk lagi, I tengok aja. Miang tak habis-habis!” desis Fatyma lantas menjeling. Kalau dah lelaki itu terbongkang tidak sedarkan diri, masakan dia nak biarkan saja? Kejam benarlah tu.
“Jangan tunjukkan sangat jual mahal tu. Lagi keras you menolak, I lagi suka.”
Wanita itu cuba berlagak tenang sebelum meluahkan hasrat sebenar dia mengajak Imran bertemu saat ini.
“I tahu I ada peluang besar,” tambah Imran lantas menayang sengih.
“Imran..” ucap Fatyma agak payah.
“What’s wrong?” balas Imran dengan senyuman kian memudar.
“I nak kita berhenti di sini. I nak you jauhkan diri dari I.”
Imran terkedu serta merta. Seperti ada batu besar sedang menghempap jemalanya. Terlalu sakit.
“I nak you lihat betul-betul kenyataan yang ada depan mata you sekarang. Apa yang you nakkan dari perempuan macam I? I ni dah tua! Anak-anak I dah besar panjang. You masih..”
“Jangan gunakan alasan tu lagi. I tak mahu dengar!” Imran memintas cepat.
Fatyma menghela nafas panjang. “I bimbangkan keadaan you. I tak mahu apa-apa yang buruk terjadi pada you sebab I,” tambah Fatyma kian perlahan nadanya.
“Sayang, I tahu kita ada masalah. Kita kahwin? Biar I jaga you. Sekurang-kurangnya ada seseorang di sisi you waktu you dalam kesusahan. Jangan buat I macam ni. I tak sanggup biarkan you sendiri,” balas Imran sudah mula merasa tidak tenang.
Fatyma menggeleng. Biarlah dikeraskan hatinya saat ini. Keputusan yang diambil mungkin tidak disukai Imran. Tetapi dia harap Imran mampu memahami.
“Kahwin dalam keadaan macam ni tak pernah ada fikiran I, Im. Tolong jangan sebut tentang itu lagi. Keputusan I muktamad. Kita terus dengan kehidupan masing-masing. I yakin ada seorang perempuan di luar sana lebih sesuai dengan you.”
“Disebabkan hal semalam tiba-tiba you menolak I dari hidup you? Why?” tekan Imran seperti mahu menangis.
“I tak mahu you pertaruhkan nyawa you hanya kerana cinta. Jangan jadi bodoh, Imran. I don’t want to see you crawling for me. You ada kehidupan yang baik. Balik semula kepada kehidupan you.” Fatyma membalas bersungguh mengharapkan pengertian lelaki itu.
Imran berdiam seketika merenung wajah wanita itu.
“I akan rasa lebih bodoh bila I tinggalkan perempuan yang I sayang dalam keadaan dia terkapai-kapai oleh masalah. Puan sri, I tak kisah apa pun yang berhadapan dengan I sekarang. Tak adil you menolak I macam tu aja sebelum beri I peluang untuk buktikan yang hubungan ni boleh berjaya. Ramai orang di luar sana melalui seribu satu macam kesusahan. Tapi tak semuanya berputus asa macam tu aja. I nak kahwin dengan you. I tak main-main!” tekan Imran.
“Itu orang lain. Ada banyak benda yang perlu I selesaikan sekarang ni, Imran. Ini bukan salah satu daripadanya. Tak penting untuk I fikir!”
Terdiam Imran mendengar kata-kata Fatyma. Sedikit menghiris hatinya. “You rasa perasaan I ni tak penting langsung ke?”
“I tak bermaksud macam tu, Im. Tolonglah faham..”
“It’s okay. You nak I faham. Okay. I akan cuba faham.” Imran menjawab perlahan. Mungkin dia harus membina ruang yang luas antara mereka berdua agar dapat membuat pertimbangan yang terbaik. Dia pun tidak seharusnya terus mendesak jika perasaan itu hanya ada pada dirinya sahaja.
“Im, I’m so sorry,” rayu wanita itu perlahan. Dia tahu ada hati yang sudah terluka kerananya. Sesungguhnya dia tak bermaksud begitu.
Imran menelan liur yang terasa kelat. Betapa sesak dadanya saat ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sesungguhnya teramat payah untuk dia memandang raut di hadapannya dalam keadaan begini. “I pergi dulu.”
Imran, don’t go. I minta maaf,” panggil Fatyma saat lelaki itu bangun. Namun lelaki itu terus berlalu tanpa menoleh lagi.

LEBIH seminggu berlalu. Kelibat Imran tetap tidak muncul di pejabat biarpun tempoh cuti sakitnya sudah tamat dua hari lalu. Namun pagi itu Melly sempat terpaku melihat Imran muncul di situ dengan pakaian kasual.
“You pergi mana? Puan sri risaukan you!”
“Cakap dengan bos you, I resign. Dalam tu ada cek tiga bulan gaji. I balik dulu.” Sebuah sampul putih diletakkan di atas meja Melly. Kemudian lelaki itu terus berlalu begitu saja.
“Eh! Nanti dulu. Kenapa you tak cakap sendiri dengan dia? Dia ada kat dalam. Imran!” laung Melly kepada lelaki itu. Gadis itu terus memandang sehingga batang tubuh Imran menghilang di telan lif.
“Hmm. Apalah nak jadi. Seorang macam ni. Seorang macam tu. I yang pening,” keluh Melly seorang diri. Sudahnya sampul itu dibawa masuk ke kamar Fatyma.
Fatyma terkejut melihat borang itu diunjuk kepadanya. “Kenapa tiba-tiba dia nak resign? Dia dah sihat, kan? Dia cakap apa lagi dengan you?” soal Fatyma bertalu-talu. Sedikit sebanyak dia sudah mampu meneka apa yang sedang berlaku.
“Manalah I tahu. I tanya dia tak jawab pun. Dia blah macam tu aja,” jawab Melly buat-buat selamba. Masakan Fatyma masih tidak mampu meneka apa yang sedang berlaku?
“Call dia sekarang! I tak terima notis ni. Suruh dia datang jumpa I,” ucap Fatyma pantas.
“Okay..” Melly keluar semula dari kamar itu. Tanpa sedar dia menghela keluhan. Antara Fatyma dan Imran, dia tidak tahu mahu menyebelahi siapa. Cuma dia bersimpati dengan Imran. Apa sahaja yang dilakukan oleh lelaki itu masih belum mampu merobohkan tembok yang dibina Fatyma di sekelilingnya. Wanita itu sukar ditembusi.

DI dalam kamar itu, Fatyma termenung sendiri. Mudah lidahnya mengusir lelaki itu dari hidupnya. Tetapi hatinya tidak pernah tenang. Merana dalam diam. Seharusnya dia menerima dengan keadaan itu dengan hati yang terbuka. Tetapi dia tidak rela Imran melepaskan apa yang dia miliki di dalam syarikat ini. Tidak lama kemudian Melly masuk semula.
“Dah call dia? Apa dia jawab?” tanya Fatyma pantas.
“Imran tak mahu jumpa you. Dia tak mahu diganggu,” ucap Melly perlahan.
Fatyma mula mendecit sambil menggeleng. Lelaki itu memang sengaja mahu menyeksa perasaannya.
“Dia merajuk dengan you ya?”
Fatyma diam tanpa menjawab. Entah kenapa dia rasa mahu menangis pula saat ini.
“Kesian dia, puan sri. Dia buat apa saja  untuk you. You sanggup biarkan dia macam tu aja?” keluh Melly perlahan.
“Dia ajak I kahwin. Kalau you, apa you nak cakap? Apa yang patut I buat, Melly?” tingkah Fatyma pantas.
“I cakaplah ya kalau betul I suka dia. I tahu you pun sayangkan dia sebenarnya,” jawab Melly mudah.
“Apa you merepek ni, Melly? You kenal I, kan?”
“Sebab I kenal youlah I cakap macam ni. You susah hati dia nak berhenti atau sebab dia merajuk dengan you? Dalila ada. Dia boleh uruskan kerja Imran untuk sementara waktu sampai you lantik GM baru. Melainkan you susah hati sebab dia takde depan mata you. Kalau dia tak penting untuk you, nak buat apa you susah hati sekarang? Biar ajalah dia macam tu,” tebak gadis muda itu lembut.
“Pandai you bercakap ya, Melly?” wajah Fatyma mula beruba rona.
“I cakap yang betul. You bagi dia harapan. Lepas tu you tarik diri. Kalau I pun I kecil hati. You main-mainkan dia. I tahu Imran ikhlas dengan you. Dia tak sama macam orang lain yang selalu datang pikat you. I tak pernah jumpa lelaki macam dia sebelum ni. I tahu you pun ada masalah lain. Tapi you lepaskan dia, masalah you masih tak selesai, puan sri.”
Fatyma menghela keluhan perlahan. Dia sedar hati lelaki itu cedera teruk dengan keputusannya. Itu salah satu kesilapan yang tidak mampu dimaafkan oleh dirinya sehingga kini. Dia rasa bersalah kepada Imran.
“Suruh Husin tunggu I kat bawah!” ucap Fatyma akur akhirnya.
“Okay.” Melly terus berundur untuk keluar. Dalam diam dia tersenyum. Dia tahu, lama kelamaan bosnya akan kalah juga kepada keegoan sendiri.
Di hadapan lif, Fatyma asyik membelek telefonnya. Nombor lelaki itu dipanggilnya. Tidak berjawab. Sudahnya Fatyma meminta Husin membawanya ke rumah Imran. Namun sayangnya dia hampa. Rumah lelaki itu bertutup rapat dan sepi sekali. Dia tahu lelaki itu telah memilih untuk pergi jauh darinya.

“PA, Ima masih duduk kat bawah. Pergilah tengok,” ucap Puan Sri Kartini kepada suaminya malam itu.
“Ada apa lagi ni? Pa nak tidurlah,” getus Tan Sri Fahamin malas.
“Ima tu..” gerutu wanita tua itu geram melihat suaminya malas mahu membuka mata.
“Kenapa dengan Ima?” tanya lelaki tua itu lantas bangun.
Puan sri Kartini menghela nafas panjang. Sehari dua ini Fatyma membawa pulang anak-anaknya ke rumahnya. Tetapi dia tahu Fatyma tidak gembira. Asyik mengelamun sendiri. Tidak tahu apa sebabnya.
“Ada yang tak kena dengan dia. Pergilah tanya dia. Semenjak tadi muka dia keruh semacam. Ni dah pukul satu pagi. Dia masih duduk termenung kat bawah tu. Pergilah tengok. Mana tahu dia ada masalah?”
Tan Sri Fahamin mula bangkit meninggalkan tempat tidurnya.
“Ima..” sapa Tan Sri Fahamin hairan melihat anaknya masih duduk bersendirian di ruang tamu itu. Fatyma menoleh sedikit.
“Papa belum tidur?” ucap Fatyma saat lelaki itu berdiri di tepinya.
“Belum. Kenapa duduk seorang kat sini? Dah lewat ni. Anak-anak Ima semua dah tidur,” ucap lelaki tua itu lembut.
“Ima belum mengantuk, pa.”
“Kenapa ni, nak?” tanya Tan Sri Fahamin bimbang dengan keadaan anaknya. Dia perasan Fatyma seolah mengelak dari memandangnya.
Fatyma tidak menjawab. Hanya gelengan diberikan. Sebetulnya dia tidak mampu meluahkan kata-kata dek kerana dada sudah terlalu sendat. Dia mahu menangis. Dia perlukan seseorang untuk mendengar kepadanya.
“Ima, cakap dengan papa. Apa masalahnya?” pujuk lelaki tua itu.
“Papa masih ingat Imran?”
“Masih. GM kamu tu. Kenapa dengan dia?”
“Imran dah resign,” jelas Fatyma ringkas.
“Really? Sebab apa?” balas Tan Sri Fahamin agak terkejut. Belum setahun berkerja dan berhenti?
“Sebab Ima, papa.”
“Apa Ima dah buat?” Tan Sri Fahamin segera bertanya biarpun dia sudah dapat membaca apa yang sedang berlaku antara anaknya dan lelaki itu.
Fatyma sekadar bercerita serba ringkas tentang hubungan rahsianya dengan Imran.
“Dia tak boleh terima keputusan Ima?” teka Tan Sri Fahamin di pertengahan cerita.
Fatyma mengangguk perlahan. Lelaki tua itu menghela nafas perlahan sebelum berkalih duduk ke sebelah anaknya. “Ima nak dengar nasihat papa?”
Fatyma mengangguk. “Imran perkerja yang baik, papa. Ima tak mahu sebab Ima dia buat macam ni. Ima nak dia kembali berkerja semula. Ima dah cuba call dia banyak kali. Dia tak mahu jawab. Ima tak tahu apa yang Ima dah buat pada dia. Ima rasa bersalah sangat.”
Sekali lagi Tan Sri Fahamin menghela nafas sambil memandang raut anaknya itu. “Ini tentang jawatan Imran atau tentang Ima sebenarnya? Jujur dengan papa.”
Fatyma tunduk sedikit cuba menyembunyikan rasa yang terhias di wajah. Dia malu untuk mengakui. Ketiadaan Imran benar-benar memberi kesan kepada dirinya. Rasa terluka. Hidupnya terasa amat kosong sekali. Hilang arah. Lesu. Bingung. Dia benar-benar rindukan kehadiran lelaki itu.
“Ima pun sayangkan dia?” telah lelaki tua itu tenang sahaja.
Perlahan Fatyma mengangguk. Tidak ingin membohongi hati tentang itu lagi. Tan Sri Fahamin membisu seketika. Teringat. Ketika dia bertemu Imran beberapa bulan mereka ada berjenakan tentang hubungan cinta antara dua manusia ini. Masin mulut sudahnya.
“Dia lamar Ima. Kenapa Ima tolak? Kamu berdua suka sama suka,” ujar lelaki tua itu.
“Ima bimbangkan dia, papa. Adira pulak macam mana? Ima ada banyak masalah sekarang. Ima tak tahu nak selesaikan macam mana,” luah Fatyma berserta keluhan perlahan.
“Selalu saja Ima jadikan Adira sebagai alasan untuk menolak perkahwinan. Anak-anak memang begitu. Tak semestinya mereka suka dengan apa yang kita buat. Tapi mengorbankan perasaan sendiri semata-mata untuk menangkan anak-anak, papa sama sekali tak setuju, Ima. Jangan terlalu manjakan dia. Dia harus belajar hormatkan perasaan Ima dan hak Ima kepada kehidupan Ima.”
Tan Sri Fahami terus memandang anak sulungnya itu. Fatyma memilih untuk mendengar tanpa membalas.
“Ima, papa masih ingat tentang sesuatu. Dulu kehendak Ima untuk berkahwin dengan Rafi, papa tak berapa suka. Sebab papa rasa Ima tak kenal dia. Papa pun tak berapa kenal Imran. Tapi sekarang ini, ada seorang lelaki datang kepada Ima waktu Ima dalam kesempitan. Hulurkan tangan pada Ima. Cuba jadi pelindung Ima walaupun dia tahu nyawa dia jadi taruhan. Ini bukan waktu yang sesuai untuk bercakap pasal kahwin. Tapi dia pilih waktu ini untuk melamar Ima. Lelaki begini hanya ada satu dalam sejuta,” ujar Tan Sri Fahamin lembut.
“Apa yang patut Ima buat, papa? Adira macam mana?”
“Ketepikan Adira dulu. Ima ada masalah lain yang lebih besar. Sebelum fitnah tu tersebar ke merata tempat. Papa mahu Ima usahakan jalan keluarnya.”
“Ima takut, papa. Kalau ada apa-apa berlaku pada Imran, apa Ima nak jawab pada keluarga dia?”
“Ima, hidup dan mati tukan urusan Allah? Kita berjaga-jaga selalu. Polis ada. Apa kita nak bimbang?” ujar Tan Sri Fahamin tenang sahaja.
Fatyma tunduk sedikit sambil memikir sendiri. Dalam fikirannya semakin sarat wajah lelaki itu. Sudah beberapa hari lelaki itu membisu. Apa khabar Imran sekarang?
“Ima, sekali ini papa mahu Ima utamakan kehendak diri Ima. Kebahagiaan Ima. Anak-anak tak sepatutnya jadi penghalang. Apa saja yang membahagiakan Ima, papa sokong, nak. Carilah kebahagiaan Ima sendiri. Masih belum terlambat. Papa tak mahu Ima terus berkorban untuk orang lain sehingga menyakitkan hati sendiri,” nasihat Tan Sri Fahamin cukup lembut.
“Ima faham, papa.” Lapang dada Fatyma mendengar bicara sang ayah.
“Jadi papa anggap Ima dah tahu apa yang perlu dibuat sekarang, kan?” duga sang ayah dengan sedikit senyum. Fatyma mengangguk lagi.
“Restu papa dan mama ada dengan Ima. Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja. Sudahlah. Jangan fikir banyak. Hidup mana yang tak pernah ada masalah, Ima? Jangan kerana masalah itu Ima pilih mengorbankan hal yang besar dalam hidup Ima. Papa mahu Ima jalani hidup macam orang lain. Kalau Ima yakin dia lelaki terbaik untuk Ima, lupakan yang lain. Terimalah dengan seikhlas hati,” ucap lelaki tua itu lagi. Sudahnya Fatyma tersenyum sedikit.

“Terima kasih, papa.” Ucap Fatyma sebagai penyudah bicara mereka dua beranak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan