Rabu, 26 Mac 2014

2-4 Hey, Mr Duda.. I Hate U!

2
“Kak Rania!” bentak gadis itu geram melihat kakaknya buat bodoh aja kepadanya.
Rania sekadar menoleh sekilas kepada Afyra. Kemudian dia memandang semula lap topnya macam tidak mendengar apa yang diucapkan oleh adiknya sebentar tadi.
“Boleh ke tak?” tanya Afyra separuh mendesak.
“Boleh apanya?”
“Fyra nak tumpang akak pergi kampus esok pagi,” ujar Afyra sekali lagi.
“Sorry.. akak kena pergi court awal pagi esok. Tak boleh hantar Fyra. Lagipun jalan kita tak sama. Fyra naik cab ajalah.” Rania menjawab acuh tidak acuh tidak lama kemudian. Macam orang tidak berperasaan sahaja lagaknya.
“Dah agak dah! Buang masa aja cakap dengan akak ni. Macam bercakap dengan tunggul!” rungut Afyra lantas berpaling dengan hati yang sebal. Rania langsung tidak kisah dia yang sedang dalam kesusahan. Keretanya rosak. Dia tiada kenderaan untuk bergerak dalam masa tiga hari ini. Sayangnya dia terpaksa ke kampus pula esok untuk bertemu dengan pensyarahnya.
Rania sekadar menjungkit bahu buat tidak tahu kepada reaksi adiknya itu. Seketika kemudian tumpuannya dialihkan semula kepada fail kes yang dibawanya pulang itu.
Afyra di bawah mula merungut kepada emaknya tentang Rania.
“Naik ajalah kereta abah tu. Abah kan takde sekarang,” pujuk Hajah Habibah lembut kepada anak bongsunya itu. Bukannya dia tidak tahu perangai Rania. Bercakap banyak pun apa guna kalau dah memang itu ragam anak sulungnya. Ikut kepala sendiri aja.
“Tak naklah! Peninglah naik kereta abah tu. Tak pandai!” sambut Afyra pantas. Manalah dia tahu memandu kereta jenis manual. Terhegeh-hegeh dia nanti. Buatnya tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas? Parah dia kalau di hon orang belakang disebabkan kelambatannya.
“Habis tu Fyra nak pergi kampus macamana esok?” ujar si emak lembut.
 Afyra terdiam buat seminit dua. Saat ini hanya satu jalan sahaja yang masih tinggal. Meminta bantuan Firman menghantarnya esok.
“Fyra nak minta tolong kawan Fyralah, mak.” Afyra mula menempel manja di bahu emaknya itu.
“Siapa kawan tu? Satu sama belajar dengan Fyra ke?” tanya Hajah Habibah lembut. Dia menoleh kepada si anak.
Afyra diam seketika. Berat hatinya mahu menjawab. Bimbang emaknya tidak senang mendengar tentang orang yang hendak dimintanya itu. “Emm.. bukan kawan sama belajar dengan Fyra. Tapi kawan lain..”
“Kawan lain? Maksudnya?”
“Alah.. kawanlah. Kawan yang macam selalu tu..” Afyra membalas mendayu-dayu tanpa memandang tampang emaknya itu. Malu!
“Lelaki ke perempuan?”
“Lelaki..”
Hajah Habibah menghela nafas perlahan. Ada sedikit rasa tidak senang mendengar anaknya naik kereta seorang lelaki begitu sahaja. “Kawan biasa ke kawan luar biasa?” teka Hajah Habibah tetap lembut.
“Kawan entahlah.. nak kata luar biasa pun bukan. Nak kata kawan biasa pun tak,” jawab Afyra sambil menunduk seketika.
“Kawan nak jadi kawan luar biasa ke apa ni maksudnya?” duga wanita tua itu seakan mengerti maksud anaknya itu.
“Emm.. lebih kurang macam tulah.” Tersengih-sengih Afyra melayan bicara emaknya itu.
“Hmm.. Kak Rania belum lagi ada kawan luar biasa. Fyra dah maju selangkah dah! Nak tunggu Kak Rania ada kawan luar biasa, entah sampai bilalah. Semua lelaki nak diherdik-herdiknya. Semua lelaki dia tak suka.” Hajah Habibah menggeleng sendiri memikirkan anak sulungnya itu.
“Alah, mak.. kami baru nak kenal hati budi masing-masing. Belum ada apa-apa lagi,” ucap Afyra cuba menyedapkan hati emaknya itu.
“Siapa nama kawan Fyra tu? Kerja apa?”
“Dia ada business sendiri. Business apa Fyra tak pasti pulak,” jawab Afyra jujur.
“Kenalkanlah dengan mak.”
Afyra terkedu seketika mendengar permintaan itu. Sebenarnya dia tidak pernah terfikir mahu melakukan itu dalam masa terdekat ini. Masih terlalu awal dalam keadaan dia sendiri masih tidak pasti apa sebenarnya hubungan dia dan Firman.
“Tapi Fyra nak mak tahu sesuatu tentang Firman ni..”
“Apa dia?”
“Emm.. Firman ni sebenarnya duda anak 3. Umur dia 37 tahun.”
Spontan terbeliak mata Hajah Habibah mendengar itu. “37 tahun?” ucapnya sedikit kuat suaranya akibat terkejut.
Laju Afyra mengangguk. Berkali-kali pula kepala dianggukkan menandakan semua itu benar belaka. Memang usia dia dan Firman berbeza 10 tahun.
“Takde yang muda sikit ke Fyra?” keluh Hajah Habibah mula tidak sedap hati. Tang duda beranak tiga itu dia tidak kisah benar. Tetapi dia bimbang sesuatu. Bimbang Afyra masih terlalu mentah untuk lelaki seusia itu. Sudah pernah berkahwin pulak tu. Bukannya dia tidak tahu Afyra ini kadang-kadang sikapnya macam budak-budak. Manja terlebih! Macamana nak berpasangan dengan lelaki yang sudah matang dan ada anak seperti itu?
“Dah itu yang Fyra jumpa. Apa salahnya, mak? Dia bukannya suami orang. Lagipun dia baik. Fyra suka dia,” rengus Afyra perlahan.
“Memanglah tak salah. Tapi mak risau anak mak yang tak matang ni yang tak sesuai dengan lelaki macam tu. Bila dah kahwin nanti kena jadi mak untuk anak-anak dia. Faham ke Fyra ragam budak-budak ni? Mak takut Fyra tu yang melebih macam budak-budak!” perli Hajah Habibah dengan sedikit kerlingan kepada Afyra.
Afyra tergelak perlahan sambil memaut lengan emaknya itu. “Alah.. itu semua jauh lagi, mak. Fyra bukannya nak kahwin sekarang. Kami baru kawan-kawan aja dulu. Entah-entah dia pun takde hati kat Fyra.”
“Maksud Fyra?”
“Dia pun tak pernah cakap Fyra ni kawan biasa dia aja ke atau kawan luar biasa. Kami biasa-biasa aja, mak.”
“Kalau dah macam tu kenapa nak berkawan lagi?”
“Mak, setakat kawan apa salahnya? Dia bukannya ada buat apa-apa pada Fyra pun.”
Hajah Habibah menghela nafas perlahan. “Mak tak mahu perasaan anak-anak mak dipermainkan macam ni. Orang lelaki ni buat apa pun, keluarlah dengan ramai mana perempuan pun.. takde orang hairan, Fyra. Tapi anak-anak mak ni perempuan. Kalau dah semua orang bercakap nanti, mana mak nak letak muka?” tegur Hajah Habibah tidak senang.
“Mak, kami berkawan takdelah sampai berkepit sana sini macam orang tengah sakan bercinta tu. Dia pun ada tanggungjawab pada anak-anak dia. Cuma sekali sekala bila dia free dia ajak Fyra pergi makan kat mana-mana. Kami lepak sejam dua lepas tu kami balik naik kereta masing-masing. Bukannya ada pergi tengok wayang ke apa,” jelas Afyra bersungguh.
“Tapi mak tetap takut dia hanya nak main-mainkan Fyra!”
“Takde mananya, mak. Fyra sendiri pun tak tahu apa perasaan Fyra pada dia. Fyra memang suka dia tapi itu tak bermakna Fyra dah jatuh cinta pada dia. Mak janganlah risau. Fyra tahu jaga batas diri Fyra,” pujuk Afyra bersungguh mahu meyakinkan emaknya itu.
“Bawak jumpa dengan mak. Mak nak kenal dia. Mak tak suka ada lelaki yang angkut anak mak sana sini tapi mak tak tahu siapa orangnya.” Hajah Habibah menjawab serius. Jadi ke tidak, sementara itu dia tetap mahu kenal siapa Firman. Bukannya dia nak paksa Firman berkahwin dengan anaknya sekarang. Sekadar kenal, apa salahnya.
“Okaylah. Esok pagi Fyra suruh dia jumpa mak dulu, boleh tak? Fyra dah takde siapa nak minta tolong hantarkan Fyra esok,” pujuk Afyra lembut.
Hajah Habibah sekadar mengangguk dalam keterpaksaan.
“Terima kasih, mak.” Anggukan emaknya itu membuatkan Afyra menghela nafas kelegaan. Terus tubuh emaknya itu dipeluknya erat. “Tapi mak jangan terkejut pulak kalau tengok Firman tu esok. Dia hensem sangat, mak. Muka macam mat saleh sikit sebab ayah dia orang Egypt. Mak jangan tergoda pulak,” bisik Afyra nakal.
“Tak kuasalah aku nak layan budak ni! Mak pun ada laki lagi. Laki mak lagi hensemlah,” getus Hajah Habibah lantas tubuh anaknya itu dilepuknya dengan tangannya. Terkekeh-kekeh Afyra ketawa melihat emaknya itu.
“Esok nak pergi kampus pukul berapa?”
“Pukul 10..”
“Dah! Pergi naik tidur sana.”
“Okay. Good night, mak. Love you..”
“Love you too..” panjang muncung Hajah Habibah menjawab ucapan anaknya itu. Tergelak-gelak Afyra melihat gelagat emaknya.
Hajah Habibah menggeleng sendiri memikirkan Afyra. Kemudian tentang Rania pula. Anak sulungnya itu kadang-kadang suka memberi mereka rasa tidak puas hati dengan sikap acuh tidak acuhnya. Dia hanya mementingkan diri sendiri. Keras hati dan selalu tidak peduli kepada hal orang lain. Semenjak dua menjak ini sikap Rania bertambah lagi.. anti kepada lelaki.
“Baru dua anak perempuan aku, dah pening aku dibuatnya. Yang seorang macam ini. Yang seorang lagi pulak macam itu,” ujar wanita tua itu sendiri.
Tidak lama kemudian Rania pula turun ke bawah. Hajah Habibah menoleh ke arah anaknya itu yang berjalan menuju ke dapur.
“Rania nak makan ke?” tanya Hajah Habibah dari ruang tamu itu.
“Lapar, mak..” jawab Rania setelah dia menoleh sekilas kepada emaknya.
Hajah Habibah bangun dari sofa yang didudukinya semenjak tadi. Langkahnya segera diatur ke arah dapur untuk bersama Rania.
“Mak nak makan sekali? Rania boleh cedokkan?” ucap Rania lembut.
“Takpelah.. mak nak buat air aja ni. Rasa nak minum air panas pulak. Mak tengok selalu sangat Rania lambat makan. Dah tengah malam baru nak makan. Tak baik untuk kesihatan tau,” ucap Hajah Habibah lembut.
“Baru ada selera nak makan, mak. Lagipun Rania ada kerja tadi.” Rania menjawab tanpa memandang si ibu. Dia sedang mencedok nasi dari dalam rice cooker.
“Kerja-kerja jugak. Tapi kesihatan pun kena jaga jugak.”
Rania tidak menjawab. Dua wanita itu mula berpindah ke meja makan setelah itu.
“Esok Rania kena pergi court ke?” tanya Hajah Habibah sengaja mahu memancing perbualan dengan Rania. Wajah anak daranya itu dipandang tanpa jemu. Rania memang cantik namun anak ini memang serius orangnya. Tak suka senyum. Berbanding Afyra yang manja dan suka ketawa, sikap dua beradik ini memang jauh berbeza. Umur pun agak jauh berbeza. Rania mendapat adik ketika usianya sudah 5 tahun.
“Pagi esok. Ada trial..” jawab Rania ringkas sahaja. Kes apa yang dikendalikannya, itu memang jarang diceritakan kepada mana-mana ahli keluarganya. Kerana itu adalah rahsia klient firmanya.
Hajah Habibah mengangguk perlahan. Bukannya dia tidak tahu macamana kerja Rania selama ini.
“Fyra pergi kampus naik apa esok, mak?” tanya Rania perlahan sahaja.
“Katanya nak mintak kawan dia jemput. Kenapa? Rania nak tolong hantar Fyra ke?”
Rania menggeleng sambil menyuap nasinya. “Kalau dia nak, bawaklah kereta Rania tu. Rania boleh guna kereta abah esok,” ucap Rania sambil menunduk memandang nasi di dalam pinggannya.
“Entah.. dia kata nak suruh kawan dia datang sini jemput dia. Dia nak kenalkan dengan mak,” jawab Hajah Habibah.
Spontan Rania terus mengangkat pandangan kepada ibunya itu. “Kenalkan dengan mak? Lelaki ke?” tanya Rania pantas meneka.
Hajah Habibah yang sedang menghirup susu Anlenenya terus mengangguk. “Kawan dalam perjalanan nak jadi kekasih,” ucap Hajah Habibah biasa.
“Wow.. that fast!” komen Rania dengan kening terangkat.
“Mana ada cepatnya, Rania. Fyra tu dah 27 tahun. Eloklah kalau dah ada teman lelaki. Mak harap Rania pun macam tu dalam masa terdekat ni,” jawab Hajah Habibah lembut.
“Rania belum fikir lagi pasal ni semua, mak. Lambat lagi. Rania belum bersedia untuk ada komitmen dengan sesiapa sekarang.” Rania bertutur selamba. Macamlah umur dia baru 23 tahun. Hakikatnya dia sudah 32 tahun!
Hajah Habibah menghela nafas perlahan dengan jawapan sinonim Rania itu. Bukan kali ini sahaja Rania memberi alasan yang sama. Naik jelak telinganya mendengar jawapan itu. Lebih jelak lagi apabila jiran-jiran selalu bertanya bila Rania mahu menamatkan zaman dara. Memang jodoh itu kerja Allah. Tapi kalau tidak berusaha, jodoh pun takkan datang begitu sahaja ke depan pintu. Lebih-lebih lagi zaman serba mencabar ini. Lelaki dikatakan tidak seramai wanita. Jodoh harus dicari berkali-kali!
“Rania, kita orang perempuan ni perlukan suami. Bila kita dah tua nanti siapa nak jaga kita? Bila tak berkahwin mana nak ada zuriatnya. Esok bila Rania dah seusia dengan mak, anak-anak ajalah yang akan jadi peneman.”
“Mak, Rania bukannya tak mahu kahwin. Tapi nantilah. Rania belum bersedialah. Nak kahwin dengan siapa kalau dah Rania memang takde calon? Rania ni bukannya pandai beramah tamah dengan lelaki. Lagipun orang lelaki ni membosankanlah! Mengada-ada!” keluh Rania mula bosan mendengar ceramah emaknya tentang itu.
“Rania tu serius sangat. Macamana lelaki tak lari bila tengok Rania?”
Rania mendegus. Memang lelaki selalu lari bila berhadapan dengan dia. Ramai yang tak tahan. Salah seorangnya adalah Fikri. Bekas teman lelakinya semenjak dari zaman universiti dulu. Lelaki itu pun memilih yang lain sebab tak sanggup menunggu dia. Sekarang lelaki itu sudah selamat bernikah dengan gadis lain. Siapa gadis itu Rania sendiri tidak kenal. Yang menjadi masalah sekarang kepada dia ialah Tuan Saufi, pemilik firma guaman tempat dia bernaung sekarang. Kini dia pulak yang dah tak tahan melayan kerenah lelaki tua tak sedar diri itu. Stress dengan ragam miang suami orang yang asyik mahu mengorat dia.
“Kalau mak yang carikan nak?” pancing Hajah Habibah cukup lembut.
“Mak ni ada-ada ajalah! Siapa yang mak nak padokkan dengan Rania ni? Mak ada kenal ramai anak bujang orang ke? Ni zaman milleniumlah, mak. Bukannya zaman mak dengan abah dulu. Anak dara tunggu kat rumah. Tiba-tiba ada orang masuk meminang,” rengus Rania pantas.
“Jangan cakap, Rania! Kalau ada yang masuk meminang mak terima aja nanti,” ugut Hajah Habibah bersungguh.
Rania menggeleng perlahan sambil melajukan suapannya. Ugutan emaknya itu langsung tidak berbekas di benaknya. Dia tahu.. semua itu mustahil!

Lintang pukang Rania pagi itu. Semuanya sebab terlambat bangun. Rancangnya jam 7 pagi dia sudah bergerak ke Istana Kehakiman di Putrajaya. Sayangnya jam 7 sepuluh begini dia baru terjaga. Tahi mata pun belum sapu.
Usai bersiap dia terus mengaut fail di atas meja tulisnya. Terkocoh-kocoh dia turun ke bawah dengan segala macam fail dan beg kerjanya.
“Kenapa tergesa-gesa ni?” sapa Hajah Habibah hairan melihat anak sulungnya itu.
“Rania dah lambat, mak..” ucap Rania lantas mencari mug di dapur.
“Mak dah buat air ni. Mee goreng pun ada atas meja tu.”
“Rania dah tak sempat nak breakfast ni. Rania minum horlick aja.” Rania terus menyiat hujung paket horlik 3 in 1 yang diambilnya daripada dalam kabinet. Isinya terus dicurah masuk ke dalam mug dan dicampurkan dengan air panas.
Sambil berjalan ke hadapan dia menghirup air itu.
“Cubalah duduk minum tu, Rania.” Hajah Habibah menegur sambil menggeleng.
“Rania dah lambat ni..”
“Pukul berapa trial tu?”
“10 pagi ni..” jawab Rania tanpa memandang emaknya.
“Lah.. lambat lagi? Apa yang nak kecohnya?”
“Rania nak cepat. Nanti Rania stuck dalam traffic jam. Rania nak pergi office dulu ni,” jawab Rania sedikit terkocoh. Dari Shah Alam ke Putrajaya bukannya dekat.
Hajah Habibah menggeleng lagi. “Butang baju tu kancing elok-elok, Rania. Benda alah tu bukannya untuk ditunjuk-tunjuk kat semua orang. Lurah tu mak boleh nampak dari sini,” desis Hajah Habibah tidak gemar melihat cara Rania berpakaian. Dari atas sampai bawah ketat belaka! Kemeja putihnya tidak dikancing sampai ke atas.
“Kejaplah, mak..” tanpa mempedulikan teguran emaknya Rania terus mengaut failnya di atas meja makan itu. Kemudian dia terus ke pintu. Kasutnya dicari dalam pada tangannya penuh dengan barang-barang.
“Mak, Rania pergi dulu..” laung Rania kepada emaknya yang sudah ke dapur.
Tanpa menanti jawapan emaknya Rania terus keluar mendapatkan keretanya. Saat dia sedang menghidupkan enjin remote pagar ditekannya. Sebaik sahaja pagar itu menggelungsur terbuka, ada sebuah kereta jenis BMW X6 dilihatnya sedang terpakir di hadapan pintu pagar rumahnya itu. Entah siapa pemilik kereta bercermin gelap itu, dia tidak tahu.
Rania menekan hon sedikit dengan harapan pemilik kereta itu tersedar. Tiada reaksi! Kemudian dia mengundurkan sedikit keretanya dengan harapan pemilik kereta itu sedar dia hendak keluar dan segeralah mengalihkan kereta. Namun kereta itu masih di situ. Rania mengacah lagi dengan mengundurkan sedikit lagi keretanya ke belakang. Masih juga seperti tadi. Kereta itu terus pegun macam tidak nampak pula punggung keretanya yang sudah terkeluar sedikit daripada ruangan parkir hadapan rumahnya itu.
“Mangkuk betul! Aku dah lambatlah! Dia boleh buat bodoh pulak kat situ,” getus Rania lantas menarik brek tangan segera. Pintu kereta dibukanya pantas. Dengan hati yang mula panas dia mendekati kereta itu.
Firman di dalam kereta masih ralik dengan gadjet di tangan. Langsung dia tidak perasan ada sesuatu sedang berlaku di sekelilingnya. Dari tepi kereta itu Rania sudah terlihat samar-samar bayang seorang lelaki di dalam kereta itu melalui cermin gelap itu. Lelaki itu sedang memandang ke sesuatu di tangan dalam keadaan tubuhnya menghadap ke arah lain.
“Helloooo... I nak keluar. Buta ke apa mangkuk ni?” jerit Rania lantas mengetuk cermin kereta lelaki itu berkali-kali.
Firman di dalam kereta tersentak tatkala terdengar cermin di tepinya diketuk kasar begitu. Spontan dia menoleh. Telefon bimbitnya segera diletakkan di tepi sebelum dia menurunkan cermin kereta. “Sorry, I tak nampak you tadi.”
“Sekarang dah nampakkan? Alihlah kereta you ni cepat. Menyengkang depan pagar rumah orang! Orang dah lambatlah!” bentak gadis itu agak lantang. Sakit hatinya melihat lelaki itu bersenang lenang memakir kereta di hadapan pintu pagar rumahnya sehingga menghalang laluan keretanya untuk keluar.
Terkebil-kebil Firman memandang gadis tinggi lampai yang berdiri bercekak pinggang di tepi keretanya itu. Mak ai.. garangnya perempuan ni? Kakak Afyra ke ni? Bisik hati Firman sendiri. Seingat dia Afyra ada memberitahu yang dia ada seorang kakak. Tiba-tiba dia sekadar melugu memandang raut kelat wanita itu. Garang-garang pun cantik jugak dia ni.. puji hatinya tiba-tiba.
“You pandang I lagi buat apa. I nak kena tolak sendiri kereta you ni ke apa?” ucap Rania garang. Tahulah kereta kau mahal! Kereta aku murah aja.. rengus hatinya geram melihat lelaki ini.
“Oh! You nak keluar? Okay.. I alihkan kereta sekarang. Actually I tunggu adik you..”
“I tak kisah you nak tunggu adik I ke, nenek I ke! Yang I kisah sekarang, kereta you menyempit kat sini. Kereta I tak boleh keluar, ada faham? Orang dah hon dia buat pekak pulak!” Rania terus memintas sebelum sempat Firman habis meluahkan bicara.
“Okay.. okay.. sorry. I tak sengaja. I tengah sms seseorang tadi. Tak sedar.” Tanpa kata lagi Firman terus menukar posisi gear untuk mengundurkan keretanya.
Rania mendegus tatkala berpaling untuk ke keretanya. Setelah ruangan yang dimintanya sudah diberikan oleh kereta Firman, kereta Nissan Shylpie miliknya terus diundurkan keluar.
Firman di dalam kereta hanya memandang gelagat wanita itu mengundurkan keretanya dan pergi. Namun seketika kemudian dia menggeleng sendiri. “Bawa kereta macam nak beracing. Ganas perempuan ni!” ucapnya sendiri.
Lima minit dia menanti akhirnya bayang Afyra muncul di hadapan matanya.
“Sorry, lambat. Fyra baru habis mandi. Masuk dulu. Mak panggil masuk,” ucap Afyra melalui cermin kereta yang terbuka luas.
“Okay..” jawab Firman akur. Berdebar juga dadanya mendengar emak Afyra mahu bertemu dengannya. Harap-harap wanita itu tidak menolak kehadiran dirinya.
Di dalam rumah itu Hajah Habibah melayan mesra tetamu itu sementara Afyra naik semula ke atas untuk bersiap. Kebetulan pula Firman masih belum bersarapan pagi, mereka berdua duduk berbual di meja makan.
Tiada soalan yang diajukan kepada Firman yang menjurus kepada soal hubungan Firman dan Afyra. Kerana dia sudah tahu Afyra tidak mengajak Firman ke situ sebagai kekasih. Sebaliknya sekadar sebagai kawan biasa.
Firman mula terasa senang melihat kemesraan wanita itu melayannya. Pertanyaan Hajah Habibah tentang pekerjaannya dan anak-anaknya dilayan baik. Namun sedang mereka berdua rancak berbual di meja itu kelibat seseorang muncul.
“Aik? Balik semula?” tegur Hajah Habibah kepada anak sulungnya yang tiba-tiba muncul semula di rumah itu.
“Rania tertinggal handphone..” jawab Rania sambil memandang lelaki yang duduk di hadapan emaknya itu. Dia masih mengecam lelaki itu. Lelaki yang sama memakirkan kereta di hadapan pagar rumahnya tadi. Saat mereka berdua berpandangan lelaki itu dijelingnya.
“Ini Firman. Kawan Fyra yang mak cakap semalam tu,” ujar Hajah Habibah tatkala terpandangan dua manusia itu berpandangan.
“Hmm..” Rania menjawab acuh tidak acuh. Tak berminat nak beramah tamah dengan lelaki itu kononnya. Kawan Afyra? Tuanya? Getus hati kecilnya sendiri. Namun dia terus naik ke atas untuk ke biliknya.
Firman terus memandang kelibat Rania. Sehingga wanita itu menghilang lehernya terus teleng mencari bayang Rania.
“Ehhemm..” Hajah Habibah sengaja berdehem panjang untuk menyedarkan lelaki muda di hadapannya itu. Firman tersentak lantas menoleh. Merah mukanya di hadapan Hajah Habibah. Wanita itu hanya buat-buat selamba.
Hai.. pandang anak aku macam tu. Taulah hensem. Afyra pun dia kawan. Rania pun dia pandang macam nak terkeluar biji mata. Buaya paya ke dia ni? Tak boleh jadi ni. Jangan sampai aku tampar dia macam buaya je sudah.. bisik hati wanita tua itu.
Firman menyambung makan tanpa kata. Dalam hatinya rasa segannya sungguh tidak terucap kepada Hajah Habibah. Namun entah kenapa matanya ini terasa mahu memandang Rania lagi buat kesekian kalinya. Sungguh! Wajah serius wanita itu membuatkan hati lelakinya berkocak entah kenapa.


3
“Macamana Fyra boleh kenal mamat tua tu?”
“Kami jumpa kat hospital setahun dulu. Waktu tu dia baru habis melawat kawan dia. Lepas tu dia asyik cari Fyra. Fyra tengok dia bersungguh nak kawan dengan Fyra. So Fyra layan ajalah.” Afyra berkata biasa.
 Rania diam tidak berkata apa-apa lagi. Malas sebenarnya nak mengorek lebih-lebih pasal lelaki itu. Tak minat nak tahu!
“Emm.. hari ni mak ajak Firman makan kat rumah kita.”
“Mak ajak mamat tu makan kat rumah kita hari ni?” hampir terbeliak mata Rania mendengar ucapan adiknya itu. Tempoh hari dah makan di rumah dia, hari ini nak makan lagi di sini? Dah tutup ke apa kedai makan dalam Malaysia ni sampai si Firman itu asyik nak datang makan di sini? Hati Rania sudah mendongkol tidak senang dengan kehadiran orang luar itu.
“Ha’ah.. alah, saja nak kenal-kenal dengan lebih rapat lagi. Abah pun nak kenal dengan Firman jugak. Mula-mula tadi mak ajak dia sekali dengan anak-anak dia. Tapi anak-anak dia pergi rumah emak dia pulak,” jawab Afyra kian selamba. Abah mereka yang baru pulang dari kerjnya di pelantar minyak nun di Terengganu sana teringin mahu berkenalan dengan Firman setelah mendengar cerita emak mereka. Kerana itu emak mereka meminta dia mengajak Firman makan di rumah mereka hari ini.
“Anak-anak? Dia dah kahwin ke?” melantun tinggi suara Rania akibat terkejut dengan kenyataan itu.
“Dia pernah kahwin. Dah bercerai lama dulu..”
Rania terus menggeleng. Perkhabaran itu ternyata tidak disenanginya. “Bercerai lama dulu? Betul ke ni? Bagi nombor ic dia. Biar akak check siapa Firman ni sebenarnya.”
“Ish! Manalah Fyra tahu nombor ic dia!”
“Dia ada ramai girlfreind ke sebelum ni?”
“Entahlah.. dia pernah cerita pada Fyra. Dulu dia ada kawan dengan seseorang. Tapi minah tu tak mahu kat dia. Sekarang minah tu dah kahwin dengan kekasih lama dia,” cerita Afyra jujur tentang lelaki itu.
“Fyra serius ke dengan dia tu?” tanya Rania tidak puas hati.
“Kalau tak serius takkanlah Fyra ajak dia datang rumah kita,” jawab Afyra selamba sambil memandang tv di hadapannya. Renungan sang kakak tidak dipedulikannya.
“Tapi dia tu dah ada anak..”
“Apa salahnya kalau dia dah ada anak pun?” Afyra terus menoleh kepada kakaknya itu.
Rania terdiam seketika. Memanglah tidak salah. Tetapi dia yang tidak suka. Firman itu nampak jauh lebih tua berbanding Afyra. Jauh usia pun orang tidak kisah asalkan lelaki itu lelaki yang baik. Tapi bab ada anak-anak itu yang dia tidak gemar.
“Berapa orang anak-anak dia?”
“Tiga orang..”
Tidak tertelan air liur Rania mendengar itu. Tiga? Ramainya? Detik hatinya semakin tidak gemar. “Takde duda yang lagi ramai anak ke? Kenapa tak cari duda yang 10 anak aja? Kan senang dapat anak ekspress!” gerutu Rania bengang entah kenapa.
“Apalah Kak Rania ni. Firman tu baik tau. Fyra suka kawan dia. Dia lembut aja. Tak suka marah-marah,” ujar Afyra.
Rania terus mengerling adiknya. Nak kata aku yang suka marah-marahlah tu.. desis hatinya sebal. “Ex dia tu anak dara ke janda? Umur berapa?”
“Emm.. rasanya sebaya dengan Fyra. Anak daralah! Takkanlah janda pulak,” jawab Afyra tidak senang. Dia tidak tahu apa relevannya soalan kakaknya itu.
“Bagus! Taste dia memang anak dara aja semua. Yang muda-muda macam Afyra. Tak sedar diri punya orang tua!” gerutu Rania sebal.
“Kak Rania cuba kenal dengan dia dulu. Nanti lama-lama Kak Rania pun suka dengan dia. Dia tu charming tau. Hensem pulak tu,” giat Afyra bersungguh.
“Eee.. why should I like him? Pleaselah.. hensem ke apa, akak tak hairan,” ujar Rania cukup jengkel. Bergegar-gegar bahunya menyatakan ketidaksudian dia untuk menyenangi lelaki itu.
“Mestilah Kak Rania kena suka dia. Kalau ditakdirkan dia jadi adik ipar Kak Rania nanti, takkanlah akak asyik nak benci dia?” balas Afyra biasa.
Rania menjeling ke sebelah. “Geli telinga akak ni nak dengar!” cemuh Rania pantas. Tak dapat dibayangkan nanti lelaki setua itu memanggil dia dengan panggilan kakak ipar.
“Terdesak sangat ke sampai nak ambil duda tua tu jadi bakal suami? Kalau akak, tak ingin! Lelaki yang dah kahwin ni memang macam ni agaknya. Suka cari calon dikalangan anak-anak dara. Kenapa tak cari janda yang ramai anak sama macam dia? Selera tak agak-agak. Anak dara belaka! Ex girlfreind dia pun sebaya dengan Fyra. Memang dia tu jenis gatal!” ucap Rania cukup jengkel. Meluat dia mahu membayangkan lelaki itu. Rambut lelaki itu sudah sedikit beruban menandakan usianya mungkin sudah banyak. Memang tak sedar diri punya jantan! Nak adik aku yang muda lela ni! Kutuk hati Rania benci.
“Itu akak! Fyra tak kisah. Fyra suka dia..” cebir Afyra selamba.
“Fyra ni muda lagi. Kenapa nakkan lelaki macam tu? Tell me.. umur dia mesti dah 40-an kan?” teka Rania rambang sahaja.
“Wrong! Dia baru 37.”
“Okay.. tapi itu dah nak dekat 40. Fyra ni 30 pun belum lagi. Dia dah ada anak tau, Fyra. This is serious! Entah-entah dia sekadar nak jadikan Fyra ni penjaga anak-anak dia. Daripada pengalaman akak, lelaki yang macam ni gatal-gatal semua tau!” tekan Rania tetap tidak gemarkan pilihan adiknya itu.
“Akak ni suka prasangka yang bukan-bukan pada orang. Firman tak macam tulah,” gerutu Afyra tidak senang. Rania belum pun kenal Firman.
“Ha.. kalau tak pun, lelaki macam ni memang kuat seks! Dia nak anak-anak dara untuk kepuasan diri dia sendiri! Kalau tak takkanlah girlfreind dia semuanya sebaya Fyra,” ucap Rania mula timbul andaian lain pula.
“Astaghafirullah.. apa akak merepek ni? Tahulah akak ni lawyer. Tapi janganlah nak speculated pasal orang lain sampai macam tu sekali!” getus Afyra geram dengan kelancangan mulut Rania mengata Firman.
“Betul ke umur dia 37 sebenarnya? Akak rasa Fyra ni kena tipu. Rambut dia banyak uban takkan Fyra tak nampak? Lelaki tua ni memang suka cari anak-anak dara yang bergetah macam Fyra ni!” tegas Rania tetap tidak berganjak dari andaiannya tadi. Baginya lelaki seperti Firman tidak layak untuk gadis seusia adiknya. Tak matching!
Afyra ketawa perlahan melihat kakaknya itu. Kemudian dia menggeleng sendiri.
“Akak, rambut beruban ni bukan sebab dah tua aja. Ada yang sebab rambut dah rosak. Memang dia baru 37! Kalau dia dah tua mestilah muka dia berkedut sana sini. Tapi tak pun kan? Anak-anak dia pun kecik-kecik lagi semuanya. Fyra tahu Firman tu baik.” Afyra dengan bersungguh mempertahankan lelaki itu. Dia tahu Firman jujur orangnya.
Rania terdiam seketika. Memanglah raut Firman itu tak menampakkan macam lelaki yang sudah berusia. Tapi uban di kepala tu! Memang dia rasa lelaki itu penipu. Tak mungkin orang muda seusia 37 tahun ada rambut beruban begitu. Ayah mereka yang sudah berusia 54 tahun itu pun taklah sebegitu tua nampaknya dengan ubah memutih di kepala. Tambah pula dengan wajah ‘ala-ala remeo’ begitu Rania yakin Firman itu memang mahu menganiaya adiknya. Dia tidak rela membiarkan Afyra menjadi mangsa kerakusan Firman!
 “Apa kata akak kenal dulu Firman tu sebelum buat andaian macam tu. Dia tu baik, kak. Selama kami kenal dia tak pernah buat yang bukan-bukan dengan Fyra. Tak syoklah kalau kita jadi satu family tapi kita tak berbaik antara satu sama lain,” ucap Afyra cuba meredakan andaian buruk yang menyarati fikiran Rania.
Rania terus mendegus. Teringat dia Tuan Saufi di pejabatnya itu. Mula-mula memanglah manis! Tapi lepas tu? Mulalah keluar perangai sebenar.
Sepulang Hajah Habibah dan Haji Nasruddin daripada pasar, Rania dah Afyra terus diajak ke dapur oleh wanita itu untuk membantunya memasak. Rania akur dalam rasa yang tidak ikhlas. Yalah.. mahu memasak untuk menyambut tetamu yang dia tidak suka. Manalah dia nak ikhlas!
“Kenapa masam aja ni, Rania?” tegur si ayah lembut.
“Takde apa-apa..” jawab Rania tanpa memandang si ayah. Dia sibuk mengupas bawang untuk digunakan sekejap lagi. Afyra pula sedang menyiang sayur.
“Hari ni turn Fyra ajak bakal teman lelaki dia makan di sini. Abah tunggu Rania punya bakal suami pulak lepas ni. Manalah tahu ada rezeki abah nak sambut dua menantu. Boleh naik pelamin sama-sama dengan Fyra,” usik Haji Nasruddin lembut kepada anak sulungnya itu.
“Akak punya bakal suami nanti mestilah muda orangnya. Silap-silap baru 22 tahun. Fyra lainlah. Boyfreind Fyra dah tua!”
Haji Nasruddin tergelak sambil memegang kepala Rania. Rania pula terus memandang Afyra dengan sorotan tajam. Aku kerat lidah dia ni baru tahu. Nak perli-perli aku pulak! Sungut hatinya yang sedang bengkak itu.
“Muda ke tua ke.. kalau betul sukakan anak-anak mak, mak terima aja. Takde banyak kira. Tak payah nak cerewet sangat. Yang penting lelaki tu boleh jaga anak mak baik-baik dan bukan suami orang!” Hajah Habibah pula menyampuk sebagai peringatan kepada dua anak perempuannya itu.
Rania menjeling tajam adiknya yang sengaja mengangkat kening kepadanya. Dia tahu Afyra mengambil kata-kata emak mereka itu sebagai satu ejekan kepada dirinya.
“Tapi pastikan lelaki yang mak nak jodohkan dengan Rania tu nanti, takde anak ramai dan bukan duda miang yang dah tua ganyut tapi laparkan anak-anak dara yang muda bergetah, okay. Rania tak nak!” ucap Rania cukup lancang.
“Rania cakap pasal siapa ni? Firman ke?” tanya Hajah Habibah pantas.
“Akak tu suka sangat bersangka yang bukan-bukan pada Firman. Ada ke dia kata Firman tu kuat seks, mak. Kesian Firman tu kena tuduh yang bukan-bukan. Kalau dia dengar mesti dia kecik hati nanti.” Afyra terlebih dahulu mengadu sebelum si kakak.
Eee.. meluatnya aku! Mengada-ada betul! Nak bela-bela sangat mamat tua tu kenapa? Dah cinta habislah tu. semuanya nampak indah belaka, gerutu hati Rania sebal kepada adiknya itu.
Hajah Habibah ketawa mendengar itu. “Rania pernah tanya ke dia tu kuat seks ke tidak?”
“Lelaki tua macam tu tapi kawan dengan anak-anak dara yang muda macam Fyra ni. Apa lagi dia nak, mak? Cari yang bergetah aja. Bersepah janda-janda dalam Malaysia ni. Kenapa dia pilih yang muda?” balas Rania bersungguh.
“Rania, pertemuan ni semuanya kerja Allah. Mungkin dah takdir Firman berjumpa dengan Fyra. Siapa kita nak menyangkal semua tu?” ucap Haji Nasruddin lembut.
“Yalah.. tapi abah tak pelik ke? Girlfreind dia dulu pun sebaya Fyra. Anak dara!” tekan Rania cukup tegas siap dengan mata terbuntang. Menandakan betapa seriusnya ancaman yang sedang melanda keluarga mereka sekarang. Kononnya!
Sepasang suami isteri itu mula saling berpandangan berdua. Namun Haji Nasruddin tersenyum sahaja.
“Kalau dah memang kehendak batinnya begitu, apa kita boleh buat. Siapa yang jadi isterinya nanti kena redhalah. Soal itu abah tak mahu fikir sangat, Rania. Nafsu ni semua lelaki ada nafsu pada perempuan. Kalau isteri pandai jaga keperluan suami, insya-Allah takkan jadi masalah.”
“Abah, lelaki sekarang ni ramai yang gila..”
“Tak baik bersangka buruk pada orang ni, Rania. Kita panggil dia ni pun sebab nak kenal siapa dia ni sebenarnya. Kalau kita ada hak untuk membuat persepsi awal sebelum kenal orangnya dulu, semua ni tak perlu. Kalau hukum dah boleh dijatuhkan sebelum perbicaraan, tak perlu ada lawyer, tak perlu ada mahkamah. Macam tu jugalah dengan kita. Apa perasaan kita kalau orang menganggap kita yang bukan-bukan sedangkan orang tu tak kenal pun siapa kita. Sebab tu ada pepatah kata tak kenal maka tak cinta,” ucap Haji Nasruddin tetap tenang melayan kepetahan anak sulungnya itu.
Rania akhirnya terdiam akibat diterpa kekalahan untuk berlawan bicara dengan abahnya itu. Nampaknya tiada lain yang dapat dilakukannya selain daripada memasak sedap-sedap untuk tetamu istimewa mereka itu!

4
Kedatangan lelaki itu disambut mesra oleh semua orang di dalam rumah itu kecuali Rania! Dia hanya buat bodoh sahaja di hadapan tv biarpun Firman sedang tercongok di hadapannya. Afyra sudah berhias secantik yang mungkin. Tetapi Rania masih juga dengan baju yang sama. Lantaklah! Firman bukannya bakal suami dia!
Dengan muka kelat dia terus terpacak di hadapan tv macam tiada sesiapa di situ sedangkan emak dan adiknya sedang sibuk menghidang makanan. Cuma Haji Nasruddin yang mesra melayan tetamu itu.
“Duduk kejap ya? Pak cik nak tengok makanan semua dah hidang ke belum. Kalau sudah bolehlah kita makan terus,” ucap Haji Nasruddin mesra.
Firman sekadar tersenyum kepada lelaki tua itu. Seketika kemudian pandangannya mula berkalih kepada Rania yang tegak macam tunggul. Memandang dia juga tidak sudi. Tetapi sikap Rania yang begitu benar-benar menarik minatnya untuk melayan wanita ini. Mencabar! Itu yang dia nampak perbezaannya antara Rania dan Afyra.
“You tak kerja hari ni?”
“Orang gila yang kerja hari Ahad macam ni,” jawab Rania cukup pantas dan cukup tajam nadanya.
“Sorry.. soalan tu kedengaran macam soalan bodoh. Tapi I selalu dengar Fyra kata you ni..”
“Soalan tu memang kedengaran sangat bodoh untuk orang yang dah berusia banyak macam you ni! Yang muda macam Afyra tu memang tak perasan. Senang kena tipu sebab dia tu naif,” pintas Rania sebelum sempat lelaki itu menghabiskan kata-kata. Benci dia melihat renungan tajam lelaki itu. Senyum senget yang sentiasa terhias di bibir Firman lagilah menambah rasa meluatnya.
“I see.. I dengar you ni lawyer yang berkaliber. Patutlah pandai menjawab. Pandai smash orang,” ucap Firman sambil tersenyum sumbing sendiri.
Rania mula mengalihkan bola matanya kepada lelaki itu. Aku cekik dia ni karang. Suka hati akulah nak jawab macamana pun! Ironinya lelaki itu terus tersenyum merenung wanita itu biarpun di mata Rania api kebencian sedang berapi-api.
“You tetap nampak cantik walaupun dengan muka masam macam tu. Sayangnya semenjak dari pertemuan kita yang lepas I belum pernah nampak you senyum. Kalau you senyum mesti nampak lagi cantik.” Firman berkata cukup lembut.
Rania terus menjulingkan matanya ke atas. Ayat tak boleh blah! Nak puji-puji aku pulak dah. Memang sahlah dia ni romeo! Bisik hati Rania semakin meluat.
“You nampak lain sangat berbanding Afyra. You nampak lebih..”
“I don’t need your comment about me and my sister, Mr Duda! Ini Rania dan sana tu Afyra. Bukan orang yang sama. Tolong jangan buat perbandingan kepada kami seolah-olah macam I dengan Afyra bakal bermadu nanti. Simpan ayat-ayat manis you tu untuk adik I aja cukup!” getus Rania lantas bangun dari situ. Remote tv dicampaknya ke atas sofa.
Firman senyum sahaja sambil menggeleng. Lenggang wanita itu terus dipandangnya tanpa jemu. Sungguh benar dia terlupa. Semenjak dia tiba di rumah ini matanya sangat kurang menyapa wajah Afyra. Sebaliknya dia lebih suka memerhatikan Rania.
Ketika mereka semua sudah bersedia untuk menghuni ruangan makan itu, Rania tersepit oleh keadaan tiba-tiba. Dek kerana  meja itu sengaja dirapatkan bahagian hujungnya ke dinding bermakna hanya ada 5 tempat duduk sahaja yang tinggal. Seharusnya mencukupi untuk mereka berlima. Tetapi yang membuatkan dia tidak sedap hati adiknya dengan tanpa perasaan duduk bersebelahan dengan emaknya. Ayahnya sudah tentulah di kepala meja sebagai ketua keluarga. Di tempat yang dia biasa duduk sudah selamat diambil Firman. Bermakna ada satu lagi ruang kosong iaitu bersebelahan dengan Firman, berhadapan dengan adiknya. Rania cuba membuat isyarat agar Afyra berpindah duduk di sebelah Firman. Namun gadis itu hanya buat bodoh menempel manja kepada emaknya.
Akhirnya dengan penuh rasa dukacita Rania menarik kerusi di sebelah Firman. Terkepit-kepit dia duduk akibat rasa tidak selesa. Bimbang tubuhnya tersentuh Firman di sebelah. Nak mengambil lauk pun rasanya tak selesa. Pendek pulak jadi tangannya ini.
Melihat Rania macam terkial-kial, Firman menghulurkan lauk kepada wanita itu. Rania menyambut elok. Namun tatkala dia cuba memandang lelaki itu darahnya berderau tiba-tiba saat terpandangkan mata lelaki itu sedang memandang kepadanya dengan pandangan yang aneh. Cepat-cepat dia memandang ke arah nasinya semula.
Sahlah dia memang gatal! Desis hatinya sendiri.
Perbualan demi perbualan di meja makan itu didengarinya tanpa menyampuk barang sepatah pun. Tiba-tiba dia rasa dia macam kera sumbang di meja makan itu. Kekok entah kenapa. Suapan pun terasa lambat walaupun dia sebenarnya sedang lapar.
Tatkala Firman sedang rancak melayan bicara ayah mereka tanpa sengaja lelaki itu bergerak. Seterusnya bahu mereka bersentuh rapat. Dan Firman macam tidak sedar pula dia sedang menghimpit Rania. Tubuh mereka terus bersentuhan buat beberapa saat. Keadaan itu membuatkan mata Rania terbuntang. Spontan kakinya menyepak kaki lelaki itu di bawah meja.
Firman terkejut sedikit apabila terasa ada sesuatu menghentam kakinya. Dia terus memandang ke sebelah. Rania memandang lengan atasnya yang bergesel elok dengan lengan Firman.
“Upps! Sorry..” ucap Firman cukup perlahan.
Rania tidak membalas sebaliknya dia meneruskan suapannya dengan hati yang bercampur baur. Sudahlah tidak suka kepada lelaki itu. Kini dia terpaksa duduk rapat dengan Firman.
Usai makan, mereka yang wanita-wanita terus dengan aktiviti mengemas meja. Namun tiba-tiba si emak mula meminta Rania membancuhkan air untuk Firman dan ayah mereka yang sedang melepak di ruang tamu.
“Kenapa Rania pulak? Suruhlah Fyra!” getus Rania tidak puas hati. Takkanlah kakak ipar pulak yang nak kena buat air untuk bakal adik ipar? Bukan sepatutnya bakal isteri ke yang kena buat semua tu?
“Alah.. siapa yang buat pun tak kisahlah. Cepat pergi. Tanya Firman tu nak air apa..” balas Hajah Habibah selamba.
“Fyra tanyalah. Akak seganlah..”
“Fyra sibuk ni. Alah.. tanya ajalah! Dia bukannya nak apa-apakan akak pun!” sambut Afyra yang sedang sibuk mengemas meja itu. Pinggan-pinggan yang sudah diguna terus diangkutnya ke sinki tanpa mempedulikan renungan Rania.
Dia yang nak kahwin ke.. aku yang nak kahwin dengan jantan tua tu? aku pulak yang nak kena buat air untuk bakal laki dia, sungut hati Rania terus tidak puas. Geram melihat Afyra acuh tidak acuh sahaja.
Dalam rasa tidak ikhlas, Rania ke hadapan bertemu Firman. “Nak minum apa?” tanyanya macam nak tak nak aja.
“Air apa yang you pandai buat?” balas Firman sambil mendongak memandang Rania yang berdiri di tepi sofa yang didudukinya itu.
Mata Rania segera membesar kepada lelaki yang sedang tersengih kepadanya tu. Ewah-ewah dia ni. Aku tarik rambut dia karang, baru dia tahu! Banyak tanya pulak..
“I pandai buat air lada.. air racun.. air alam flora.. air lopak..”
“Mata air you dah ada?” pintas Firman dalam nada lunak dan agak perlahan. Sengaja tidak mahu ayah Rania terdengar.
Berderau darah Rania mendengar pertanyaan yang kedengaran cukup miang itu. “Penampar I ada. Nak?” balas Rania geram.
Firman tersengih merenung wanita itu. “You ni makin garang makin cantik I tengok. I lagi suka.”
“Cepatlah! Nak minum apa? Menggatal pulak dia,” rengus Rania menyampah kepada lelaki itu. Adik aku pun dia ngorat.. dengan aku pun dia miang. Memang nak mintak penampar jantan tua ni.
“Apa-apa ajalah. Semua I minum. I takde alah..” jawab Firman lembut.
Rania terus berpaling untuk ke dapur semula. Namun lelaki itu sempat dijelingnya. Gatal!
Setelah arahan emaknya tadi berjaya diselesaikan air itu dihantar kehadapan. Kala itu hanya Firman seorang sahaja di ruang tamu itu menatap tv. Firman menoleh tatkala Rania melintas di hadapannya. Matanya terus terpusat kepada segala perbuatan wanita itu. Rania yang sedang menuang air dipandangnya penuh minat sehinggalah gadis itu menghulurkan cawan kepadanya.
“Thanks.. “ucap Firman lantas meletakkan tangannya di bawah piring yang menatang gelas. Tanpa sengaja yang dibuat-buat tangannya elok terletak di atas jemari Rania.
Akibat terkejut Rania terus melepaskan cawan itu sehingga sebahagian air itu tertumpah di atas kaki Firman.
“Aww... panas.. panas.. Habis kaki I melecur ni. Aduh.. panasnya.” Lelaki itu mengelupur sambil menghentak-hentak kakinya di atas karpet.
“Sorry.. sorry.. I tak sengaja.” Rania kalut seketika melihat kaki lelaki itu menjadi kemerahan. Namun seketika kemudian dia terus bangun untuk mengambil kain buruk.
Sebaik sahaja Rania pergi Firman berhenti mengaduh. Air nescafe suam di dalam cawan itu dihirupnya selamba sambil ekor matanya memerhatikan ke arah dapur. Sebaik sahaja ternampak kelibat Rania dia mengaduh semula.
Rania duduk bersimpuh di atas karpet itu bersama sehelai tuala basa yang sudah direndamkan dengan air dari dalam peti ais. Jari kaki lelaki itu dipandangnya. Aik? Tak merah dah?
“Aduh.. pedihnya kaki I.” Lelaki itu mendesis sendiri.
“Melecur ke?” tanya Rania bersungguh.
“Mestilah melecur. Air tu kan panas? Habislah berparut kaki I ni nanti,” getus Firman pantas. Kakinya dibelek. Kesan merah itu sudah menghilang. Namun sengaja ditepuk-tepuknya agar kesan merah itu kembali semula.
Panas sangat ke? Rania terus melekapkan tangannya ke tepi teko kaca itu. Memanglah panas. Tapi rasanya aku dah letak air sejuk tadi supaya air tu taklah panas macam baru lepas mendidih. Takkan suam macam ni pun boleh sampai melepuh?
Namun Rania terus melekapkan tuala basah itu diatas jari kaki Firman. Firman terpegun melihat wanita menunduk membersihkan kakinya daripada kesan air melekit itu. Sekaligus cuba merawat kesan lecur palsu itu dengan tuala sejuk itu.
“Hmm.. so nice. Kalau boleh urut sikit jari kaki I tu. Tangan you memang lembut, Rania. Kan bagus kalau I dapat sentuhan yang macam ni hari-hari,” keluh lelaki itu lantas bersandar ke sofa. Muka memang dah tak malu langsung si Firman saat itu.
Rania memandang wajah lelaki itu pantas. Urut? Mengada-adanya! Melihat muka Firman kala itu darahnya terasa meruap-ruap panas. Tuala itu dicampakkannya kepada Firman. “Tadi sakit macam nak mati sangat! Jantan tua miang!” spontan itu Rania terus bangun.
“Nak pergi mana? Kaki I masih melecur ni. Sinilah dulu sekejap..” panggil Firman lembut.
Rania terus menonong menuju ke tangga. Tak kuasa dia nak melayan lelaki itu lagi!

Usai bersolat zuhur Rania turun semula ke bawah. Emak dan abahnya masih belum selesai dengan kewajipan itu agaknya. Ruang tamu itu kosong sahaja. Hanya tv yang menyala tanpa ada penontonnya.
Rania segera melabuhkan duduk di sofa itu. Alat kawalan jauh tv dicapainya. Buat seketika dia menilik siaran-siaran tv untuk mencari rancangan yang menarik. Namun telinganya tiba-tiba terdengar suara orang ketawa dari arah luar rumah. Rania menoleh ke sekelilingnya. Kemudian dia bangun menuju ke arah pintu luncur yang terbuka separuh. Dari situ dia terdengar jelas suara Firman dan Afyra sedang berbual sambil duduk di atas buaian tidak jauh dari pintu itu. Entah kenapa dia tiba-tiba berdiri di sebalik langsir itu sambil memasang telinga melalui bahagian pintu itu yang berbuka luas. Hatinya berdetak hebat kerana saat itu telinganya disajikan dengan perbualan yang bertopikkan tentang dirinya.
“Kak Rania tu garang sangat. Macamana lelaki nak dekat dengan dia. Dia mana ada berkawan dengan lelaki sangat. Dia cuma pernah ada boyfriend sekali aja dulu. Itu pun Abang Fikri dah kahwin dengan orang lain.”
“Umur Rania tu berapa?”
“32..” jawab Afyra ringkas sahaja.
“So kiranya dah nak andartulah ni?” Firman meneka sambil tergelak-gelak.
Wanita di sebalik sliding door itu mula mengertap bibir. Kurang ajar kau, jantan tua. Andartu kau kata aku? Sungguh tak bertulang sekali lidah kau tu! Kau ingat kau duda, kau hebat sangat? Jerit hati Rania sakit sendiri. Bertambah sakit adiknya pula dengan senang hati membongkar rahsia hidupnya kepada lelaki yang dia tak suka itu.
“Lebih kuranglah..”
“Andartu rupanya. Tapi nampak macam masih muda walaupun umur dah tua. Kalau dah garang sangat manalah lelaki nak dekat dia. Kalau I pun dah lama I lari. Lelaki ni suka wanita yang lembut dan seksi,” tambah Firman cukup selamba.
Tua? Rania menggepal penumbuk di sebalik pintu bercermin itu. Kau.. jangan sampai aku buat kau lari tak cukup tanah, Firman!!!!! Jerit hati Rania semakin tidak suka kepada lelaki itu.
“Kak Rania tu obses sangat dengan kerjaya dia. Mulut laser. Tak mesra dengan orang. Dia tak suka lelaki sebab tak mahu komitmen. Entah sampai bila dia nak macam tu Fyra pun tak tahu,” ujar Afyra langsung tidak sedar Rania sedang mendengar kata-katanya.
“Yes.. mulut laser tu memang tepat sangat,” komen Firman pantas. Sempat juga dia ketawa dengan kata-katanya sendiri.
Amboi-amboi.. sedapnya dia kata aku ni mulut laser. Yang dia tu gatal merenyam tu apa cerita? Desis hati Rania sudah meruap-ruap sendiri. Sakit hati mendengar Firman berkata macam-macam tentang dia.
“Kalau you, you suka perempuan yang macamana?” tanya Afyra kepada lelaki itu.
Firman diam seketika sambil memandang ke arah luar pagar. Berat hatinya nak meluahkan. Bimbang ada yang terluka. Dia tahu dia ke sini kerana dia adalah teman kepada Afyra dan bukannya Rania. Tetapi entah kenapa hatinya mahu mengenali Rania tiba-tiba. Namun adilkah dia menolak Afyra sedangkan kocakan hatinya kini jelas sekali disebabkan oleh Rania yang garang itu? Hanya lelaki yang gila macam dia sanggup memandang wanita segarang Rania itu. Agaknyalah..
“I suka perempuan yang macam you,” jawab Firman biasa.
Afyra senyum biasa. Tiada komen yang diberikan kepada lelaki itu saat ini.
“Kita cuma perlukan sedikit lagi masa untuk kenal hati budi kitakan?” ujar Firman perlahan sahaja.
“Yup..” jawab Afyra lantas tersenyum kepada lelaki itu.
Rania di sebalik dinding mula kembali semula ke kerusi yang didudukinya tadi. “Kenal hati budi konon! Macamlah aku tak tahu perangai miang jantan tua tu. Kau jangan mimpi kau boleh kahwin dengan adik aku, Firman!” gerutunya entah kenapa.



3 ulasan:

  1. Muahahaha... Miang la firman ni. Secocok ngan si Rania yg garang tu..hahahah.. Kak zaff.. Nak lagiiii hihi

    BalasPadam
  2. Dah terpikat ngan kakak nmpk nye...

    BalasPadam