Prolog
Pedih hati Firman melihat senyuman di bibir Qairynn terukir
manis untuk Aryan. Walaupun dia sudah mampu menerima kenyataan tentang
perkahwinan Qairynn dan Aryan namun jauh di sudut hatinya ada sedikit kecalaran
tatkala melihat senyuman itu terukir untuk lelaki lain. Sedangkan dia pernah
mengharapkan senyuman semanis itu teruntuk buatnya.
Malas menganggu pasangan itu dia akhirnya meminta diri.
Dia tahu Aryan perlukan rehat.
“Terima kasih sebab sudi datang,” ucap Aryan saat
tangannya dijabat Firman.
“No thank’s. No big
deal. Harap kau cepat sembuh.” Firman menjawab ikhlas. Firman kemudian
memandang Qairynn yang tersenyum merenung suaminya itu. “Take care, Rynn. You pun kena berehat,” ucap Firman lembut.
“Sure..” sambut Qairynn.
Di luar Firman terus menuju ke lif. Buat seketika dia
menanti lif yang terhenti agak lama di tingkat bawah sekali. Matanya
terkebil-kebil memandang nombor di bahagian atas pintu lif itu. Nampaknya
setiap tingkat lif itu berhenti. Sehingga akhirnya dia terlihat lif itu terus
berada setingkat di bawah tempat dia berpijak, Firman mendegus sedikit.
Keinginannya untuk menunggu lagi sudah memudar. Akhirnya dalam keadaan sedikit
tidak sabar dia terus menerjah pintu penghadang api yang memisahkan ruang
menunggu lif itu dengan tangga.
Sayangnya tolakannya agak kuat. Seorang wanita yang
kebetulan berada di belakang pintu itu sempat dirempuh oleh pintu kayu itu
sehingga dia terjatuh ke belakang.
“Ya Allah..” Firman sedikit terjerit melihat wanita itu
terduduk di atas lantai simen itu sambil menekup wajahnya.
“Maaf.. I tak sengaja,” ucap Firman sedikit kalut. Dia
duduk mencangkung di hadapan wanita itu untuk membantu. Namun saat itu dia
sempat menilik tanda nama yang ada di bahagian hadapan jubah putih wanita itu.
Dia terbaca nama wanita itu sebagai Dr. Nurul Afyra.
“Kenapa tolak pintu tu kuat-kuat? Sakitlah! Hospital ni
terbakar ke apa yang you nak cepat sangat turun tangga?” rengus wanita itu
sambil mula menyandarkan tubuhnya ke dinding putih di tepinya itu.
Firman terpaku seketika saat wanita itu mengalihkan
tangannya. Kemarahan wanita itu tidak lekat di otaknya. Tetapi raut wanita yang
berada di hadapan matanya membuatkan matanya mula bersinar ceria.
“Apa pandang orang macam tu? Dah langgar lepas tu buat
bodoh pulak!” bebel wanita itu geram melihat renungan Firman.
“You nak I buat apa?” soal Firman lantas tersenyum. Tak
jadi dia mahu turun tangga.
“Tak reti minta maaf ke apa you ni?” gadis itu menjeling
sedikit. Taulah hensem. Tak payalah nak senyum senget macam tu. Dah jadi hensem
sangat!
“I dah minta maaf tadi. Mungkin you tak dengar. You boleh
minta sesuatu yang lain. I sedia tunaikan,” ucap Firman lembut.
Doktor pelatih itu terus memandang wajah Firman. Melihat
renungan lain macam lelaki itu dia mula rasa aneh. Takut pun ada memandangkan
mereka berdua sahaja di situ.
“I kena pergi sekarang,” ucap doktor muda itu segera
memilih untuk mengelak. Renungan ala-ala romeo lelaki itu mula menyeramkannya.
Tanpa sebarang rasa berat hati Firman membantu gadis itu
bangun. “Nama I Firman..” ucap Firman setelah gadis itu berjaya menstabilkan
dirinya.
“Tak tanya pun!” jawab gadis itu spontan.
Firman tergelak perlahan. Nakal! Seru hatinya sedikit
berbunga-bunga melihat gelagat gadis itu. “Sekarang I nak tanya you. Boleh?”
“Tak boleh!” jawab gadis itu selamba.
“I akan tanya jugak..”
“Apa dia?”
“You bertugas department mana?”
“Rahsia!” jawab gadis itu tanpa memandang.
Firman tersenyum lagi. Manis! Bisik hatinya seronok
melihat gadis itu. “Okay.. kalau you tak mahu bagitahu, I akan cari sendiri..”
ujar Firman sedikit mengugut.
“Carilah..” habis berkata-kata gadis itu terus menarik
pintu.
“Nurul Afyra.. nice name.. nice person too. You memang
peramah,” ucap Firman sebelum sempat gadis itu berlalu.
“I tak peramah dengan lelaki. Nak-nak bila berdua aja di
kawasan macam ni,” sambut Afyra selamba sebelum menghilangkan diri.
Firman mengangguk perlahan. Ya! kawasan ini agak sunyi.
Mungkin tempat yang tak sesuai untuk dia mengenali gadis itu. Tetapi di lain
masa dia janji akan mencuba lagi.
1
“Man, I nak hantar anak hari ni. You ada kat rumah pukul
berapa?” pertanyaan melalui talian itu membuatkan lelaki itu terduduk di birai
katil.
“Hanez, baru semalam you ambil budak-budak tu, hari ni
dah hantar semula?” tanya Firman macam tidak percaya.
“Boyfriend I ajak keluar. You faham ajalah si Romie tu.
Dia bukannya suka sangat ada orang ganggu kami. Lagipun nanti kalau orang
nampak susah I nak jawab,” jawab wanita itu lemah lembut sahaja melalui corong
telefon itu.
Firman menghela nafas perlahan. “Anak-anak lebih penting
atau teman lelaki you tu yang lebih penting? Hanez, itu anak-anak you. I tak
faham betullah you ni. You tukar lelaki macam tukar baju. Anak-anak kita
perlukan perhatian you, Hanez. Ini bukan sesuatu yang boleh dielak-elak
bila-bila suka,” keluh Firman sambil mengggeleng sendiri.
“Tapi si Romie tu pun penting untuk I, Man. Cubalah faham..”
“I dengar Romie tu suami orang. Dia pun ada anak-anakkan?”
“Mana you tahu ni? Romie tu memanglah suami orang. Tapi dia
dah nak bercerai, dear. Dia dengan isteri dia memang tengah bermasalah.”
“Sebab you?” teka Firman cukup mudah. “Tak cukup you
tinggalkan suami dulu. Sekarang you buat suami orang tinggalkan isteri dan
anak-anak dia,” tambah Firman tanpa sempat Hanez menjawab.
Hanez mengeluh di hujung sana. Panas telinganya diperli
bekas suaminya itu. “Itu semua cerita lama, Man. Jangan ungkit-ungkit, boleh
tak? I cuma nak bagitahu you pasal anak-anak kita!” rengus Hanez bosan.
Firman diam seketika. Dia masih ingat, Hanez
meninggalkannya dulu disebabkan mahu mengejar cita-cita sebagai pelakon. Tambahan
pula ketika itu perniagaannya tidaklah semaju sekarang. Kehidupan mereka biasa-biasa sahaja. Sayangnya
Hanez mahu lebih dari itu. Kerana itu Hanez sanggup mencari lelaki lain yang
ada kepentingan kepadanya walaupun masih menggalas title sebagai isteri. Hanez
pergi tatkala anak bongsu mereka belum pun berusia setahun iaitu kira-kira 5
tahun dulu.
Sayangnya sekarang ini dia lihat keberjayaan Hanez di
dalam bidang itu hanyalah suam-suam kuku. Selebihnya gosip sahaja yang melata. Malah
dia tahu bekas isterinya itu tidak pernah membuat pengakuan kepada orang ramai
yang dia pernah berkahwin. Malu agaknya nak mengaku yang dia sudah ada tiga
orang anak.
“Boleh ke tak ni?”
“Hantar ajalah. I ada kat rumah hari ni.” Firman akur
juga. Dia tahu lebih baik anak-anaknya itu bersama dengannya daripada dengan
Hanez. Hanez tidak pernah serius tentang tanggungjawabnya sebagai ibu.
“Thank’s, dear..” sambut Hanez ceria. Tanpa sebarang
pamitan atau salam talian terus dimatikan Hanez.
Firman menggeleng lagi. Kesal dengan sikap lepas tangan bekas
isterinya itu. Anak-anak yang semakin membesar kian tertanya tentang ibu. Dia sudah
pening mahu menjawabnya.
Sejam kemudian kelibat Ferhad Ilyas dan Fariq Iqbal dan
Firas Irsyad kembali kelihatan di rumah itu. Si ibu hanya menurunkan anak-anaknya
itu hadapan rumah. Kemudian disuruhnya anak itu masuk sendiri ke rumah. Selepas
itu dia terus pergi. Terkebil-kebil anak-anak itu memandang si emak yang tega
benar meninggalkan mereka begitu saja. Malah tiada ciuman kasih di pipi barang
sedikit pun.
“Mama mana?” tanya Firman sebaik sahaja dia keluar. Hanya
anak-anaknya yang ada di situ. Kelibat Hanez entahlah!
“Mama dah pergi,” jawab Ferhad layu sahaja suaranya.
Firman terus mengangkat anak bongsunya ke dalam
pelukannya. Pipi Irsyad diciumnya beberapa kali. “Jom masuk? Hari ni kita
tengok kartoon sampai petang!” ucapnya penuh kelembutan.
Irsyad terus memeluk leher si ayah. Firman memandang dua
lagi anaknya. “Masuk dalam.”
“Boringlah duduk rumah aja, daddy. Tengok tv. Lepas tu
makan kat kedai mamak tu,” keluh Ferhad sambil mencebik. Hari Ahad begini dia terpaksa
duduk rumah. Manalah dia mahu.
“Hari ni daddy nak rehat. Daddy penat. Lain kali kita
keluar ya?” Firman menjawab lembut. Rambut anak sulungnya itu diusap perlahan. Kemudian
tangan Iqbal diraihnya untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
Termuncung mulut anak itu mendengar jawapan si
ayah. Nampaknya dia tidak punya pilihan selain daripada duduk rumah seperti
sebelum-sebelum ini.
Saat memandang anak-anaknya duduk menghadap tv, Firman
berfikir sendiri. Tentang kehidupan yang dia lalui bersama anak-anaknya selama
ini. Juga tentang permintaan emaknya agar dia segera mencari pengganti Hanez. Dia
akui.. selama ini kehidupan mereka baik-baik sahaja. Namun tanpa kehadiran
seorang wanita di dalam rumah ini semuanya nampak janggal. Sunyi! Dia sendiri
juga merasakan kehidupannya tiada seri. Dunianya hanya kerja dan anak-anak. Hanya
itu!
Dan Firman tahu anak-anaknya terlalu memerlukan sentuhan
seorang wanita yang dipanggil ibu. Dia kasihan melihat anak-anaknya
tertagih-tagih masa untuk bersama dengan ibu mereka. Sayangnya ibu mereka pula
begitu. Saranan emaknya agar dia berkahwin lagi agar anak-anaknya mendapat
sentuhan seorang wanita selain Hanez.
Cuma siapalah orangnya? Sebelum ini dia pernah merasa
jatuh hati kepada seseorang. Namun sayangnya hati gadis itu tidak teruntuk
buatnya. Kini Qairynn sedang bahagia dengan suaminya. Tidak seharusnya dia
terus menanti kepada buah yang tidak akan gugur.
Afyra? Entahlah.. mungkinlah Afyra agaknya. Dia cuma perlukan
sedikit masa lagi untuk lebih mengenali gadis itu. Usia perkenalan mereka masih
terlalu baru kalau hendak dinilai. Memang dia pernah berjumpa dengan gadis itu
lebih setahun dulu. Tetapi baru 3 bulan ini gadis itu dapat didekatinya. Setakat
ini hubungan mereka biasa-biasa saja.
Namun jauh di sudut hati Firman dia tahu masih ada yang
kurang antara dia dan Afyra. Entah kenapa hati lelakinya tidak merasa teruja
saat bersama gadis itu. Layanan Afyra kepadanya membuatkan dia sering
teringatkan cara Qairynn melayannya dulu. Mereka lebih kurang sama. Kebetulan pula
umur pun hampir sebaya.
Entahlah.. dia sendiri keliru dengan perasaannya kepada
Afyra. Dan dia juga tidak tahu apa pula tanggapan Afyra kepada dirinya. Sebagai
kekasih? Kawan? Atau sebagai abang sebenarnya? Selama ini mereka baik begitu
sahaja. Sebahagian dirinya pula terasa kosong saat bersama Afyra.
Jadi siapa? Entahlah.. Firman tidak tahu. Yang dia tahu
semakin membesar anak-anaknya semakin dia terdesak mencari pengganti Hanez. Dia
mahu melihat anak-anaknya membesar normal seperti anak-anak yang lain.
“Rania..” panggilan penuh merdu ala-ala miang itu membuatkan Rania
terpaksa menghentikan langkahnya dalam keadaan hatinya yang meruap-ruap oleh
rasa nak marah dan meluat.
“Ya, Tuan Saufi. Ada apa panggil I ni?” tanya Rania dalam
nada lemak merdu yang dibuat-buat.
“Cepat sangat ni nak ke mana? Kita lunch bersama hari ni
nak?” tanya lelaki berusia 49 tahun itu dengan senyum senget terhias di bibir.
Rania senyum terpaksa lagi. kalaulah bukan disebabkan
Tuan Saufi adalah pemilik firma guaman ini memang tak ingin dia nak melayan
lelaki itu walaupun hanya untuk seminit! Mungkin lelaki itu tidak sedar dalam
hatinya ini hanya ada rasa jengkel, menyampah, alergik dan segala rasa yang tak
elok lagi kepada lelaki itu.
“Takpelah.. I nak keluar ni. Ada lunch appointment dengan
client. Sorry ya?” jawab Rania lantas dia berpaling semula untuk pergi.
“Rania, nantilah sekejap. I belum habis lagi bercakap
dengan you, sayang. Cepatnya nak pergi?” Lelaki tua itu segera berjalan laju
untuk memintas langkah Rania.
Rania menghela nafas perlahan. Orang tua ni aku sepak dia
pakai muncung kasut aku ni nanti, baru dia tahu! Getus hatinya meluat yang
teramat sangat mahu melayan Tuan Saufi.
“Rania, you ni cepat aja nak larikan diri dari I.”
“Bukan larikan diri tapi I memang kejar masa. Sorry..”
Rania segera meneruskan langkahnya. Namun Tuan Saufi ikut berjalan sama dengan
wanita itu.
“Nak apa lagi?” tanya Rania. Nadanya mula berubah dingin.
Siksa dia mahu terus berpura-pura kepada lelaki itu. Hakikatnya dia bukanlah
seorang perempuan yang suka bertonyeh dengan lelaki tidak tentu hala. Baginya masa
itu emas. Tetapi gelagat lelaki ini memang membuatkan dia terlalu benci untuk
memandang wajah lelaki.
“Malam ni you ikut I meeting dengan client boleh?”
“Semenjak bila pulak I ni handle kes dengan you?” tanya
Rania dalam nada jengkel. Macamlah dia tak tahu meeting tu sebenarnya dating! Gatal
punya orang tua! Nama aja dah kahwin.. tapi gatal nak mampus, cemuh hatinya
geram.
“I nak lantik you jadi pembantu I dalam kes tu nanti.”
“Kes apa?” tanya Rania serius setelah dia menghentikan
langkahnya.
Tuan Saufi terhenyak sekejap diterpa soalan itu. Kes apa
ya? Mana ada kes apa-apa sebenarnya.
“Sorrylah, I tak berminat nak jadi patner you dalam kes tu.”
Tanpa menunggu jawapan Tuan Saufi, Rania terus memberikan keputusannya. Buang masa
aja dia melayan lelaki ini.
“Rania, I nak ajak you makan malam dengan I..” pujuk Tuan
Saufi akhirnya jujur sahaja tentang hasrat terpendamnya itu. Memandang Rania
saban hari hatinya semakin tidak keruan. Dia benar-benar dilamun asmara kerana
Rania.
“I’m sorry, Tuan Saufi. I’m not interested with any man
for now. Terutama sekali dengan lelaki yang dah kahwin!” tegas jawapan yang
diberikan Rania. Pantang nenek moyangnya merampas hak orang!
“Tapi I ikhlas..”
“It’s okay.. tak perlu susah-susah ikhlaskan diri untuk menggatal
dengan I. I belum terfikir nak kahwin buat masa ni.” Rania memintas kata-kata
lelaki itu pantas. Tanpa memandang lelaki itu lagi dia terus berlalu untuk
keluar daripada pejabat itu.
“Rania, jangan lupa.. I yang jadikan you patner kat sini.
Sekurang-kurangnya you kenalah balas jasa I ni,” laung Tuan Saufi buat
penghabisan kalinya. Namun Rania terus memekakkan telinganya. Sekelip mata
kelibatnya menghilang daripada kawasan itu membuatkan lelaki itu menghela nafas
kecewa buat kesekian kalinya.
hahahaha romie n hanez??mcm familiar je nama tu..good job
BalasPadammemang ditujukan khas untuk mereka.. hihihi
BalasPadamBest 3x cepat sambung ya tq.
BalasPadamPadanlah mcm kenal je nama tu... Hehehe
BalasPadam