Jumaat, 28 Mac 2014

7-9 HEY, MR DUDA.. I HATE U!

7
“Rasanya tak payahlah kita nak berpantun-pantun bagai. Buat lambat aja. Kami ni pun bukannya pandai benar nak berpantun segala. Kita terus ajalah ke pokok ceritanya,” ucap Tan Sri Hisyam penuh hemah.
“Eloklah tu. Kami ni pun bukannya pandai juga nak membalas pantun ni, Tan Sri..” Haji Marzuki yang menjadi wakil bagi pihak perempuan menyambut senang.
Puan Harlina resah di belakang abangnya. Bimbang apa yang bakal terluah nanti membuatkan keluarga ini hingar bingar. Duduknya sudah tidak senang akibat dipalu debar yang cukup kencang.
“Kami ni datang ke sini, berhasrat nak menyunting bunga yang ada di lama tuan haji ni. Dengarnya tengah elok kembangnya. Kalau tak keberatan naklah dipadankan dengan kumbang kepunyaan kami. Kumbangnya pun memang tengah tercari-cari bunga mana yang boleh dihinggapnya. Manalah tahu dapat kita bersaudara lepas ni..”
Tergelak-gelak mereka mendengar ayat berbunga-bunga lelaki itu.
“Elok benar hasrat tu, Tan Sri. Kami ni pun takdelah berhasrat nak menyimpan bunga kami ni selama-lamanya. Layu nanti! Lagilah takde apa boleh dibuat,” sambut Haji Marzuki sambil ketawa. Haji Nasruddin hanya tersenyum mendengar ujaran abangnya itu.
“Alhamdulillah.. bunyinya macam dah jadi rancangan kami ni. Langkah kananlah ni agaknya.”
“Tapi kita cerita-cerita ni.. bunga yang mana nak disunting ni? Laman kami ni ada dua bunga. Satu tu bunga kekwa, adiknya. Satu lagi bunga ros, si kakaknya. Bunga yang mana kumbang tu berkenan?” ucap Haji Marzuki cukup berlapik.
Tan Sri Hisyam memandang ke sebelahnya seketika. Anak sulungnya sekadar mengangguk meminta ayahnya mengharungi sahaja keadaan itu dengan lapang dada. Lelaki tua itu menghela nafas seketika untuk mencari kekuatan. Bimbang tuan rumah itu mengamuk pula.
“Yang kakaknya..” ujar Tan Sri Hisyam nekad.
Serta merta wajah Haji Marzuki berubah. Begitu juga dengan Haji Nasruddin yang sekadar menelinga.
“Ai.. tersilap agaknya ni. Afyra ni adiknya.. Rania kakaknya. Takkanlah tertukar pulak? Setakat tersalah sebut nama boleh maaf lagi. Kalau tertukar orang, haru kita nanti.” Haji Marzuki ketawa-ketawa lagi cuba menenangkan keadaan yang sudah mula lain macam.
Tan Sri Hisyam meraup wajahnya seketika. “Betullah.. Nurul Rania. Kakaknya..”
Hilang terus senyum Haji Marzuki kala itu. Dia memandang adiknya di tepi. “Hai.. apa cerita ni? Bukan ke ni nak meminang anak kamu si Afyra tu? Macamana boleh jadi Rania pulak ni?”
Haji Nasruddin sudah merah mukanya tatkala diterpa pandangan abangnya itu. Dia sendiri tidak tahu menahu tentang ini. Setahunya Afyra. Bukan Rania! Seketika kemudian dia memandang ke arah kaum wanita. Mencari isterinya. Cepat sahaja Hajah Habibah melambai suaminya agar segera mendekatinya.
“Sekejap, bang. Saya tanya orang rumah saya dulu..”
“Yalah..” Haji Marzuki sekadar mengangguk sambil memerhatikan adiknya itu bangun untuk ke bahagian tengah rumah itu. Hajah Habibah terus menarik suaminya ke dapur.
“Apa benda ni? Dia kata Rania!” tegas Haji Nasruddin dalam nada bisikan kepada isterinya itu.
“Betullah dia nak meminang Rania. Bukan Afyra! Afyra dah bagitahu saya tadi,” tegas Hajah Habibah kepada suaminya itu.
“Ha?” Haji Nasruddin sudah ternganga.
“Afyra pun tak mahukan Firman tu. Dia kata Firman sukakan Rania. Terima ajalah! Banyak soal jawab karang, lagi malu kita dibuatnya,” tekan Hajah Habibah kepada suaminya.
“Bila dia cakap dengan awak? Kenapa tak cakap dengan saya? Malu saya depan orang!”
“Saya pun baru tahu tadi. Nak cakap macamananya awak dah ke depan dulu. Afyra dengan Firman tu sama-sama tak mahu. Takkan kita nak teruskan jugak?”
“Habis tu Rania tu macamana? Mahu ke dia? Awak dah tanya dia?” mereka berdua terus berbisik-bisik di situ.
“Awak tahukan anak awak tu macamana? Manalah dia nak kalau kita cakap elok-elok dengan dia. Semua lelaki dia tak mahu. Awak sanggup tengok dia terus macam tu?” balas Hajah Habibah sedikit keras bisikannya.
Haji Nasruddin mengela nafas sambil memicit dahinya. “Mana boleh macam ni. Buatnya Rania buat hal, tak ke lagi malu kita nanti?”
“Tentang itu awak tak payah ambik tahu. Tahulah saya nak buat macamana..” tegas Hajah Habibah serius.
Lelaki tua itu termanggu seketika sambil berfikir sendiri.
“Bang, anak awak tu dah 32 tahun. Dengan perangai dia macam tu, mujurlah ada orang nak masuk meminang dia. Kalau kita tak buat macam ni selagi itulah dia tetap dengan kepala batu dia tu. Terima ajalah dah terlanjur ada orang nak! Cepatkan nikahnya. Tak payah tunang lama-lama. Dia orang tu bukannya budak-budak lagi. Firman tu duda!”
Haji Nasruddin menggeleng sendiri. Tanpa jawapan dia kembali semula ke hadapan. Tanpa memandang sesiapa di ruang tamu itu dia kembali duduk di tempat tadi. Haji Nasruddin senyum kelat kepada abangnya itu. “Rania. Bukan Afyra..” ujarnya agak payah.
“Ha? Betul ke ni?” Haji Marzuki memandang ayah Rania dengan mata membesar tanda tidak percaya.
“Betul. Kami ni tersalah dengar sebelum ni, bang.” Haji Nasruddin menjawab rendah.
Haji Marzuki terdiam seketika. Macam tak logik pula alasan tersalah dengar itu. Namun dia tidak mahu soalan-soalannya nanti memalukan keluarga mereka yang sedang diperhatikan orang. Tan Sri Hisyam hanya memandang dengan perasaan kelat. Mukanya sudah terasa hangat di hadapan Haji Nasruddin.
“Jadi macamana?” tanya Haji Marzuki kepada adiknya itu. Haji Nasruddin berbisik sesuatu kepada abangnya itu. Sehabis itu Haji Marzuki mengangguk setuju.
Haji Marzuki menghela nafas perlahan sambil memandang Tan Sri Hisyam. “Kalau begitu begini ajalah.. kami sekeluarga berbesar hati untuk menerima pinangan ni. Kita buat yang mudah aja. Bertunang hari ini. Nikahnya bulan 5 nanti,” ucap Haji Marzuki kepada Tan Sri Hisyam.  
Tan Sri Hisyam terus memandang adik perempuannya dengan sedikit senyuman. Lega benar perasaannya mendengar itu.
“Alhamdulillah.. bulan 5 tak lama aja lagi. Gembira benar-benar hati kami ni, tuan haji. Kembang hati kami ni dapat berbesan dengan keluarga tuan haji.”
“Harap-harap Allah permudahkanlah nanti..” sambut Haji Marzuki biasa. Sempat dia memandang adiknya itu. Haji Nasruddin hanya mampu tersenyum kelat sendiri.
Tidak berlengah lagi kaum ibu mula naik ke bilik bakal pengantin untuk menyarung cincin tunang. Rania tersenyum-senyum tatkala rombongan pengantin lelaki masuk untuk menyarung cincin kepada adiknya itu. Sebaik sahaja ibu Firman mendekat, dia segera bangun memberi ruang. Namun Puan Harlina sekadar berdiri di hadapan Afyra yang duduk di katil.
“Mana satu bakal pengantinnya? Nanti tersalah sarung susah kita!” seloroh Puan Harlina lantas disambut oleh gelak tawa orang sekeliling mereka.
“Ini ha orangnya..” Hajah Habibah segera menunding kepada Rania yang berdiri di tepi Afyra. Tangan anak sulungnya terus dicapainya.
Terbeliak macam nak terkeluar biji mata Rania melihat emaknya memegang pergelangan tangannya. Dia dipaksa oleh emaknya supaya duduk di katil itu. Bersebelahan dengan Afyra.
Puan Harlina tersenyum memandang wajah Rania yang sedang cuak.
“Cantik budaknya. Patutlah naik sewel anak lelaki saya tu dibuatnya.”
Rania terkedu dengan mata membulat besar. Degup jantungnya sudah tidak terkawal. Afyra dipandangnya. Adiknya itu selamba sahaja macam tidak ada apa-apa. Dia semakin terpinga-pinga di dalam bilik itu.
“Tangan tu, Rania! Cepat hulur..” Hajah Habibah menggumam tajam sambil menarik tangan Rania secara paksa agar segera dihulurkan kepada bakal emak mertuanya.
“Budak-budak sekarang ni kalau tak didesak begini, tak mahu kahwin..” ujar Hajah Habibah lantas tergelak-gelak dengan Puan Harlina.
“Samalah dengan anak saya tu, Hajah..”
Orang lain sibuk ketawa. Namun tidak dengan Rania yang masih tidak tahu hujung pangkal cerita. Mak, apa ni? Siapa pulak yang nak kahwin ni? Rania ke Afyra?? Hati Rania menjerit. Namun entah kenapa lidahnya kelu memandang cincin yang disarungkan ke jarinya tiba-tiba. Tiada ribut tiada hujan.. tiba-tiba cincin tunang itu disarungkan ke jarinya. Dia pun sudah terlupa untuk menolak.
“Cium tangan bakal mak mertua tu..” Hajah Habibah menjegilkan matanya kepada Rania yang tergadah memandangnya. Cepat-cepat dia tersenyum agar orang sekeliling tidak perasan keadaan sebenar di dalam bilik itu.
Rania menelan liur sendiri. Dalam hatinya ada jeritan yang bertali arus. Dia dah jadi tunang jantan tua tu ke sekarang ni? Tak mahu!!!
“Cepatlah, akak. Cium tangan auntie Lina ni cepat!” tidak cukup dengan jegilan mata Hajah Habibah. Afyra tolong tolak kepala Rania dari arah belakang supaya patuh kepada kehendak emak mereka itu. Mahu tidak mahu Rania tunduk juga mengucup tangan emak Firman itu dalam keterpaksaan.
“Bertuah Firman dapat bakal isteri cantik macam ni..” puji Puan Harlina lantas mengucup kedua-dua belah pipi Rania.
Rania terus terkedu bagaikan diawang-awangan dengan keadaan itu. Matanya terkebil-kebil memandang orang sekelilingnya. Tatkala gambarnya bersama Puan Harlina diambil otaknya masih belum mampu menafsir sepenuhnya apa yang sedang berlaku.
Sehabis meneman kakaknya bergambar di atas katil itu, Afyra terus bangun melempar selendang di kepalanya. Sengaja dia membuntuti emaknya keluar dari bilik itu. Dia tahu Rania pasti akan menyerangnya. Apa yang akan berlaku selepas ini dia tidak mahu ambil tahu. Itu semua urusan Firman!

Rania keluar ke balkoni tingkat atas rumah itu tatkala semua orang sibuk di bawah. Dia tahu Firman ada di luar rumahnya. Tatkala dia memandang ke arah kereta lelaki itu dia terlihat kelibat seseorang sedang duduk bercangkung di tepi kereta.
Firman terus bangun sebaik sahaja ternampak kelibat Rania.
“Kurang ajar kau, jantan tua! Siap kau nanti! Aku siat-siat kulit kau, buat gendang!” ucap Rania seorang. Lantas penumbuknya diangkat kepada si Firman. Nak mengugut kononnya.

Firman sekadar menjungkit bahu konon-konon tidak faham apa yang sedang berlaku. Namun seketika kemudian dia tersengih sendiri. Tiba-tiba dia rasa di sebalik semua kepayahan ini, dia sudah menjadi manusia yang paling happy di alam semesta ini. Apa yang bakal Rania lakukan kepadanya nanti.. dia redha!

8
Tiada penjelasan daripada emak dan abahnya. Afyra lagilah buat bodoh. Dia jadi bingung dengan keadaan yang berubah tiba-tiba saat ini. Namun Rania tidak akan semudah itu menerima semua ini. Petang itu setelah semua tetamu pulang Rania terus mendapatkan keretanya.
Ke mana lagi dia mahu pergi kalau bukan mencari si Firman itu. Gigih dia pergi mencari lelaki itu daripada alamat yang diberikan Afyra. Rania bernasib baik. Sesampai sahaja dia di rumah itu kereta milik Firman elok sedang terpakir di dalam garaj menandakan lelaki yang dicarinya itu sedang berada di rumah.
Rania sekadar memakirkan keretanya di hadapan pintu pagar rumah. Kemudian loceng dipetiknya berkali-kali. Beberapa saat kemudian kelibat seseorang keluar dari rumah.
“Rania?” ucap Firman agak terkejut melihat tunangnya berada di situ. Terus dia menyarung selipar untuk mendekati Rania di luar pagar. “Mana you tahu rumah I?”
“I tak kuasa nak layan soalan bodoh tu!” balas Rania serta merta kasar nadanya.
“Oh.. mesti Fyra yang bagitahu.” Firman tersengih sumbing sambil menggaru kepalanya.
“Kenapa you buat macam ni ha? You tahu tak.. I sikit lagi nak kena heart attack. Family I malu. Jiran-jiran semua pandang lain macam pada kami,” ucap Rania terus mengeras nadanya.
Firman menghela nafas seketika. “Sebelum I cakap hal yang sebenarnya, I mintak you bertenang..” pujuk Firman lembut.
“Bertenang? Selagi I tak dengar penjelasan you, I takkan boleh bertenang!” bentak Raniaa semakin meninggi. Dadanya sudah turun naik menahan geram kepada lelaki di hadapannya itu.
“Okay.. okay.. just calm down, okay. I boleh jelaskan. Tapi bukan sekarang.” Firman menelan liur cuba untuk menenangkan perasaannya. Wajah merah padam Rania tidak membuatkan dia senang untuk membuka cerita. Dia tahu apa yang bakal diucapkannya ini akan membuatkan Rania bertambah marah kepadanya.
Rania tidak menjawab sebaliknya cincin yang berada di jari manisnya itu ditanggalkan. “Ambik balik! I tak ingin nak pakai cincin ni!”
Firman tersentak tatkala sesuatu dilempar Rania terkena ke wajahnya. Spontan matanya memandang sekeliling mencari semula objek itu. Namun tiada!
“Kenapa ni Rania?” tanya Firman cuba berlembut kepada wanita itu. Buat-buat bertanya penuh diplomasi pula padahal dia sudah nampak kemarahan yang berapi-api di mata Rania.
“You tanya I kenapa? You ni memang dah gila agaknya. Bercinta dengan adik I tapi you bertunang dengan I. I rasa otak you ni dah sengetlah, jantan tua! Tak pasal-pasal I kena pergi kursus kahwin pulak!” jerkah Rania dengan dada turun naik.
Firman diam seketika. Namun fikirannya ligat berputar mencari idea untuk memujuk Rania. Dia tahu apa yang berlaku sekejap tadi sudah tentulah membuatkan Rania terkejut. Mungkin juga marah.
“Keputusan yang I buat adalah yang terbaik untuk kita,” ucap lelaki itu perlahan.
“Terbaik untuk kita? Siapa kita? Afyra macamana? Dia yang beriya-iya..”
“You ada nampak dia menangis ke?” celah Firman pantas.
Saat itu Rania terdiam. Ya tak ya kan? Kenapa Afyra tak menangis tadi? Cuma dia perasan Afyra tidak menegur dia. Dia malu! Rasa bersalah kepada Afyra. Mungkin Afyra tak mahu menunjukkan kesedihan dia kepada orang sekeliling. Tetapi biar apapun keadaan Afyra, dia menganggap perbuatan Firman ini memang melampau! Dia tak mahu dianggap kakak yang kejam. Mencaras teman lelaki adik sendiri!
“I buat macam ni sebab I sedar yang hati I takde pada Afyra..” ucap Firman bersungguh.
“So apa kena mengena dengan I pulak? You takde hati dengan Fyra bermakna I pulak yang kena jadi gantinya. Macam tu ke?” sanggah Rania pantas.
 “Rania, I buat macam ni sebab I sukakan you. Selama ni pandangan I hanya fokus pada you. Bukan Afyra. Afyra tu macam adik I dan dia sendiri pun takde perasaan pada I. Dia anggap I macam abang dia.”
“Masalah antara you berdua, itu takde kena mengena dengan I. Masalahnya I pun takde perasaan pada you. Secebis pun takde, Firman! You tahu tak apa perasaannya bila kita terpaksa menerima semua ni secara tiba-tiba? Takde siapa pun pernah tanya persetujuan I. Tahu-tahu I terpaksa jadi tunang you. Ingat I ni patung ke?” meledak suara Rania tidak mampu menerima penjelasan Firman.
Firman terdiam seketika. Seketika kemudian wanita itu didekatinya. “Okay.. I’m sorry. I tahu perbuatan I nampak macam pentingkan diri sendiri. Tapi tentang pertunangan ni, I serius, Rania. I nak you jadi isteri I. I memang sukakan you semenjak kali pertama kita berjumpa dulu.” Firman cuba mencapai lengan Rania.
“Apa ni? Belum apa-apa dah pegang-pegang!” Rania terus menampar tangan lelaki itu.
“No! I tak maksudkan apa-apa. I cuma nak pujuk you.” Lelaki itu membalas lembut. Sedikit mendayu. Tapi nada mendayunya kedengaran aneh di telingan Rania. Macam nada orang tua miang keladi.
“Nak pujuk pun tak semestinya kena pegang-pegang. I tahu you ni memang jenis lelaki yang suka ambil kesempatan kan, jantan tua! Tahulah you duda. Tapi jangan nak tunjuk sangat gatal tu boleh tak? I geli dengan you! I pun tak tahulah kenapa Afyra boleh berkenalan dengan duda merenyam macam you ni.” Suara Rania terus meninggi kepada lelaki itu.
Firman tergelak perlahan sambil menggaru kepalanya seketika.
“I dengan Afyra semenjak mula lagi tak bercinta, Rania. I cuma berkawan dengan dia. Itu saja! Pasal peminangan tu mama yang paksa I sebab anak-anak I suka Fyra dan sebab I selalu sangat ke rumah you. To be honest.. I sebenarnya ke rumah you selama ini sebab nak jumpa you. Kalau you nak tahu, tengahari tadi Afyra sendiri pun mintak I pilih you sebab dia tak sanggup terima I lebih daripada yang sepatutnya. Dia takde hati langsung pada I dan dia tahu I selalu mengacau you selama ni. Tapi dia buat-buat tak tahu sebab memang itu pun yang dia nak selama ni. Dia ajak I ke rumah sebab nak temukan kita.
Rania terpaku seketika mendengar penjelasan Firman itu.
“Rania, I cuma ambil peluang tu untuk dapatkan perempuan yang I suka. I tahu semua ni memang gila. I sedar ada banyak salah faham orang lain pada hubungan I dengan Afyra selama ini. I sendiri pun tak tahu dia ada niat lain pada kita berdua. Bila dia hanya diam, I jadi keliru. I takut kalau I berterus terang tentang perasaan I pada you, dia akan kecil hati. I tak tahu apa sebenarnya perasaan dia pada I selama kami berkawan. Tapi tadi I dah tahu kebenarannya.. kami berdua takkan mampu jadi sepasang kekasih.”
“Oh.. jadi memang betullah you memang sengaja menggatal dengan I selama ni?”
“Rania, I cuma nakkan sikit perhatian you,” pujuk Firman masih tidak jelak untuk menundukkan kedegilan Rania.
“Eee.. tak sedar diri dah tua, nak perhatian segala. You ni memang menjengkelkanlah, Firman. Main paksa-paksa orang kahwin dengan dia pulak.”
“Sebab you tak bagi apa yang I nak, I terpaksa buat macam ni. Sorry..” balas Firman selamba.
 “No! I tak nak kahwin dengan you..”
“I yang nak kahwin dengan you..”
“Tak faham ke yang I tak suka you?” bentak Rania semakin geram. Peduli apa dia jiran-jiran rumah lelaki ini sibuk memandang pergaduhan mereka.
“I faham. Tapi I yang tak faham kenapa I boleh suka dekat you.”
“Otak you ni memang dah sengetlah, jantan tua!” cemuh Rania tajam.
“Yes.. otak I jadi senget sebab you, andartu!” balas Firman selamba.
Tak guna! Dia panggil aku andartu? Darah Rania terasa mendidih. Mahu sahaja diganyangnya lelaki ini secukup-cukupnya. “Eee.. I tak tahulah kenapa. I rasa nak cekik-cekik you ni.”
Firman tergelak-gelak sambil menggeleng. “You nak cekik I? Boleh.. tapi kita masuk dalam rumah I dulu. Kat dalam you boleh buat apa yang you suka. Dan I pun boleh buat apa yang I nak dekat you. Fair enough, right?” jawab Firman cukup miang.
Rania menggenggam kedua-dua belah tangannya. Geram dan sakit hatinya semakin menjadi-jadi melihat muka selamba Firman. Dalam keadaan dia macam ni lelaki ini masih sempat nak menggatal dengan dia?
Come on.. rumah I tengah free sekarang ni. Anak-anak I semua kat rumah mama. Takde siapa boleh kacau kita. Kita boleh celebrate sempena hari pertama you jadi tunang I,” ucap Firman sengaja buat tidak nampak kepada kemarahan tunangnya itu. Tangan Rania terus dicapainya. Wanita itu ditariknya ke arah rumahnya.
“Hey.. hey.. you nak bawak I pergi mana ni. Tak mahulah! I nak balik!” Rania mula kalut untuk melepaskan diri. Tangan Firman yang sedang mencekak pergelangan tangannya dipukul-pukulnya tanpa henti. Namun lelaki itu hanya buat bodoh sahaja.
“Firman, siap you kalau you apa-apakan I.” Sempat juga Rania memberi ancamannya. Namun sebenarnya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya dia saat ini.
“I dah siap ni. Tinggal tunggu you aja,” balas Firman langsung tidak gentar dengan ugutan Rania.
Rania segera menahan diri ketika berada di ambang pintu rumah itu. “I tak nak masuk!”
“Apa nak takut, sayang? Rumah I takde hantu. Come..” pujuk Firman sambil menarik sebelah tangan Rania yang sedang menahan ambang pintu itu.
“I nak balik!”
“Awal lagi ni, sayang. You tahu tak.. rumah ni dah lama tak dijejaki oleh seorang perempuan yang I anggap istimewa. Kecuali mama. 5 tahun dah terlalu lama. I dah cukup lama kesepian. I can’t wait anymore..”
Bertambah seram Rania mendengar ucapan Firman itu. Bukannya dia tak mampu membayangkan apa maksud kesepian yang dikatakan Firman tadi.
“I tak nak temankan you kat sini. Please let me go. You buat I takut, Firman!” rayu Rania sudah mula lain macam nadanya. Macam orang nak menangis pun ada.
“You tahu takut rupanya?”
“Apa maksud you?”
“I ingat bila you bercakap ikut sedap mulut, you dah cukup berani. Bayangkan kalau ada orang yang berdendam dengan you disebabkan mulut you yang takde insuran tu. Apa akan jadi?” ucap Firman serius.
“I cakap apa yang I suka pada orang yang I tak suka. Terutama sekali you! Gila!” bentak Rania lantas menolak lelaki itu jauh daripadanya. Tanpa menunggu lagi dia terus berpaling menuju ke keretanya.
“Rania..” laung Firman lantas mengejar wanita itu sehingga ke keretanya.
“Lepas!” bentak wanita itu tatkala Firman berjaya mencapai tangannya semula ketika di tepi kereta.
“Okay.. I’m sorry. Sayang, I tak bermaksud nak apa-apakan you tadi. I cuma nak sedarkan you tentang sikap you sendiri,” pujuk lelaki itu agar keadaan kembali tenang.
“You hanya buat I makin benci! I tak nak kahwin dengan you. Lepaslah.. I nak balik! Sakit tahu tak!” jerit Rania tidak terkawal.
“Okay.. okay.. calm down. I’m sorry. I tak sengaja, sayang.” Firman segera melepaskan tangan wanita itu.
Rania sempat membelek pergelangan tangannya. Perit dirasakan pada tempat cengkaman Firman tadi.
“Rania, I cintakan you. Jangan buat I macam ni. I tak main-main kali ni. I nak you jadi isteri I,” pujuk Firman separuh merayu.
Namun Rania tidak menjawab. Tanpa memandang dia terus membuka pintu keretanya dan masuk. Tanpa lama membiarkan enjin keretanya hidup, dia terus memecut pergi meninggalkan Firman terkebil-kebil sendiri.

9
Masam penuh kelat menghiasi wajah wanita itu pagi Isnin yang damai itu. Sudahlah hari itu hari Isnin. Monday blues kononnya. Dan tambah pulak dia memang tertekan dengan kenyataan yang dia kini sudah bertunang dengan Firman. Nak minta putus.. masalahnya tiada siapa nak mendengar usul yang dia nak kemukakan. Jadi harung ajalah. Tanpa secalit pun senyuman Rania terus ke biliknya tanpa menegur sesiapa di pejabat itu.
Sejam selepas waktu kerja di pejabat itu bermula kelibat Tuan Saufi muncul di bilik Rania. Rania mula membuat muka tanda tidak senang dengan kehadiran bosnya itu.
“How are you, Rania?” sapa Tuan Saufi penuh lemak berkrim nadanya. Maklumlah.. tengah menyapa buah hati.
“Good..” balas Rania cukup hambar. Kalau kau tak kacau aku, hidup aku lebih bagus.. bisikan itu hanya mampu diucapkan di dalam hati.
“Cantik you hari ni. Buatkan I rasa tak mampu nak menjauhi you..”
Nak termuntah Rania mendengar ucapan gemersik itu. Perasaannya kian berkocak apabila lelaki itu mula berdiri di tepi kerusinya. Memandang apa sahaja yang sedang dilakukannya saat ini.
Tuan Saufi mengeluh kecewa melihat Rania tidak membalas kata-katanya. Susah benar dia mahu melembutkan sekeping hati milik wanita ini. Diumpan dengan apa pun, Rania tetap tidak melayan!
“Rania, semua ni tak selalu jadi pada I. Ini semua takdir. I terima semua ni dengan hati yang terbuk,.” ucap Tuan Saufi lembut.
Memanglah kau terima sebab kau dah kemaruk nak berbini baru! Desis hati Rania.
“Dan I takkan boleh lepaskan perasaan yang ada dalam diri I sekarang ni.” Lelaki itu menambah lagi sehingga Rania mula menghela nafas perlahan.
Dia dah mula dah.. keluh hati Rania sebal. “Let me remind you, Tuan Saufi. You ni dah ada isteri dan ada 4 orang anak. Tanggungjawab tu dah cukup besar sebenarnya untuk seorang lelaki macam you ni. Janganlah buat I macam ni. I datang sini nak kerja. I tak mahu jadi perosak rumahtangga orang,” ucap Rania masih cuba berhemah. Namun nadanya keras sahaja menandakan kemarahannya sedang ditahan sedaya upaya.
“Rania, I tahu you memang bukan jenis wanita macam tu. I tahu semua ni memang kejam untuk isteri I. Tapi nak buat macamana kalau hati ni dah terpaut pada youkan? I mampu beristeri lebih dari seorang, Rania. I akan berlaku adil,” pujuk Tuan Saufi tanpa jemu.
“I tak mahu, Tuan Saufi. I takde perasaan sikit pun pada you. Tolonglah jangan sebut lagi hal ni. I dah tak larat nak jawab. I tak berminat langsung nak berkongsi suami dengan sesiapa,” ujar Rania tanpa mampu memandang lelaki itu.
Lelaki tua itu mula merapatkan diri kepada Rania. Dengan sebelah tangan dialihkan ke belakang kerusi Rania dia menunduk, mendekatkan bibirnya ke telinga wanita itu.
“Jangan cakap macam tu, Rania. Lelaki yang dah berpengalaman macam I ni ibarat macam kelapa tua. Santannya pekat. Lemak!”
Turun naik dada Rania menahan rasa marah kepada lelaki di sisinya itu. Kalaulah tidak kerana dia masih mahu mencari rezeki di sini lelaki ini memang sudah disepaknya. Apa yang bestnya dengan lemak? Kolestrol tinggi adalah! Bagi orang mati cepat.
“Tuan Saufi..” panggil Rania agak meleret. “I nak buat kerja ni. Please, excuse me!” lelaki itu dikerlingnya melalui ekor mata.
“Temankan I pergi breakfast dulu. You and me.. bagitahu aja you nak pergi mana. I boleh bawakkan,” bisik lelaki itu cukup mesra.
Ya Allah.. tak ingat anak bini ke mangkuk ayun ni? Tak faham bahasa ke apa dia ni? Keluh hati Rania benar-benar rimas.
“I dah breakfast. Kenyang sangat ni! Please leave me alone..” keluh Rania separuh merayu. Bosannya sudah ke tahap maksima dengan gelagat lelaki ini.
“Sekejap aja, sayang..”
Rania mula mengeluh sambil memegang dahi. Tiba-tiba telefon di atas meja itu bergetar. Menghasilkan bunyi halus. Rania terus mencapai dengan hasrat dia dapat mengelak daripada lelaki miang itu. Ada satu mesej yang masuk. Rania terus membukanya setelah kerusinya dipalingkan sedikit daripada lelaki itu.
Namun setelah mesej itu dibuka dadanya bertambah sesak. Gambar bibir wanita berlispstik merah juga disertakan ayat dibawahnya itu dibacanya berkali-kali.
‘Tiba-tiba teringat U. So sexy..’
Dua potong ayat pendek penuh simbolik daripada Firman itu tidak susah untuk difahaminya. Membuatkan darahnya semakin mendidih. Cukuplah dengan dua lelaki ini. Dia rasa nak mengamuk sekarang!
“Siapa tu?” tanya Tuan Saufi saat terpandangkan imej dalam telefon Rania itu sepintas lalu.
Lelaki tua yang gila sama macam kau! Bentak hati Rania panas. “Tunang I..” jawab Rania agak perlahan. Telefon itu dialihkan jauh agar Tuan Saufi tidak melihatnya lagi.
“Apa dia?” ucap Tuan Saufi agak meninggi akibat terkejut dengan kenyataan itu.
“Tunang I!” jawab Rania sedikit keras.
“Bohong! I tahu you sengaja nak mengelak dari I. Mana buktinya you dah bertunang.”
“Ini buktinya..” Rania terus menunjukkan jarinya. Namun dia terkedu menahan dengan rasa hangat di wajah. Jari manisnya kosong! Bukankah cincin yang diberikan oleh emak Firman semalam sudah dilemparkannya kepada Firman?
“Mana? Takde cincin apa-apa pun?” ejek Tuan Saufi pantas mengenakan Rania semula.
Kurang ajar! Hee.. padan denga muka aku. Yang kau pergi buang cincin tu buat apa, Rania? Kan dah susah sekarang? Kutuk hatinya dalam pada dia terkumpal-kumpal sendiri.
“I tertinggal cincin tu kat rumah. Lagipun I tak suka pakai cincin..” jawab Rania cuba menyembunyikan rasa malunya. Tak boleh jadi ni. Aku kena suruh jantan tua tu cari balik cincin tu! tekad Rania dalam hati.
“Alasan..” cemuh Tuan Saufi langsung tidak percaya.
Fokus Rania libang libur sekali lagi tatkala ada satu lagi mesej masuk ke telefonnya. “Please, excuse me..” ucap Rania lantas melarikan kerusinya sedikit jauh dari lelaki itu.
Tuan Saufi hanya mampu memandang dengan hati yang berbuku. Tanpa mempedulikan bos gatalnya itu Rania membaca mesej yang dihantar Firman kepadanya.
‘Kita lunch sama hari ni? I ada benda nak cakap dengan you’
‘Me too..’
Itu sahaja jawapan yang diberikan Rania kepada Firman. Memang dia juga ada perkara yang hendak disampaikan kepada lelaki itu. Seketika kemudian dia menghadap mejanya semula. Bos miangnya itu masih ada di situ memerhatikan dia.
“Apa dia cakap pada you?” tanya Tuan Saufi dalam nada berbaur cemburu.
“Dia nak lunch dengan I hari ni.”
Tuan Saufi mendegus kasar. Kepalanya digeleng-gelengkan seketika. “Lelaki mana? Macamana you kenal dia?”
Rania mengeluh lagi. Apa hak lelaki ini mahu menyoal siasat dia begini? Kenapalah lelaki ini sering membuatkan dia tertekan benar? Entah apa salah dia, dia sendiri pun tidak tahu. Tiba-tiba sekali lagi telefon milik Rania berbunyi. Tanpa berkalih ke mana-mana Rania terus membaca mesej yang masuk.
‘I ambil you kat ofis nanti, syg. I tahu kat mana ada sup lidah istimewa. U boleh pilih nak lidah lembu atau.. hehehehe. Mesti u suka. Love you and this is for u.. chupp.. chupp.. chupppppp.. pergh! So nice!’
Terbuntang matanya melihat gambar yang disertakan Firman bersama mesej seperenggan itu. Gambar lelaki dan wanita sedang berkucupan! Jantan tua ni memang nak kena dengan aku! Merenyam-renyam tak habis-habis! Sekali lagi hati Rania mendongkol sendiri.

Firman di hujung sana terkekeh-kekeh ketawa sambil membayangkan kekalutan Rania. Dia bagaikan sudah mampu membaca amukan dalam wanita itu.
Saat terdengar bunyi memandakan sms telah diterima oleh gadjetnya Firman terus mencapainya. Mesej itu dibukanya gopoh. Tak sabar nak baca apa kata-kata Rania kepadanya.
Namun saat terpandangkan balasan Rania tawanya hilang. Spontan dia mengepit kakinya. Sms simbolik Rania itu juga tidak susah untuk difahaminya.
‘U hantar gambar bukan-bukan pada I lagi, I takkan teragak-agak guna benda ni pada U! I nak jadi wanita pertama yang siksa kelelakian you! Got it?’
Begitulah bunyinya balasan Rania. Firman menelan liur memandang objek berupa gunting besar untuk memotong pokok dan rumput yang tertera jelas di dalam gambar itu.
“Serius ke?” tanya Firman kepada dirinya sendiri.
“Taklah.. dia gurau je tu agaknya.” Dia juga yang menjawab soalannya sendiri.
Tanpa memikirkan lagi tentang mesej itu dia memulakan kerjanya seperti biasa. Namun sebelum menjelang tengahari ada seorang budak penghantar surat tiba di pejabatnya dengan sebuah bungkusan tanpa alamat.
“Cik Rania yang suruh saya hantar ke sini. Urgent katanya..” ucap budak penghantar surat itu kepada Firman.
“Oh! Okay. Thanks..” sambut Firman lantas mengambil kotak daripada tangan lelaki awal 20-an itu.
Firman tersengih-sengih memandang kotak yang dihantar oleh budak penghantar surat itu. Cewahhh.. siap dengan pembungkus berbentuk love Rania kirimkan hadiah pada dia.
“Dia dah tak marah kat akulah tu..” ucap Firman sambil tersengih-sengih. Seronok menerima hadiah daripada buah hatinya itu.
Puas membelek di bahagian luar, Firman membuka sampul itu dengan penuh rasa teruja. Namun sebaik sahaja kotak itu terbuka, dia terkedu! Hadiah dari Rania itu diambilnya lalu dibelek.
“Alamak.. dia ugut aku ke apa ni? Kut ya pun.. tak payahlah letak reben. Gigih betul bakal bini aku ni. Sanggup dia pergi beli benda ni semata-mata nak bagi pada aku,” rungut Firman seorang diri. Hadiah yang dikirim Rania itu dipandang tanpa jemu.
Kemudian kertas yang bertulisan tangan di dasar kotak kecil itu diambilnya.
‘Khas untuk you, jantan tua gatal! Tiga batang mewakili I HATE U! You menggatal dengan I dalam kereta nanti, I ganyang you dengan benda tu. Amaran keras! Ada faham??’
Terkulat-kulat Firman membaca nota itu. Kemudian tiga batang cili itu dipandangnya lagi. “Menggatal sikit aja pun nak marah. Bukannya buat apa pun!” ucap lelaki itu lantas menggaru kepalanya sendiri.

5 ulasan:

  1. BEST KELAKAR SANGAT2 NAK LAGI BOLEH.

    BalasPadam
  2. jantan tua vs andartu.. sambung lg entry tu...

    BalasPadam
  3. Muahahaha...x ley blah ayat firman "chup...chuppp perghh" mmng buat sy tgelak besar....

    BalasPadam
  4. hahahahaa...ingatkan gunting tadi...
    wakakakaka.....

    BalasPadam
  5. Hahah... Ok lar tu.. Rania garang.. Furman lak gatal.. Hehehe

    BalasPadam