Isnin, 31 Mac 2014

14-HEY, MR DUDA.. I HATE U!

14
Tengahari itu Rania tiba-tiba rajin pula. Tujuannya tiadalah lain. Sengaja mahu menyibukkan dirinya agar dia tidak perlu terus menghadap lelaki seorang itu.
“Nak masak apa, sayang?”
“Tengoklah apa yang ada..” jawab Rania sambil memandang bahagian sejuk beku di dalam peti ais di dapur itu. Dia terpandangkan ayam mentah.
“Ayam..” Rania berkata sendiri sambil memikir. Nak masak apa ya?
“Nak masak apa ayam tu?” tanya Firman yang terdengar suara Rania.
“You makan ke masakan melayu ni?” tanya Rania dengan tolehan sekilas.
“Makan..”
Tanpa kata lagi Rania terus mengambil ayam yang masih beku itu. Ada beberapa bahan lagi diambilnya dari bahagian bawah pula. Direndamnya ayam itu dengan air supaya daging ayam itu melembut segera. Kemudian kabinet di sekelilingnya dibuka satu persatu.
“You cari apa?”
“Bawang semua you simpan kat mana?”
Firman terus menunjukkan salah satu kabinet di bahagian bawah. Di situ dia menyimpan semua barang-barang kering. Bahagian bawah itu diselongkar Rania sambil diperhatikan Firman dari arah belakang. Setelah mendapat apa yang dia mahu, Rania menoleh.
“You duduklah depan. Biar I memasak kat sini,” ujar wanita itu biasa.
“Takpe.. I nak temankan you. Nanti kalau ada apa-apa jadi kat you, I yang susah.”
“Jadi apa pulak? Tak payah sibuk nak teman-temankan I. I tahu jaga diri sendiri,” getus Rania pantas. Macamlah dia tidak tahu tujuan Firman mahu menyibuk juga di situ. Apa lagi kalau bukan mahu mengacau dia!
“I nak tolong you..” itu pula jawapan yang diberikan Firman.
Rania diam. Lantak kaulah, jantan tua.. bisik hatinya malas mahu melayan. Buat permulaan dia memasak nasi. Kemudian mengupas bawang dan bahan-bahan yang lain. Firman dengan senang hati duduk menghadap wanita itu buat kerja.
 “Pandai jugak you buat kerja dapur ni ya?” komennya tatkala memandang tangan isterinya lincah mengerjakan bahan-bahan itu.
“I bukannya anak orang kaya rumah siap ada orang gaji semua. Lagipun setakat kerja macam ni semua perempuan boleh buat. Bukannya kena ada ijazah pun,” jawab Rania tanpa memandang. Semenjak remaja dia memang sudah didekatkan dengan kerja ini semua tatkala emaknya sibuk dengan tugasnya di pejabat.
“Tapi you memasak sedap..”
“Mana you tahu sedap? Pernah makan ke masakan I?” balas Rania pantas. Nak mengorat pun janganlah bagi pujian kosong begitu. Tak laku!
“Kali kedua I pergi rumah mak dulu, mak kata lauk yang I makan tu, you yang masak.”
Rania terdiam cuba mengingati semula peristiwa berbulan dulu. Dia ke yang masak? Memanglah dia ada sekali di dapur waktu itu. Tetapi seingatnya bukannya semua lauk itu dia yang masak. Dia cuma tolong masak yang mana yang ringkas-ringkas macam goreng sayur dan goreng ayam. Yang susah-susah semua emaknya yang buat.
“Entah. I tak ingat,” ucap Rania tanpa memandang lelaki itu.
“I ingat. I ingat semuanya tentang you,” ujar Firman pula.
Rania terus memandang lelaki di hadapannya itu. Ayat nak mengoratlah tu.. bisik hatinya sendiri. Firman tersengih-sengih kepada wanita itu.
“Ni I masak yang senang-senang aja. Jangan komplen pulak. Dalam peti ais tu bukannya ada apa sangat,” ucap Rania sengaja mahu mengalih topik.
“Takpe.. I makan aja apa yang ada.” Firman menjawab redha. Kalau tak sedap pun dia bedal aja. Asalkan ada benda yang boleh dimakan tengahari ini sudahlah. Kalau tidak.. Rania yang dia makan nanti.
Usai mengerjakan semua bahan-bahan itu Rania ke sinki untuk membersihkan ayam. Hari ini dia bercadang nak memasak gulai ayam sahaja.
Tatkala memandang Rania yang sedang berdiri di sinki itu, mulalah hati Firman dipagut cemburu melihat ketenteraman wanita itu. Perlahan Rania didekatinya. Rania menoleh sekilas apabila Firman mula berdiri di sebelahnya memandang apa yang sedang dia buat. Dah macam pakcik security lelaki itu memerhatikan dia buat kerja. Seketika kemudian dalam keralikan Rania, Firman mula berpindah berdiri di belakang wanita itu pula.
Rambut yang tersanggul kemas milik Rania diperhatikan Firman. Kemudian bola mata lelakinya jatuh ke bahagian leher pula. Seterusnya ke lengan berkulit cerah dan beroma nipis milik Rania yang terdedah. Tanpa sedar dia merapati wanita itu dari arah belakang.
“Emm.. wangi.”
Rania tersentak seketika tatkala terasa ada sesuatu yang sedang menghimpit dirinya. Aku sumbat jugak ayam ni dalam mulut dia karang.. getus hatinya mula geram.
“I banyak kerja ni, Man..” ucap Rania tidak senang diganggu dalam keadaan begini.
“I tolong you sekejap lagi,” balas Firman lembut.
“Jangan kacaulah! I tak harap pun you tolong I kat sini.” Rania terus merengus tidak selesa. Tubuhnya ditolaknya kebelakang agar lelaki itu menjauhinya.
“I tolong temankan. Nanti takdelah you bosan. You boleh berbual dengan I,” balas Firman membuatkan Rania segera memilih untuk mengunci mulutnya daripada bertelagah dengan lelaki itu sampai sakit tekaknya. Buang masa!
Dan Firman pula semakin seronok apabila Rania tidak lagi seagresif dulu. Wanita itu lebih banyak diam dan menurut sahaja. Maka dia boleh buat apa yang dia suka. Semakin rancak wanita itu memasak di dapur semakin sibuk dia menganggu wanita itu buat kerja. Rania hanya mampu menyabarkan dirinya dengan keletah lelaki baru dapat bini ini.
“Okay.. I tolong you gaul sekali.” Tangan Rania yang sedang mengacau gulai di dalam periuk itu terus digenggam Firman. Nak tolong konon. Padahal dia sedang mengambil kesempatan memegang tangan wanita itu. Kemudian dari arah belakang sebelah tangannya memaut pinggang Rania.
“Lepaslah! Sibuklah dia ni!” getus Rania tidak selesa.
“Mood I tengah baik nak tolong ni..” pujuk Firman perlahan.
Rania sekali lagi menghela nafas sabar. “Janganlah!” tangan Firman ditamparnya kuat dengan sebelah tangannya.
“I nak tolong aja..” ucap Firman tetap tidak peduli.
“Setakat gaul lauk dalam periuk ni I boleh buatlah. Jangan menyibuk, boleh tak?” getus Rania semakin geram.
“Biarlah I tolong..” ucap Firman macam orang tak reti bahasa. Tangan Rania yang sedang memegang senduk itu terus dipegangnya. “Haa.. gaul macam ni ya, tuan-tuan dan puan-puan. Tengok wife I buat ni. Nampak macam sedap aja gulai tu. Yang tukang buat gulai ni pun nampak macam best aja,” ucap Firman di tepi Rania.
Rania hanya mampu merelakan tangannya dibawa ke sana ke sini bersama senduk itu. Nak tegah pun tak guna kalau inilah manusianya! Bukannya Firman reti bahasa. Dia yang akhirnya sakit dada menahan rasa.
“Man, lepaslah! Rimas! Panas ni tahu tak,” rengus Rania geram dengan lelaki seorang ini. Bukannya menolong dia sangat. Tapi tolong melambatkan lagi kerjanya adalah!
“Okay.. I tolong tiup supaya you sejuk,” balas Firman.
Astaghafirullah.. sabar ajalah aku! Rania hanya mampu menghela nafas sabar. “Nah! Nak gaul sangatkan? Gaul!” degus Rania lantas meleraikan pegangan tangan Firman. Senduk itu diserahkan kepada lelaki itu.
“I nak gaul sekali dengan you. Mana best kacau gulai ni sorang-sorang.” Dengan muka selamba Firman menarik semula isterinya itu.
“Eee.. sabar ajalah aku dengan jantan tua ni! Merenyam!”
Itu waktu memasak. Waktu makan lain pulak ceritanya..
“Nah..” secubit ayam disuakannya kepada Rania.
“I dah ada. Sama jugak ayamnya. Ayam gulai!” Rania pantas menolak tangan lelaki itu.
“Mana sama. Yang ni I yang suapkan. Cepatlah..” ayam itu terus disuakan Firman. Mahu tidak mahu Rania membuka juga mulutnya menyambut suapan lelaki itu.
“Okay.. sekarang you pulak suapkan I,” ujar Firman penuh senang hati. Mulutnya pula yang dingangakan dengan penuh manja.
Tersentak Rania dibuat oleh gelagat Firman. Mengada-adanya jantan tua ni! Nak bersuaplah pulak! Ingat romantik sangat ke ni? Jerit hati wanita itu sebal.
“Cepatlah.. masuk angin perut I ni nanti kembung.”
Dengan hati mendongkol geram, sebal, menyampah dan segala macam rasa lagi Rania akur juga. Isi ayam itu dicubitnya lalu dilenyek-lenyeknya di dalam pinggan sehingga hancur. Kemudian barulah disuapkannya kepada lelaki itu.
“Ayam je? Nasinya mana?”
Nak nasi pulak??? Makin kuat jeritan berlagu di hati Rania. Mahu tak mahu dia menurut juga kehendak suaminya yang tengah mengada-ada itu.
“Hmm.. macam ni barulah namanya romantic couple. Sekarang I pulak you, okay? Lepas tu you suap I. Lepas tu you suap I balik..”
“Yalah..” jawab Rania cukup jengkel. Nampaknya sampai petang nantilah baru habis nasi dalam pinggan dia ni. Asyik nak main suap-suap aja. Dah takde kerja lain!
Namun Rania menurut aja. Malas dia nak komen panjang-panjang. Redha ajalah. Dah takdir dia dapat suami macam ini. Nak buat macamanakan?
Bertabahlah, Rania..

Lepas maghrib itu mereka ke rumah emak Firman untuk mengambil anak-anak Firman di sana. Sempat juga mereka makan malam bersama ahli keluarga Firman. Jam 10 malam Firman sudah mengajak anak-anak dan isterinya pulang.
Setiba di rumah Ferhad dan Iqbal terus ke bilik masing-masing. Irsyad sahaja yang masih berkepit dengan ayahnya. Rania pula terus naik ke atas untuk membersihkan diri dan mengganti baju. Tatkala dia turun ke bawah semula, Firman dan Irsyad sedang naik ke atas. Bukan main manja lagi anak itu berdukung dengan Firman. Letih benar agaknya.
“Nak ke mana?” tegur Firman sambil memandang Rania dari atas ke bawah. Dah siap dengan baju tidur. Nampaknya dia pun kenalah lekas tukar uniform.
“Nak minum air kejap..” jawab Rania biasa.
Firman mengangguk sahaja sebelum dia meneruskan perjalanan ke tingkat atas. Rania sempat berlegar di dapur itu. Mengemas sedikit kawasan dapur yang tidak rapi. Seketika kemudian dia terdengar ada derap kaki halus mendekati dapur.
“Mummy nak susu. Irsyad selalu minum susu sebelum tidur,” ucap anak itu lembut.
Rania segera berpaling. Eh! Tadi bukan ke budak ni naik dengan Firman. Tak minum susu lagi? kening Rania berkerut.
“Daddy tak buat susu untuk Irsyad ke? Kan tadi Irsyad naik atas dengan daddy?” tanya Rania dengan kerutan di kening kian menebal.
“Tak! Daddy suruh mintak dengan mummy Rania.”
“Daddy suruh mummy? Habis tu dia buat apa?” Kepada anak itu pula dilahirkan rasa tidak puas hatinya. Geram! Namun anak kecil itu sekadar menjungkit bahu dengan mata redup memandang emak tirinya itu.
Kurang asam punya laki! Anak dia.. dia suruh aku pulak! Namun Rania terkebil-kebil seketika. Nak buat susu? Alamak.. manalah aku sukatannya banyak mana! Bukannya aku pernah buat susu untuk budak-budak. Budak ni minum dalam botol ke dalam cawan? Firman ni punlahhhhh.... tak guna betul! Hati Rania mendongkol geram.
“Okay.. Irsyad pergi naik atas. Tanya daddy.. macamana nak buat susu. Mummy Rania tak tahu,” ujar Rania selamba kepada anak itu.
Anak berusia 5 tahun itu akur dengan suruhan Rania. Dia berlalu keluar dari dapur. Rania pula terus mencapai gelas untuk dirinya. Lambat-lambat dia meneguk airnya sambil menanti Irsyad.
“Okay.. daddy kata, 3 skop susu dengan air panas campur air sejuk. Lepas tu daddy kata pada mummy, jangan malas-malas. Jangan merungut. Buat aja apa yang daddy suruh.”
Rania terkedu mendengar ucapan yang terakhir itu. Jangan malas-malas? Jangan merungut? Apa keperluannya dia menyampaikan pesanan itu melalui Irsyad? Memang nak kena jantan tua ni dengan aku. Berani dia cakap macam tu depan anak dia?
“Sekarang ni Irsyad pergi naik atas cakap pada daddy, daddy pun jangan jadi pemalas! Jangan banyak cakap! Tahu nak membongkang aja. Pergi cepat bagitahu daddy!” arah Rania serius.
“Okay..” anak itu berlari lagi keluar dari kawasan dapur rumah itu. Seketika kemudian Irsyad muncul semula. Rania sudah pun selesai membancuhkan susu untuk Irsyad.
“Daddy kata daddy penat drive. Mummy Rania tadi duduk aja dalam kereta membesarkan punggung kat sebelah daddy,” ujar Irsyad sedikit serak suaranya. Susu di dalam mug yang berada di tangan Rania terus diambilnya.
Terbeliak mata Rania mendengar kata-kata Irsyad. Kurang ajar betul jantan tua ni!
“Oh.. lagi satu daddy suruh Irsyad cakap dengan mummy Rania. Daddy suruh mummy buatkan dia air jugak. Air.. emm..” Irsyad termanggu seketika. Sudah terlupa air apa yang diminta oleh ayahnya tadi.
“Air apa pulak?”
“Air kopi ali..”
“Ha?” tersentak Rania mendengar nama air itu. Apa kejadahnya air kopi ali tu?
“Air apa entah.. Irsyad dah lupalah.” Tanpa menunggu lagi anak itu terus meneguk air susunya.
Rania mengetap bibir. Air kopi ali? Air kopi ali ke air kopi tunjuk langit campur tongkat ali dia tu? Memang tempah maut sungguh jantan tua tak sedar diri. Dahlah aku tak suka dia minum air tu. Ada impian pulak dia nak suruh aku bancuhkan dia air tu!
Siap kau! Getus hati Rania sendiri. Bungkusan air kopi tunjuk langit itu terus diambilnya. Tangannya lincah mengerjakan objek kesayangan Firman itu. Setelah selesai dia menyimpan semula bungkusan itu di tempat asalnya. Rania tersenyum puas hati.
“Dah siap?” tanya Rania kepada Irysad yang memerhatikan dia.
“Dah..”
“Pergi naik atas. Gosok gigi dulu sebelum tidur,” ujar Rania lembut.
“Okay.. good night, mummy..”
“Good night..”
Sepeninggalan Irsyad, Rania mencapai mug. Di dalam kabinet dia mencapai nescafe. Dua sudu nescafe dimasukkan ke dalam mug dan setengah sudu gula turut dicampurkan sekali. Kemudian mug itu dipenuhkan dengan setengah air panas dan selebihnya air masak. Sambil membawa air itu ke atas, Rania mengacau air hitam pekat itu dengan sudu kecil.
“Haaa.. my lovely wife. Akhirnya sampai juga dengan air tongkat ali yang I mintak.” Firman menyambut senang hati tatkala melihat Rania mampir kepada bak isteri mithali yang patuh kepadanya.
Firman mengubah duduk di birai katil tatkala Rania menghulur mug putih itu kepadanya. Rania terus ke kamar mandi setelah itu.
Tatkala air itu dibawa ke mulutnya Firman terhenti seketika. Bau macam nescafe je ni? Bisik hatinya sendiri.
Ah! Bedal ajalah..
Hirupan pertama masuk ke dalam perutnya. Namun wajah Firman sudah berkerut. Lidahnya terjelir menahan rasa pahit yang teramat sangat! Terus dia bangun keluar semula daripada bilik itu. Terkocoh-kocoh dia turun ke bawah. Tiada lain yang dia cari saat ini. Air masak!
Puas diteguknya air masak itu, Firman berkumur pula untuk menghilangkan rasa pahit dari lidahnya. Berkali-kali dia meludah ke sinki sehinggalah rasa pahit itu hilang juga.
“Saja nak kenakan akulah tu..” rungut Firman sendiri. Air bancuhan Rania dibuangnya. Setelah membilas mug itu dia terus membuka kabinet. Air tongkat ali kesayangannya dicapai. Namun wajah Firman berubah. Berkali-kali bungkusan itu ditimbangnya dengan tangan. Ringan habis!
Dan dalam kegopohan dia menyelongkar bahagian dalam bungkusan itu. Dia hanya menemukan paket-paket yang sudah kosong semuanya.
“Mana perginya isi kopi ni??” Firman bertanya sendiri dengan dada turun naik. Kemudian dia terus keluar dari kawasan dapur itu untuk kembali semula ke bilik.
Sayangnya tatkala dia cuba membuka pintu biliknya, pintu itu telah berkunci. Dua tiga kali dia mencuba. Sehingga akhirnya matanya terkesan sehelai kertas keluar dengan penuh sopan daripada bawah pintu itu. Mengenai hujung jari kakinya. Firman segera mengambil kertas itu dan membacanya.

Sorry.. pintu dah terkunci. You tidur kat ruang tamu malam ni ya? I nak membesarkan punggung sorang-sorang dalam bilik ni! Oh ya.. air tongkat ali kegemaran you tu, you boleh cari kat longkang belakang. I dah sumbat masuk dalam lubang sinki. Good night!
p/s: Jangan ketuk pintu tu.. bising nanti. Malu kat anak!

Firman memandang pintu itu dengan segunung rasa sebal. Dahlah air tongkat alinya hilang. Rania suruh dia tidur luar. Oh! Kejamnya you pada I, Raniaaaaa.. hati Firman hanya mampu menjerit di dalam.


14 ulasan:

  1. Kaka di tunggu sambungan nya sayang kalau berhenti tengah jalan habis baca sampai bab 14 cari bab 15 tapi takde di tunggu kaka best cerita ni..

    BalasPadam
  2. Wow...best!! Macam pungguk rindukan bulan da...mana sambungan nya..so sweet Firman��

    BalasPadam
  3. Sambung la lgi 😭😭😭

    BalasPadam
  4. Sy prnah jumpa smbungan dia..tpi dh tak ingat apa tjuknya..tak sama dgn yg satu ni..ermm tjuk smbungan dia apa yaa..

    BalasPadam
  5. Kalau nak beli buku ni still ada lagi stok k

    BalasPadam
  6. Ada sambungan lg tak?

    BalasPadam