10
Kahwin..
Ungkapan itu sangat alergik untuk disebutnya. Itu
dululah! Namun hari ini ramai orang mengucapkan tahniah kepadanya kerata
sepatah kata itu. Macam orang tidak berperasaan Rania terpaksa mengikuti segala
perancangan emaknya. Emaknya kata begitu.. dia terpaksa jawab ya. Emaknya suruh
begini.. ya juga yang dia kena kata. Yalah.. anak yang baik!
Hairan! Macam-macam yang dia buat supaya Firman mengalah
dan tidak memilih dia. Tetapi lelaki itu masih juga begitu. Inilah yang
dikatakan jodoh. Tolak punya tolak, dapat juga jantan tua merenyam itu pada
Rania. Redha ajalah..
Malam itu selesai berjemaah isyak di masjid berdekatan,
rombongan keluarga pengantin lelaki mula bergerak ke rumah pengantin perempuan
untuk upacara akad nikah. Sebaik sahaja terdengar riuh di hadapan rumah, Rania
sudah mula kecut perut. Memulas-mulas tiba-tiba isi dalam perutnya. Seram sejuk
dia dibuatnya.
“Rania, mari turun bawah. Firman dah sampai..” panggil
Hajah Habibah sekadar dari muka pintu bilik anaknya itu.
“Ah, sudah!” ucap Afyra tiba-tiba. Konon-konon panik.
Padahal dia sengaja mahu menakutkan Rania yang memang jelas tengah menggelabah.
“Adui.. macamana ni, Fyra?” keluh Rania separuh berbisik.
Enggan membiarkan sepupu-sepupunya yang lain terdengar.
“Macamana apa? Harung ajalah. Alah.. bukannya akak yang
nak kena akad nikah tu nanti. Abang Firman tu yang kena menghadap tok kadi.
Akak relax ajalah. Tunggu malam pertama,” jawab Afyra selamba.
“Jangan sebut-sebut malam pertama tu boleh tak? Ngeri
akak dengar,” getus Rania geram. Orang tengah rasa macam nak lari ni, dia boleh
ungkit bangkit pulak pasal tu!
“Jomlah lekas!” ajak Afyra tidak mahu berlengah-lengah
lagi. dia pulak yang terlebih teruja mahu melihat kakaknya menjadi isteri
orang.
Rania bangun juga dalam keterpaksaan yang teramat sangat.
Di bawah dia ditempatkan di atas bantal duduk untuk pengantin perempuan.
Sedikit jarak daripada Firman. Firman tidak berkalih pandang sewaktu ternampak
Rania tiba dengan salinan putih pengantinnya. Pertama kali dia melihat Rania
bersolek tebal begitu, matanya macam tidak mampu berkelip.
Tan Sri Hisyam di sisi Firman menggeleng melihat anak
saudaranya itu asyik memandang ke arah pengantin perempuan. Melihat kadi sudah
mula sibuk mahu memulakan upacara itu dia terus memalingkan wajah Firman ke
hadapan.
“Pandang depan! Belum lagi selesai ni. Dah siap karang
nak pandang sampai seminggu tak tidur pun pandanglah,” tegurnya siap dengan
gelengan.
Selesai bersoal jawab dengan kadi tangan Firman mula
dijabat oleh ayah Rania.
“Aku terima nikahnya Nurul Rania binti Nasruddin dengan
mas kahwinnya Ringgit Malaysia seribu tunai!”
“Sah!” saksi pernikahan segera menerima lafaz yang cukup
lancar itu.
Macam nak pengsan Rania mendengar sebutan ‘sah’ itu.
Sahlah sudah dia menjadi isteri kepada bekas duda yang dia tidak suka itu.
Terasa cepat benar masa berlalu. Zaman bujang sudah ditinggalkannya. Kini dia
sudah bersuami. Macam mimpi pun ada.
Firman tunduk sahaja tatkala doa dibacakan. Setelah doa
diaminkan dia sendirian mendirikan solat sunat nikah di satu sudut yang sudah
disediakan oleh tuan rumah. Kemudian dia kembali duduk di tempatnya.
Tatkala cincin disarungkan Rania sempat diusiknya lagi.
“Yum..yum.. yum..” bunyi itu sempat dibuatnya khas untuk Rania seorang.
Tersentak Rania mendengar itu. Matanya dijegilkan kepada
lelaki itu. Namun Firman memandangnya dengan pandangan nakal dan keningnya
diangkat berkali-kali kepada Rania. Macam sedang berkata.. ‘jagalah you lepas
ni..’
Rania sebal. Kalau bukan disebabkan orang sedang ramai,
lelaki itu memang sudah dihamburnya dengan kata-kata tajam. Tapi tak boleh! Mak
dia ada di tepinya saat ini. Juga Puan Harlina yang kini sudah sah menjadi emak
mertuanya.
Firman seronok melihat wajah kelat Rania. Dia tahu wanita
itu tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kepadanya. Sudah sah menjadi isterinya
bermakna Rania harus patuh kepadanya. Dia boleh buat apa yang dia suka!
“Cium tangan suami tu, Rania.” Hajah Habibah terus
menegur apabila melihat anaknya pegun sahaja selepas Firman menyarungkan cincin
nikah.
Rania akur dalam riak wajah masam manis. Tatkala bibir
lelaki itu singgah di dahinya matanya terpejam. Di layar hitamnya sudah
terbayang macam-macam. Matilah aku kena siang dengan jantan tua gatal ni..
rintih hatinya sendiri.
Tatkala dulang berisi mas kahwin berpindah milik,
tangannya sempat diraba Firman. “Nilai ni memang tak banyak, Rania. Tapi I akan
berikan you apa yang berhak you terima sebagai isteri I.” Lelaki itu berkata
agak perlahan. Hanya untuk Rania.
Rania terkaku sahaja mendengar ucapan lelaki itu. Wajah
Firman yang berada cukup dekat dengannya tidak mampu dipandang. Dadanya sedang
kacau bilau. Dengan pandangan orang ramai, silau kamera dan entah apa-apa lagi.
dan dia tidak mampu menepis tatkala sekali lagi lelaki itu mengucup dahinya.
“Please,
let me love you. I hanya nak
tengok you happy dengan I,” ucap Firman perlahan. Entahkan dia terlupa yang di
sekeliling mereka ada ramai orang atau pun dia tidak peduli.
Rania tunduk sahaja memangku dulang itu. Tiada kata-kata
yang dapat diberikan kepada lelaki dalam keadaan dia begini.
Jam 12 tengah malam barulah Rania dapat kembali ke
biliknya. Firman dan keluarganya sudah pulang ke rumahnya sekejap tadi.
Tatkala dia memandang semula bekas yang berisi mas kahwin
itu, dia menghela nafas sendiri. Dia tidak tahu jalan hidupnya selepas ini.
Mampukah dia menjadi isteri yang baik kepada Firman? Bolehkah dia memikul
tanggungjawab sebagai ibu kepada tiga orang cahaya mata Firman itu? Dan
dapatkah dia meraih bahagia dalam keadaan hatinya berbelah bahagi begini?
Entahlah.. semuanya masih kabur. Masih jauh dalam
bayangannya saat ini.
Majlis resepsi sudah selesai siang tadi. Pinggang Rania terasa
keras. Letihnya dia tidak terkata. Malamnya pula sekadar acara suai kenal
antara Firman dan ahli keluarga Rania yang lain. Dah juga sesi membuka hadiah
yang berlonggok di tepi ruang tamu rumah itu.
Satu persatu dibuka macam-macam yang mereka terima. Namun
tatkala tangan Rania terpegang satu bungkusan hadiah yang berbentuk seperti
bantal perasaannya berubah menjadi lain macam. Hadiah itu ditujukan khas untuk
Firman. Hanya Firman! Rania membaca kad yang dilekatkan di luar hadiah itu.
“Apa maksud dia tulis macam ni?” tanya Rania lantas
mengunjukkan hadiah itu kepada suaminya.
Firman yang sedang menyusun hadiah yang sudah dibuka
memandang Rania. “Apa dia tulis? Siapa yang bagi?”
“Bro, as you wish.. ni khas untuk you. Kasi overhaul
enjin yang dah lama tak bernyala tu. Good luck!” Rania menyebut kuat-kuat apa
yang tertera di kad itu.
“Siapa bagi?”
“Aryan? Siapa Aryan ni?”
“Owh.. kawan I. Bukaklah. Tengok apa yang dia bagi.”
Firman menjawab biasa.
Teruja nak tahu apa yang diberikan oleh kawan si Firman
itu, Rania bertungkus lumus mengoyakkan pembalut hadiah itu. Namun sebaik
sahaja isi hadiah itu berada di tangan, keningnya mula berkerut. Apa benda ni?
Bisik hatinya sambil membaca tulisan-tulisan yang tertera di hadapan bungkusan plastik yang terdapat 20 packet
minuman 3 in 1 itu.
Firman tersenyum-senyum memandang isterinya. Dia tahu
Rania sedang sibuk meneka apa yang sedang disampaikan oleh si pemberi. Seketika
kemudian Rania memandang suaminya. Geram punya pasal bungkusan itu dibalingnya
kepada Firman. Tepat mengenai tubuh Firman. Ironinya lelaki itu tergelak
berdekah-dekah melihat hadiah tercampak ke atas ribanya.
“Sukalah tu!” cemuh Rania sebal. Sakit hatinya! Kawan si
Firman tu pun agak-agaklah nak bagi hadiah pun. Ada ke dibaginya sebungkus
minuman segera kopi tunjuk langit dengan campuran tongkat ali. Memang saja nak
suruh Firman dera dia agaknya.
“Hish! Jangan buang. Berguna ni nanti. Malam nanti I nak
minum dua packet terus! I memang dah request hadiah ni dari dia,” ucap Firman
cukup nakal.
“Dah takde benda lain nak minum agaknya. Geli!
Kawan-kawan you tu memang tak guna! Gatal semua!” Rania menjeling tajam. Itu
rupanya maksud overhaul enjin.. desis hatinya geram.
“Ni ada lagi hadiah. Bukaklah..”
Rania menjeling saat mencapai hadiah yang masih bersisa
belum dijamahnya. Hadiah yang seterusnya lagilah menyakitkan hatinya. Hadiah
itu diberikan oleh budak-budak kerani di pejabatnya. Kenapa semua orang asyik
nak kenakan aku aja? Getus hatinya geram. Lagi galak Firman ketawa saat membaca
kad yang dikirimkan bersama hadiah itu.
“Selamat pengantin baru, Puan Rania. Sebagai permulaan
untuk menjadi seorang isteri mithali, kami hadiahkan benda ni khas untuk Puan
Rania..” Firman sengaja mengulang semula apa yang tertulis di kad itu.
Rania hanya mampu memandang sebal hadiah yang sudah
berada di tangan Firman. “Memang kreatiflah budak-budak kat pejabat you. I sendiri
tak pernah terfikir nak beri benda ni pada orang yang baru kahwin.”
“Nak perli I lah tu!” tukas Rania tajam. Malas dia mahu
memandang objek yang berada di tangan Firman. Ada ke dia orang pergi hadiahkan
dia mop? Tak guna betul budak-budak ni! Nasib baiklah kayu mopnya tidak
disertakan sekali. Hanya ‘rambut’ mop aja yang dihadiahkan kepadanya.
Usai merobek semua pembungkus hadiah di situ, Firman mula
berpindah duduk bersebelahan dengan Rania. Rania yang sibuk meronyokkan semua
kertas pembungkus hadiah terkedu seketika melihat Firman sudah duduk rapat
dengannya. Mulalah jantungnya rasa nak tercabut.
“Agak-agak pukul berapa baru kita dapat masuk bilik ni?”
tanya Firman sekadar berbisik.
“You nak tidur, you pergilah! I tak mengantuk lagi. Malam
ni I dah plan I tak mahu tidur,” balas Rania sengaja mahu mengelak.
“I pun macam tu. Dah 5 tahun I kena tidur awal. Malam ni
rasa nak tidur lambatlah,” jawab Firman cukup senang hati.
Rania segera menoleh ke sebelahnya. Namun melihat
renungan nakal lelaki itu dia mendecit tidak suka. “Maksud I.. I tak mahu tidur
dengan you! Dalam bilik yang sama. No way! I tak suka dipaksa-paksa, okay.”
“Alah.. kenapa pulak? Tak kesian ke dengan I ni? Dah lama
kesepian. Tak ditemani oleh sesiapa. Tanpa belaian seorang wanita..”
“I nak tolong mak kemas dapur!” Spontan Rania terus
bangun. Tak sanggup dia mahu masuk bilik serentak dengan Firman. Kemudian
tolong hilangkan kesepian jantan tua gatal itu? Bukannya dia tak dengar nada
ala-ala miang keladi suaminya itu.
“Ha.. sayang, alang-alang dah nak ke dapur tu, tolonglah
bancuhkan sekali air tongkat ali yang kawan I bagi ni..” panggil Firman agak
kuat.
Rania buat-buat tidak dengar sambil melajukan langkahnya.
Nak sangat minum air tongkat ali tu kan? Bancuh sendiri! Lepas tu kau tidur kat
dalam bilik air, aku tidur dalam almari! Bentak hatinya sendiri.
11
“Dahlah tu, Rania. Pergi naik atas. Laki kamu tu dah tidur
agaknya. Selebihnya ni kita sambung aja nanti,” ucap Hajah Habibah lewat malam
itu. Sudah jam 2 pagi. Hampir semua kerja sudah selesai di dapur itu.
“Yalah, mak.” Rania akur juga dek kerana tubuhnya memang
sudah keletihan yang teramat sangat. Selesai meneguk segelas air dia terus
memanjat tangga naik ke atas. Namun saat berada di hadapan pintunya dia terhenti
seketika di situ. Buat seketika dia menarik nafas dalam.
Janganlah jadi apa-apa yang buruk kat aku. Tolonglah! Tak
ingin aku kena baham dengan jantan tua tu, bisik hati Rania sendiri.
Pintu biliknya ditolak perlahan. Penuh hati-hati oleh
Rania. Untuk sesaat dua dia mengintai ke dalam. Melihat apa aktiviti Firman
saat itu. Dalam samar-samar suasana bilik itu matanya segera terpandangkan
lelaki itu sedang terlentang di atas katil.
Dia tidur ke? Rania memandang seketika tanpa terus masuk
ke bilik. Melihat Firman hanya kaku dia yakin lelaki itu sudah tidur. Maklumlah..
sudah jam 2 pagi. Telinganya turut mendengar bunyi seolah-olah dengkuran. Memang
sahlah Firman dah terbongkang tidur. Agaknya Firman pun dah keletihan menunggu
dia. Rania sempat ketawa dalam hati. Memang dia sengaja berlama-lama agar
lelaki itu jelak menunggunya naik ke kamar beradu mereka.
“Nak tidur lambat konon. Dia yang paling awal membuta!”
cemuh Rania. Kepalanya digelengkan sambil berjalan laju menuju ke almari. Setelah
mendapatkan tuala bersih dia terus ke kamar mandi untuk upacara seterusnya.
15 minit berkurung di dalam kamar mandi Rania keluar sedikit
teragak-agak. Masalahnya baju bukannya ada dia bawa sekali. Dia terlupa nak
mengubah rutin kebiasannya. Maklumlah.. tak biasa. Jadi kenalah dia berhati-hati
keluar dari kamar mandinya. Namun Rania lihat Firman masih lena. Siap berdengkur
lagi. Melihat lelaki itu tidur pulas tidak sedar apa-apa, dia jadi berani pula
untuk keluar dalam keadaan tidak normal begitu.
Dalam keadaan terkocoh-kocoh Rania terus ke almari. Takut
Firman terjaga dari lenanya kalau dia terhegeh-hegeh. Kelam kabut dia
menyelongkar almari untuk mencari bajunya.
“Aduh.. gelap! Tak nampak pulak,” keluhnya seorang. Suasana
bilik yang samar-samar membuatkan ruangan dalam almari itu jadi gelap gelita.
“Mana baju aku ni?”
“Wow.. tengok siapa yang seksi tu! Ini bukan sesuatu yang
senang boleh dilihat. Nampaknya I masih ada rezeki walaupun hari dah lewat.”
Sergahan dari arah katil benar-benar membuatkan jantung
Rania macam nak tercabut. Sepantas kilat dia menoleh. Matanya macam nak terkeluar
melihat Firman yang tadi terbaring tidur kononnya sudah elok duduk bersandar ke
kepala katil memandang dia. Lengkap dengan senyum senget macam orang gatal!
Rania pucat! Liurnya tidak tertelan tatkala Firman mula
membuat posing menggoda pula di katil itu. Mengusap rambut ke belakang siap
dengan senyum sengetnya. Konon hensem sangatlah buat macam tu. Kemudian dengan
selambanya dia menguak belahan baju tidurnya. Nak tayang dada kononnya.
Namun Rania kaku. Sungguh! Dia rasa macam nak sumbatkan
diri dia dalam almari di belakangnya itu sekarang juga. Rasa nak muntah pun
tengok gelagat Firman.
“Boleh tak you kancing baju tidur you tu sampai atas? Jangan
nak tayang sangatlah dada tu. I tak ingin nak pandang pun.” Rania kembali
memandang almari bajunya. Apa sahaja yang tercapai dek tangan terus diambilnya
lalu dibelek. Selamat! Di tangannya ada sehelai baju tee.
Firman memandang baju tidurnya sesaat dua. “I memang
sengaja biarkan macam ni. Biar nampak seksi..”
“Tak payah nak seksi sangatlah. I yang siksa kat sini!”
rengus Rania cukup pantas.
Firman ketawa galak. Sengaja dibunyikan tawanya macam
romeo. “I pun dah lama tersiksa ni, sayang. Come here..”
Rania terkedu memandang almari di hadapannya. Cepat-cepat
dia membetulkan bajunya. Kemudian tangannya mengagau mencari seluar yang boleh
dipakainya pula. Jantungnya tak usah cakap lagilah. Berdegup pantas. Paling dia
takut saat ini ialah Firman datang dekat kepadanya.
“Bukan you dah tidur ke tadi?”
“I buat-buat tidur..” jawab Firman cukup selamba.
Tak guna kau jantan tua! Kalau dah dasar gatal tu memang
ada ajalah ulah kau nak kerjakan aku! Sampai ke pukul 2 pagi kau sanggup tunggukan?
getus hati Rania sakit.
“Sayang, apa you buat lagi kat situ? Come here.. inilah
saat yang ditunggu-tunggu oleh lelaki yang dah lama kesepian macam I ni,”
panggil Firman penuh kelunakan.
Rania terus memejamkan mata cuba untuk menstabilkan
degupan jantung yang sudah tidak terkawal rancaknya. Namun di layar hitamnya terhias
pula adegan-adegan sumbang lelaki-lelaki tua kepada gadis muda yang sering
ditontonnya di dalam drama Melayu. Dan tiba-tiba muka semua perogol itu sama
macam muka suaminya! Dan muka mangsa itu adalah dia! Oh tidak! Dia tidak
sanggup melalui itu semua.
“I.. I nak turun kejap. Nak.. minum air,” ucap Rania agak
payah.
“Okay.. you nak air apa? I pergi ambilkan,” ucap Firman
lantas bangun.
“I.. boleh pergi sendiri,” tekan Rania mula seriau
melihat Firman bangun. Teringat dia kata-kata Tuan Saufi. Lelaki berpengalaman
macam Firman dan Tuan Saufi ini macam kelapa tua. Pakar serba serbi. Aduh.. itu
yang dia tak sanggup!
“No! You stay here. Kalau you yang pergi, ada kemungkinan
you takkan naik semula. Betulkan?” ujar Firman setelah dia berdiri di hadapan
Rania.
Rania menelan liur sahaja tanpa jawapan kepada suaminya
itu. Memang itu pun yang dia dah rancang tadi. Nampaknya berkecailah impian dia
untuk mengelak.
“Wait here.. wait for me!” tanpa menunggu jawapan Rania,
Firman terus menuju ke luar kamar.
Alamak.. macamana ni? Mana aku nak lari. Mak, sampai hati
mak paksa Rania kahwin dengan jantan tau gatal ni. Tengok apa dah jadi? Rania
tak nak! Hati Rania menangis tak berlagu saat itu. Dia terus berlegar di dalam
kamar itu sambil memikirkan untung nasib dia sebentar lagi. Entah-entah esok
dia dah lunyai tak boleh bangun.
Argh! Tak boleh. Aku kena protect diri aku sendiri..
Tidak sampai 5 minit Firman sudah muncul semula di bilik
itu. Kerisauan Rania sudah sampai ke kemuncak. Menggigil tangannya saat
menyambut gelas air putih yang diberikan Firman. Dipaksa tekaknya menerima air
itu. Padahal dia bukannya nak air sangat. Tadikan dia dah minum?
Firman terus tercegat memandang isterinya itu. Setelah lebih
separuh air di dalam gelas itu masuk ke dalam perut Rania, dia mula berjalan
mendekati wanita itu. Gelas di tangan Rania diambilnya.
“I period ni..” ucap Rania tanpa ditanya.
“Alasan tu dah basi, Rania.”
“Sungguh!”
“Buktikan..” cabar Firman semakin mendekat. Rania pula
semakin berundur ke belakang.
“Buktikan? Ma..macamana?” tergagap-gagap Rania dibuat
Firman. Sepanjang dia menjadi peguam belum pernah dia tergagap-gagap tatkala
bukti diminta daripadanya. Tetapi kali ini dia tergagap sebab jelas sekali dia
tengah menipu!
“Yup.. buktikan. Lawyer macam you ni takkan tak tahu nak
buktikan dakwaan?” perli Firman dengan senyum sinis. Matanya sudah turun naik
memandang Rania. Dah macam muka harimau nak membaham mangsa pun ada.
Rania kelu untuk membalas. Kalau benar dia memang sedang
datang bulan pun tak mungkin dia akan menuruti kehendak Firman itu. Gila! Takkan
nak tunjuk DNA tu pulakkan?
“Come on, Rania. You bukannya budak belasan tahun lagi. You
dah 32 tahun. Dah tua! Takkan dengan I pun you takut?”
“You tu macam..”
“Macam apa, sayang? Tell me..” saat itu Firman sudah
benar-benar rapat dengan isterinya. Rania sudah tidak dapat bergerak ke
mana-mana kerana dia sudah terkandas di meja solek.
“You ni memang mengancam. I dah lama geram dengan you ni!”
ucap Firman dalam nada halus.
Rania terkumpal-kumpal dalam pada dia memikirkan jalan
untuk menyelamatkan diri. Namun tatkala dia terpegang sesuatu di atas meja
solek itu, mulalah timbul ideanya mengajar lelaki miang seorang ini.
“I pun memang geram dengan you,” jawab Rania. Spontan pengering
rambut di tangannya itu dinyalakan dan dihalakan ke wajah Firman. Dekat-dekat!
Akibatnya Firman terus memalingkan wajahnya daripada
angin panas itu. Sesak lubang hidungnya diterpa angin itu. Dan Rania terus
menolak suaminya itu lantas melarikan diri ke dalam kamar mandi.
Terlopong mulut Firman memandang pintu kamar mandi itu
sudah ditutup dan dikunci Rania. Cis! Pandai betul dia lari daripada aku.
“Sayang, bukak pintu ni..” seru Firman lunak.
“Keluarlah, sayang. I janji I takkan apa-apakan you..”
“Tak nak! You tipu.” Rania segera menjawab dari dalam.
“Tak.. I tak tipu. I main-main aja tadi. I tahu you
tengah period..” jawab Firman macam bersungguh aja.
Rania diam di dalam kamar mandi itu.
“Sayang, keluarlah..” pujuk Firman lembut.
“Okay.. tapi you kena keluar dulu dari bilik I.”
“Alahai.. kenapa pulak macam tu? Kesian I, sayang..”
“Keluar! Kalau tak, you nak buang air.. you tadah pakai
botol! I takkan bukak pintu ni,” amcan Rania nekad.
Firman mahu tergelak di luar itu. Namun cepat-cepat dia
menekup mulutnya. Takut benar Rania kepada dia. Melampau sangatkah dia? Kalau benar
pun dia merenyam benar, dengan merenyam dengan isterinya sendiri. Salah ke?
“Okaylah.. I keluar dulu.” Firman segera ke pintu. Pintu yang
berkunci dibukanya sedikit. “Okay.. I keluar dulu, sayang.” Laung Firman.
Rania di dalam kamar itu perlahan-lahan membuka pintu
kamar mandi itu. Terhendap-hendap dia mencari si Firman. Pintu almari dibukanya.
Mana tahu Firman menyorok di situ. Hanya ada baju yang kelihatan. Melihat pintu
bilik itu sudah terbuka dan bayang Firman tiada, dia yakin suaminya sudah
keluar. Sepantas kilat dia menutup pintu dan menguncinya.
“Padan muka kena kunci kat luar!” Rania ketawa dalam pada
dia bercekak pinggang memandang pintu biliknya itu. Aman hidupnya!
“Siapa kena kunci kat luar?” tanya Firman yang baru
keluar dari bawah katil.
Rania tersentak. Sesaat sahaja dia menoleh. Selepas itu
dia terus membuka semula pintu biliknya itu dan melarikan diri sepantas yang
mungkin! Sekali lagi Firman melopong melihat isterinya itu lepas entah ke mana.
Bedebah! Melepas lagi aku! Kutuk hati Firman sebal dengan
kesilapannya sendiri. Sepatutnya dia menunggu Rania naik ke katil baru
memunculkan diri. Itulah.. gelojoh sangat. Padan muka aku..
Lawak betul LA.
BalasPadamHahahhaha semua cerita awak best2 belaka..teruskan ye
BalasPadamtq so much..
PadamHahah adeh bedekah...best sis...
BalasPadamAdooyaiiiii...lawak betul duda ngan andartu ni..
BalasPadamHahahha
BalasPadam