Rabu, 16 Disember 2015

BAB 9-10 RELAKAN JIWA

BAB 9
TEGAK dua beradik itu duduk di sofa. Muncung Udin bukan main panjang lagi saat terpandangkan Adira sudah mula turun ke bawah.
“Janganlah masam-masam. Tak handsome dah adik kakak ni,” ucap Adira sambil mengusap rambut adiknya itu.
Makin panjang muncung Udin melihat kakaknya sudah selesai bersiap, mahu keluar. Imran sempat mengerling anaknya itu.
“Duduk situ. Jangan pergi mana-mana.”
Udin menjeling tajam ayahnya itu. Baru terfikir nak berjimba-jimba di luar. Berkecai harapannya. Tidak lama kemudian ada seseorang memberi salam. Serentak mereka menjawab.
“Ayah, Dira pergi dulu ya?”
“Ialah. Jaga diri,” jawab Imran sambil dia bangun. Di hadapan pintu, Mat Dani sudah menunggu untuk menjemput buah hatinya.
“Uncle Im, saya ajak Dira keluar sekejap ya.”
“Ialah. Jangan lambat sangat balik tu,” pesan Imran.
Saat kedua-duanya berjalan ke arah pintu pagar, secara tidak sengaja Adira menoleh semula kepada Imran. Namun dia ternampak seseorang di pintu gelangsar membuat aksi tidak puas hati. Pantas dia menekup mulutnya menahan tawa.
“Kenapa?” tanya Mat Dani.
“Tengok tu. Budak tak puas hati sebab tak dapat pergi,” ucap Adira sambil menunding ke arah cermin itu. Mat Dani terus memandang ke arah yang ditunjukkan Adira. Di cermin Udin sedang melekatkan bibirnya ke cermin sambil menjulingkan matanya ke arah mereka.
Tidak tertahan Mat Dani. Terhambur gelaknya melihat rupa Udin di cermin itu. “Apa dia buat tu?”
“Dia memang macam tu. Kalau ada yang dia tak puas hati, mulalah dia buat aksi pelik-pelik. Dia mengejek kita.”
Mat Dani ketawa lagi sambil menggeleng. Budak itu memang peramah.
“Kelakarlah Udin tu. Saya suka dia. Bijak budaknya.”
“Kaki menyakat orang, itulah dia. Ada aja idea dia nak mengenakan orang. Padan muka. Ayah tak bagi dia ikut. Kalau bab pergi berjalan dia nombor satu. Ayah tak bagi dia keluar, kalau boleh orang lain pun kalau boleh kena duduk rumah aja.”
Mat Dani sempat memandang semula ke arah Udin. Kali itu anak itu memandang ke arah mereka dengan pandangan sayu. Kemudian dia melambai pula. Mat Dani tersenyum sambil membalas lambaian Udin. Kasihan pula dia melihatnya.
“Saya tak kisah pun dia nak ikut. Lagi ramai lagi best,” ujar Mat Dani perlahan.
Adira menoleh ke sebelahnya. “Ayah tak bagi sebab dia sekolah esok. Takut dia penat,” ucapnya sambil menarik tali pinggang keledar. Dating bawa adik? Orang lain kisah. Mat Dani suka pula. Dengan Darius dulu jangan haraplah Udin boleh meminta untuk ikut bersama. Udin pun macam tahu lelaki seorang itu tidak begitu suka melayan kerenah dia. Dahulu Darius sering juga datang ke rumahnya. Cuma semenjak mereka sudah mula bekerja, lelaki itu tidak pernah lagi singgah ke sini. Rimas agaknya. Adik beradik dia ramai yang masih kecil.
Mat dani terus menghidupkan enjin dan kereta digerakkan pergi. Seperti kebiasannya, lelaki itu memandu tenang sahaja. Pergerakan kereta tidak begitu laju, tidak juga perlahan.
“So awak nak bawa saya ke mana sebenarnya ni?” tanya Adira setelah beberapa ketika mereka membisu semata.
Mat Dani diam sambil memandang ke hadapan. Kerutan di keningnya jelas menunjukkan dia sedang berfikir. Belum ada keputusan.
“Saya tak tahu. Saya tak biasa macam ni,” ujar Mat Dani perlahan.
“So, sekarang ni awak masih belum ada planlah?”
Mat Dani sekadar mengangguk. Adira mengangguk sambil memandang ke hadapan.
“Emm.. awak nak pergi mana?” tanya Mat Dani pula sambil menoleh ke sebelah seketika.
“Saya ikut awak. Awak yang ajak saya keluar.”
Mat Dani menggaru kepala seketika. “Muzium?”
Adira terpempan memandang ke hadapan. “What??”
“Err.. saya ingat awak suka pergi muzium.”
“Itu waktu saya masih sekolah, cik abang. Sekarang ni bukan lawatan sambil belajar,” ucap Adira sambil mengangkat kening.
Mat Dani tergaru-garu lagi. “Saya tak pandai. Awaklah cakap nak pergi mana,” ujar Mat Dani perlahan. Malu rasanya mahu memandang Adira. Ada ke bagi cadangan pergi muzium? Mulut ni memang tak membantu betul! Rasa mahu dilepuk sahaja mulutnya itu.
Adira membisu sambil mengertap bibirnya. Saat Mat Dani menoleh, pantas dia memandang ke tepi. Takut lelaki itu perasan dia sedang menahan gelak.
“Emm.. awak nak pergi mana? Saya ikut aja,” ucap lelaki itu perlahan.
“Okay. Zouk.”
“Okay..” lelaki itu menjawab sepatah sambil mengangguk.
Spontan Adira menoleh ke sebelah. “Okay?”
“Err.. tapi Zouk tu kat mana? Saya mana tahu Zouk tu apa benda. Pasaraya ke?”
Mulut ditekup Adira pantas. Blurnya mamat ni. Zouk dia tak tahu??
“Kenapa?” tanya Mat Dani hairan melihat reaksi Adira.
“Okaylah. Kalau macam tu kita pergi Beach Clublah. Atau Luna Bar.”
Sepantas kilat Mat Dani menoleh ke arah Adira dengan pandangan mencerun. Keningnya juga dikerutkan. “Bar?”
“Tempat clubbing. Tak pernah pergi ke?”
“Tak pernah.” Mat Dani menelan liur seketika. Takkanlah dia nak bawa Adira ke situ? Apa kata mama Adira nanti? Buatnya Imran dapat tahu, tak pasal-pasal dia kena pelangkung nanti.
“Jomlah kita try pergi sekali. Dengarnya seronok di sana,” ujar Adira sambil memandang lelaki itu.
Mat Dani menghela nafas tanpa menjawab. Berfikir apa yang patut dijawabnya. Kemudian dia menoleh lagi. “Awak pakai tudung. Tak sesuai masuk ke sana.”
“Awak tak pakai tudung pun. Alah.. tudung boleh tanggal. Apa nak kisah?”
“Tempat clubbing belum bukak agaknya.”
“Tak apalah. Kita tunggu. Sambil tu kita lepaklah kat mana-mana,” jawab Adira selamba.
Sekali lagi Mat Dani menghela nafas panjang. “Err.. tapi KL jem sekarang, kan? Kita pergi dekat-dekat sini ajalah.”
“Alah, jem sekejap aja. Untuk saya tak akan awak tak mahu redah jem tu?” pujuk Adira lembut.
“Tapi apa kita nak buat kat situ?” Mat Dani menoleh dengan pandangan serba salah. Mahu menolak takut Adira kecil hati.
“Apa-apalah. Menari ke? Minum ke?”
“Minum kat sini pun boleh. Ni banyak kedai. Awak haus ke? Saya berhenti beli air ya?” ujar Mat Dani sambil memandang sekeliling.
Adira sudah menjulingkan mata ke atas. Apasal nerd sangat dia ni??
“Saya tahu awak tak pernah pergi tempat-tempat macam tu. Tapi saya nak try sekali. Saya nak pergi sana jugak. Kita pergi sekali aja. Please?”
Mat Dani diam sekejap. Berfikir apa kata yang sesuai untuk menegah. Berkali-kali dia menghela nafas.
“Boleh tak, sayang?”
Lembik lutut Mat Dani mendengar panggilan itu. Lambat-lambat dia menoleh. Adira sedang merenungnya dengan pandangan lunak.
“Tak boleh,” jawab Mat Dani agak payah.
“Kenapa tak boleh?”
Mat Dani meraup wajah seketika. “Saya tak ada duit nak belanja awak masuk sana.”
“Saya ada duit.”
“Tapi tetap tak boleh. Kenapa kita nak pergi sana? Apa kita dapat masuk ke sana?”
“Berhiburlah. Seronok. Kalau tak seronok tak akanlah orang berduyun-duyun nak ke sana,” ucap Adira selamba.
“Tak payahlah. Orang lain nak pergi tak apalah. Kita jangan pergi. Banyak lagi tempat lain kita boleh pergi.”
“Betul ni awak tak mahu bawak saya ke sana? Saya merajuk nanti, baru tahu. Sekali ini aja saya minta nak ke sana, awak tak sudi nak tunaikan kehendak perempuan yang awak sayang. Awak tak sayang saya sebenarnya.” Adira merungut perlahan.
“Bukan macam tu. Benda tu tak elok. Tak boleh buat. Membazir duit. Nak buat kita ke sana?”
Adira memandang lama lelaki itu.
“Saya tak suka bukan sebab saya tak sayang awak. Tapi benda tu tak mendatangkan kebaikan pada kita. Kat dalam sana ramai lelaki. Bahaya untuk perempuan macam awak. Kalau saya ikut kehendak awak, saya ni lelaki tak guna. Tak payahlah pergi sana. Saya tak suka.”
“Itu aja yang saya nak dengar sebenarnya. Saya nak tengok awak tunduk pada kehendak saya ke tidak, itu saja yang saya nak tahu. Tolong bawa saya KLCC. Saya nak beli kasut,” ucap Adira selamba.
“Beli kasut boleh. Pergi club tak boleh.”
Adira tersenyum sendiri. Seorang lelaki yang tetap berpegang kepada pendirian biarpun cinta diuji. Bukannya kalah awal sebelum waktunya. Lelaki yang boleh diangkat menjadi imam dalam keluarga.
“Dani..” panggil Adira seketika kemudian.
“Ya..”
“Kalau saya tanya sesuatu, awak jangan ketawa ya?”
“Tanyalah..”
“Awak sudi tak jadi suami saya?” tanya Adira tanpa segan silu.
Terkedu Mat Dani kala itu. Dan seterusnya dia memandang ke hadapan. Mimpikah dia saat ini?? Oh, dah tentulah dia sudi seribu kali sudi!!





BAB 10
TIBA di Suria KLCC mereka berdua berjalan seketika di dalam gedung membeli belah. Adira menyeret lelaki itu ke sebuah butik barangan wanita. Lelaki itu sekadar mengekori gadis itu sambil memerhati Adira mencari kasut yang dia berkenan. Kemudian mereka bergerak ke tempat lain.
Kemudian Mat Dani mencuit Adira untuk singgah di satu tempat. Adira menoleh. Mat Dani sudah masuk ke situ.
“Kedai candy?” ucap Adira seorang diri. Dia lihat Mat Dani berjalan dari satu rak ke satu rak.
“Awak suka candy?” tanya Adira pelik. Semenjak bila?
“Saya nak belikan untuk adik awak. Kesian dia kena tinggal,” ucap Mat Dani perlahan.
“Oh..” terlopong Adira memandang lelaki itu. Serius memilih jenis-jenis candy yang menarik di matanya. Mana Mat Dani tahu adik-adiknya suka semua benda begini? Lama Adira memandang gelagat lelaki itu. Khusyuk. Seolah-olah ini sesuatu yang penting.
“Adik awak suka gula kapas, kan? Saya belikan dia gula-gula ni sebagai ganti. Kalau saya jumpa gula kapas, saya belikan dia nanti.” Mat Dani tersenyum sambil menayang beg plastic di tangannya.
“Dia suruh awak belikan ke?”
“Taklah. Saya cuma teringatkan dia.”
Sehingga penghujung aktiviti jalan-jalan itu mereka singgah di Louis Vuitton. Sementara seorang wanita lain melayan Adira mencari beg tangannya, dia membelek handbag wanita di tempat lain. Cantik di matanya. Namun harga memang tidak tahan. Dia letak semula.
“Awak tengok apa?”
“Tak ada apa. Awak tak beli beg tadi?” tanya Mat Dani sambil memandang tangan Adira. Hanya ada satu beg kecil.
“Tak ada yang cantik di mata saya. Tak padan dengan harga. Jom,” ajak Adira sambil lengan lelaki itu ditarik pergi.
Seterusnya mereka mencari tempat makan. Bukan di dalam pusat membeli belah itu. Mat Dani memandu ke Menara Kuala Lumpur pula. Ironisnya lelaki itu mengajak dia masuk ke restoran agak eksklusif di puncak menara itu.
Banyak duit pulak mamat ni. Tadi aku ajak pergi clubbing dia kata tak ada duit, bisik hati Adira sendiri. Namun diikutkan juga langkah lelaki itu. Sepanjang masa itu, lelaki itu kurang bercakap. Hanya sekali sekala menegur permandangan cantik di sekeliling mereka. Jelas sekali dia lebih banyak berfikir.
Namun Mat Dani sempat terpaku saat terpandangkan renungan Adira kepadanya. Perlahan dia mengukir senyum.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” tanya lelaki itu lembut.
“Dari tadi awak cuma diam. Awak tak jawab soalan saya,” ucap Adira perlahan.
Mat Dani diam pula. Semalam juga soalan yang sama sudah ditanyakan kepadanya oleh Imran. Dia meminta sedikit masa sebelum memberikan jawapan. Tidak sangka tadi Adira bertanya juga soalan yang sama. Bukannya dia sengaja mahu mengabaikan hasrat baik itu. Tetapi dia ada pendirian dia sendiri.
“Awak tak sudi ya?”
“Bukan macam tu.” Mat Dani menggaru pelipisnya perlahan. Adira ralik memandang lelaki di sebelahnya itu.
“Awak ada perasaan pada saya ke selama ni?” tanya Mat Dani perlahan.
“Awak rasa?”
“Saya tak tahu apa yang ada dalam hati awak buat saya. Saya ni tak pandai buat perempuan jatuh cinta. Saya ni kolot sikit. Mungkin juga membosankan.”
Adira tergelak perlahan mendengar itu.
“Saya akan ambil awak jadi isteri saya di waktu awak benar-benar dah bersedia untuk terima saya. Saya takut awak terpaksa terima saya sebab kesiankan saya.”
“Dani, saya tak buat begini sebab kesiankan awak. Saya buat sebab saya kesiankan diri saya.”
“Kenapa macam tu?”
“Semenjak dulu ada seorang lelaki di sebelah saya yang tak pandai ke kelab hiburan. Tapi saya tak sedar dia ada di sebelah saya. Mata dan perasaan saya tertipu dengan luaran seorang lelaki. Di belakang saya dia lain. Di depan saya dia lain. Tapi masih juga saya membiarkan diri saya berada di jalan yang salah. Mama selalu kata, kahwin bukan untuk sehari dua. Hari ni waktu hati tengah cinta semuanya elok. Semuanya manis. Semuanya wangi. Tapi lama kelamaan, saya akan merana sendiri,” luah Adira rendah.
Mat Dani terus memandang gadis itu. Dia lihat Adira seakan sedang memendamkan sesuatu.
“Awak tahu saya putus tunang dengan Darius. Sepatutnya saya kahwin dengan dia bulan ini. Tapi saya nekad atas sebab sesuatu. Kemudian saya jumpa awak. Mungkin awak rasa saya tanyakan soalan tu tadi sebab saya terdesak mencari pengganti. Saya bukan cari seorang pengganti. Saya boleh tanyakan soalan tu pada lelaki lain kalau saya nak. Tapi saya tak akan tanya sebab ciri-ciri lelaki yang tepat tu, tak ada pada sebilangan lelaki di sekeliling saya. Hanya saya lihat ada pada awak.”
“Ciri-ciri apa yang awak maksudkan?” tanya Mat Dani lembut.
“Nak rumahtangga bahagia, jangan pilih suami sebab cinta semata-mata. Saya akan sesat. Tapi pilih suami yang ada agama, kemudian baru cinta. Insya-Allah saya akan bahagia. Itu pesanan ayah pada saya berkali-kali. Baru sekarang saya rasa apa yang dia kata tu benar.”
Mat Dani terus memandang gadis itu sehingga Adira tersenyum kepadanya.
“Awak nak saya kahwini awak sebab cinta? Mana tahu suatu hari nanti cinta akan hilang, saya pun akan hilang dari hidup awak. Saya tinggalkan Darius sebab saya dah jemu cintakan dia. Kejam, kan?”
Terkebil-kebil Mat Dani memikirkan segala kata-kata Adira. Terbayang dia lelaki seorang itu. Lagak gayanya sedikit angkuh. Dia pernah merasa ketinggalan berbanding Darius yang nampak secocok dengan Adira. Malah kelihatan seperti seorang lelaki ‘sempurna’ di mata wanita.
“Awak macam ayah tiri saya. Saya sayangkan dia macam ayah saya sendiri. Dia didik saya menjadi seorang perempuan seperti yang awak nampak hari ni. Dulu saya tak macam ni. Hidup saya penuh kesombongan sebab saya anak tan sri.”
“Saya tak nampak kesombongan tu semenjak dari hari pertama saya kenal awak.”
“Sebab waktu tu Imran dah jadi ayah tiri saya. Dia kawal pergerakan saya sebab saya perempuan. Dia tak mahu hidup saya hancur kerana fitnah dunia. Dan dia bukan seorang lelaki yang berkejaran mahu membina nama dalam dunia korporat. Itu dunia mama. Hanya mama seorang. Dia tak berada di situ. Sebab tu saya sayang dia. Dulu saya ingat ayah tiri ni jahat. Tapi saya salah. Ada seorang ayah tiri yang lebih baik berbanding ayah kandung. Pokok pangkalnya manusia tu sendiri, kan?”
Mat Dani tersenyum mendengar cerita Adira.
“Saya nak kahwin dengan awak. Lengkaplah hidup saya, kalau saya ada seorang wanita sudi berada di sisi saya sepanjang hidup ni, Dira. Emm.. tapi saya tak ada cincin nak bagi sekarang.”
“Tak apa. Saya tak suruh awak jadi seperti lelaki lain semata-mata untuk memikat hati saya. Saya terima awak seadanya. Saya suka awak seorang yang jujur. Awak cakap apa yang perlu awak cakap. Walaupun kadang-kadang saya rasa nak ketawa dengar apa yang awak cakap.” Adira tergelak serta merta di hujung bicaranya. Namun tawanya memudar saat terpandangkan renungan Mat Dani kepadanya. Manis! Seolah-olah ada senyuman terlahir dari bersama renungan itu.
“Saya tak mampu belikan awak Louis Vuitton selalu. Dan saya rasa awak tak perlukan itu sepanjang hidup awak kerana itu bukan pokok pangkal kebahagiaan kita.”
“Betul.” Adira menyambut akur.
“Sepatutnya soalan tu saya yang tanyakan pada awak. Tapi tak apa. Saya tak suka berdolak dalik. Adira, kahwinilah saya. Saya mahu jaga awak sebaik-baiknya. Saya mahu letakkan awak ditempat yang istimewa di dalam hidup saya iaitu sebagai isteri saya. Saya sediakan satu tempat paling sunyi yang akan selalu awak berada iaitu dalam hati saya. Dan insya-Allah saya akan beri apa sahaja yang berhak awak terima sebagai isteri saya.”
Bercucuran air mata Adira mendengar kata-kata itu. Sebuah ikrar namun bukan janji. Kerana manusia sering berjanji sesuatu yang dia sendiri tidak mampu tunaikan. Sedangkan ikrar itulah yang berada di dalam lingkungan perintah Allah.
“Saya nak awak selalu ada dalam hidup saya. Jangan pergi tinggalkan saya untuk sesuatu yang lain melainkan Allah yang pisahkan kita.”
Mat Dani meraup wajah sambil menghela nafas perlahan. Satu kelegaan yang amat besar sedang melapangkan rasa di dalam dada. Ya Allah.. sungguh indah percaturan-Mu. Tiada apa yang dapat melankaui kekuasaan-Mu. Aku pernah terpisah darinya. Sehingga Engkau juga yang membawa dia datang kepadaku, menunaikan doaku. Aku cintai-Mu, Ya Allah. Dan aku sayangkan dia..
Selepas masuk waktu maghrib, mereka singgah bersolat di surau. Mat Dani memutuskan untuk menghantar Adira pulang. Setiba di rumah, dia singgah seketika. Udin bukan main gembira lagi mendapat hadiah dari Mat Dani.
“Calit sikit!” ucapnya sambil tangan lelaki itu diambilnya. Ibu jarinya dilagakan dengan Mat Dani. Lelaki itu ketawa perlahan sambil mengusap rambut Udin.
“Bagi kakak sama. Jangan nak bolot sorang,” ucap Imran sewaktu anak itu berlalu. Fatyma hanya menggeleng melihat anaknya itu.
“Uncle Im, saya ada sesuatu nak cakap.”
“Ma, Dira naik dulu ya. Ada hal sekejap,” ucap Adira mahu berlalu dari situ. Fatyma tidak sempat menjawab. Adira sudah bangun.
Mat Dani sempat tersenyum kepada gadis itu saat Adira melintasinya. Kemudian dia kembali memandang dua manusia itu.
“Saya tak ada ahli keluarga lain yang boleh saya wakilkan diri saya untuk datang meminang atau merisik. Jadi biarlah saya cakap sendiri. Saya nak minta izin, saya nak kahwin dengan Adira.”
“Alhamdulillah..” hampir serentak jawapan Imran dan Fatyma. Gembira mendengar kata-kata itu terluah sendiri dari mulut Mat Dani.
“Uncle dengan auntie dah ada pendirian kami sendiri. Kami setuju.” Imran menyambut sambil memandang isterinya. Fatyma ikut mengangguk setuju kepada suaminya.
“Beginilah, Dani. Uncle boleh minta opah Milah jadi wakil untuk Dani. Tahulah dia apa nak buat.”
Mat Dani mengangguk perlahan.
“Terima kasih, uncle, auntie. Terima kasih sebab terima saya.”
“Dari dulu lagi auntie memang berkenankan Dani. Tapi ada aja halangannya. Tapi tak apalah. Kalau dah Allah tentukan jodoh Dani dengan Dira, lambat atau cepat termakbul juga. Insya-Allah..”

Mat Dani tersenyum malu mendengar itu. Ia. Cepat atau lambat, tiada siapa yang mampu menolak sekiranya Allah sudah berkehendak.

5 ulasan: