5
Pulang dari kerja senja itu Rania teruji lagi. Sekali lagi
kereta BMW X6 berwarna merah hati itu terpakir di hadapan pintu pagar rumahnya
sehingga menghalang laluan keretanya untuk masuk. Namun dia memilih untuk
memakirkan kereta di tepi jalan, di belakang kenderaan milik Firman.
“Hey! Tuan kau ni dah takde kerja lain agaknya. Asyik nak
datang rumah aku! Menyemak aja!” cemuh Rania saat dia melintasi kereta itu. Macamlah
kereta itu faham apa yang dia cakap.
Rania memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah. Riuh rendah
dalam rumah itu oleh suara kanak-kanak dan suara orang berbual.
“Bagus. Dia bawak anak-anak dia sekali..” Rania berbisik
sendiri saat terpandangkan kanak-kanak di ruang tamu rumahnya itu. Tak perlulah
dia tanya anak siapa sebab muka masing-masing memang serupa macam muka Firman. Namun
dia tidak nampak pula Firman di ruang tamu itu. Hanya ada budak tiga orang itu
sahaja sedang menonton tv.
Ferhad bangun ke arah Rania tatkala terpandangkan wanita
itu. Terus dia menghulurkan tangannya kepada Rania tanpa ada sesiapa yang
menyuruh. Terpaku Rania memandang gelagat anak itu.
Sopannya budak ni? Tapi kenapa bapak kau tu tak sopan ha?
Getus hati Rania sendiri. Sempat juga dia memburukkan Firman.
“Auntie..” sapa Ferhad dengan senyum malunya tatkala
memandang Rania.
Cis! Auntie dipanggilnya aku? Tua sangat ke aku ni? Hati Rania
berdetak sendiri. “Jangan panggil auntie. Panggil Kak Rania.” Rania berkata
dengan muka selamba kepada anak itu.
“Kak Rania..” Ferhad tersenyum kepada Rania sambil
menyapa wanita itu sekali lagi.
Rania sekadar tersenyum kepada anak itu. Ferhad kembali
duduk di ruang tamu itu. Dua lagi kanak-kanak itu sempat dipandang Rania. Suara
riuh orang berbual di dapur memberitahu dia mungkin emaknya sedang memasak di
dapur. Seketika kemudian anak-anak itu ditinggalkan untuk naik ke atas.
Rania menolak pintu biliknya. Dia terus masuk. Punggung terus
dilabuhkan di birai katil. Kaki yang terasa sakit diusap seketika.
“Rehat kejaplah..” ucapnya sendiri lantas tubuhnya
direbahkan di atas katil. Bantal diambilnya lalu ditekupkan ke wajah.
Pintu bilik tetamu yang berhadapan dengan bilik Rania itu
terbuka tiba-tiba. Firman yang baru selesai menunaikan solat maghrib terpaku
melihat aksi menggoda wanita di dalam bilik di hadapan itu. Pintu yang terbuka
luas membuatkan matanya terus dihidangkan dengan permandangan Rania terbaring bebas
di atas katil dengan skirt yang sedikit tersingkap. Juga suasana di dalam bilik
wanita itu.
Seketika kemudian Rania mengalihkan semula bantal di
wajahnya. Dia teringat yang dia masih belum mandi dan maghrib sudah tidak
panjang. Spontan dia bangun semula. Namun matanya tiba-tiba terbuntang dan
mulutnya hampir mahu menjerit melihat Firman sedang berdiri memandang dia tanpa
berkelip.
“Hei! Apa kau pandang ha?” Rania terus menuju ke pintu. Pintu
biliknya ditolaknya pantas.
Firman ketawa sendiri melihat gelagat Rania. “Kau yang tak
tutup pintu. Aku pandanglah..” jawabnya seorang diri.
“Kurang ajar punya jantan tua! Berani dia mengintai aku!”
desis Rania sakit hati melihat lelaki itu tadi. Tuala diambilnya lalu
dilibasnya ke merata-rata untuk melepaskan buku di hatinya. Macamlah Firman
yang sedang dilibasnya itu. Namun memikirkan apa yang dilakukan di atas katil
tadi, Rania akhirnya menekup muka sendiri. Malunya dia!
Usai mandi dan bersolat isyak dia turun semula ke bawah. Perut
pun sudah mula bernyanyi kelaparan.
“Ha.. baru nampak muka Rania?” tegur Hajah Habibah
tatkala anaknya itu berjalan menuju ke ruang makan. Tepat pada masanya. Mereka pun
sedang bersiap-siap untuk makan malam.
“Baru nak panggil akak kat atas,” ucap Afyra pula lega
melihat Rania sudah turun.
Rania tidak menjawab. Sambil berdiri di tepi meja itu lauk
di atas meja dipandangnya. Berbesar hati benar emaknya dengan kehadiran
tetamu-tetamu itu. Penuh meja itu dengan segala macam lauk pauk.
“Dah! Mari kita makan. Cucu-cucu nenek mesti dah lapar ni,”
ajak Hajah Habibah setelah semua nasi dan lauk pauk telah siap dihidang.
Rania mula mengambil tempat. Kali ini dia duduk di tempat
yang selalu diduduki oleh ayahnya. Tatkala mahu mengambil lauk Rania
terpandangkan Firman. Lelaki itu sekadar memandang dia tanpa menegur. Dia pula
terus mengalihkan pandangan sesaat kemudian. Malu apabila teringat kejadian di
tingkat atas tadi.
Namun saat itu Rania mula tertarik dengan gelagat adiknya
itu yang sibuk melayan anak Firman yang bongsu. Firman pula hanya bersenang
lenang di meja makan itu membiarkan anak-anaknya menyesuaikan diri
masing-masing. Ferhad yang duduk di sebelah Firman nampak tidak kekok. Anak itu
makan dengan begitu sopan sekali. Tanpa sedar Rania mula memerhatikan anak itu
pula. Sangat seiras dengan Firman daripada bentuk wajahnya dan corak rambutnya
yang ikal. Warna kulit juga sama. Cuma bezanya si jantan tua itu banyak uban! Anak
kedua Firman memang berselera makan. Tambah pula emak Rania rajin melayan. Cedokkan
lauk yang dimahukannya. Kemudian melayan dia bercakap. Riuh rendah meja itu
jadinya.
Rania dan Firman sekadar diam di meja itu biarpun suasana
meja riuh rendah. Masing-masing hanya memerhati orang sekeliling mereka. Afyra
pula langsung tidak peduli kepada Firman. Dia hanya dengan Irsyad, anak bongsu
Firman yang manja. Tatkala Rania termenung sendiri Firman memandang wanita itu.
Gelagat Rania pula yang diperhatikannya. Sehingga Rania terperasan lelaki itu
sedang memehatikan dia.
Apa pandang-pandang? Sergahan itu hanya berlagu di
hatinya.
“Kenapa macam tak selera?” tegur Firman agak perlahan.
Rania sekadar menggeleng tanpa memandang lama paras
lelaki itu. Seram dia melihat renungan tajam Firman masih terpasak di wajahnya.
Pelik dia.. Afyra takkan langsung tak tahu perangai miang lelaki ini? Cara
Firman memandang memang aneh. Suara lunaknya memang membuatkan dia tidak senang
hati. Takkanlah dengan semua perempuan Firman begitu? Ke dia yang perasan
lebih? Entahlah..
Sesudah makam mereka semua menyambung sembang di meja
makan itu. Emak Rania dan Afyra paling banyak melayan bual dengan anak-anak
kecil itu. Rutin anak-anak kecil yang tidak beribu itu ditanyakan oleh Hajah
Habibah.
“Selalu lepas habis sekolah Ferhad naik bas balik rumah. Lepas
makan tengahari, pergi sekolah agama. Habis sekolah agama, balik rumah sama dengan
Iqbal. Lepas tu Ferhad pergi ambil adik kat nursery. Lepas tu Ferhad tunggu kat
rumah sampai daddy balik kerja. Ferhad kena jaga adik-adik.” Ferhad menjawab
sopan pertanyaan wanita tua itu.
“Pandainya cucu nenek ni. Tak susahkan ayah dia. Semua dia
pandai buat sendiri,” puji Hajah Habibah kagum dengan anak sulung Firman yang
sudah pandai menyesuaikan diri walaupun tanpa kehadiran seorang ibu.
“Daddy dah ajar. Daddy kata dulu daddy pun macam tu. Ferhad
kena berdikari sebab mama takde. Mama sibuk,” jawab Ferhad sambil memandang
ayahnya itu. Firman tersenyum senang kepada anaknya itu.
“Takpelah.. nanti bila Ferhad dah besar, Ferhad akan jadi
anak yang berjaya. Orang yang pandai berdikari ni bermakna dia budak baik.
Allah suka anak-anak yang tak menyusahkan ibu dan ayah.” Hajah Habibah menjawab
lembut. Kasihan pula dia mendengar ujaran anak itu. Susah juga bila tiada
kehadiran ibu.
“Samalah dengan auntie. Auntie Fyra pun semenjak kecil
kena belajar berdikari. Sebab ayah auntie tak selalu ada kat sini. Ayah auntie
kerja jauh. Auntie bertiga dengan mak auntie ni aja. Pergi sekolah pun kena
pergi sendiri. Dulu masa auntie kecik-kecik, kakak auntie yang selalu jaga
auntie,” ujar Afyra pula lantas menunjukkan Rania yang membisu sahaja.
“Owh.. ini kakak auntie ya? Tapi muka tak sama..” Ferhad
lantas memandang Rania.
Firman turut memandang Rania. “Muka auntie ni memang
garang sikit. Tak suka senyum. Semua orang takut dengan dia,” ucap Firman tanpa
mengalihkan pandangannya daripada Rania. Hajah Habibah dan Afyra terus tergelak
serentak melihat perubahan di wajah Rania.
“Tapi muka tak garang pun?” ucap Ferhad memandang lagi
Rania. Takde pula Rania marahkan dia tadi. Elok aja dilihatnya.
Rania paksa diri tersenyum kepada anak-anak itu.
Berkali-kali dia memujuk hatinya. Bukan dia yang akan menjadi emak tiri kepada
anak-anak itu nanti. Tetapi Afyra. Jadi layan ajalah. Kanak-kanak itu pun tidak
bersalah apa-apa kepada dia. Yang dia rasa nak pelangkung sekarang ialah
Firman!
“Nenek takde cucu macam kami ni?” tanya Ferhad lantas
mengalihkan pandangan kepada Hajah Habibah.
“Belum ada. Ferhad dengan adik-adiklah yang kena jadi
cucu nenek nanti. Anak-anak nenek dua-dua belum kahwin. Macamana nenek nak ada
cucu,” jawab Hajah Habibah cukup mesra melayan anak-anak itu.
“Owh.. Kakak Rania pun belum kahwin ya?”
“Ish! Apa pulak kakak Rania. Panggil auntie Rania!” tegur
Firman kepada anak sulungnya itu.
Rania terus menjulingkan matanya ke atas. Budak-budak ni
panggil aku kakak. Biarlah! Jelous ke? Sebab aku nampak muda remajakan? Ejek
hati Rania kepada lelaki itu.
Ferhad terkebil-kebil memandang muka ayahnya. Tadi wanita
itu yang tidak mahu dipanggil auntie. Jadi dia panggil kakaklah. “Panggil kakak
tak boleh ke, daddy?” tanya anak itu dalam nada polos.
“Panggil auntie. Dia dah tua! Mana layak panggil kakak,”
ucap Firman cukup selamba seolah-olah Rania tiada di situ. Hajah Habibah sudah
mengulum senyum dan Afyra buat-buat memandang ke arah lain untuk mengelakkan
rasa nak tergelak itu terburai.
Merah padan muka Rania kala itu. Kurang ajar kau, jantan
tua! Berani kau malukan aku depan anak-anak kau. Dahlah aku mengintai aku dalam
bilik tadi! Memang nak kena ajar kau ni, kutuk hati Rania sebal.
Firman menghela nafas perlahan sebaik sahaja tubuh lesunya
dihempas ke atas tilam. Keletihan yang dirasai sepanjang hari ini dengan
pelbagai urusan kerja mereda sedikit demi sedikit setelah dapat menyenangkan
diri di rumah. Buat seketika dia sekadar berbaring di atas katilnya sambil
mengenang semula apa yang berlaku sepanjang hari ini. Bicara ibunya ketika
mereka makan siang bersama tadi kerap menghantui benaknya.
“Mama tak mahu perkara yang sama berlaku lagi. Mama nak
cepatkan, Man. Kamu tu bukannya muda lagi,” ucap Puan Harlina serius kepada
Firman.
“Kami baru kenal, ma..”
“Mama tahu. Tapi apa salahnya kalau kamu bertunang dulu. Kamu
tu bukannya anak-anak remaja lagi. Mama tak mahu berlengah-lengah lagi. Nanti
jadi lagi macamana kamu dengan Qairynn dulu. Berkawan dengan kamu tapi kahwin
dengan orang lain!” ucap Puan Harlina masih berusaha memujuk anak lelaki
tunggalnya itu.
Firman diam tidak menjawab. Sebaliknya dia sekadar
menguis-nguis makanan di dalam pinggan sambil berfikir sendiri.
“Anak-anak kamu tu perlukan ibu. Nak harapkan si Hanez? Hmm..
entah bilalah nak sedar diri. Mama kesian tengok dia orang tu yang hidup tak
serupa macam orang lain,” tambah Puan Harlina sambil memandang ke luar restoran
itu. Menyampah mengenangkan perangai bekas menantunya itu.
“Tapi kami masih belum berbincang apa-apa tentang ini..”
“Tak bincang tapi kamu kerap bertandang ke rumah anak
dara orang tu. Tak malu ke pada orang sekeliling? Apa kata orang nanti? Kalau dah
sampai kenalkan dengan mak dan ayah dia, bermakna dia serius nakkan kamu, Man. Kamu
kena faham,” tekan Puan Harlina bersungguh. Besar benar harapannya mahu melihat
Firman berumahtangga semula.
Firman terus diam. Hakikatnya kini mereka berdua sedang
berbincang tentang hal dia dan Afyra. Tetapi fikirannya terus sarat memikirkan
Rania. Namun keputusan apa yang hendak dibuat dia sendiri tidak tahu. Dia bimbang
Afyra kecil hati. Bukannya dia tidak nampak betapa bersungguhnya Afyra mahu
mengambil hati anak-anaknya. Lebih dari itu dia tahu Rania bukannya sehati
dengannya. Wanita itu bencikan dia.
“Mama dengar budak-budak tu cerita, dia orang senang
dengan Afyra tu. Lembut aja orangnya. Apa lagi yang kamu tunggu? Jangan bagi
budak-budak tu harapan palsu. Mama pun tak kisah Afyra tu kerja ke atau masih
belajar. Asalkan dia tu bukan pelakon sudahlah! Serik mama!” ucap Puan Harlina
separuh menyindir.
Masalahnya sekarang Man bukannya nakkan Afyra, mama. Tapi
Rania! Keluh hati Firman sendiri.
“Macamana? Kalau kamu setuju, mama akan masuk meminang
aja.”
Firman diam lagi. Semakin dia desak semakin itu
perasaanya berbolak balik mahu menyunting Afyra sebagai isteri. Dia bimbang
apabila dia nekad memperisterikan Afyra, perasaannya ini akan semakin kuat
kepada Rania apabila terpaksa berhadapan dengan wanita itu selalu.
“Kamu ni macam berat benar? Kamu nak ke tidak ni? Ke kamu
setakat nak main-mainkan Afyra tu?”
“Bukan macam tu, ma. Man cuma perlukan masa. Itu aja.”
“Masa untuk apa? Kamu dah pernah berkahwin, takkan masih nak
kena ambil masa lagi macam anak teruna yang baru nak merasa ada isteri?” cabar
Puan Harlina tidak puas hati dengan jawapan anaknya itu.
Firman meraup wajahnya perlahan. “Sekurang-kurangnya mama
berkenalanlah dulu dengan keluarga Afyra.”
“Alah.. itu semua tak penting! Lepas kamu dah kahwin
nanti mama boleh berkenalan banyak mana yang mama suka dengan besan mama tu. Itu semua kamu tak payah ajar! Tahulah mama. Kalau kamu tak boleh
nak buat keputusan, biar mama yang buat!” getus Puan Harlina tegas.
Lelaki muda itu menghela nafas perlahan. Dahinya digaru
seketika. Alahai.. macamana sekarang ni, keluh hati Firman resah.
“Jangan berlengah-lengah lagi, Man. Perempuan yang baik
ni macam ikan segar. Bila-bila masa aja boleh kena ambil dek orang. Mama tak
mahu kamu melopong lagi macam kamu melopong bila Qairynn kena ambil dek orang. Kamu
lembab sangat.. orang lain dah potong jalan dulu,” ujar Puan Harlina terus
memenopoli perbualan mereka anak beranak.
Firman menghela nafas buat kesekian kalinya. Perbualan itu
yang membuatkan dia jadi pemikir semenjak tadi. Keputusan sudah diberikan
kepada emaknya. Bulat sudah hatinya.
Dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan. Dia
sendiri tidak tahu adakah tindakan dia meminang Afyra ini tepat. Ikhlaskah dia
mahukan Afyra? Mampukah Afyra bahagia nanti? Dan macamana dia mahu berhadapan
dengan Rania sebagai adik ipar dan kakak ipar?
Entahlah.. dia sendiri tidak tahu.
6
Afyra termanggu seketika mendengar apa yang diucapkan Firman.
Tiada angin tiada ribut Firman mengatakan yang dia mahu masuk meminang. Di
hatinya terselit sedikit keraguan. Atas dasar apa sebenarnya lelaki itu mahu
menyuntingnya?
Semenjak kebelakangan ini mereka memang rapat. Tetapi
bukan hanya mereka berdua. Sebaliknya mereka sekeluarga. Anak-anak Firman dan
emak dan ayahnya juga menerima baik jalinan antara mereka berdua. Tetapi
jalinan apa sebenarnya? Dia sendiri tidak tahu.
“Kenapa tiba-tiba aja?” tanya Afyra setelah puas dia
berdiam diri.
“Mama paksa..” jawab Firman rendah sahaja.
“Serius? Kenapa pulak?” tanya Afyra benar-benar tidak
faham.
“Mama takut jadi macam dulu. Kawan lama-lama akhirnya dia
pilih orang lain,” jawab Firman ringkas. Dia macam tiada mood mahu menjelaskan
berjela-jela kepada Afyra. Fikirannya kusut dan perasaannya tidak menentu.
Tiada sebab! Tiada sesiapa yang menjadi puncanya. Semua itu ada di dalam
dirinya begitu sahaja.
Afyra termanggu lagi. Hanya sebab itu? Dan Firman
bersetuju? Entah kenapa perasaannya terasa aneh saat ini. Ada rasa tidak selesa
menyelinap ruang hatinya. Dia mula tidak pasti adakah ini sesuatu yang tepat
untuk dilakukan. Dia belum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Apatah lagi
sebagai ibu kepada anak-anak Firman. Namun dia teringat cerita Firman dulu.
Wanita itu menolak cintanya kerana dia duda anak tiga. Wanita itu memilih bekas
kekasihnya kerana tidak mahu menjadi ibu kepada anak orang lain. Adakah dia
juga sedang menggunakan alasan yang sama untuk menolak Firman?
“Fyra macam tak percaya pulak semua ni,” luah Afyra
kembali mengisi suasana hening antara mereka petang itu.
“Kenapa?” tanya Firman lantas menoleh kepada gadis di
sebelahnya.
“Semua ni tak ke terlalu cepat?” tanya Afyra kepada
pendapat lelaki itu.
“Fyra perlukan berapa lama untuk buat keputusan?” mereka
berdua saling berbalas soalan pula. Masing-masing ada terpendam rasa yang
mereka sendiri tidak mengerti.
Afyra menghela nafas perlahan sambil tunduk merenung
rumput di kakinya itu. Rupanya Firman membawa dia ke taman rekreasi ini untuk
berbincang tentang itu. Masalahnya dia sendiri pun tiada jawapan.
“Apa perasaan Fyra pada I?” tanya Firman perlahan. Buat
pertama kalinya semenjak dia mengenali Afyra barulah dia bertanya tentang itu.
“Entah..” Afyra ketawa sendiri dengan jawapannya.
Firman mengangguk perlahan. Jawapan itu semacam mahu
mengelak daripada berterus terang kepadanya.
“You?” tanya Afyra kepada lelaki itu pula.
Firman tidak terus menjawab. Otaknya ligat berfikir
sendiri. Dia mengahwini seorang wanita untuk apa? Sekadar untuk dirinya atau
sekaligus untuk anak-anaknya? Jika untuk anak-anaknya maka Afyra sudah tentulah
calon yang tepat.
“Mungkin kita boleh bertunang dulu. Semua ni tak perlu
tergesa-gesakan? Kita bukannya nak kahwin esok. Dalam tempoh tu kita masih ada
masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan ni nanti,” ujar Afyra dalam pada
Firman terus membisu.
Firman menoleh seketika kepada wanita di sisinya itu.
Bertunang? Untuk berapa lama? Sehingga terbit perasaan cinta kepada Afyra?
Kalau perasaan itu tetap tidak hadir macamana? Ah! Cinta boleh dipupuk.. bisik
hati Firman seorang.
“Betul.. kita bertunang dulu. Sampai Fyra habis buat
medic nanti,” ucap Firman lembut.
Afyra terus mengangguk sambil menghela nafas dalam. Ada
rasa gemuruh memikirkan tentang itu. Sampai dia habis belajar bermakna tidak
lama lagi. Alahai.. bersediakah dia untuk ke arah itu?
Pulang ke rumah Afyra lebih banyak berkurung di dalam
bilik. Sebentar tadi perihal rombongan meminang yang dirancang tiba pada hari
Ahad ini sudah berlagu di meja makan. Abah mereka akan pulang pada hari Khamis
ini untuk hal itu. Bersendirian di dalam bilik itu dia kembali memikir dan
memikir. Keengganan hati sudah semakin kuat berlagu. Tetapi bibirnya tidak
mampu untuk meluahkannya. Dia tidak berani.
Di bawah Rania
berbicara dengan emaknya tentang hal itu.
“Kenapa pulak? Mak tak nampak apa yang tak kenanya dengan
Firman tu. Dengan mak dia sopan aja. Paling mak suka dia tu.. dia yang jaga
anak-anak dia. Susah nak cari lelaki begitu, Rania. Selalunya bila dah lepas
bercerai ni anak-anak yang besar aja yang bekas suami nak jaga. Yang kecik
semuanya serah kat mak. Tapi dia tak macam tu. Dia jaga anak-anak dia sendiri
semenjak Irsyad tu masih baby,” ujar Hajah Habibah tidak setuju dengan
tanggapan Rania tentang lelaki itu.
Rania diam seketika. Fikirannya terus memutarkan memori
lepas tentang lelaki itu. Lelaki itu memang miang! Sedangkan ketika Afyra
berada di rumah ini pun Firman berani menganggu dia. Inikan pula kalau berada
di luar selama mereka tidak nampak? Apa akan jadi kepada adiknya jika berkahwin
dengan lelaki begitu.
“Mak, Fyra tu kan masih study. Biarlah dia habiskan study
dia dulu. Kemudian barulah fikir nak bertunang ke apa,” jawab Rania seketika
kemudian.
“Bukannya nak kahwin dalam masa terdekat ni, Rania. Dia
orang tu baru nak masuk meminang. Pandailah mak nak merancang nanti. Bukannya
mak tak fikir semua tu.” Hajah Habibah menjawab tenang.
“Mak tak pernah tanya dia kenapa dia bercerai dulu?”
“Mak pernah tanya dia pasal mak budak-budak tu. Dia jawab
biasa ajalah. Mak budak-budak tu kerja. Takde masa sangat nak luangkan dengan
budak-budak tu. Tapi dia takde cerita apa sebabnya dia bercerai. Dia cuma kata
dah takde jodoh. Itu aja. Baguslah begitu. Tak elok cerita-cerita sangat ni.
Buruk kalau orang lelaki ni suka memburukkan bekas isteri sendiri sebagai punca
bercerai. Sebab tunggak rumahtangga ni lelaki. Kalau roboh rumah tu sebab siapa
lagi? Sebab suami tu yang dah tak mahu mempertahankan rumahtangga tu,” jawab
Hajah Habibah panjang lebar.
Rania diam sahaja mendengar bebelan emaknya. Bantal
hiasan di sofa itu dipeluknya erat. Keruh wajahnya memikirkan adiknya bakal
berpasangan dengan duda tua itu. Dia tidak suka! Masalahnya dia seorang aja
yang tidak setuju. Orang lain semua setuju.
“Rania patutnya doakan yang baik-baik untuk Fyra tu..”
“Memanglah, mak. Tapi Rania risau. Kita kenal Firman tu
bukannya lama sangat. Dia terus nak masuk meminang. Mesti ada apa-apa tu, mak!”
Rania menggeleng tanda runsing sendiri. Dia tidak mampu membayangkan jika suatu
hari nanti dia pula yang terpaksa mewakili adiknya untuk menuntut hak di
mahkamah suatu hari nanti. Dia sudah terlalu banyak menyaksikan kisah wanita
yang dianiaya suami. Didera fizikal, mental dan secara seksual. Dia bimbang
Afyra turut menurut jejak yang sama.
“Kalau dia cepat nak masuk meminang tu tandanya dia
bersungguh nakkan Fyra tu, Rania. Dia nak hubungan tu dihalalkan segera. Bukan ke
elok macam tu? Berbanding lelaki yang nak pegang sana.. pegang sini tapi
kahwinnya entah bila. Mak nak Rania esok pun macam tu! Dah jumpa yang berkenan
di hati, terus kahwin. Jangan terlalu fikir yang bukan-bukan. Kalau nak tahu
Firman tu lelaki yang baik ke tidak.. tengok anak-anak dia. Tengok cara dia
layan anak-anak dia. Tengok sikap anak-anak dia bila berhadapan dengan orang
luar,” nasihat Hajah Habibah lembut.
Sekali lagi Rania terdiam. Ya tak ya juga! Tugas dia
sebagai peguam memerlukan dia bijak berhujah. Tetapi semuanya mestilah melalui
fakta. Apa pula fakta yang dia ada tentang si Firman itu? Hakikatnya sepanjang
dia mengenali tiga kanak-kanak itu, mereka semua nampak normal. Gembira dengan
mereka semua. Tiada apa yang tidak kena. Perlahan Rania menghela nafas sendiri.
“Ada yang tak kena dengan dia tu!” keluh Rania sendiri.
“Maksud Rania?” tanya Hajah Habibah pantas.
“Entahlah.. dengan Rania dia tu lain macam. Macam gatal.
Rania nak cakap dengan Fyra, Rania takut Fyra tak percaya. Nanti dia kata Rania
ni sengaja nak memburuk-burukkan teman lelaki dia,” ujar Rania perlahan namun
bersungguh.
Hajah Habibah ketawa perlahan. “Gatal macamananya? Mak
nampak dia okay aja. Perasaan Rania aja tu..” sambut Hajah Habibah tidak serius
mempercayai kata-kata Rania.
Rania menggeleng perlahan. Dia dah agak.. mak dia pun tak
percaya. Ah! Apa pun alasannya dia tetap tidak suka Firman sebab lelaki itu
memang romeo! Lelaki itu suka menggatal dengan dia ketika Afyra tidak nampak.
Dan dia tetap tidak restu Afyra kahwin dengan Firman.
Tetapi siapa yang memerlukan restu daripada dia dalam hal
ini? Takde siapa! Pendek katanya ketidakrelaan dia saat ini adalah tidak
bermakna kepada sesiapa! Firman itu baik belaka di mata semua orang.
Jam 10 pagi Ahad itu Firman sudah mengetahui konvoi 3 buah
kereta ke rumah keluarga Afyra. Sepanjang perjalanan itu dia terus terusan
berdiam biarpun emaknya becok bercakap dengan dia. Sepanjang masa itu
fikirannya terus kusut memikirkan semua yang bakal berlaku sekejap lagi.
Ah! Baru bertunang, Firman. Bukannya kahwin.. bisik
hatinya cuba menyedapkan hati sendiri. Namun seketika kemudian dia menggeleng
sendiri tatkala wajah Rania mula mencelah ketenangan hati yang baru sekejap
diperolehinya.
Afyra adalah jodoh terbaik untuk dirinya dan
anak-anaknya. Cukup! Dia tidak mahu memikirkan yang lain.
“Man, dengar tak mama cakap ni?” spontan Firman tersentak
apabila bahunya ditepuk emaknya dari tepi.
“Ha? Mama cakap apa?” tanya Firman lantas menoleh.
“Hai.. berangan tengah drive pulak! Bahaya tahu tak?
Tahulah nak bertunang. Excitedlah tu!” tukas Puan Harlina sambil menggeleng
memandang anaknya itu. Anehnya dia tidak melihat keterujaan untuk menyunting
Afyra di wajah Firman. Sebaliknya ada ketegangan yang cukup jelas.
“Mama tanya pasal duit hantaran. Budgetnya berapa? Karang
orang tu letak juta-juta, menggigil kamu nak cari duitnya. Dahlah anaknya tu
doktor,” ucap Puan Harlina tanpa mampu mengalihkan pandangan daripada wajah
anak lelakinya itu.
Firman menggaru kepalanya seketika sambil memerhatikan
keadaan jalan raya. “Berapa-berapa ajalah, ma. Man tak kisah.”
“Macam tu pulak?” balas Puan Harlina hairan dengan gelagat
anaknya itu.
“Mama tanya ajalah Rania tu dia nak berapa,” ujar Firman
agak hambar.
“Rania mana pulak ni? Bukan Afyra ke namanya?” tukas
wanita tua itu sedikit meninggi.
Firman tersentak serta merta. “Eh! Afyra.. silap.. silap,
ma. Mama tanya ajalah Afyra.”
Puan Harlina mula memandang ke arah cermin di hadapannya
itu. Gelagat Firman benar-benar menimbulkan rasa tidak sedap di hatinya. Boleh
pulak sebut nama orang lain. Entah-entah Firman ada orang lain.
“Man ada masalah ke?” tanya Puan Harlina tidak lama kemudian.
“Takdelah.. mana ada!” jawab Firman pantas.
“Habis tu yang muka stress sangat ni kenapa? Nak kahwin
ke tidak?”
“Naklah..” jawab Firman rendah sahaja.
Puan Harlina diam. Tidak berani mahu bertanya banyak.
Buatnya Firman mengubah fikiran nanti, dia juga yang malu. Mereka berdiam
sehingga tiba juga di rumah yang ingin dikunjungi. Firman memakirkan kereta di
tepi jalan sahaja. Dua kereta lagi memakir di belakang keretanya.
“Kamu tunggu aja sini. Mama masuk dengan pak long dengan
mak long aja..”
Firman mengangguk sambil mematikan enjin. Pintu kereta
dibuka. Lambat-lambat Firman keluar dari keretanya sambil memandang ke rumah
itu. Perasaan gemuruh itu kembali serta merta saat terpandangkan rumah itu. Memandang
semua ahli keluarganya sudah bersiap sedia mahu pergi ke rumah itu dia jadi
tidak keruan tiba-tiba. Semakin dekat emaknya dengan rumah itu dia semakin tidak
mampu menahan perasaannya.
“Mama.. mama..” Firman tiba-tiba memanggil semula
emaknya.
Wanita itu ditariknya ke arah kereta. Puan Harlina
kehairanan melihat gelagat anaknya itu. Tan Sri Hisyam dan isterinya juga
anak-anaknya ikut kembali ke kereta itu. Masing-masing kehairanan melihat
Firman menggelabah semacam.
“Kenapa ni?” tanya Puan Harlina hairan melihat Firman
masih memegang tangannya seolah-olah enggan membenarkan dia masuk ke dalam.
“Mama, Man mintak maaf..” ucap Firman mula memegang
dadanya yang berdegup kencang.
“Apa semua ni, Firman? Lepaslah! Kesian tuan rumah dah
tertunggu-tunggu tu,” getus Puan Harlina sedikit keras. Tangannya cuba ditarik
daripada pegangan anaknya itu.
“Kenapa ni, Firman? Apa masalahnya?” Tan Sri Hisyam ikut
bertanya akhirnya.
“Mama, Man belum bersedia lagi nak meminang Afyra..” ucap
Firman dalam keberanian yang tidak seberapa.
“Jangan nak buat gila, Firman. Malu mama nanti!” tekan
Puan Harlina mula kalut. Suaranya meninggi serta merta. Sempat dia memandang
wajah abang dan kakak iparnya untuk meminta bantuan.
“Kita balik! Batalkan semua ni. Man tak sanggup, mama. Tolong
jangan teruskan,” ucap Firman nekad. Belakang kepalanya dipaut tanda dia
benar-benar sudah tertekan benar.
“Astaghafirullah.. kamu ni dah kenapa kusut sangat ni?
Cubalah beristighfar. Malu mama kamu ni nanti. Keluarga perempuan lagi malu
kalau kita batalkan macam tu aja!” tegas Tan Sri Hisyam kepada anak saudaranya
itu. Dah sampai nak balik pulak?
Firman menggeleng perlahan sambil bersandar ke badan
keretanya. Matanya dihalakan ke rumah Afyra. Entahlah.. dia tidak tahu mengapa
hatinya berat benar. Dia benar-benar tidak sanggup memilih Afyra dalam keadaan
hatinya begini.
“Kamu ni kenapa, Firman?” Puan Harlina mengusap belakang
anaknya itu. Cuba menenangkan Firman.
“Man tak mahu kahwin dengan Fyra, mama..” ujar Firman
sekali lagi.
“Habis tu sebelum ni mama tanya kamu kata nak! Patutnya kalau
tak mahu cakap terus terang sebelum mama berjanji dengan keluarga Fyra nak
datang sini! Ini bukan benda main-main, Firman. Ini soal maruah keluarga kita dan keluarga Afyra!”
“Man tahu..” keluh Firman mula bercangkung pula di tepi
keretanya. Rambutnya mula diramas kuat untuk melepaskan perasaannya saat itu.
“Apa semua ni, Firman? Kamu jangan buat mama pening boleh
tak?” suara emak si Firman terus meninggi akibat tertekan dengan ragam bukan-bukan anaknya itu.
“Man nak kahwin dengan Rania, mama..” luah Firman setelah
dia beroleh keberanian untuk meluahkan kata-kata.
“Siapa pulak Rania ni?” tekan Puan Harlina semakin meninggi.
“Rania kakak kepada Afyra..” jawab Firman agak rendah.
Terbeliak mata si ibu mendengar itu. “Kamu ni nak mama
mati cepat ke? Sekejap nak adik.. sekejap nak kakak dia pulak! Kamu ingat kita
ni tengah pilih baju ke apa? Sedap-sedap aja nak ditukar-tukar?” bentak wanita
tua itu dalam nada tertahan.
“Man takkan kahwin dengan Afyra. Man tak boleh, mama. Memang
dia baik tapi Man tak boleh kahwin dengan Afyra dan berhadapan dengan Rania
setiap hari.”
Tan Sri Hisyam terkedu mendengar kata-kata Firman. Yang lain
sudah mula saling berpandangan. Kalut!
“Macamana ni Abang Long? Apa saya nak cakap pada tuan
rumah?” keluh Puan Harlina resah.
Tan Sri Hisyam hanya mampu menelan liur sendiri. Sekejap dia
memandang Firman yang masih duduk bersandar ke badan keretanya. Sekejap kemudian
dia memandang sekeliling untuk mencari idea bagi melepaskan diri. Tetapi seketika
kemudian dia pula yang tergaru-garu. Tak tahu nak buat apa.
Sedang mereka semua kecoh di situ telefon bimbit Firman
berbunyi. Firman terus menyelok poket seluarnya. Melihat nama Afyra yang
tertera sebagai pemanggil dia terus bangun menjauhi semua ahli keluarganya di
situ.
Puan Harlina terus memandang anaknya itu dari jauh dalam
pada keresahannya sudah tidak bertebing. Sudah lama mereka berdiri di luar
rumah ini. Bimbang tuan rumah perasan masalah yang sedang menghurungi mereka.
Seketika kemudian Firman kembali semula ke situ. Tiba-tiba
dia mengambil tangan emaknya lalu dikucupnya lama. Hairan Puan Harlina melihat
perbuatan Firman.
“Mama, maafkan Man sebab terpaksa buat macam ni. Man tahu
Man akan malukan mama nanti. Tapi Man tetap dengan keputusan Man tadi. Man pilih
Rania.”
Saat itu Puan Harlina pula yang tersandar di tepi kereta
anaknya itu. Tidak terkata dengan keputusan Firman yang sudah berubah di
saat-saat begini.
yakkkk..berkasih dgn si adik, tp nk kawen dgn si kakak. mcm mn tu
BalasPadamNurul Shuhada.. kalau anda baca betul2 dari awal.. anda akan perasan Firman dan Afyra ni x bercinta pun.. tq.
BalasPadamcerita yang best
BalasPadamjalan citer yang makin BEST
BalasPadamFirman x de rasa getar bila ngan afyra.. Tp bila jmp rania.. Baru rasa itu ada..
BalasPadam