2
“Kak
Rania!” bentak gadis itu
geram melihat kakaknya buat bodoh aja kepadanya.
Rania sekadar menoleh sekilas kepada Afyra. Kemudian dia
memandang semula lap topnya macam tidak mendengar apa yang diucapkan oleh
adiknya sebentar tadi.
“Boleh ke tak?” tanya Afyra separuh mendesak.
“Boleh apanya?”
“Fyra nak tumpang akak pergi kampus esok pagi,” ujar
Afyra sekali lagi.
“Sorry.. akak kena pergi court awal pagi esok. Tak boleh
hantar Fyra. Lagipun jalan kita tak sama. Fyra naik cab ajalah.” Rania menjawab
acuh tidak acuh tidak lama kemudian. Macam orang tidak berperasaan sahaja
lagaknya.
“Dah agak dah! Buang masa aja cakap dengan akak ni. Macam
bercakap dengan tunggul!” rungut Afyra lantas berpaling dengan hati yang sebal.
Rania langsung tidak kisah dia yang sedang dalam kesusahan. Keretanya rosak.
Dia tiada kenderaan untuk bergerak dalam masa tiga hari ini. Sayangnya dia
terpaksa ke kampus pula esok untuk bertemu dengan pensyarahnya.
Rania sekadar menjungkit bahu buat tidak tahu kepada
reaksi adiknya itu. Seketika kemudian tumpuannya dialihkan semula kepada fail
kes yang dibawanya pulang itu.
Afyra di bawah mula merungut kepada emaknya tentang Rania.
“Naik ajalah kereta abah tu. Abah kan takde sekarang,”
pujuk Hajah Habibah lembut kepada anak bongsunya itu. Bukannya dia tidak tahu
perangai Rania. Bercakap banyak pun apa guna kalau dah memang itu ragam anak
sulungnya. Ikut kepala sendiri aja.
“Tak naklah! Peninglah naik kereta abah tu. Tak pandai!”
sambut Afyra pantas. Manalah dia tahu memandu kereta jenis manual.
Terhegeh-hegeh dia nanti. Buatnya tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas?
Parah dia kalau di hon orang belakang disebabkan kelambatannya.
“Habis tu Fyra nak pergi kampus macamana esok?” ujar si
emak lembut.
Afyra terdiam buat
seminit dua. Saat ini hanya satu jalan sahaja yang masih tinggal. Meminta bantuan
Firman menghantarnya esok.
“Fyra nak minta tolong kawan Fyralah, mak.” Afyra mula
menempel manja di bahu emaknya itu.
“Siapa kawan tu? Satu sama belajar dengan Fyra ke?” tanya
Hajah Habibah lembut. Dia menoleh kepada si anak.
Afyra diam seketika. Berat hatinya mahu menjawab. Bimbang
emaknya tidak senang mendengar tentang orang yang hendak dimintanya itu. “Emm..
bukan kawan sama belajar dengan Fyra. Tapi kawan lain..”
“Kawan lain? Maksudnya?”
“Alah.. kawanlah. Kawan yang macam selalu tu..” Afyra
membalas mendayu-dayu tanpa memandang tampang emaknya itu. Malu!
“Lelaki ke perempuan?”
“Lelaki..”
Hajah Habibah menghela nafas perlahan. Ada sedikit rasa
tidak senang mendengar anaknya naik kereta seorang lelaki begitu sahaja. “Kawan
biasa ke kawan luar biasa?” teka Hajah Habibah tetap lembut.
“Kawan entahlah.. nak kata luar biasa pun bukan. Nak kata
kawan biasa pun tak,” jawab Afyra sambil menunduk seketika.
“Kawan nak jadi kawan luar biasa ke apa ni maksudnya?”
duga wanita tua itu seakan mengerti maksud anaknya itu.
“Emm.. lebih kurang macam tulah.” Tersengih-sengih Afyra
melayan bicara emaknya itu.
“Hmm.. Kak Rania belum lagi ada kawan luar biasa. Fyra
dah maju selangkah dah! Nak tunggu Kak Rania ada kawan luar biasa, entah sampai
bilalah. Semua lelaki nak diherdik-herdiknya. Semua lelaki dia tak suka.” Hajah
Habibah menggeleng sendiri memikirkan anak sulungnya itu.
“Alah, mak.. kami baru nak kenal hati budi masing-masing.
Belum ada apa-apa lagi,” ucap Afyra cuba menyedapkan hati emaknya itu.
“Siapa nama kawan Fyra tu? Kerja apa?”
“Dia ada business sendiri. Business apa Fyra tak pasti
pulak,” jawab Afyra jujur.
“Kenalkanlah dengan mak.”
Afyra terkedu seketika mendengar permintaan itu.
Sebenarnya dia tidak pernah terfikir mahu melakukan itu dalam masa terdekat
ini. Masih terlalu awal dalam keadaan dia sendiri masih tidak pasti apa
sebenarnya hubungan dia dan Firman.
“Tapi Fyra nak mak tahu sesuatu tentang Firman ni..”
“Apa dia?”
“Emm.. Firman ni sebenarnya duda anak 3. Umur dia 37
tahun.”
Spontan terbeliak mata Hajah Habibah mendengar itu. “37
tahun?” ucapnya sedikit kuat suaranya akibat terkejut.
Laju Afyra mengangguk. Berkali-kali pula kepala
dianggukkan menandakan semua itu benar belaka. Memang usia dia dan Firman
berbeza 10 tahun.
“Takde yang muda sikit ke Fyra?” keluh Hajah Habibah mula
tidak sedap hati. Tang duda beranak tiga itu dia tidak kisah benar. Tetapi dia
bimbang sesuatu. Bimbang Afyra masih terlalu mentah untuk lelaki seusia itu.
Sudah pernah berkahwin pulak tu. Bukannya dia tidak tahu Afyra ini
kadang-kadang sikapnya macam budak-budak. Manja terlebih! Macamana nak
berpasangan dengan lelaki yang sudah matang dan ada anak seperti itu?
“Dah itu yang Fyra jumpa. Apa salahnya, mak? Dia bukannya
suami orang. Lagipun dia baik. Fyra suka dia,” rengus Afyra perlahan.
“Memanglah tak salah. Tapi mak risau anak mak yang tak
matang ni yang tak sesuai dengan lelaki macam tu. Bila dah kahwin nanti kena
jadi mak untuk anak-anak dia. Faham ke Fyra ragam budak-budak ni? Mak takut
Fyra tu yang melebih macam budak-budak!” perli Hajah Habibah dengan sedikit
kerlingan kepada Afyra.
Afyra tergelak perlahan sambil memaut lengan emaknya itu.
“Alah.. itu semua jauh lagi, mak. Fyra bukannya nak kahwin sekarang. Kami baru
kawan-kawan aja dulu. Entah-entah dia pun takde hati kat Fyra.”
“Maksud Fyra?”
“Dia pun tak pernah cakap Fyra ni kawan biasa dia aja ke
atau kawan luar biasa. Kami biasa-biasa aja, mak.”
“Kalau dah macam tu kenapa nak berkawan lagi?”
“Mak, setakat kawan apa salahnya? Dia bukannya ada buat
apa-apa pada Fyra pun.”
Hajah Habibah menghela nafas perlahan. “Mak tak mahu
perasaan anak-anak mak dipermainkan macam ni. Orang lelaki ni buat apa pun,
keluarlah dengan ramai mana perempuan pun.. takde orang hairan, Fyra. Tapi
anak-anak mak ni perempuan. Kalau dah semua orang bercakap nanti, mana mak nak
letak muka?” tegur Hajah Habibah tidak senang.
“Mak, kami berkawan takdelah sampai berkepit sana sini
macam orang tengah sakan bercinta tu. Dia pun ada tanggungjawab pada anak-anak
dia. Cuma sekali sekala bila dia free dia ajak Fyra pergi makan kat mana-mana.
Kami lepak sejam dua lepas tu kami balik naik kereta masing-masing. Bukannya
ada pergi tengok wayang ke apa,” jelas Afyra bersungguh.
“Tapi mak tetap takut dia hanya nak main-mainkan Fyra!”
“Takde mananya, mak. Fyra sendiri pun tak tahu apa
perasaan Fyra pada dia. Fyra memang suka dia tapi itu tak bermakna Fyra dah
jatuh cinta pada dia. Mak janganlah risau. Fyra tahu jaga batas diri Fyra,”
pujuk Afyra bersungguh mahu meyakinkan emaknya itu.
“Bawak jumpa dengan mak. Mak nak kenal dia. Mak tak suka
ada lelaki yang angkut anak mak sana sini tapi mak tak tahu siapa orangnya.”
Hajah Habibah menjawab serius. Jadi ke tidak, sementara itu dia tetap mahu
kenal siapa Firman. Bukannya dia nak paksa Firman berkahwin dengan anaknya
sekarang. Sekadar kenal, apa salahnya.
“Okaylah. Esok pagi Fyra suruh dia jumpa mak dulu, boleh
tak? Fyra dah takde siapa nak minta tolong hantarkan Fyra esok,” pujuk Afyra
lembut.
Hajah Habibah sekadar mengangguk dalam keterpaksaan.
“Terima kasih, mak.” Anggukan emaknya itu membuatkan
Afyra menghela nafas kelegaan. Terus tubuh emaknya itu dipeluknya erat. “Tapi
mak jangan terkejut pulak kalau tengok Firman tu esok. Dia hensem sangat, mak.
Muka macam mat saleh sikit sebab ayah dia orang Egypt. Mak jangan tergoda
pulak,” bisik Afyra nakal.
“Tak kuasalah aku nak layan budak ni! Mak pun ada laki
lagi. Laki mak lagi hensemlah,” getus Hajah Habibah lantas tubuh anaknya itu
dilepuknya dengan tangannya. Terkekeh-kekeh Afyra ketawa melihat emaknya itu.
“Esok nak pergi kampus pukul berapa?”
“Pukul 10..”
“Dah! Pergi naik tidur sana.”
“Okay. Good night, mak. Love you..”
“Love
you too..” panjang muncung
Hajah Habibah menjawab ucapan anaknya itu. Tergelak-gelak Afyra melihat gelagat
emaknya.
Hajah Habibah menggeleng sendiri memikirkan Afyra.
Kemudian tentang Rania pula. Anak sulungnya itu kadang-kadang suka memberi
mereka rasa tidak puas hati dengan sikap acuh tidak acuhnya. Dia hanya
mementingkan diri sendiri. Keras hati dan selalu tidak peduli kepada hal orang
lain. Semenjak dua menjak ini sikap Rania bertambah lagi.. anti kepada lelaki.
“Baru dua anak perempuan aku, dah pening aku dibuatnya.
Yang seorang macam ini. Yang seorang lagi pulak macam itu,” ujar wanita tua itu
sendiri.
Tidak lama kemudian Rania pula turun ke bawah. Hajah
Habibah menoleh ke arah anaknya itu yang berjalan menuju ke dapur.
“Rania nak makan ke?” tanya Hajah Habibah dari ruang tamu
itu.
“Lapar, mak..” jawab Rania setelah dia menoleh sekilas
kepada emaknya.
Hajah Habibah bangun dari sofa yang didudukinya semenjak
tadi. Langkahnya segera diatur ke arah dapur untuk bersama Rania.
“Mak nak makan sekali? Rania boleh cedokkan?” ucap Rania
lembut.
“Takpelah.. mak nak buat air aja ni. Rasa nak minum air
panas pulak. Mak tengok selalu sangat Rania lambat makan. Dah tengah malam baru
nak makan. Tak baik untuk kesihatan tau,” ucap Hajah Habibah lembut.
“Baru ada selera nak makan, mak. Lagipun Rania ada kerja
tadi.” Rania menjawab tanpa memandang si ibu. Dia sedang mencedok nasi dari
dalam rice cooker.
“Kerja-kerja jugak. Tapi kesihatan pun kena jaga jugak.”
Rania tidak menjawab. Dua wanita itu mula berpindah ke
meja makan setelah itu.
“Esok Rania kena pergi court ke?” tanya Hajah Habibah
sengaja mahu memancing perbualan dengan Rania. Wajah anak daranya itu dipandang
tanpa jemu. Rania memang cantik namun anak ini memang serius orangnya. Tak suka
senyum. Berbanding Afyra yang manja dan suka ketawa, sikap dua beradik ini
memang jauh berbeza. Umur pun agak jauh berbeza. Rania mendapat adik ketika
usianya sudah 5 tahun.
“Pagi esok. Ada trial..” jawab Rania ringkas sahaja. Kes
apa yang dikendalikannya, itu memang jarang diceritakan kepada mana-mana ahli
keluarganya. Kerana itu adalah rahsia klient firmanya.
Hajah Habibah mengangguk perlahan. Bukannya dia tidak
tahu macamana kerja Rania selama ini.
“Fyra pergi kampus naik apa esok, mak?” tanya Rania
perlahan sahaja.
“Katanya nak mintak kawan dia jemput. Kenapa? Rania nak
tolong hantar Fyra ke?”
Rania menggeleng sambil menyuap nasinya. “Kalau dia nak,
bawaklah kereta Rania tu. Rania boleh guna kereta abah esok,” ucap Rania sambil
menunduk memandang nasi di dalam pinggannya.
“Entah.. dia kata nak suruh kawan dia datang sini jemput
dia. Dia nak kenalkan dengan mak,” jawab Hajah Habibah.
Spontan Rania terus mengangkat pandangan kepada ibunya
itu. “Kenalkan dengan mak? Lelaki ke?” tanya Rania pantas meneka.
Hajah Habibah yang sedang menghirup susu Anlenenya terus
mengangguk. “Kawan dalam perjalanan nak jadi kekasih,” ucap Hajah Habibah
biasa.
“Wow.. that fast!” komen Rania dengan kening terangkat.
“Mana ada cepatnya, Rania. Fyra tu dah 27 tahun. Eloklah
kalau dah ada teman lelaki. Mak harap Rania pun macam tu dalam masa terdekat
ni,” jawab Hajah Habibah lembut.
“Rania belum fikir lagi pasal ni semua, mak. Lambat lagi.
Rania belum bersedia untuk ada komitmen dengan sesiapa sekarang.” Rania
bertutur selamba. Macamlah umur dia baru 23 tahun. Hakikatnya dia sudah 32
tahun!
Hajah Habibah menghela nafas perlahan dengan jawapan
sinonim Rania itu. Bukan kali ini sahaja Rania memberi alasan yang sama. Naik
jelak telinganya mendengar jawapan itu. Lebih jelak lagi apabila jiran-jiran
selalu bertanya bila Rania mahu menamatkan zaman dara. Memang jodoh itu kerja
Allah. Tapi kalau tidak berusaha, jodoh pun takkan datang begitu sahaja ke
depan pintu. Lebih-lebih lagi zaman serba mencabar ini. Lelaki dikatakan tidak
seramai wanita. Jodoh harus dicari berkali-kali!
“Rania, kita orang perempuan ni perlukan suami. Bila kita
dah tua nanti siapa nak jaga kita? Bila tak berkahwin mana nak ada zuriatnya.
Esok bila Rania dah seusia dengan mak, anak-anak ajalah yang akan jadi
peneman.”
“Mak, Rania bukannya tak mahu kahwin. Tapi nantilah.
Rania belum bersedialah. Nak kahwin dengan siapa kalau dah Rania memang takde
calon? Rania ni bukannya pandai beramah tamah dengan lelaki. Lagipun orang
lelaki ni membosankanlah! Mengada-ada!” keluh Rania mula bosan mendengar
ceramah emaknya tentang itu.
“Rania tu serius sangat. Macamana lelaki tak lari bila
tengok Rania?”
Rania mendegus. Memang lelaki selalu lari bila berhadapan
dengan dia. Ramai yang tak tahan. Salah seorangnya adalah Fikri. Bekas teman
lelakinya semenjak dari zaman universiti dulu. Lelaki itu pun memilih yang lain
sebab tak sanggup menunggu dia. Sekarang lelaki itu sudah selamat bernikah
dengan gadis lain. Siapa gadis itu Rania sendiri tidak kenal. Yang menjadi
masalah sekarang kepada dia ialah Tuan Saufi, pemilik firma guaman tempat dia
bernaung sekarang. Kini dia pulak yang dah tak tahan melayan kerenah lelaki tua
tak sedar diri itu. Stress dengan ragam miang suami orang yang asyik mahu
mengorat dia.
“Kalau mak yang carikan nak?” pancing Hajah Habibah cukup
lembut.
“Mak ni ada-ada ajalah! Siapa yang mak nak padokkan
dengan Rania ni? Mak ada kenal ramai anak bujang orang ke? Ni zaman
milleniumlah, mak. Bukannya zaman mak dengan abah dulu. Anak dara tunggu kat
rumah. Tiba-tiba ada orang masuk meminang,” rengus Rania pantas.
“Jangan cakap, Rania! Kalau ada yang masuk meminang mak
terima aja nanti,” ugut Hajah Habibah bersungguh.
Rania menggeleng perlahan sambil melajukan suapannya.
Ugutan emaknya itu langsung tidak berbekas di benaknya. Dia tahu.. semua itu
mustahil!
Lintang pukang Rania pagi itu. Semuanya sebab terlambat bangun.
Rancangnya jam 7 pagi dia sudah bergerak ke Istana Kehakiman di Putrajaya.
Sayangnya jam 7 sepuluh begini dia baru terjaga. Tahi mata pun belum sapu.
Usai bersiap dia terus mengaut fail di atas meja
tulisnya. Terkocoh-kocoh dia turun ke bawah dengan segala macam fail dan beg
kerjanya.
“Kenapa tergesa-gesa ni?” sapa Hajah Habibah hairan
melihat anak sulungnya itu.
“Rania dah lambat, mak..” ucap Rania lantas mencari mug
di dapur.
“Mak dah buat air ni. Mee goreng pun ada atas meja tu.”
“Rania dah tak sempat nak breakfast ni. Rania minum
horlick aja.” Rania terus menyiat hujung paket horlik 3 in 1 yang diambilnya
daripada dalam kabinet. Isinya terus dicurah masuk ke dalam mug dan dicampurkan
dengan air panas.
Sambil berjalan ke hadapan dia menghirup air itu.
“Cubalah duduk minum tu, Rania.” Hajah Habibah menegur
sambil menggeleng.
“Rania dah lambat ni..”
“Pukul berapa trial tu?”
“10 pagi ni..” jawab Rania tanpa memandang emaknya.
“Lah.. lambat lagi? Apa yang nak kecohnya?”
“Rania nak cepat. Nanti Rania stuck dalam traffic jam.
Rania nak pergi office dulu ni,” jawab Rania sedikit terkocoh. Dari Shah Alam
ke Putrajaya bukannya dekat.
Hajah Habibah menggeleng lagi. “Butang baju tu kancing
elok-elok, Rania. Benda alah tu bukannya untuk ditunjuk-tunjuk kat semua orang.
Lurah tu mak boleh nampak dari sini,” desis Hajah Habibah tidak gemar melihat
cara Rania berpakaian. Dari atas sampai bawah ketat belaka! Kemeja putihnya
tidak dikancing sampai ke atas.
“Kejaplah, mak..” tanpa mempedulikan teguran emaknya Rania
terus mengaut failnya di atas meja makan itu. Kemudian dia terus ke pintu.
Kasutnya dicari dalam pada tangannya penuh dengan barang-barang.
“Mak, Rania pergi dulu..” laung Rania kepada emaknya yang
sudah ke dapur.
Tanpa menanti jawapan emaknya Rania terus keluar
mendapatkan keretanya. Saat dia sedang menghidupkan enjin remote pagar
ditekannya. Sebaik sahaja pagar itu menggelungsur terbuka, ada sebuah kereta
jenis BMW X6 dilihatnya sedang terpakir di hadapan pintu pagar rumahnya itu.
Entah siapa pemilik kereta bercermin gelap itu, dia tidak tahu.
Rania menekan hon sedikit dengan harapan pemilik kereta
itu tersedar. Tiada reaksi! Kemudian dia mengundurkan sedikit keretanya dengan
harapan pemilik kereta itu sedar dia hendak keluar dan segeralah mengalihkan
kereta. Namun kereta itu masih di situ. Rania mengacah lagi dengan mengundurkan
sedikit lagi keretanya ke belakang. Masih juga seperti tadi. Kereta itu terus
pegun macam tidak nampak pula punggung keretanya yang sudah terkeluar sedikit
daripada ruangan parkir hadapan rumahnya itu.
“Mangkuk betul! Aku dah lambatlah! Dia boleh buat bodoh
pulak kat situ,” getus Rania lantas menarik brek tangan segera. Pintu kereta
dibukanya pantas. Dengan hati yang mula panas dia mendekati kereta itu.
Firman di dalam kereta masih ralik dengan gadjet di
tangan. Langsung dia tidak perasan ada sesuatu sedang berlaku di sekelilingnya.
Dari tepi kereta itu Rania sudah terlihat samar-samar bayang seorang lelaki di
dalam kereta itu melalui cermin gelap itu. Lelaki itu sedang memandang ke
sesuatu di tangan dalam keadaan tubuhnya menghadap ke arah lain.
“Helloooo... I nak keluar. Buta ke apa mangkuk ni?” jerit
Rania lantas mengetuk cermin kereta lelaki itu berkali-kali.
Firman di dalam kereta tersentak tatkala terdengar cermin
di tepinya diketuk kasar begitu. Spontan dia menoleh. Telefon bimbitnya segera
diletakkan di tepi sebelum dia menurunkan cermin kereta. “Sorry, I tak nampak
you tadi.”
“Sekarang dah nampakkan? Alihlah kereta you ni cepat.
Menyengkang depan pagar rumah orang! Orang dah lambatlah!” bentak gadis itu
agak lantang. Sakit hatinya melihat lelaki itu bersenang lenang memakir kereta
di hadapan pintu pagar rumahnya sehingga menghalang laluan keretanya untuk
keluar.
Terkebil-kebil Firman memandang gadis tinggi lampai yang
berdiri bercekak pinggang di tepi keretanya itu. Mak ai.. garangnya perempuan
ni? Kakak Afyra ke ni? Bisik hati Firman sendiri. Seingat dia Afyra ada
memberitahu yang dia ada seorang kakak. Tiba-tiba dia sekadar melugu memandang raut
kelat wanita itu. Garang-garang pun cantik jugak dia ni.. puji hatinya
tiba-tiba.
“You pandang I lagi buat apa. I nak kena tolak sendiri
kereta you ni ke apa?” ucap Rania garang. Tahulah kereta kau mahal! Kereta aku
murah aja.. rengus hatinya geram melihat lelaki ini.
“Oh! You nak keluar? Okay.. I alihkan kereta sekarang.
Actually I tunggu adik you..”
“I tak kisah you nak tunggu adik I ke, nenek I ke! Yang I
kisah sekarang, kereta you menyempit kat sini. Kereta I tak boleh keluar, ada
faham? Orang dah hon dia buat pekak pulak!” Rania terus memintas sebelum sempat
Firman habis meluahkan bicara.
“Okay.. okay.. sorry. I tak sengaja. I tengah sms
seseorang tadi. Tak sedar.” Tanpa kata lagi Firman terus menukar posisi gear
untuk mengundurkan keretanya.
Rania mendegus tatkala berpaling untuk ke keretanya.
Setelah ruangan yang dimintanya sudah diberikan oleh kereta Firman, kereta
Nissan Shylpie miliknya terus diundurkan keluar.
Firman di dalam kereta hanya memandang gelagat wanita itu
mengundurkan keretanya dan pergi. Namun seketika kemudian dia menggeleng
sendiri. “Bawa kereta macam nak beracing. Ganas perempuan ni!” ucapnya sendiri.
Lima minit dia menanti akhirnya bayang Afyra muncul di
hadapan matanya.
“Sorry, lambat. Fyra baru habis mandi. Masuk dulu. Mak
panggil masuk,” ucap Afyra melalui cermin kereta yang terbuka luas.
“Okay..” jawab Firman akur. Berdebar juga dadanya
mendengar emak Afyra mahu bertemu dengannya. Harap-harap wanita itu tidak
menolak kehadiran dirinya.
Di dalam rumah itu Hajah Habibah melayan mesra tetamu itu
sementara Afyra naik semula ke atas untuk bersiap. Kebetulan pula Firman masih
belum bersarapan pagi, mereka berdua duduk berbual di meja makan.
Tiada soalan yang diajukan kepada Firman yang menjurus
kepada soal hubungan Firman dan Afyra. Kerana dia sudah tahu Afyra tidak
mengajak Firman ke situ sebagai kekasih. Sebaliknya sekadar sebagai kawan
biasa.
Firman mula terasa senang melihat kemesraan wanita itu
melayannya. Pertanyaan Hajah Habibah tentang pekerjaannya dan anak-anaknya
dilayan baik. Namun sedang mereka berdua rancak berbual di meja itu kelibat
seseorang muncul.
“Aik? Balik semula?” tegur Hajah Habibah kepada anak
sulungnya yang tiba-tiba muncul semula di rumah itu.
“Rania tertinggal handphone..” jawab Rania sambil
memandang lelaki yang duduk di hadapan emaknya itu. Dia masih mengecam lelaki
itu. Lelaki yang sama memakirkan kereta di hadapan pagar rumahnya tadi. Saat
mereka berdua berpandangan lelaki itu dijelingnya.
“Ini Firman. Kawan Fyra yang mak cakap semalam tu,” ujar
Hajah Habibah tatkala terpandangan dua manusia itu berpandangan.
“Hmm..” Rania menjawab acuh tidak acuh. Tak berminat nak
beramah tamah dengan lelaki itu kononnya. Kawan Afyra? Tuanya? Getus hati
kecilnya sendiri. Namun dia terus naik ke atas untuk ke biliknya.
Firman terus memandang kelibat Rania. Sehingga wanita itu
menghilang lehernya terus teleng mencari bayang Rania.
“Ehhemm..” Hajah Habibah sengaja berdehem panjang untuk
menyedarkan lelaki muda di hadapannya itu. Firman tersentak lantas menoleh.
Merah mukanya di hadapan Hajah Habibah. Wanita itu hanya buat-buat selamba.
Hai.. pandang anak aku macam tu. Taulah hensem. Afyra pun
dia kawan. Rania pun dia pandang macam nak terkeluar biji mata. Buaya paya ke
dia ni? Tak boleh jadi ni. Jangan sampai aku tampar dia macam buaya je sudah.. bisik
hati wanita tua itu.
Firman menyambung makan tanpa kata. Dalam hatinya rasa
segannya sungguh tidak terucap kepada Hajah Habibah. Namun entah kenapa matanya
ini terasa mahu memandang Rania lagi buat kesekian kalinya. Sungguh! Wajah
serius wanita itu membuatkan hati lelakinya berkocak entah kenapa.
3
“Macamana
Fyra boleh kenal mamat tua tu?”
“Kami jumpa kat hospital setahun dulu. Waktu tu dia baru
habis melawat kawan dia. Lepas tu dia asyik cari Fyra. Fyra tengok dia
bersungguh nak kawan dengan Fyra. So Fyra layan ajalah.” Afyra berkata biasa.
Rania diam tidak
berkata apa-apa lagi. Malas sebenarnya nak mengorek lebih-lebih pasal lelaki
itu. Tak minat nak tahu!
“Emm.. hari ni mak ajak Firman makan kat rumah kita.”
“Mak ajak mamat tu makan kat rumah kita hari ni?” hampir
terbeliak mata Rania mendengar ucapan adiknya itu. Tempoh hari dah makan di
rumah dia, hari ini nak makan lagi di sini? Dah tutup ke apa kedai makan dalam
Malaysia ni sampai si Firman itu asyik nak datang makan di sini? Hati Rania
sudah mendongkol tidak senang dengan kehadiran orang luar itu.
“Ha’ah.. alah, saja nak kenal-kenal dengan lebih rapat
lagi. Abah pun nak kenal dengan Firman jugak. Mula-mula tadi mak ajak dia
sekali dengan anak-anak dia. Tapi anak-anak dia pergi rumah emak dia pulak,”
jawab Afyra kian selamba. Abah mereka yang baru pulang dari kerjnya di pelantar
minyak nun di Terengganu sana teringin mahu berkenalan dengan Firman setelah
mendengar cerita emak mereka. Kerana itu emak mereka meminta dia mengajak
Firman makan di rumah mereka hari ini.
“Anak-anak? Dia dah kahwin ke?” melantun tinggi suara
Rania akibat terkejut dengan kenyataan itu.
“Dia pernah kahwin. Dah bercerai lama dulu..”
Rania terus menggeleng. Perkhabaran itu ternyata tidak
disenanginya. “Bercerai lama dulu? Betul ke ni? Bagi nombor ic dia. Biar akak
check siapa Firman ni sebenarnya.”
“Ish! Manalah Fyra tahu nombor ic dia!”
“Dia ada ramai girlfreind ke sebelum ni?”
“Entahlah.. dia pernah cerita pada Fyra. Dulu dia ada
kawan dengan seseorang. Tapi minah tu tak mahu kat dia. Sekarang minah tu dah
kahwin dengan kekasih lama dia,” cerita Afyra jujur tentang lelaki itu.
“Fyra serius ke dengan dia tu?” tanya Rania tidak puas
hati.
“Kalau tak serius takkanlah Fyra ajak dia datang rumah
kita,” jawab Afyra selamba sambil memandang tv di hadapannya. Renungan sang
kakak tidak dipedulikannya.
“Tapi dia tu dah ada anak..”
“Apa salahnya kalau dia dah ada anak pun?” Afyra terus
menoleh kepada kakaknya itu.
Rania terdiam seketika. Memanglah tidak salah. Tetapi dia
yang tidak suka. Firman itu nampak jauh lebih tua berbanding Afyra. Jauh usia
pun orang tidak kisah asalkan lelaki itu lelaki yang baik. Tapi bab ada
anak-anak itu yang dia tidak gemar.
“Berapa orang anak-anak dia?”
“Tiga orang..”
Tidak tertelan air liur Rania mendengar itu. Tiga? Ramainya?
Detik hatinya semakin tidak gemar. “Takde duda yang lagi ramai anak ke? Kenapa tak
cari duda yang 10 anak aja? Kan senang dapat anak ekspress!” gerutu Rania bengang
entah kenapa.
“Apalah Kak Rania ni. Firman tu baik tau. Fyra suka kawan
dia. Dia lembut aja. Tak suka marah-marah,” ujar Afyra.
Rania terus mengerling adiknya. Nak kata aku yang suka
marah-marahlah tu.. desis hatinya sebal. “Ex dia tu anak dara ke janda? Umur berapa?”
“Emm.. rasanya sebaya dengan Fyra. Anak daralah! Takkanlah
janda pulak,” jawab Afyra tidak senang. Dia tidak tahu apa relevannya soalan
kakaknya itu.
“Bagus! Taste dia memang anak dara aja semua. Yang muda-muda
macam Afyra. Tak sedar diri punya orang tua!” gerutu Rania sebal.
“Kak Rania cuba kenal dengan dia dulu. Nanti lama-lama
Kak Rania pun suka dengan dia. Dia tu charming tau. Hensem pulak tu,” giat
Afyra bersungguh.
“Eee.. why should I like him? Pleaselah.. hensem ke apa,
akak tak hairan,” ujar Rania cukup jengkel. Bergegar-gegar bahunya menyatakan
ketidaksudian dia untuk menyenangi lelaki itu.
“Mestilah Kak Rania kena suka dia. Kalau ditakdirkan dia
jadi adik ipar Kak Rania nanti, takkanlah akak asyik nak benci dia?” balas
Afyra biasa.
Rania menjeling ke sebelah. “Geli telinga akak ni nak
dengar!” cemuh Rania pantas. Tak dapat dibayangkan nanti lelaki setua itu
memanggil dia dengan panggilan kakak ipar.
“Terdesak sangat ke sampai nak ambil duda tua tu jadi
bakal suami? Kalau akak, tak ingin! Lelaki yang dah kahwin ni memang macam ni
agaknya. Suka cari calon dikalangan anak-anak dara. Kenapa tak cari janda yang
ramai anak sama macam dia? Selera tak agak-agak. Anak dara belaka! Ex girlfreind
dia pun sebaya dengan Fyra. Memang dia tu jenis gatal!” ucap Rania cukup
jengkel. Meluat dia mahu membayangkan lelaki itu. Rambut lelaki itu sudah
sedikit beruban menandakan usianya mungkin sudah banyak. Memang tak sedar diri
punya jantan! Nak adik aku yang muda lela ni! Kutuk hati Rania benci.
“Itu akak! Fyra tak kisah. Fyra suka dia..” cebir Afyra
selamba.
“Fyra ni muda lagi. Kenapa nakkan lelaki macam tu? Tell
me.. umur dia mesti dah 40-an kan?” teka Rania rambang sahaja.
“Wrong! Dia baru 37.”
“Okay.. tapi itu dah nak dekat 40. Fyra ni 30 pun belum
lagi. Dia dah ada anak tau, Fyra. This is serious! Entah-entah dia sekadar nak
jadikan Fyra ni penjaga anak-anak dia. Daripada pengalaman akak, lelaki yang
macam ni gatal-gatal semua tau!” tekan Rania tetap tidak gemarkan pilihan
adiknya itu.
“Akak ni suka prasangka yang bukan-bukan pada orang.
Firman tak macam tulah,” gerutu Afyra tidak senang. Rania belum pun kenal
Firman.
“Ha.. kalau tak pun, lelaki macam ni memang kuat seks! Dia
nak anak-anak dara untuk kepuasan diri dia sendiri! Kalau tak takkanlah
girlfreind dia semuanya sebaya Fyra,” ucap Rania mula timbul andaian lain pula.
“Astaghafirullah.. apa akak merepek ni? Tahulah akak ni
lawyer. Tapi janganlah nak speculated pasal orang lain sampai macam tu sekali!”
getus Afyra geram dengan kelancangan mulut Rania mengata Firman.
“Betul ke umur dia 37 sebenarnya? Akak rasa Fyra ni kena
tipu. Rambut dia banyak uban takkan Fyra tak nampak? Lelaki tua ni memang suka
cari anak-anak dara yang bergetah macam Fyra ni!” tegas Rania tetap tidak
berganjak dari andaiannya tadi. Baginya lelaki seperti Firman tidak layak untuk
gadis seusia adiknya. Tak matching!
Afyra ketawa perlahan melihat kakaknya itu. Kemudian dia
menggeleng sendiri.
“Akak, rambut beruban ni bukan sebab dah tua aja. Ada yang
sebab rambut dah rosak. Memang dia baru 37! Kalau dia dah tua mestilah muka dia
berkedut sana sini. Tapi tak pun kan? Anak-anak dia pun kecik-kecik lagi
semuanya. Fyra tahu Firman tu baik.” Afyra dengan bersungguh mempertahankan
lelaki itu. Dia tahu Firman jujur orangnya.
Rania terdiam seketika. Memanglah raut Firman itu tak
menampakkan macam lelaki yang sudah berusia. Tapi uban di kepala tu! Memang dia
rasa lelaki itu penipu. Tak mungkin orang muda seusia 37 tahun ada rambut
beruban begitu. Ayah mereka yang sudah berusia 54 tahun itu pun taklah sebegitu
tua nampaknya dengan ubah memutih di kepala. Tambah pula dengan wajah ‘ala-ala
remeo’ begitu Rania yakin Firman itu memang mahu menganiaya adiknya. Dia tidak
rela membiarkan Afyra menjadi mangsa kerakusan Firman!
“Apa kata akak
kenal dulu Firman tu sebelum buat andaian macam tu. Dia tu baik, kak. Selama kami
kenal dia tak pernah buat yang bukan-bukan dengan Fyra. Tak syoklah kalau kita
jadi satu family tapi kita tak berbaik antara satu sama lain,” ucap Afyra cuba
meredakan andaian buruk yang menyarati fikiran Rania.
Rania terus mendegus. Teringat dia Tuan Saufi di pejabatnya
itu. Mula-mula memanglah manis! Tapi lepas tu? Mulalah keluar perangai sebenar.
Sepulang Hajah Habibah dan Haji Nasruddin daripada pasar,
Rania dah Afyra terus diajak ke dapur oleh wanita itu untuk membantunya
memasak. Rania akur dalam rasa yang tidak ikhlas. Yalah.. mahu memasak untuk
menyambut tetamu yang dia tidak suka. Manalah dia nak ikhlas!
“Kenapa masam aja ni, Rania?” tegur si ayah lembut.
“Takde apa-apa..” jawab Rania tanpa memandang si ayah. Dia
sibuk mengupas bawang untuk digunakan sekejap lagi. Afyra pula sedang menyiang
sayur.
“Hari ni turn Fyra ajak bakal teman lelaki dia makan di
sini. Abah tunggu Rania punya bakal suami pulak lepas ni. Manalah tahu ada rezeki
abah nak sambut dua menantu. Boleh naik pelamin sama-sama dengan Fyra,” usik
Haji Nasruddin lembut kepada anak sulungnya itu.
“Akak punya bakal suami nanti mestilah muda orangnya. Silap-silap
baru 22 tahun. Fyra lainlah. Boyfreind Fyra dah tua!”
Haji Nasruddin tergelak sambil memegang kepala Rania. Rania
pula terus memandang Afyra dengan sorotan tajam. Aku kerat lidah dia ni baru
tahu. Nak perli-perli aku pulak! Sungut hatinya yang sedang bengkak itu.
“Muda ke tua ke.. kalau betul sukakan anak-anak mak, mak
terima aja. Takde banyak kira. Tak payah nak cerewet sangat. Yang penting
lelaki tu boleh jaga anak mak baik-baik dan bukan suami orang!” Hajah Habibah
pula menyampuk sebagai peringatan kepada dua anak perempuannya itu.
Rania menjeling tajam adiknya yang sengaja mengangkat
kening kepadanya. Dia tahu Afyra mengambil kata-kata emak mereka itu sebagai
satu ejekan kepada dirinya.
“Tapi pastikan lelaki yang mak nak jodohkan dengan Rania
tu nanti, takde anak ramai dan bukan duda miang yang dah tua ganyut tapi
laparkan anak-anak dara yang muda bergetah, okay. Rania tak nak!” ucap Rania
cukup lancang.
“Rania cakap pasal siapa ni? Firman ke?” tanya Hajah
Habibah pantas.
“Akak tu suka sangat bersangka yang bukan-bukan pada
Firman. Ada ke dia kata Firman tu kuat seks, mak. Kesian Firman tu kena tuduh
yang bukan-bukan. Kalau dia dengar mesti dia kecik hati nanti.” Afyra terlebih
dahulu mengadu sebelum si kakak.
Eee.. meluatnya aku! Mengada-ada betul! Nak bela-bela
sangat mamat tua tu kenapa? Dah cinta habislah tu. semuanya nampak indah
belaka, gerutu hati Rania sebal kepada adiknya itu.
Hajah Habibah ketawa mendengar itu. “Rania pernah tanya
ke dia tu kuat seks ke tidak?”
“Lelaki tua macam tu tapi kawan dengan anak-anak dara
yang muda macam Fyra ni. Apa lagi dia nak, mak? Cari yang bergetah aja. Bersepah
janda-janda dalam Malaysia ni. Kenapa dia pilih yang muda?” balas Rania
bersungguh.
“Rania, pertemuan ni semuanya kerja Allah. Mungkin dah
takdir Firman berjumpa dengan Fyra. Siapa kita nak menyangkal semua tu?” ucap
Haji Nasruddin lembut.
“Yalah.. tapi abah tak pelik ke? Girlfreind dia dulu pun
sebaya Fyra. Anak dara!” tekan Rania cukup tegas siap dengan mata terbuntang. Menandakan
betapa seriusnya ancaman yang sedang melanda keluarga mereka sekarang. Kononnya!
Sepasang suami isteri itu mula saling berpandangan
berdua. Namun Haji Nasruddin tersenyum sahaja.
“Kalau dah memang kehendak batinnya begitu, apa kita
boleh buat. Siapa yang jadi isterinya nanti kena redhalah. Soal itu abah tak
mahu fikir sangat, Rania. Nafsu ni semua lelaki ada nafsu pada perempuan. Kalau
isteri pandai jaga keperluan suami, insya-Allah takkan jadi masalah.”
“Abah, lelaki sekarang ni ramai yang gila..”
“Tak baik bersangka buruk pada orang ni, Rania. Kita
panggil dia ni pun sebab nak kenal siapa dia ni sebenarnya. Kalau kita ada hak
untuk membuat persepsi awal sebelum kenal orangnya dulu, semua ni tak perlu. Kalau
hukum dah boleh dijatuhkan sebelum perbicaraan, tak perlu ada lawyer, tak perlu
ada mahkamah. Macam tu jugalah dengan kita. Apa perasaan kita kalau orang
menganggap kita yang bukan-bukan sedangkan orang tu tak kenal pun siapa kita. Sebab
tu ada pepatah kata tak kenal maka tak cinta,” ucap Haji Nasruddin tetap tenang
melayan kepetahan anak sulungnya itu.
Rania akhirnya terdiam akibat diterpa kekalahan untuk
berlawan bicara dengan abahnya itu. Nampaknya tiada lain yang dapat
dilakukannya selain daripada memasak sedap-sedap untuk tetamu istimewa mereka
itu!
4
Kedatangan lelaki itu disambut mesra oleh semua orang di dalam
rumah itu kecuali Rania! Dia hanya buat bodoh sahaja di hadapan tv biarpun
Firman sedang tercongok di hadapannya. Afyra sudah berhias secantik yang
mungkin. Tetapi Rania masih juga dengan baju yang sama. Lantaklah! Firman
bukannya bakal suami dia!
Dengan muka kelat dia terus terpacak di hadapan tv macam
tiada sesiapa di situ sedangkan emak dan adiknya sedang sibuk menghidang
makanan. Cuma Haji Nasruddin yang mesra melayan tetamu itu.
“Duduk kejap ya? Pak cik nak tengok makanan semua dah
hidang ke belum. Kalau sudah bolehlah kita makan terus,” ucap Haji Nasruddin
mesra.
Firman sekadar tersenyum kepada lelaki tua itu. Seketika kemudian
pandangannya mula berkalih kepada Rania yang tegak macam tunggul. Memandang dia
juga tidak sudi. Tetapi sikap Rania yang begitu benar-benar menarik minatnya
untuk melayan wanita ini. Mencabar! Itu yang dia nampak perbezaannya antara
Rania dan Afyra.
“You tak kerja hari ni?”
“Orang gila yang kerja hari Ahad macam ni,” jawab Rania cukup
pantas dan cukup tajam nadanya.
“Sorry.. soalan tu kedengaran macam soalan bodoh. Tapi I
selalu dengar Fyra kata you ni..”
“Soalan tu memang kedengaran sangat bodoh untuk orang
yang dah berusia banyak macam you ni! Yang muda macam Afyra tu memang tak
perasan. Senang kena tipu sebab dia tu naif,” pintas Rania sebelum sempat
lelaki itu menghabiskan kata-kata. Benci dia melihat renungan tajam lelaki itu.
Senyum senget yang sentiasa terhias di bibir Firman lagilah menambah rasa
meluatnya.
“I see.. I dengar you ni lawyer yang berkaliber. Patutlah
pandai menjawab. Pandai smash orang,” ucap Firman sambil tersenyum sumbing sendiri.
Rania mula mengalihkan bola matanya kepada lelaki itu. Aku
cekik dia ni karang. Suka hati akulah nak jawab macamana pun! Ironinya lelaki
itu terus tersenyum merenung wanita itu biarpun di mata Rania api kebencian
sedang berapi-api.
“You tetap nampak cantik walaupun dengan muka masam macam
tu. Sayangnya semenjak dari pertemuan kita yang lepas I belum pernah nampak you
senyum. Kalau you senyum mesti nampak lagi cantik.” Firman berkata cukup
lembut.
Rania terus menjulingkan matanya ke atas. Ayat tak boleh
blah! Nak puji-puji aku pulak dah. Memang sahlah dia ni romeo! Bisik hati Rania
semakin meluat.
“You nampak lain sangat berbanding Afyra. You nampak
lebih..”
“I
don’t need your comment about me and my sister, Mr Duda! Ini Rania dan sana tu Afyra. Bukan orang yang sama. Tolong
jangan buat perbandingan kepada kami seolah-olah macam I dengan Afyra bakal
bermadu nanti. Simpan ayat-ayat manis you tu untuk adik I aja cukup!” getus Rania
lantas bangun dari situ. Remote tv dicampaknya ke atas sofa.
Firman senyum sahaja sambil menggeleng. Lenggang wanita
itu terus dipandangnya tanpa jemu. Sungguh benar dia terlupa. Semenjak dia tiba
di rumah ini matanya sangat kurang menyapa wajah Afyra. Sebaliknya dia lebih
suka memerhatikan Rania.
Ketika mereka semua sudah bersedia untuk menghuni ruangan
makan itu, Rania tersepit oleh keadaan tiba-tiba. Dek kerana meja itu sengaja dirapatkan bahagian
hujungnya ke dinding bermakna hanya ada 5 tempat duduk sahaja yang tinggal. Seharusnya
mencukupi untuk mereka berlima. Tetapi yang membuatkan dia tidak sedap hati
adiknya dengan tanpa perasaan duduk bersebelahan dengan emaknya. Ayahnya sudah
tentulah di kepala meja sebagai ketua keluarga. Di tempat yang dia biasa duduk
sudah selamat diambil Firman. Bermakna ada satu lagi ruang kosong iaitu
bersebelahan dengan Firman, berhadapan dengan adiknya. Rania cuba membuat
isyarat agar Afyra berpindah duduk di sebelah Firman. Namun gadis itu hanya
buat bodoh menempel manja kepada emaknya.
Akhirnya dengan penuh rasa dukacita Rania menarik kerusi
di sebelah Firman. Terkepit-kepit dia duduk akibat rasa tidak selesa. Bimbang tubuhnya
tersentuh Firman di sebelah. Nak mengambil lauk pun rasanya tak selesa. Pendek pulak
jadi tangannya ini.
Melihat Rania macam terkial-kial, Firman menghulurkan
lauk kepada wanita itu. Rania menyambut elok. Namun tatkala dia cuba memandang
lelaki itu darahnya berderau tiba-tiba saat terpandangkan mata lelaki itu
sedang memandang kepadanya dengan pandangan yang aneh. Cepat-cepat dia memandang
ke arah nasinya semula.
Sahlah dia memang gatal! Desis hatinya sendiri.
Perbualan demi perbualan di meja makan itu didengarinya
tanpa menyampuk barang sepatah pun. Tiba-tiba dia rasa dia macam kera sumbang
di meja makan itu. Kekok entah kenapa. Suapan pun terasa lambat walaupun dia
sebenarnya sedang lapar.
Tatkala Firman sedang rancak melayan bicara ayah mereka
tanpa sengaja lelaki itu bergerak. Seterusnya bahu mereka bersentuh rapat. Dan Firman
macam tidak sedar pula dia sedang menghimpit Rania. Tubuh mereka terus
bersentuhan buat beberapa saat. Keadaan itu membuatkan mata Rania terbuntang. Spontan
kakinya menyepak kaki lelaki itu di bawah meja.
Firman terkejut sedikit apabila terasa ada sesuatu
menghentam kakinya. Dia terus memandang ke sebelah. Rania memandang lengan atasnya
yang bergesel elok dengan lengan Firman.
“Upps! Sorry..” ucap Firman cukup perlahan.
Rania tidak membalas sebaliknya dia meneruskan suapannya
dengan hati yang bercampur baur. Sudahlah tidak suka kepada lelaki itu. Kini
dia terpaksa duduk rapat dengan Firman.
Usai makan, mereka yang wanita-wanita terus dengan
aktiviti mengemas meja. Namun tiba-tiba si emak mula meminta Rania membancuhkan
air untuk Firman dan ayah mereka yang sedang melepak di ruang tamu.
“Kenapa Rania pulak? Suruhlah Fyra!” getus Rania tidak
puas hati. Takkanlah kakak ipar pulak yang nak kena buat air untuk bakal adik
ipar? Bukan sepatutnya bakal isteri ke yang kena buat semua tu?
“Alah.. siapa yang buat pun tak kisahlah. Cepat pergi. Tanya
Firman tu nak air apa..” balas Hajah Habibah selamba.
“Fyra tanyalah. Akak seganlah..”
“Fyra sibuk ni. Alah.. tanya ajalah! Dia bukannya nak
apa-apakan akak pun!” sambut Afyra yang sedang sibuk mengemas meja itu. Pinggan-pinggan
yang sudah diguna terus diangkutnya ke sinki tanpa mempedulikan renungan Rania.
Dia yang nak kahwin ke.. aku yang nak kahwin dengan
jantan tua tu? aku pulak yang nak kena buat air untuk bakal laki dia, sungut
hati Rania terus tidak puas. Geram melihat Afyra acuh tidak acuh sahaja.
Dalam rasa tidak ikhlas, Rania ke hadapan bertemu Firman.
“Nak minum apa?” tanyanya macam nak tak nak aja.
“Air apa yang you pandai buat?” balas Firman sambil
mendongak memandang Rania yang berdiri di tepi sofa yang didudukinya itu.
Mata Rania segera membesar kepada lelaki yang sedang
tersengih kepadanya tu. Ewah-ewah dia ni. Aku tarik rambut dia karang, baru dia
tahu! Banyak tanya pulak..
“I pandai buat air lada.. air racun.. air alam flora..
air lopak..”
“Mata air you dah ada?” pintas Firman dalam nada lunak
dan agak perlahan. Sengaja tidak mahu ayah Rania terdengar.
Berderau darah Rania mendengar pertanyaan yang kedengaran
cukup miang itu. “Penampar I ada. Nak?” balas Rania geram.
Firman tersengih merenung wanita itu. “You ni makin
garang makin cantik I tengok. I lagi suka.”
“Cepatlah! Nak minum apa? Menggatal pulak dia,” rengus
Rania menyampah kepada lelaki itu. Adik aku pun dia ngorat.. dengan aku pun dia
miang. Memang nak mintak penampar jantan tua ni.
“Apa-apa ajalah. Semua I minum. I takde alah..” jawab
Firman lembut.
Rania terus berpaling untuk ke dapur semula. Namun lelaki
itu sempat dijelingnya. Gatal!
Setelah arahan emaknya tadi berjaya diselesaikan air itu
dihantar kehadapan. Kala itu hanya Firman seorang sahaja di ruang tamu itu
menatap tv. Firman menoleh tatkala Rania melintas di hadapannya. Matanya terus
terpusat kepada segala perbuatan wanita itu. Rania yang sedang menuang air
dipandangnya penuh minat sehinggalah gadis itu menghulurkan cawan kepadanya.
“Thanks.. “ucap Firman lantas meletakkan tangannya di
bawah piring yang menatang gelas. Tanpa sengaja yang dibuat-buat tangannya elok
terletak di atas jemari Rania.
Akibat terkejut Rania terus melepaskan cawan itu sehingga
sebahagian air itu tertumpah di atas kaki Firman.
“Aww... panas.. panas.. Habis kaki I melecur ni. Aduh..
panasnya.” Lelaki itu mengelupur sambil menghentak-hentak kakinya di atas
karpet.
“Sorry.. sorry.. I tak sengaja.” Rania kalut seketika
melihat kaki lelaki itu menjadi kemerahan. Namun seketika kemudian dia terus
bangun untuk mengambil kain buruk.
Sebaik sahaja Rania pergi Firman berhenti mengaduh. Air nescafe
suam di dalam cawan itu dihirupnya selamba sambil ekor matanya memerhatikan ke
arah dapur. Sebaik sahaja ternampak kelibat Rania dia mengaduh semula.
Rania duduk bersimpuh di atas karpet itu bersama sehelai
tuala basa yang sudah direndamkan dengan air dari dalam peti ais. Jari kaki
lelaki itu dipandangnya. Aik? Tak merah dah?
“Aduh.. pedihnya kaki I.” Lelaki itu mendesis sendiri.
“Melecur ke?” tanya Rania bersungguh.
“Mestilah melecur. Air tu kan panas? Habislah berparut
kaki I ni nanti,” getus Firman pantas. Kakinya dibelek. Kesan merah itu sudah
menghilang. Namun sengaja ditepuk-tepuknya agar kesan merah itu kembali semula.
Panas sangat ke? Rania terus melekapkan tangannya ke tepi
teko kaca itu. Memanglah panas. Tapi rasanya aku dah letak air sejuk tadi
supaya air tu taklah panas macam baru lepas mendidih. Takkan suam macam ni pun
boleh sampai melepuh?
Namun Rania terus melekapkan tuala basah itu diatas jari kaki
Firman. Firman terpegun melihat wanita menunduk membersihkan kakinya daripada
kesan air melekit itu. Sekaligus cuba merawat kesan lecur palsu itu dengan
tuala sejuk itu.
“Hmm.. so nice. Kalau boleh urut sikit jari kaki I tu. Tangan
you memang lembut, Rania. Kan bagus kalau I dapat sentuhan yang macam ni
hari-hari,” keluh lelaki itu lantas bersandar ke sofa. Muka memang dah tak malu
langsung si Firman saat itu.
Rania memandang wajah lelaki itu pantas. Urut? Mengada-adanya!
Melihat muka Firman kala itu darahnya terasa meruap-ruap panas. Tuala itu
dicampakkannya kepada Firman. “Tadi sakit macam nak mati sangat! Jantan tua miang!”
spontan itu Rania terus bangun.
“Nak pergi mana? Kaki I masih melecur ni. Sinilah dulu
sekejap..” panggil Firman lembut.
Rania terus menonong menuju ke tangga. Tak kuasa dia nak
melayan lelaki itu lagi!
Usai
bersolat zuhur Rania turun
semula ke bawah. Emak dan abahnya masih belum selesai dengan kewajipan itu
agaknya. Ruang tamu itu kosong sahaja. Hanya tv yang menyala tanpa ada
penontonnya.
Rania segera melabuhkan duduk di sofa itu. Alat kawalan
jauh tv dicapainya. Buat seketika dia menilik siaran-siaran tv untuk mencari
rancangan yang menarik. Namun telinganya tiba-tiba terdengar suara orang ketawa
dari arah luar rumah. Rania menoleh ke sekelilingnya. Kemudian dia bangun
menuju ke arah pintu luncur yang terbuka separuh. Dari situ dia terdengar jelas
suara Firman dan Afyra sedang berbual sambil duduk di atas buaian tidak jauh
dari pintu itu. Entah kenapa dia tiba-tiba berdiri di sebalik langsir itu
sambil memasang telinga melalui bahagian pintu itu yang berbuka luas. Hatinya berdetak
hebat kerana saat itu telinganya disajikan dengan perbualan yang bertopikkan tentang
dirinya.
“Kak Rania tu garang sangat. Macamana lelaki nak dekat
dengan dia. Dia mana ada berkawan dengan lelaki sangat. Dia cuma pernah ada boyfriend
sekali aja dulu. Itu pun Abang Fikri dah kahwin dengan orang lain.”
“Umur Rania tu berapa?”
“32..” jawab Afyra ringkas sahaja.
“So kiranya dah nak andartulah ni?” Firman meneka sambil
tergelak-gelak.
Wanita di sebalik sliding door itu mula mengertap bibir. Kurang
ajar kau, jantan tua. Andartu kau kata aku? Sungguh tak bertulang sekali lidah
kau tu! Kau ingat kau duda, kau hebat sangat? Jerit hati Rania sakit sendiri. Bertambah
sakit adiknya pula dengan senang hati membongkar rahsia hidupnya kepada lelaki
yang dia tak suka itu.
“Lebih kuranglah..”
“Andartu rupanya. Tapi nampak macam masih muda walaupun
umur dah tua. Kalau dah garang sangat manalah lelaki nak dekat dia. Kalau I pun
dah lama I lari. Lelaki ni suka wanita yang lembut dan seksi,” tambah Firman
cukup selamba.
Tua? Rania menggepal penumbuk di sebalik pintu bercermin
itu. Kau.. jangan sampai aku buat kau lari tak cukup tanah, Firman!!!!! Jerit hati
Rania semakin tidak suka kepada lelaki itu.
“Kak Rania tu obses sangat dengan kerjaya dia. Mulut
laser. Tak mesra dengan orang. Dia tak suka lelaki sebab tak mahu komitmen.
Entah sampai bila dia nak macam tu Fyra pun tak tahu,” ujar Afyra langsung
tidak sedar Rania sedang mendengar kata-katanya.
“Yes.. mulut laser tu memang tepat sangat,” komen Firman
pantas. Sempat juga dia ketawa dengan kata-katanya sendiri.
Amboi-amboi.. sedapnya dia kata aku ni mulut laser. Yang dia
tu gatal merenyam tu apa cerita? Desis hati Rania sudah meruap-ruap sendiri. Sakit
hati mendengar Firman berkata macam-macam tentang dia.
“Kalau you, you suka perempuan yang macamana?” tanya
Afyra kepada lelaki itu.
Firman diam seketika sambil memandang ke arah luar pagar.
Berat hatinya nak meluahkan. Bimbang ada yang terluka. Dia tahu dia ke sini
kerana dia adalah teman kepada Afyra dan bukannya Rania. Tetapi entah kenapa
hatinya mahu mengenali Rania tiba-tiba. Namun adilkah dia menolak Afyra
sedangkan kocakan hatinya kini jelas sekali disebabkan oleh Rania yang garang
itu? Hanya lelaki yang gila macam dia sanggup memandang wanita segarang Rania
itu. Agaknyalah..
“I suka perempuan yang macam you,” jawab Firman biasa.
Afyra senyum biasa. Tiada komen yang diberikan kepada
lelaki itu saat ini.
“Kita cuma perlukan sedikit lagi masa untuk kenal hati
budi kitakan?” ujar Firman perlahan sahaja.
“Yup..” jawab Afyra lantas tersenyum kepada lelaki itu.
Rania di sebalik dinding mula kembali semula ke kerusi
yang didudukinya tadi. “Kenal hati budi konon! Macamlah aku tak tahu perangai
miang jantan tua tu. Kau jangan mimpi kau boleh kahwin dengan adik aku, Firman!”
gerutunya entah kenapa.
Muahahaha... Miang la firman ni. Secocok ngan si Rania yg garang tu..hahahah.. Kak zaff.. Nak lagiiii hihi
BalasPadamTERBAIK.
BalasPadamDah terpikat ngan kakak nmpk nye...
BalasPadam