Selasa, 15 Disember 2015

BAB 4-8 RELAKAN JIWA

BAB 4
“KENAPA dengan kakak tu? Tak mahu bercakap kita pun?” omel Ammara saat memandang si kakak menjauh. Hairan benar. Selalunya kakaknya suka melepak dengannya. Berbual. Mengajak dia meluangkan masa di luar. Sekarang tidak lagi begitu.
“Dahlah. Jangan bising-bising. Kakak penat,” balas Fatyma. Sempat juga dia memandang Adira berlalu.
“Dira..” tegur Imran saat terserempak dengan anak itu ditangga.
“Ya, ayah.”
“Dah solat ke belum?”
“Nak solatlah ni.”
“Dira ada masalah ke? Ayah tak suka tengok Dira macam ni,” ujar lelaki itu tetap lembut.
“Tak ada apa. Dira tak ada mood aja. Dira naik dulu, ayah. Nak solat,” jawab Adira lantas meneruskan langkah ke atas.
Imran sekadar mengangguk tanpa putus memandang. Dia sedar Adira sudah banyak berubah semenjak kebelakangan ini. Suka menyendiri. Sedikit sebanyak dia bimbang. Di bawah dia melihat isterinya sedang menemani anak-anaknya membuat kerja sekolah.
“Nak makan?”
“Tak apalah. Tunggu budak-budak ni siapkan kerja sekolah dulu. Kita makan sama,” jawab Imran sambil mengalihkan kopiah di atas kepalanya. Gelagat anak-anaknya dipandang tanpa jemu.
“I nampak Dira naik ke atas tadi. Dia ada cakap apa-apa ke?”
Fatyma menggeleng semata. Sedikit helaan nafas dilepaskan saat memikirkan anak itu. Wanita itu mula bersandar di sofa sambil memandang suaminya.
“I rasa I dah buat silap tentang sesuatu.”
“Tentang apa?” Imran mula mengalihkan pandangan.
“Darius. I yang bawa dia dekat pada Dira selama ni.”
“Bukan salah you. Jangan fikir begitu. Niat you baik. You cuma nak tolong dia.”
“Kalau I tahu dia ada masalah dengan Darius, I tak akan offer dia kerja Rafi Holding. Dira, I tahu dia tak happy. Tapi dia tetap macam tu juga.”
“Masih terlalu awal untuk kita katakan dia tak happy, sayang. Orang bercinta ni ada pasang surut dalam hubungan. Itu normal.”
“No. I nampak dia dah banyak berubah, Im. I risau tengok dia begitu.”
“Kita tak berubah walaupun masa dah berlalu pergi. Nak tahu seseorang itu jujur atau tidak, pisahkan dia. Kalau dia tidak tercari-cari, bermakna hati dia tak bersungguh.” Imran menjawab sambil mengukir senyum.
Fatyma mengangguk perlahan. Namun senyum suaminya itu seolah ada sesuatu yang sedang cuba disampaikan.
“Maksud you tadi apa?”
“Keluarkan Adira dari Rafi Holding. Bawa dia masuk tempat you. Atau I boleh letak dia di bawah I. Kita tengok macam mana lepas tu.”
“I tak faham apa yang you sedang sampaikan sekarang ni.”
“Pisahkan dia dari Darius. Kita biar dia tengok kebenaran. Kalau Darius orang yang tepat, jarak tidak akan membuatkan dia terlupa. Macam kita. Bila I bertukar kerja, I rasa janggal sebab you dah tak ada depan mata. I selalu tercari-cari.”
Fatyma diam memikir idea suaminya itu. Macam menarik.
“Sesetengah orang, bila orang yang dia sayang ada depan mata dia layan sambil lewa saja. Tak bermakna dia tak sayang. Tapi kita takkan selamanya dapat berpura-pura. Biarkan dia berfikir sendiri. Kita cuma boleh tunjukkan jalan. I percaya Dira tahu buat pilihan yang tepat juga nanti,” ucap Imran tetap tenang.
Fatyma akur dengan saranan suaminya. Rasanya eloklah Adira dibawa jauh dari Darius.

“ADA khabar angin yang abang dengar Dira akan pindah ke Nusa Mahsuri?” tanya Darius sebaik sahaja tiba di hadapan meja gadis itu.
“Betul.” Adira sekadar menjawab sepatah.
“Kenapa tiba-tiba mama suruh pergi sana?”
“Entah.”
Darius diam seketika. Kemudian dia bergerak mendekati gadis itu. “Susahlah abang nak jumpa Dira kalau macam ni,” ujarnya lembut.
“Kan senang? Tak ada sesiapa ganggu abang. Nak balik lewat sampai tengah malam pun Dira tak tahu. Tak ada orang nak membebel, nak marahkan abang lagi,” ujar Adira biasa.
Darius tersenyum-senyum merenung gadis itu. “Abang suka. Ada orang ambil perhatian tentang abang.”
Adira sekadar tersenyum biasa. Tidak teruja mendengar itu.
“Mama lantik Dira sebagai pengarah?”
“Tak juga. Sekadar pengurus cabuk yang tak banyak pengalaman, manalah layak nak diletakkan sebagai salah seorang pengarah.”
“Dira akan anak kesayangan mama? Tak akan mama tak lantik sebagai pengarah?”
“Nusa Mahsuri masih tunduk pada keputusan tok pa. Tok pa masih berkuasa dalam syarikat tu. Mama tak buat keputusan sesuka hati sebab Nusa Mahsuri bukan macam Rafi Holding. Kalau tidak, antara adik beradik yang lain, takkan hanya Dira seorang saja yang bakal masuk ke Nusa Mahsuri?” ujar Adira biasa.
Darius berfikir seketika. Kalaulah dia diberi peluang menyertai Nusa Mahsuri, alangkah bahagianya hidup. Banyak peluang untuk dia membuktikan keupayaan dirinya untuk Berjaya dalam bidang korporat.
“Dira rekemenlah abang masuk sana.”
“Tak naklah. Dira tak berani. Lagipun bosan asyik tengok muka abang,” jawab Adira selamba. Tergelak Darius serta merta. Sempat pipi gadis itu dicubitnya.
“Dira tahu, kan? Abang sayangkan Dira.”
“Ia? Dah lebih lima tahun, apa buktinya abang sayang Dira?”
“Selama ni tak cukup terbukti? Abang beri apa saja yang Dira nak. Apa lagi yang kurang?”
“Abang tahu apa yang Dira nak. Jangan buat-buat tak tahu,” balas Adira lantas memandang raut lelaki yang sedang tertebeng di tepi kerusinya itu.
Spontan Darius terdiam saat menatap renungan dalam gadis itu. Dia tahu Adira sedang menduga perasaannya.
“Tak sesuai kita kahwin sekarang.”
“Jadi bila? Lepas kantoi yang abang ada perempuan lain baru sesuai?”
“Dira!” Darius mendecit kesal. Sekali lagi hal itu dibangkitkan Adira.
“Tak boleh sebut pasal tu. Abang tak suka dengar, kan? Fine!”
“Bukan macam tu. Abang memang silap. Abang salah faham pada Dira. Kita tak pernah luahkan perasaan yang ada. Abang ingat Dira cuma sayang abang sebagai abang.”
“Alasan! Pointnya sekarang, abang sendiri pun memang dah tak ada perasaan pada Dira waktu tu, kan? Sebab tu abang layan perempuan lain. Abang bagi harapan, kemudian lepas tangan. Bila Dira dah jauhkan diri abang cari Dira semula. Sekarang abang kata tak sesuai kita kahwin sekarang. Apa yang abang tunggu sebenarnya?” sambut Adira pantas.
Darius terdiam serta merta. Perangkap itu tepat mengena ke batang hidungnya. Mati kata untuk membela diri.
“Dulu Dira mengharap pada abang. Demi abang Dira sanggup ke London walaupun Dira tahu mama tak suka. Tapi rupanya dalam diam abang simpan perempuan lain di belakang Dira. Lebih dahsyat lagi abang menipu Dira. Perempuan tu dah berkawan dengan abang dah lama. Hanya Dira yang tak tahu. Abang bagi alasan abang tersilap. Abang cuma sayangkan Dira macam adik. Bila kita dah berpisah jauh, sekali lagi abang mengaku abang silap. Abang kata abang tak mampu hidup tanpa Dira. Tapi hakikatnya dulu dan sekarang tak ada beza, kan? Yang berbeza hanya Dira. Demi abang, Dira kecewakan seorang lelaki yang semenjak dulu sayangkan Dira. Bodohkan Dira ni?”
“Okay. Kita kahwin. Abang nak Dira tahu yang abang tak main-main dengan keputusan abang.” Spontan Darius terus melangkah pergi. Tidak suka mendengar nama Daniel kedengaran lagi antara mereka.
Adira menghela nafas perlahan sambil bersandar ke kerusinya. Perbualan dengan lelaki itu membuatkan moodnya berterabur. Tidak faham kenapa lelaki itu sukar mahu berterus terang tentang isi hatinya. Bosan memikirkan hal dia dan Darius, dia membelek telefon pula.
Lama tidak menjengah group what’sApp teman-teman persekolahannya dahulu. Adira mula leka. Ada lebih seribu notification menandakan sudah lama group berbual itu tidak dijengahnya. Perbualan terakhir dibaca. Tiada apa yang menarik. Skrin ditolak ke atas dan ke atas sehingga dia terlihat perbualan aneh antara beberapa orang temannya.
-Ahmad Daniel budak USM. Dulu dia sekolah Alam Shah.
+Tak kenal. Kenapa dengan dia?
-Kenal! Budak tu satu kelas dengan Kai waktu kat Alam Shah. Aku pernah buat praktikal kat tempat dia.
+Jo ada pergi ziarah.
Terbeliak luas mata Adira melihat ayat itu. Ziarah apa? Apa telah terjadi dengan Mat Dani? Laju jarinya menolak skrin naik ke atas dalam debaran dada yang kian kencang. Sehingga dia terlihat beberapa gambar diambil oleh pemilik nombor bernama Johari. Terselit gambar Mat Dani sedang duduk di tepi pusara. Pantas Adira mendail nombor Johari itu.
“Jo, gambar kat kubur tu. Siapa yang meninggal?”
“Mak si Dani. You tak tahu ke?”
“Tak! Bila, Jo?”
“Minggu lepas.”
Adira terdiam. Talian lantas dimatikan tanpa ucapan terima kasih. Kelu sekelu-kelu lidahnya. Semenjak mereka berpisah lebih empat bulan dulu dia langsung tidak ada berhubungan dengan Mat Dani. Seketika kemudian Adira mendail nombor lelaki itu pula. Namun talian tidak bersambung. Puas dia mencuba, akhirnya dia memilih untuk menghubungi mamanya.
“Mama..” tangisan Adira terus pecah ditalian.
“Kenapa ni?”
“Dani. Mak dia dah meninggal. Dira nak pergi jumpa dia,” ujar Adira dalam esakan halus.
Fatyma terdiam buat seketika. Teringat wanita itu memang berpenyakit sebelum ini. Entah bagaimana mereka boleh terlupa tentang itu.
“Tunggu sana. Mama datang. Kita pergi sekali.”
Sebaik sahaja talian dimatikan Adira menangis lagi di mejanya. Betapa besar kekesalan di pundaknya. Siapa yang menemani lelaki itu saat dia sedang sedih? Siapa yang memujuknya? Mengapa dia sebagai sahabat tidak berada dekat dikala Mat Dani diuji dengan ujian sehebat itu?
“Dani..” rintih hatinya semakin pilu.

SALAM yang diberi berberapa kali, tidak bersambut sebaliknya jiran sebelah rumah yang keluar. Dua wanita kelihatan sedang berdiri di hadapan pintu bertutup rapat.
“Cari siapa? Marlia dah meninggal seminggu yang lepas.”
“Saya baru dapat tahu pasal tu. Saya cari anak dia,” ujar Fatyma lembut.
Wanita itu terdiam seketika. Memikir sambil mengerut kening.
“Mak cik tahu tak dia pergi mana?” Adira segera bertanya.
“Entah. Dah beberapa hari dia tak balik ke sini. Kerja agaknya.”
Adira berpandangan dengan mamanya. Kerja apa sampai tak balik rumah?
“Mana dia pergi?”
“Try call dia lagi,” suruh Fatyma.
“Dah. Tak dapat,” jawab Adira perlahan.
“Tak tahu rumah sewa dia di mana?” tanya Fatyma kepada anaknya.
“Yang dulu tahulah. Yang baru Dira tak tahu.”
“Kita pergi tempat kerja dialah,” ucap Fatyma masih tidak berputus asa.
Namun sampai di pejabat Mat Dani, satu berita lagi diberitakan kepada mereka. Lebih mengejutkan.
“Dia dah lama berhenti. Jaga mak dia waktu sakit hari tu. Kami ada minta dia balik ke sini kalau dia rasa nak berkerja semula. Tapi dia tak ada datang sampai sekarang.”
Longlai tubuh Adira mendengar itu. Dani.. bisik hatinya pilu.
“Dira..” panggil Fatyma saat mereka di dalam kereta.
Adira hanya membisu mengusap pipinya. Sengaja dia memandang ke luar agar air matanya yang jatuh berkali-kali itu tidak dilihat sesiapa. Fatyma menghela nafas perlahan.
“Dira tak pernah buat apa-apa pun untuk dia. Waktu dia susah, Dira tak pedulikan dia.”
“Jangan cakap macam tu, sayang. Kalau Dira tahu dah tentu Dira pergi jumpa dia.”
Tangisan Adira terluah dalam kebisuan. Fikirannya terus diasak pertanyaan. Ke mana menghilangnya Mat Dani? Adakah lelaki itu baik-baik sahaja?
Fatyma ikut membisu. Tidak tahu pujukan seperti apa yang harus diluahkan kepada anaknya ini. Kalau benar Mat Dani begitu dekat dengan jiwa Adira, mengapa Adira masih mahu mempertahankan Darius. Itu yang dia benar-benar tidak faham.
Fatyma meminta Husin membawa Adira pulang ke rumah sahaja tengahari itu. Dia kembali ke pejabat.
Di rumah Adira terus membelek telefon. Menghubungi setiap teman-temannya yang kenal Mat Dani. Namun tiada seorang pun tahu khabar tentang lelaki itu. Sehingga dia menghubungi Opah Milah di kampong. Bertanya jika ada lelaki itu di kampong. Jawapan nenek tirinya itu juga mengecewakan.
“Dani, awak di mana?”
Dan soalan itu terus tiada jawapan.


BAB 5
“KENAPA termenung aja ni? Asyik tunjuk muka tak happy aja,” ucap Darius sambil mengerling gadis itu.
“Tak ada apa-apa. Abang ajak jumpa ni ada apa?” balas Adira sambil menjeling. Semenjak tadi hanya sekali-sekala mereka berbual. Dia lihat Darius asyik menaip di gadjetnya. Dia pun malas mahu mengganggu.
“Aik? Salah ke abang nak jumpa tunang abang?”
Ya. Dia terlupa mereka akan bernikah sedikit masa lagi. Entah kenapa dia merasa hambar sekali. Tidak mampu merasa gembira dalam keadaan hati masih begini.
“Dira, kenapa ni?” tanya Darius sambil mencapai cawan di hadapannya. Air dihirupnya sambil memandang Adira.
“Dani. Dira asyik fikirkan dia. Dah lebih lima bulan. Tak tahu apa khabar dia sekarang,” luah Adira.
Darius mula menghela nafas panjang. Dani lagi! Malas mahu mendengar dia tunduk merenung skrin tabletnya.
“Dira rasa bersalah pada dia, bang. Selama ni dia buat apa saja untuk Dira.”
Terbakar hati lelaki seorang itu mendengar itu. Ialah. Selama ini Dani seorang sahaja yang buat apa sahaja untuk Adira. Dia tidak.
“Dira nak cari dia sampai jumpa.”
“Dah tak jumpa sudahlah. Tahulah dia jaga diri tu. Anak jantan apa nak risau?” ujar Darius sekadar sambil lewa.
Spontan Adira menghela nafas bosan. Dia bercakap, Darius asyik membelek gadjetnya. “Boleh tak abang berhenti fikir soal kerja buat seminit dua?”
Darius segera memandang gadis di hadapannya itu. “Apa dia? Cakaplah apa nak cakap. Abang dengar.”
“Jawab macam nak tak nak aja!”
Lelaki itu mula menghela nafas panjang. “Dira cakap pasal Dani, kan? Siapa abang ni? Abang lagi penting ke Dani lagi penting? Ada mana-mana lelaki suka bila buah hati dia asyik bercakap pasal lelaki lain?”
Adira terdiam pula. Kata-kata itu tertempek tempat ke wajahnya. Mungkin dia tidak sensitive dengan perasaan lelaki ini.
“Dira cuma risaukan dia.”
“Macam yang abang cakap tadi, dia bukan budak kecil. Dia tahu jaga diri. Dan dia lelaki. Tak perlu fikir terlebih sangat. Berhenti cakap pasal Dani. Abang tak suka nama dia timbul setiap kali kita habiskan masa bersama.”
Sudahnya Adira membisu. Membisu sesungguhnya dek kerana Darius masih sibuk dengan gadjetnya. Buah hatilah sangat! Argh! Sakitnya hati. lebih baik aku peluk bantal kat rumah daripada jadi tunggul kat sini.
“Eh! Nak pergi mana pulak ni?”
“Abang sibuk, kan? Dira balik dulu. Layanlah klien tu sampai muntah!” getus Adira lantas mencapai beg tangannya.
“Dira, hei! Sini dulu, sayang.” Darius cepat-cepat mencapai tangan Adira. Cepat-cepat dompet dicapainya. Not lima puluh diletakkan di atas meja sebelum dia menarik gadis itu pergi.
“Abang hantar balik,” ucap Darius lembut.
Muncung mulut gadis itu saat masuk ke kereta. Darius mula menggaru kepalanya. Merajuk lagi!
“Abang minta maaf. Abang ada kerja penting.”
Spontan Adira ketawa sinis. Itu alasan lapuk. Sudah acap kali didengari.
“Dira, janganlah macam ni. Abang minta maaf, sayang. Abang memang tak pandai jaga hati Dira,” ujar Darius lantas meraih tangan Adira. Namun Adira kembali menarik tangannya.
“Dira, pandanglah sini. Kan abang dan minta maaf ni?” pujuk lelaki itu lantas meraih dagu Adira.
Buat seketika Adira terkaku dipanah renungan lunak lelaki itu. Sebahagian hati sudah mula layu lagi. Sehinggalah saat Darius hampir sahaja menyatukan bibir mereka berdua. Dia tersedar. Sepantas kilat dia berpaling. Tubuh lelaki itu ditolaknya.
“Dira..” keluh Darius perlahan. Kecewa.
“Abang buat apa ni??” tekan Adira benar-benar terkejut.
“Apa? abang cium tunang abang. Salah ke?” jawab Darius selamba sambil menukar kedudukan gear. Kereta diundur keluar dari petak pakir.
Turun naik dada Adira memandang gelagat tidak bersalah lelaki itu. Kelat sekelat-kelatnya perasaan Adira kala itu. Biadap sungguh lelaki ini. Langsung tidak merasa bersalah memperlakukan dia semurah itu. Mereka berdua membisu sehingga kereta lelaki itu berhenti di hadapan rumah keluarga Adira.
“Marah lagi ke?” ujar Darius sambil menoleh ke sebelah.
Adira sekadar membisu memandang luar. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba kemaruk nak bercium! Dah kena sapa dengan malaikat maut agaknya, kutuk hatinya marah.
“Sayang, janganlah marah.”
“Dira keluar dulu.” Spontan pintu cuba dibuka. Namun masih berkunci.
“Nantilah dulu.”
“Buka pintu ni. Abang jangan nak kurang ajar dengan Dira,” ugut Adira benar-benar serius.
“Kenapa marah sangat ni?”
“Kenapa?? Lepas apa yang abang buat, abang tanya kenapa Dira marah? Dari dulu Dira ajak kahwin, abang selalu mengelak. Tapi buat dosa, abang tak rasa bersalah. Abang ingat Dira ni apa? Soalan abang yang Dira tak boleh lupa, salah ke abang cium tunang abang? Seriously?”
Darius menghela nafas perlahan. “Inilah bahananya kalau suka sangat ingat si Dani tu. Semua benda tentang abang buruk aja,” keluh Darius.
“Ini tak ada kena mengena dengan dia. Dira Cuma nak tanya, dah biasa ke buat macam tu dengan perempuan lain??” tekan Adira dalam rasa marah yang semakin menggila.
“Kenapa nak tuduh abang macam ni??”
“Dira tanya. Tuduh dengan tanya pun dah tak tahu beza? Sudahlah! Sakit jiwalah bercakap dengan abang ni.” Spontan Adira mencapai punat dipintu bahagian Darius. Kemudian pintu sebelahnya segera dibuka.
“Dira..” panggil Darius sekali lagi. Namun gadis itu menonong terus ke pintu pagar.
“Angin tak habis-habis! Baru pegang sikit dah nak marah,” gerutu Darius seorang diri sambil menggerakkan keretanya pergi.



Bab 6
“ANGAH, mak lang rindu dengan angah. Sini kat mak lang. Alah.. nembamnya anak buah mak lang ni.” Anak kecil itu diambil dari pelukan Melly. Pipi gebu Maryam dikucup gemas. Tergelak-gelak anak kecil itu kegelian.
“Mama mana?” tanya Naufal sambil memandang ke dalam rumah.
“Ada kat dapur tu.”
“Kak Mel pergi dapur sekejap ya?” ucap Melly. Anak itu dibiarkan bersama Adira.
“Sini, Ucop.” Ajak Adira kepada anak sulung abangnya itu.
“Nak ikut mama..”
“Pergilah. Tapi jangan kacau mummy dengan tok ma junior ya?” pesan Naufal lembut. Tergelak Adira mendengar gelaran tok ma junior itu. Tok ma adalah panggilan untuk tok ma mereka. Anak-anak buanya sudah terikut memanggil neneknya begitu. Sudahnya mamanya digelar tok ma junior oleh abang-abangnya.
“Abang Ryan ada cerita apa-apa kat Dira?”
“Cerita apa?” tanya Adira sambil melabuhkan duduk di sofa.
Naufal memandang ke dalam seketika. “Ayah mana?” tanya Naufal separuh berbisik.
“Ayah pergi tesko kejap. Beli barang. Kenapa? Ceritalah cepat!” getus Adira sudah tidak sabar.
“Abang Ryan gaduh dengan Darius. Dira tahu tak?”
Sentap Adira mendengar itu. Apa hal pula abangnya bergaduh dengan lelaki itu?
“Bila?”
“Dah lama dah. Sampai sekarang tak bertegur.”
“Pasal apa? Dira tak tahu apa-apa pun?”
“Darius ada buat something yang Abang Ryan tak suka. Dia bawa petender keluar tanpa kebenaran. Belanja makan minum segala bagai. Kira melobilah ni. Kantoi dengan abang Ryan bila dia cuba claim pada syarikat bil restoran kat hotel. Lepas tu baru-baru ni dia buat lagi. Kali ni dia bawa klien pergi kelab pulak. Mama marah Abang Ryan sebab biarkan. Lagi berbululah abang Ryan dengan Darius tu. Tak tahu apa niat dia bawa klien pergi kelab.”
“Really?” terbuntang sedikit mata Adira mendengar itu.
Naufal mengangguk perlahan. Adira terus berdiam dan berdiam. Teringat lelaki itu memang sering menghabiskan malam di luar.
“Abang pun dah tak sukalah Darius tu, Dira. Jangan kahwin dengan dialah. Susah tau kalau satu famili tak ngam ni,” hasut Naufal kepada adiknya itu.
Adira hanya membisu. Aktiviti memuakan klien atau petender sememangnya pantang besar dalam keluarganya kerana prinsip mereka berurus niaga bertentangan dari itu. Paling tidak pun mamanya sering membawa klien atau petender berbincang di luar bersama kakitangan syarikat mereka. Kalau dah pihak mereka mengatur pertemuan di luar, masakan bil nak bayar asing-asing pula, kan? Semuanya dibuat secara rasmi dan telus. Bukannya individu itu pergi melobi untuk mendapatkan projek secara diam-diam. Tapi tidak dengan membawa ke kelab hiburan atau memberi hadiah dengan niat lain di sebaliknya.
Kalau dah halal dan haram bercampur gaul, bagaimana dengan nasi yang disuap masuk ke mulut mereka nanti? Dan lelaki itu akan menjadi suaminya. Yang akan menanggung makan dan minumnya.
“Dira?” tegur Naufal lembut.
“Ya.” Adira terus menoleh kepada abangnya.
“Dira jangan marah Abang Ryan pulak. Dalam soal kerja dia memang serius. Sekali kalau dia dah tak percaya, susahlah orang tu. Itu prinsip dia. Kita kena terima,” ujar Naufal.
“Tak. Dira tak ambil hati pun,” jawab Adira dengan sedikit senyuman cuba menyembunyikan hati yang ralat.

“MANA Darius?” tanya Adira sebaik sahaja muncul di pejabat Rafi Holding pagi itu.
“Belum masuk, Cik Dira. Ada apa?” jawab pembantu lelaki itu sedikit terkejut.
Adira terus menolak pintu kamar lelaki itu tanpa mempedulikan pandangan wanita itu. Kemudian pintu itu ditutupnya. Sambil duduk di kerusi, laci meja Darius dibuka. Berkunci!
Pantas dia menyelongkar pula satu bahagian lain. Ada surat-surat milik lelaki itu. Dia terlihat satu surat berlambang bank. Laju tangannya membuka. Agak tebal. Rupanya di dalamnya terselit segala macam resit kad kredit lelaki itu. Satu persatu resit itu diperiksa. Berkali-kali dan kadang kala berulang-ulang untuk melihat waktu kad kredit digunakan.
“Dira?”
Adira terus memandang ke pintu. Darius sudah muncul di situ.
“Right on time!” balas Adira sambil dia bangun.
“Kenapa ni, sayang?” mata Darius sempat memandang sampul ditangan Adira. Liurnya ditelan payah.
“Tolong tutup pintu. Dira tak mahu orang lain dengar perbualan kita,” ucapnya sambil meletakkan semula resit-resit itu di atas meja Darius. Lelaki itu akur juga.
“Maaf, Dira ceroboh barang peribadi abang. Sekadar nak dapatkan kepastian sebab terlalu banyak yang Dira tak tahu tentang abang sebenarnya. Dira rasa. Abang tak rasa begitu?”
“Abang tak faham apa Dira cakapkan ni.”
Adira mengambil sekeping resit lama itu. Lama matanya memandang apa yang tertera di atas bil itu. Kemudian diambil yang lain sehingga dia ketemu satu resit lain.
“Tolong jelaskan ni apa?”
Darius mengambil resit itu. “Emm.. ni abang terpaksa ambil bilik sebab dah penat sangat. Tak larat nak balik,” ujar Darius perlahan.
Adira mengangguk perlahan. Resit yang dipegangnya tadi diambil semula.
“Dan yang ni? Tarikh yang sama. Hotel yang sama.”
“Ni.. ni bukan abang yang punya, sayang. Ni kawan abang yang minum.”
“Abang yang bayar?”
“Abang belanja dia. Dia non muslim. Apa masalahnya?”
Adira terdiam mendengar itu. Apa masalahnya membelanja orang menikmati minuman haram itu? Tidakkah lelaki ini sedar hukum agama tidak boleh dibuat main sesuka hati demi kepentingan sendiri? Apatah lagi tiada keperluan membelanja pihak lain dengan minuman yang mahal itu.
“Dira dah penat dengan terlalu banyak persoalan tak berjawab selama ni, bang. Apa abang buat di belakang Dira, Dira tak tahu biarpun Dira tunang abang. Dira malu pada mama.”
“Dira..” Darius tercengang saat melihat Adira meletakkan sebentuk cincin di atas meja itu.
“Dira tak suka orang tak jujur. Biarlah Dira menangis sekarang. Asal jangan merana kemudian hari. Dira anggap Dira dah tersilap tentang abang. Dira pulangkan semula cincin ni. Janji kita untuk hidup bersama, terbatal serta merta. Dira akan beritahu ayah tentang keputusan Dira.”
“Dira, jangan buat abang macam ni. Kita nak kahwin lagi dua bulan, sayang!” kelam kabut Darius menahan gadis itu dari berlalu.
“Hatta tarikh nikah kita esok sekalipun, Dira tetap akan batalkan.”
Darius terpaku semacam tidak percaya dengan keputusan Adira. Sudah nekad!
“Abang tahu sesuatu? Keluarga Dira tak seperti orang lain. Kami ada prinsip. Mama bukan orang yang tamak. Kalau mama tamak, dia tak peduli pada keluarga abang lepas abang Idrus meninggal. Kami tak makan dari sumber haram. Tapi abang tergamak ikut jalan pintas. Sekali dah ditegur, abang buat senyap-senyap. Abang lupa ke yang Allah tahu? Macam mana Dira nak ambil seorang lelaki yang tak membezakan hasil antara yang halal dan haram menjadi suami sedangkan kehidupan Dira akan bergantung pada dia? Abang dah terlalu banyak berubah. Darius yang Dira kenal lebih lima tahun dulu dah tak ada lagi. Mungkin. Dunia belajar tak sehebat mana, kan? Inilah dunia nyata yang membentuk diri kita akhirnya. Dira pernah terlalu sayangkan abang. Tapi hari ni perasaan Dira jadi amat tawar. Dira tak tahu macam mana nak hidup dengan abang dalam keadaan kita begini. Sejujurnya Dira memang dah tawar hati sangat bila abang tak minta maaf lepas apa yang abang cuba buat pada Dira hari tu. Dira kecewa. Abang anggap agama tu hanya mainan sedangkan kehidupan Dira, dididik keras melalui agama.”
“Dira, abang minta maaf. Abang akan berubah, sayang.”
Adira memandang wajah lelaki itu seketika sambil menghela nafas.
“Dira dah boleh bayangkan kehidupan Dira suatu hari nanti jika Dira terus bersama abang. Mama pernah menangis kerana seorang lelaki yang lupa diri bila mendapat kekayaan. Dira tak mahu menangisi peristiwa yang sama. Jadi cukuplah kita setakat ini. Dira dah nekad, bang. Cuma Dira teramat kesal tentang sesuatu. Kebodohan Dira sendiri. Dira hilang seorang sahabat kerana cinta yang membutakan mata hati. Ketika di London dulu Dira balik sebab hati Dira terlalu terluka dengan abang. Selama ni apa saja yang kita ada hanya main-main bagi abang. Dalam keadaan hati Dira masih rapuh, seorang lelaki setia dekati Dira. Ubati hati Dira. Tapi tiba-tiba abang datang semula. Abang tahu Dira lemah. Abang tahu Dira dan Dani bukan sekadar kawan biasa. Tapi abang sengaja buat Dira serba salah. Dira tak salahkan abang. Dira salahkan diri Dira sebab terlalu naïf.  Dani tak pernah bencikan abang. Tapi abang?”
“Dira..” Darius mengejar gadis itu keluar sehingga ke lif.
“Dira, beri abang peluang sekali lagi.”
“Cukuplah. Dira tak mahu abang merayu-rayu pada Dira. Carilah apa yang abang nakkan sangat dalam hidup abang. Dira tak akan jadi penghalang. Selama ni pun Dira tak penting pada abang. Yang penting hanya cita-cita abang. Jadi cukuplah kita setakat ini.” Gadis itu terus masuk ke lif.
Darius terpaku memandang Adira lenyap dari pandangannya. Entah kenapa dunianya terasa seperti sudah runtuh. Semuanya seperti mimpi. Dan seluruh tubuhnya terasa longlai. 

BAB 7
“CIK ADIRA, Encik Darius di talian. Dia nak bercakap dengan cik. Boleh saya sambungkan?”
“I busy,” ucap Adira sepatah. Malas mahu melayan apa-apa panggilan dari lelaki itu buat masa ini. Kerjanya diteruskan seperti biasa tanpa mahu memikirkan lelaki seorang itu. Namun kali itu mamanya pula yang memanggil dia menghadap.
“Hai, ma..” sapa Adira sambil merapatkan pintu.
“Busy?”
“Macam biasa. Ada apa, ma?”
“Duduklah dulu,” ujar Fatyma lembut. Adira terus menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Fatyma.
“So, macam mana setakat ni? Boleh sesuaikan diri?”
Adira ketawa perlahan. “Dah berbulan baru mama nak tanya sesuai ke tak,” cebir Adira sedikit manja. Fatyma ikut ketawa seketika.
“Mama rasa macam mimpi. Tak lama lagi mama nak sambut menantu lelaki pulak,” ujar Fatyma lembut. Senyum Adira memudar perlahan-lahan mendengar itu. Ada sesuatu yang mamanya masih belum tahu.
“So, mama nak bagitahu, lusa mama kena pergi Cambodia. Mama nak Dira ikut mama sekali.”
“Nak buat apa pergi sana? Malaslah, ma.”
“Eh! Sedap-sedap aja jawab malas. Ini soal kerja. Nak tak nak kena pergi. Jangan bagi alasan mengarut. Temankan mama. Tiga hari aja.”
Adira menghela nafas perlahan. Ada ke ajak dia ke Cambodia? Boring. Apa yang menarik tempat itu?
“Dira..” tegur Fatyma.
“Ya..”
“Jangan banyak sangat termenung. Orang nak kahwin ni kena happy-happy. Ni monyok aja. Susah hati mama tengok Dira asyik macam ni.”
Adira meraup wajah perlahan. “Ma, kalau Dira cakap sesuatu mama jangan marah ya? Janji jangan marah.”
“Apa dia?”
“Dira tak nak kahwin, ma. Dira nak mintak putus.”
“Ha??” tersentap Fatyma mendengar permintaan anak itu.
“Kenapa ni?” tanya Fatyma mula tidak sedap hati. Keceriaan di wajahnya berubah serta merta.
“Entahlah. Dira dah bosan. Hati Dira dah kosong,” ucap Adira sambil membuang pandangan ke arah cermin sana. Memandang awan. Jika berharap itu lebih menyeksakan dari putus asa, biarlah dia berputus asa sahaja.
Fatyma terus-terusan merenung tampang mendung anak itu. Kerana Darius, anak ini kerap dirundung malang. Dia simpati.
“Cakap dengan mama. Kenapa tiba-tiba buat keputusan macam ni?”
“Dira cuma tak boleh terima bila ada seseorang cuba melawan prinsip keluarga kita.”
“Maksud Dira?” kening Fatyma berkerut.
“Abang Ryan marah dengan Darius tentang sesuatu.”
“Tentang bawa klien pergi kelab tu ke?” teka Fatyma pantas. Adira mengangguk.
“Hal tu dah selesai, kan? Kenapa nak besarkan lagi? Dia tak sengaja. Dia tak tahu kita tak amalkan benda begitu selama ni.”
“Dira cuma tak boleh terima bila tengok bil kad kredit dia terselit sama alcohol. Dia tahu itu tak dibolehkan. Dia tak buat sebab mama yang larang. Bukan sebab dia tahu kita semua tak boleh makan hasil dari sumber haram. Dan dia akan jadi suami Dira.” Di akhir kata Adira ketawa entah kenapa. Kecewa mengenang itu. Dia tidak sangka fikiran Darius secetek itu. Biarpun klien yang dibelanja alcohol itu bukan beragama islam, tetapi mereka tetap tidak pernah mengamalkan sikap begitu.
Fatyma diam pula.
“Sikap dia kadang-kadang mengingatkan Dira pada seseorang. Dia terlalu dahagakan kejayaan.”
“Siapa?”
“Arwah papa.”
“Dira dah fikir masak-masak ke? Masuk kali ni dah dua kali putus tau. Mama tak terima untuk kali ke-tiga.”
“Mama tak perlu terima dia untuk kali ke-tiga. Dia tak sesungguhnya sayangkan Dira. Ada yang lain lebih penting dalam hidup dia. Biarlah dia cari kehidupan dia sendiri. Dira Cuma nak teruskan hidup dalam keadaan aman. Dira tak suka hidup macam ni,” ujar Adira lembut. 
“Well.. mama tak boleh paksa Dira sekiranya itulah kehendak Dira. Mama terima dengan lapang dada apa saja keputusan Dira. Sekurang-kurangnya Dira dapat melihat sesuatu di sebalik semua ni,” ujar Fatyma tenang sahaja.
“Mama akan cakap dengan ayah?”
Fatyma mengangguk perlahan.
“Tapi sebenarnya Dira dah pulangkan cincin pada Darius. Secara tak rasminya, Dira dah tak ada apa-apa lagi dengan dia. Dan Dira tak akan terima cincin tu semula.”
“Kenapa buat macam ni, sayang? Sepatutnya Dira berbincang dulu dengan mama dan ayah.”
“Dira tahu. Dira minta maaf, mama. semalam Dira dah tak boleh kawal perasaan. Dira rasa benci sangat,” ujar Adira rendah.
Fatyma menghela nafas perlahan. Dia tahu hal itu tidak boleh ditangguhkan. Sudahnya selepas pemergian Adira, Fatyma menelefon anak sulungnya. Meminta cincin itu dikembalikan kepada mereka. keluarga Darius pernah datang meminang Adira dengan cara baik. Jadi seharusnya dia memulangkan cincin itu dengan cara baik berserta gantiruginya sekali.

TIGA hari di kota Phnom Penh.
“Ma, pergi central Market sempat tak?”
“Dahlah tu. Dah nak balik ni. Satu beg aja dah penuh dengan kain. Nak buat jual ke apa? Tamak betul!”
Adira ketawa perlahan. “Cantik-cantik kain sutera kat sini, ma. Geram betul!”
“Tak sempat dah. Pukul 1 dah nak pergi airport. Lain kali ajak ayah datang sini. Kita datang ramai-ramai.”
Mahu tidak mahu Adira akur juga dek kerana kekangan masa. Sudahlah esok dia bekerja.
Jam 1 tengahari itu mereka bergerak ke lapangan terbang dengan kenderaan hotel. Di hadapan pintu masuk lapangan terbang itu, dia, mamanya dan seorang lagi kakitangan syarikat menunggu beg dikeluarkan dari kereta. Pemandu itu berlari anak mendapatkan troli buat mereka. sementara itu Adira sempat memandang sekeliling.
Dia terpandangkan sebuah teksi berhenti selang satu kereta di belakang mereka. dia sekadar memandang kosong sehingga dia ternampak seorang lelaki keluar dengan beg galas belakang yang agak besar. Susuknya agak serupa dengan seseorang yang dicarinya selama ini. Lelaki itu tunduk seketika sambil bercakap dengan pemandu teksi. Dan saat lelaki itu berpaling mencari troli, barulah wajahnya kelihatan jelas.
“Dani!” jerit Adira serta merta. Langsung tidak ada rasa malu. Dan dia menggelupur meninggalkan mamanya di situ.
“Dani!” panggil Adira saat mengejar lelaki itu. Spontan lelaki itu menoleh. Mereka terpaku serentak. Jelas sekali lelaki itu terkejut melihat Adira di situ.
“Saya cari awak,” ucap Adira. Hampir sahaja dia mahu menangis saat itu.
“Dira?” ucap Mat Dani masih dibaluti rasa terkejut. Tidak percaya mereka akan bertemu di situ.
“Saya cari awak selama ni. Kenapa awak hilang macam tu aja?”
Entah bagaimana bahu lelaki itu melurut jatuh. Bertemu semula dengan gadis itu bukan satu kegembiraan yang perlu dirai. Tetapi satu lagi episode perit bagi dirinya. Dia tahu Adira tunangan orang.
Wajah Mat Dani berubah saat terpandangkan mama Adira mendekati mereka. liurnya ditelan pahit.
“Auntie,” sapa Mat Dani.
“Dani apa khabar?” tanya Fatyma lembut.
“Sihat,” jawab Mat Dani agak payah.
“Auntie pun ada tercari-cari Dani lepas auntie dapat tahu mak Dani meninggal. Kenapa tak beritahu kami?”
“Saya malu nak menyusahkan orang, auntie. Tak apalah. Semua tu dah lepas,” ujar Mat Dani perlahan.
“So, ni Dani nak ke mana?”
“Saya nak balik KL.”
“Thai Airways?”
Dani segera mengangguk.
“Samalah kita. Kan, Dira?” ucap Fatyma lantas menyenggol anaknya yang terpaku begitu sahaja. Langsung tidak bersuara. Mat Dani memandang Adira seketika.
“Silakan, auntie.”
Adira menolak troli ke arah pintu masuk sambil diekori lelaki itu. Entah bagaimana janggal pula rasanya. Mat Dani tidak lagi seperti dulu. Di belakang, lelaki muda itu hanya memandang gadis itu. Di dada ada rasa rindu yang teramat sarat. Namun layakkah dia meluahkannya?
Sebelum ke kaunter perlepasan mereka berhenti di kaunter pengimbas bagasi. Ramai orang sedang beratur. Terpaksalah mereka juga beratur menanti giliran. Perlahan Adira menoleh ke sebelahnya. Mat Dani sedang berdiri memegang troli.
“Dani apa khabar?”
“Saya baik-baik aja.”
Adira mengangguk perlahan. “Dani kerja kat mana sekarang?”
“Cyberjaya.”
“Bercuti ke kat sini?”
Mat Dani mengangguk. Seterusnya kelu lidah Adira untuk mengatur bicara. Sepatah-sepatah sahaja balasan lelaki itu. Macam tidak suka berjumpa dia semula. Beberapa minit menunggu barulah mereka dapat bergerak ke hadapan. Namun terpaksa menunggu lagi.
“Dani, Dira minta maaf. Waktu mak Dani meninggal, Dira tak datang ziarah Dani.”
“Tak apa. Saya tak ambil hati.”
Adira mengangguk perlahan. Hanya itu. Seolah skrip drama yang sudah dihafal awal bicara Mat Dani. Beberapa minit mereka membisu sebelum Adira menanyakan soalan lagi.
“Dani duduk kat mana sekarang?”
“Rumah sewa,” jawab Mat Dani biasa sambil menolak trolinya ke hadapan. Begnya diangkat naik ke atas mesin pengimbas. Kemudian dia membantu mengangkat beg Adira dan Fatyma ke atas mesin itu. Adira terus-terusan memandang kedinginan lelaki itu. Seterusnya dengan troli kosong mereka bergerak ke hujung mesin itu untuk mengutip bagasi mereka.
“Kat mana?”
“Kat mana apa?” Mat Dani menoleh.
“Awak duduk kat mana? Saya tahu awak dah tak duduk rumah mak awak.”
Mat Dani diam. Beg yang sudah keluar mesin pengimbas itu diambil lalu diletak atas troli. Kemudian beg Adira pula diangkat lalu diletakkan di atas troli milik Adira.
“Ada lagi barang?” tanya Mat Dani. Renungan gadis itu tidak dipedulikannya.
“Tak ada,” cebir Adira perlahan.
“Saya tak mahu kacau tunang orang. Nanti mata saya yang lebam. Auntie, saya pergi dulu ya?” ujar Mat Dani sambil memandang dua wanita itu bergilir.
“Ialah,” jawab Fatyma perlahan.
Turun naik dada Adira melihat Mat Dani berlalu bergitu sahaja. Spontan buku di tangannya dilemparnya kepada lelaki itu.
“Dira!” getus Fatyma terkejut dengan perbuatan anaknya itu.
“Sakit hati. Macam bercakap dengan tunggul!”
Mat Dani menoleh semula ke belakang. Passport dan boarding pass milik gadis itu diambil semula dari atas lantai. Baru sahaja mahu dipulangkan, dengan muka tidak berperasaan Adira menolak trolinya tanpa mengambil semula passport miliknya itu. Mat Dani terus memandang Fatyma.
“Jangan ambil hati, Dani. Dia minta perhatian tu..” ucap Fatyma sambil mengambil semula passport itu dari tangan Mat Dani.
Terkeruk-keruk lelaki itu memandang Adira semakin menjauh. Sudahnya dia mengekori dua wanita itu untuk menyimpan beg di kaunter.
Selesai urusan di kaunter, mereka mencari tempat duduk sementara menunggu waktu penerbangan. Sambil itu Fatyma bertanya tentang urusan anak muda itu di kota Phom Penh ini.
“Waktu arwah mak meninggal hari tu, dia ada beri dua bidang tanah di kampong asal dia dalam salah satu mukim di Kampong Cham. Saya pergi cari kampong dia. Tapak rumah milik arwah datuk saya, masih ada. Tapi sebidang lagi tanah sudah diusahakan orang. Tapi orang tu memang dah lama tunggu kedatangan saya. Dia bayar semula sewa tanah tu dan dia berniat nak beli tanah tu untuk dia usahakan. Saya jualkan. Duit tu saya gunakan untuk baiki rumah arwah datuk saya untuk dijadikan madrasah. Tapak rumah tu saya wakafkan. Saya nak madrasah tu digunakan untuk perkara kebaikan. Sekurang-kurangnya pahalanya dapat kepada arwah mak dan ayah. Sebab tu saya selalu ke sini. Saya datang tengok madrasah tu.”
Fatyma mengangguk perlahan mendengar itu.
“So, dah siap ke madrasah tu?”
“Hampir siap. Saya tak mampu nak sumbang apa. Itu aja yang termampu, auntie. Orang kampung tu baik-baik belaka. Tapi sangat mundur. Kesian tengok. Sekurang-kurangnya nasib saya lebih baik. Mak dan ayah saya sekolahkan saya sampai universiti. Orang di sini ramai yang tak berpeluang begitu.”
Fatyma mengangguk perlahan. Kagum benar dia dengan anak muda itu. Kagumlah. Sememangnya semenjak dulu dia berkenankan Mat Dani. Tapi Adira sibuk berkenankan Darius. Terpaksalah dia terima sahaja. Namun sejujur perasaannya dia kagum. Apa yang dikejar Mat Dani diusia begini? Bukan nama hebat dalam bidang korporat. Demi ibu dia melepaskan tugas sebagai seorang arkiterk.
“Dani kerja dengana auntie, nak?”
“Ha? Tak mahulah saya, auntie. Saya dah cukup selesa di tempat sekarang. Terima kasih banyak.”
“Tak mahu sebab tak berminat atau ada sebab lain?” tanya Fatyma dengan sedikit senyum.
Mat Dani diam memandang lantai. Banyak sebabnya. Diaa tidak suka bergantung kepada orang. Dan salah satu sebab yang paling bersar sudah tentulah kerana Adira. Melihat Mat Dani asyik terjeling-jeling ke arah Adira, Fatyma segera menyenggol anaknya itu. Seperti tadi muncung Adira sudah terkedepan. Tak habis lagi merajuk.
Adira menoleh sedikit. “Apa?”
“Boraklah dengan Dani ni. Asyik mama aja yang bercakap,” ujar Fatyma geram dengan gelagat anak daranya itu.
“Dia bukan nak bercakap dengan Dira pun,” ucap Adira sambil menjeling lelaki itu.
Mat Dani menoleh sekilas saat telinganya diterpa perlian itu. Namun dia memilih untuk bersabar.
“Ada masalah bincanglah bagus-bagus. Mama tak sukalah gaduh-gaduh macam ni. Kawan dah lama, tiba-tiba jadi renggang,” ujar Fatyma buat dua manusia itu sebelum dia bangun dari situ.
Sepeninggalan Fatyma, kedua-duanya masih bungkam. Adira buat-buat tidak peduli tetapi fikirannya penuh dengan lelaki itu. Geram. Sakit hati melihat muka tidak beremosi Mat Dani.
“Bila nak kahwin?” tanya Mat Dani perlahan.
“Tak ada orang sudi nak kahwin macam mana? Yang bagi harapan palsu banyaklah. Bukan setakat seorang, dua-dua pun sama dua kali lima aja! Okaylah tu. Tak kahwin pun tak apa,” ujar Adira sambil menjeling.
Berdesing telinga Mat Dani diperli lagi oleh Adira. Terkebil-kebil matanya memandang susuk gadis itu bertompang kepala di penyandar kerusi sambil memandang ke arah orang ramai.
“Saya tahu dia boleh jaga awak lebih baik dari saya.”
“Really? Mana awak tahu? Awak kenal dia ke?” spontan Adira memandang Mat Dani.
“Saya tak kenal dia. Tapi awak kenal dia, kan?”
“Pointnya sekarang, dia tak rampas perempuan yang awak sayang. Tapi awak sendiri yang rela serahkan. Awak tinggalkan saya macam tu aja hanya sebab dia dah balik ke sini. Saya takkan merayu kepada lelaki yang tak mahukan saya, Dani. Saya tahu saya tak layak!”
“Dira, bukan begitu..” keluh Mat Dani perlahan. Namun dia tunduk. Tidak tahu apa yang harus diluahkan kepada gadis ini.
“Awak tunang orang. Apa lagi yang perlu saya cakap? Berdosa ganggu hubungan orang lain.”
Kali itu Adira tunduk meraup wajahnya. Mahu mengaku yang dia sudah memutuskan hubungan dengan Darius dia terasa malu. Bimbang Mat Dani tersalah anggap kepadanya. Dia tidak melakukannya kerana Mat Dani. Tetapi kerana dirinya sendiri.
“Saya tak suka keadaan macam ni, Dani.”
“Perasaan rasa terkurung? Macam ada kematian.” Spontan Mat Dani memandang gadis itu. Adira mengangguk dengan helaan nafas panjang.
“Awak ingat semuanya tentang saya?” tanya Adira tatkala lelaki itu menunduk merenung lantai. Seorang lelaki yang begitu memahami dirinya, jiwanya.
“Saya selalu ambil tahu tentang awak walaupun kita jauh.”
“Tak adil awak buat saya macam ni. Saya tak tahu awak di mana. Saya tak berpeluang bercakap apa yang saya nak cakap. Saya nak minta maaf, Dani. Saya tak berniat langsung nak melukai hati awak. Saya sepatutnya cakap dengan awak waktu kita di tepi pantai hari tu. Tapi saya cuma berdiam. Saya biarkan awak pergi.”
Mat Dani mengangguk perlahan dengan sedikit senyuman. “Saya faham. Saya pergi jauh dari awak sebab saya tak mahu awak terus serba salah. Saya pandang awak dari jauh sekadar untuk pastikan yang awak betul-betul bahagia dengan dia. Dia jaga awak dengan baik.”
Terpaku Adira memandang lelaki itu. Bukankah itu makna reda? Membiarkan orang yang disayangi bahagia biarpun terpaksa merelakan orang lain yang berada di tempat itu.
“Dia mampu beri segala-galanya pada awak. Saya tak macam tu. Saya cuma hidup seadanya, Dira. Saya dah dia macam langit dan bumi. Dia sesuai jadi menantu mama awak. Orang korporat yang berjaya,” luah Mat Dani perlahan. Walaupun pahit, namun dia sedar siapa dirinya.  
“Saya tak perlu dia jika saya nak segala-galanya dalam hidup saya.”
Spontan mereka berdua mengalihkan pandangan ke arah yang sama. Pengumuman keberangkatan sudah kedengaran. Serentak mereka berdua bangun. Fatyma melambai dua manusia itu agar bergerak bersama.
“Mama tak suka Darius pun,” bisik Adira saat berada di sisi Mat Dani.
“Ia ke?” tanya Mat Dani bersungguh.
Adira tersenyum-senyum sendiri. Dia tahu sangat mamanya. Siapa manusia yang banyak menasihati dia supaya menerima Mat Dani dahulu kalau bukan mamanya? Mereka bergerak mendekati pintu perlepasan sehingga pesawat selamat terbang di udara. Adira duduk bersama mamanya sementara Mat Dani entah di mana.
Panas buntut Adira duduk di sebelah mama. Kerusi kelas business itu terasa amat tidak menyelesakan pula. Resah tidak menentu.
Melihat anak itu asyik terpaling ke belakang, Fatyma sempat menepuk paha Adira. Spontan Adira menoleh kepada mamanya. Wanita itu hanya selamba sahaja sambil membaca tafsir Al Quran.
“Apa?” tanya Adira.
“Behave sikit. Tak lari gunung dikejar,” balas Fatyma tanpa memandang sang anak.
“Dira tengok orang tulah, mama.”
Fatyma menoleh dengan pandangan ekor mata. Ialah sangat! Terkulat-kulat Adira menahan malu ditegur mamanya.
Mereka transit di Bangkok selama dua jam. Masa dihabiskan Adira di kedai cenderamata. Mat Dani diseretnya sana sini sehingga lelaki itu keletihan. Kemudian mereka duduk minum kopi.
“Dani tak mahu bagitahu Dani tinggal kat mana?” tanya Adira sambil memandang raut sedikit menunduk di hadapannya itu.
“Kenapa nak tahu?” tanya Mat Dani selamba.
“Tak boleh ke saya nak melawat awak nanti?” cebir Adira perlahan.
Mat Dani terus membisu tidak menjawab soalan itu.
“Tak suka sudah. Rumah pun kedekut tak mahu bagitahu.”
Mat Dani mula memandang gadis itu. Wajah Adira cemberut membuatkan dia ketawa perlahan.
“Saya tak suka perempuan datang rumah bujang saya. Nak-nak lagi perempuan yang saya suka,” ujar lelaki itu perlahan.
“Kenapa?”
“Sebab sekali dia dah masuk. Tak boleh keluar lagi. Kena duduk situ sampai bila-bila. Sampai beranak pinak,” jawab Mat Dani selamba.
Terkedu Adira mendengar jawapan Mat Dani. Oh, Mat Dani! Siapalah perempuan yang bertuah kena beranak pinak tu ya? Mulalah dia tersengih-sengih di hadapan lelaki itu. Mahu bertanya siapa perempuan itu, malulah pulak. Adakah dia? Atau Mat Dani sudah ada cinta yang lain.
“Dah ada ke calon yang nak kena beranak pinak tu?” tanya Adira sambil hujung jarinya menguis-nguis permukaan meja. Malu kononnya.
Mat Dani ketawa sambil menggeleng sendiri. “Tak tahulah. Ada jodoh saya, adalah. Tak ada jodoh apa boleh buat. Saya dah terbiasa sendiri,” ujar Mat Dani lembut. Dia percaya apa yang Allah tetapkan untuk dirinya itulah yang terbaik.
Sentap Adira mendengar kata-kata Mat Dani. Sedih pula hatinya mendengar itu. Mat Dani sering mengutamakan kebahagiaan orang lain sedangkan diri sendiri terabai.
Sebaik sahaja pesawat dari Bangkok yang mereka tumpangi mendarat di Kuala Lumpur mereka terus ke ruangan mengutip bagasi. Bagasi mereka antara yang terawal tiba. Lelaki itu membantu mengangkat beg Adira dan Fatyma ke atas troli sebelum berlalu. Saat-saat akhir itu, dia berniat untuk mengajak Adira naik kenderaan bersamanya. Namun seketika kemudian, berkecai harapan Mat Dani apabila terlihat dari jauh seorang lelaki sedang menunggu di pintu balai ketibaan dengan sejambak bunga. Dia tahu itu tunang Adira.
“Eh, mama!” Adira terus memberhentikan langkahnya saat terpandangkan mamat seorang itu.
“Apa dia?” Fatyma ikut memberhentikan langkah. Apa yang sedang dipandang Adira ikut dipandangnya. Dia ternampak Darius.
“Apa dia buat kat sini??” getus Adira benar-benar kalut melihat lelaki itu.
Mat Dani mengerut kening. Hairan melihat Adira tidak tentu arah mahu menyorok. “Kenapa pulak ni?”
“Dira tak mahu jumpa dia. Tolong Dira cepat!” getus Adira semakin panik. Bimbang semakin surut orang nanti, mudahlah Darius terlihat dia.
“Dira nak menyorok. Dira tak kira! Suruhlah dia balik. Ee.. sibuk ajalah,” bebel Adira. Begnya dibuka. Habis kain bajunya diselongkar. Fatyma sudah tidak tentu arah melihat gelagat anaknya itu. Mahu lari dari Darius? Kenapa?
“Mama cakap dengan dia, Dira tak balik. Dira sambul travel ke Beijing, okay. Dira tak balik sekali dengan mama. Dia nak jumpa Dira, suruh dia pergi Beijing. Kita jumpa kat luar nanti.”
Mencerun mata Fatyma melihat Adira memasang sehelai kain di wajahnya. Niqablah kononnya. Mat Dani tercengang melihat Adira mengambil kaca mata hitam dari kocek bajunya lalu dipakai. Kemudian dia berdiri di sebelah kanan Mat Dani.
“Jalanlah cepat!”
“Pergi mana? Nanti dia nampak saya?”
“Dia tak perasan awaknya. Janganlah jalan kat depan dia. Tak akan itu pun saya nak ajar! Cepatlah!” rengus Adira lantas memegang lengan baju Mat Dani. Tubuh lelaki itu dijadikan perisai.
Fatyma menggeleng sambil menolak troli. Sampai begitu sekali semata-mata kerana mahu lari dari Darius! Sudahnya dia berjalan selamba ke hadapan sambil membiarkan anaknya berjalan dengan Mat Dani ke arah lain.
Adira tertunduk-tunduk di sebelah Mat Dani. Takut benar lelaki itu ternampak dia. Sudahnya mereka terlepas ke arah lain. Adira sempat menoleh. Dia lihat mamanya sedang bercakap dengan bapa tirinya bersama Darius di situ.
“Selamat saya!” getus Adira penuh kelegaan. Mereka berdua berdiri di luar seketika.
“Kenapa tak mahu balik dengan tunang awak?”
“Ex tunang. Saya dengan dia dah tak ada apa-apa.”
“Oh..” terlopong Mat Dani seketika. Terkejut. Namun dalam rasa itu, ada sejenis rasa lagi yang sedang membantai dada. Rasa lega yang teramat sangat!
“Kita nak balik macam mana?”
“Awak tak balik dengan mama awak?”
“Nak balik dengan awak, tak boleh?” balas Adira selamba.
Mat Dani ketawa perlahan. Sudahnya mereka menaiki teksi yang sama untuk pulang. Baru sahaja teksi itu bergerak, telefonnya berbunyi. Mamanya yang memanggil. Pantas dia membuka kain yang menutup wajah untuk bercakap dengan mamanya.
“Dira kat mana ni? Ayah dah nak balik ni.”
“Ops! Dira dah ternaik teksi dengan Dani. Sorry, mama.”
“Bukan main lagi anak dara mama seorang ni ya? Dari tadi menggedik aja kerjanya,” gerutu Fatyma.
“Dah lama tak jumpa. Teringin nak borak sementara sampai rumah. Kita jumpa kat rumah nanti, okay. Bye, ma.”
Mat Dani sekadar memandang gelagat gadis itu sambil tersenyum.
“Pakai anak tudung pun boleh,” omel Adira sambil melipat anak tudungnya itu.
“Cantik warnanya,” ucap Mat Dani sambil kain itu diambilnya dari tangan Adira lalu dibelek seketika anak tudung berbentuk empat segi itu. Spontan anak tudung itu dihidunya.
“Jangan! Bak sini.”
“Saya nak simpan, boleh?” tanya Mat Dani sambil meramas lembut anak tudung itu. Kainnya lembut. Baunya harum. Spontan dibawa ke hidungnya.
Berderau darah Adira melihat lelaki menghidu kain itu dalam-dalam. Malunya bukan main lagi.
“Baklah sini!” getus Adira tidak tentu arah dengan gelagat lelaki itu. Mabuk asmara sangat pun tak perlulah cium anak tudung aku tu! Malu tahu tak! Nasib baiklah aku ni bukan jenis pakai anak tudung sampai sebulan baru basuh.
Mat Dani sekadar buat tidak peduli. Kain itu diletakkan di dalam kocek bajunya. Kemudian dia menoleh kepada Adira dengan muka selamba.
“Ada saya bagi izin ke?” tanya Adira sambil memandang kocek baju Mat Dani. Anak tudungnya sudah selamat dibuat harta.
“Nanti saya belikan yang lain.”
“Yang tu saya sayang. Bak balik.”
“Sebab yang ni awak sayanglah saya nak. Saya simpan ya?” ucap Mat Dani dengan sedikit senyum.
Adira terus terdiam memandang lelaki itu. Saat Mat Dani memandang ke luar tingkap, matanya terus merayap di wajah lelaki ini. Selekeh dengan jambang nipisnya dah berberapa hari tak bercukur. Kumisnya semakin lebat. Tapi entah kenapa, wajah itulah yang paling manis di matanya. Dan saat lelaki itu kembali memandangnya, mereka berdua berpandangan seketika sebelum kali itu Adira yang mengalihkan pandangannya.
“Awak nak singgah mana-mana dulu?” tanya Mat Dani seketika kemudian.
“Saya dah janji dengan mama akan balik terus.”
“Kalau saya tanya satu soalan, tak apa ke?” ujar Mat Dani lagi.
Adira sekadar mengangguk sambil memandang lelaki itu.
“Kenapa awak putus tunang dengan Darius?”
“Sebab dia bukan lelaki yang tepat untuk saya.”
Mat Dani mengangguk perlahan. Jawapan itu sudah cukup lengkap. Asalkan bukan kerana dia, cukuplah.
“Jadi lelaki yang tepat tu seperti apa?” tanya Mat Dani lagi. Serentak mereka berdua berpandangan. Lama. Tiada siapa yang mahu mengalah kali itu.
“Ada beza antara lelaki yang saya perlukan dan lelaki yang tepat. Perasaan mudah menipu. Saya tak mahu mencari lelaki yang saya perlukan. Tapi lelaki yang tepat adalah lelaki yang selalu ada di sisi saya waktu saya perlukan dia. Dia tahu saya perlukan dia. Dia datang tanpa disuruh.”
Mat Dani mengangguk berkali-kali mendengar jawapan itu. Dia diam seketika cuba mengatur bicara.
“Awak nak dengar satu cerita tentang saya? Lama dulu saya jatuh cinta pada seorang perempuan. Saya malu nak berterus terang sebab dia kawan baik saya. Tapi sudahnya dia terus tak tahu yang saya ada hati pada dia. Dia pergi tinggalkan saya dan bersama dengan orang lain. Tapi saya tak marah dia. Saya hanya mahu yang terbaik untuk dirinya. Tapi saya selalu berdoa kepada Allah, seandainya dialah wanita yang menemani saya sehingga ke akhir hayat saya nanti, saya minta dia kembali kepada saya. Dan perempuan tu kembali juga selepas itu. Saya cuba beri kasih sayang saya seadanya. Saya bukan seorang lelaki yang hebat. Cuma ada perasaan yang tidak berbelah bahagi, yang tidak pernah jemu kepadanya. Sekali lagi saya terpisah dari dia. Dan di dalam setiap sujud, saya minta Allah beri dia seorang lelaki akan selalu dekat dengan dia dalam apa keadaan sekalipun. Tak akan tinggalkan dia untuk sesuatu yang lain. Jika lelaki itu bukan lelaki yang tepat untuk kekasih sayang sayang itu, saya minta Allah pisahkan mereka dan kembalikan wanita tu pada saya.”
Adira terus terpaku memandang sisi wajah lelaki itu.
“Saya tak kisah kecewa asalkan saya tahu awak lebih bahagia dengan dia. Tapi saya tak mahu kecewa yang saya rasa selama ini jadi sia-sia bila dia sia-siakan awak. Saya ingin kembali kepada awak. Saya tak mahu menjadi lelaki yang hanya memandang dari jauh lagi. Saya mahu jadi lelaki yang tepat dan lelaki yang awak perlukan setiap masa. Kemudian saya akan tunjukkan awak di mana rumah saya. Saya akan bawa awak ke sana sebagai isteri. Dan awak akan tinggal di sana sebagai ibu kepada anak-anak saya, insya-Allah. Dan dengan izin Allah saya mahu beri kebahagiaan sepanjang hidup awak.”
Setiap patah kata lelaki itu didengarinya dengan jelas. Sungguh dia tidak terkata. Terharu. Tiada kata-kata lain yang indah melainkan setiap apa yang diluahkan oleh lelaki ini.
Ya Allah.. jika benar dialah lelaki ini, aku tidak ingin menerimanya kerana cinta. Tetapi aku ingin menerima dia kerana Engkaulah yang membawa dia kembali kepada aku. Hati Adira berbisik sayu. Terharu.
“Saya pernah berjanji, saya tak akan berhenti tunggu awak, Dira. Saya kotakan janji tu. Saya tak pernah berhenti sayangkan awak.”
Air mata Adira gugur juga ke pipi kala itu.
“Terimalah, dik. Abang yang dengar ni pun rasa macam nak terbang. Abang lamar isteri abang dulu pun semberono aja. Tak ada madah indah ni semua. Susah nak jumpa orang yang mampu setia dengan kita bertahun-tahun lamanya.” Tiba-tiba pemandu teksi itu menyampuk dari hadapan.
Mat Dani tersenyum sambil menggaru kepalanya. Adira meraup wajahnya perlahan.
“Terima kasih, Dani. Awak sudi sayangkan saya yang tak sempurna ni. Saya dah banyak lukai hati awak.”
“Saya terima awak seadanya. Dan saya harap saya juga diterima seadanya.”
Adira mengangguk perlahan. Bulat hatinya. Dia tidak ingin membiarkan lelaki ini merana kerananya. 

BAB 8
HUJUNG minggu itu keluarga Adira bertandang ke rumah emak Darius. Walaupun agak berat, wajah ditebalkan juga untuk menyampaikan hasrat memutuskan ikatan pertunangan antara Darius dan Adira.
Tersentak hebat emak Darius mendengar khabar itu.
“Apa masalahnya. Selama ni budak-budak ni baik aja, kan?” ternyata wanita itu masih tidak tahu apa-apa tentang itu.
“Kami minta maaf, kak. Bukan niat kami nak memalukan akak sekeluarga atau nak menghampakan. Tapi anak kami beri alasan, mereka dah tak serasi. Sebagai orang tua kami tak mahu memaksa kalau dah tuan punya diri dah putus asa.” Imran menjawab bagi pihak isterinya.
Mak Cik Rahmah terpaku lama. Hati bak kaca terhempas ke batu mendengar itu. “Besar impian saya nak tengok budak berdua tu bersatu. Jadi begini pulak. Kalau ada salah Darius tu, biarlah saya tegur dia.”
“Kak..” kini suara Fatyma pula yang kedengaran. Imran terus menoleh kepada isterinya.
“Anak saya terpaksa buat pilihan untuk diri dia. Saya pun tak suka keadaan jadi begini. Saya malu nak jumpa akak. Sebetulnya budak-budak ni tak mahu kahwin, kak.”
“Ish! Tak mungkin. Darius nampak tak sabar nak berumahtangga. Ni semua dia yang beli. Bersungguh benar dia saya nampak. Kenapa Dira sampai hati buat begini?” ujar Mak Cik Rahmah sambil menunjukkan bekas hantaran yang sudah siap sebahagiannya.
“Bila dia beli tu?” tanya Fatyma.
“Semalam..”
Fatyma dan Imran segera berpandangan. Adira meminta putus seminggu yang lepas. Apa pula olah lelaki itu sekarang??
“Kad jemputan semua dah siap. Saudara mara kami semuanya dah tahu. Apa nak jadi sekarang? Malulah kami sekeluarga,” ujar Mak Cik Rahmah perlahan.
Imran mula menggaru dahinya sambil berfikir sendiri. Sebolehnya janganlah sampai pihak satu lagi berkecil hati dengan penolakan mereka.
“Saya tahu maruah tak boleh dibeli dengan wang. Kalau nak difikirkan soal malu, banyak perkara atas dunia ni pun boleh buat kita malu. Jadi begini sajalah, kak. Kami sudi bayar segala ganti rugi kepada pihak akak. Kami tahu tak sepatutnya anak kami meminta putus dalam keadaan hari nikah dah dekat. Tapi saya pun tak mungkin akan tarik semula keputusan semata-mata kerana malu. Ini tentang masa depan anak perempuan kami. Kami tak ada hak untuk paksa dia meneruskan perkahwinan ni kalau hati dia sudah tawar. Maafkan kami, kak.”
“Apa kurangnya Darius tu? Saya tahu dia sayangkan Dira. Saya tahu Darius boleh jaga dia baik-baik. Tolong nasihatkan Dira. Jangan buat begini. Akak dah beritahu semua saudara mara akak. Mana akak nak letak muka kalau majlis ni tak jadi?”
“Sebelah pihak kami pun semua saudara mara dah tahu. Kami tetap kena beritahu apa yang benar. Saya tak boleh minta dia buat sesuatu yang dia tak mahu semata-mata nak jaga air muka kita. kita sama-sama tahu, bertunang ni sekadar janji. Mana-mana pihak berhak memutuskan jika ada sebab yang munasabah. Saya tak mahu cerita dalam-dalam apa masalahnya. Saya katakan yang mereka ni tak serasi lagi. Kasih sayang dah tak seperti dulu. Sebelum kami datang ke sini pun kami dah nasihatkan anak kami supaya fikir dalam-dalam tentang ini dan dia tetap dengan keputusan dia,” jelas Imran.
“Adira dah ada orang lain? Tu yang nekad sangat nak putus tu?”
“Akak tahu tak hubungan anak-anak kita dah pernah putus sebelum ni?” ucap Fatyma pula. Tidak senang benar hatinya. Wanita ini seakan mahu menyalahkan Adira semata.
“Eh! Bila pulak tu?”
Fatyma ketawa perlahan. “Sebetulnya selama ni anak akak yang tak mahu kahwin dengan anak saya,” ujar Fatyma selamba.
“Tak mungkin begitu. Sekarang ni dia memang nak kahwin. Jadi kenapa Adira minta putus?”
“Darius nak kahwin dengan Adira terpaksa. Lepas didesak berkali-kali. Akak tanyalah nak akak tu. Lima tahun anak saya menunggu. Sebelum ni mereka pernah putus. Tapi Adira tetap nakkan Darius walaupun saya tak suka! Saya tak suka sesiapa mempermainkan perasaan anak saya,” ujar Fatyma dalam nada yang sudah berubah. Imran pantas menyentuh tangan isterinya sambil menggeleng. Tidak mahu ada bunga-bunga pergaduhan di sini.
“Kita datang nak selesaikan masalah. Bukan tambah masalah,” ucapnya kepada dua wanita itu.
“Minta cek tu.”
Fatyma membuka beg tangannya. Sekeping sampul surat dikeluarkan lalu diserahkan kepada suaminya.
“Tak adil kalau akak menyalahkan anak kami semata-mata. Sebaiknya akak tanyalah anak akak. Saya serahkan pada Allah kalau dia tak mahu bercerita hal yang sebenarnya. Setahu kami selama ni, Adira terlalu sayangkan Darius. Kerana Darius dia sanggup pergi jauh dari kami. Tapi bila dia balik ke sini, ada luka di hati dia. Akak tanyalah pada Darius sendiri apa yang berlaku waktu tu. Kita muhasabah diri itu lebih baik daripada salah menyalahkan. Dan saya rasa sebagai orang islam, kita berpegang kuat pada takdir. Darius dan Adira, jodoh mereka tak ditakdikan bersama. Dalam sampul ni ada cek. Kami serahkan sebagai ganti rugi. Saya harap selepas ini tiada lagi apa-apa yang perlu diperpanjangkan. Kita sama-sama kena terima kenyataan. Kami minta maaf jika ada salah silap kami. Harap-harap tak ada apa yang dituntut di akhirat nanti.”
Saat di dalam kereta, Fatyma mendengus. Geramnya masih tidak lepas dengan wanita itu. Namun Imran pantas menyentuh tangan isterinya.
“Tak apa kita tutup aib orang. Yang penting Allah tahu siapa benar, siapa salah. Kita dah jelaskan apa yang perlu dia tahu. Kalau kita cerita pasal Darius, dia tak akan boleh terima. Sebab tu anak dia. Dia rasa anak dia betul semata. Kita pun rasa anak kita betul semata. Sama aja kita dengan dia pun. Jadi biarlah.”
Fatyma membisu sambil menghela nafas panjang untuk meredakan rasa sakit hatinya.
“Yang penting hal ni tak timbul lagi. Kita semua kena teruskan hidup walau apapun yang terjadi. Kita dah usaha sebaik mungkin. Selebihnya biarlah Allah yang tentukan. Sabar ya?” pujuk Imran kepada isterinya.
Sekali lagi Fatyma menghela nafas. Akhirnya dia mengangguk akur kepada suaminya.
Lelaki itu termenung seketika tanpa terus menggerakkan kenderaan.
“Kita kena kahwinkan Dira cepat. Selagi dia tak kahwin selagi itulah I tak senang hati. Berkawan lama-lama ni banyak dugaan,” luah Fatyma dalam kebisuan suaminya.
“Calon suaminya?” tanya Imran sambil menoleh kepada sang isteri.
“You tahu siapa yang ada fikiran I ni, kan?”
Imran terus ketawa perlahan. “I rasa orang tu pun ada fikiran I.”
“Jomlah pergi makan. I dah lapar,” ujar Fatyma lembut. Perihal Darius enggan difikirkannya lagi.
“Nak makan kat rumah atau di luar?”
“Kat luarlah. Biarlah budak-budak tu kat rumah,” ujar Fatyma sambil memandang sekitar situ. Mencari kedai makan yang menarik di mata untuk mereka singgahi.
Imran segera tersenyum. Seronok mendengar isterinya mengajak dia menghabiskan masa berdua.

HARI itu dia diajak makan tengahari di rumah itu. Dia tahu memang itulah resam keluarga Adira. Mereka saling mengenali semenjak dulu. Namun dia tahu hari ini dia diajak atas sebab lain.
“Dani, dah lama opah tak jumpa kamu. Kamu dah lupa ke opah ya?” ucap Mak cik Milah.
“Tak mungkin saya lupa pada opah. Opah sihat ke?”
“Macam nilah. Sihat orang tua. Kamu tu bilalah nak masuk meminang si Dira ni? Kahwinlah lekas. Mana tahu sehari dua ni terpejam mata opah ni. Tak dapat nengok kamu kahwin. Dah lama benar opah berhajat nak tengok kamu jadi cucu menantu opah,” ujar wanita itu lembut.
Mat Dani terus memandang gadis itu sekilas. “Ada jodoh, insya-Allah sempatlah opah tengok saya kahwin,” jawab Mat Dani lembut. Terharu benar dengan kasih sayang wanita ini kepadanya. Dia dilayan seperti cucu kandung.
“Uncle Im pun dah lama tak jumpa Dani. Jangan segan-segan. Buat macam keluarga sendiri,” ucap Imran sambil menepuk bahu anak muda itu.
Sementara kaum ibu menyiapkan makan siang di meja makan, kaum lelaki berbual di ruang tamu. Mereka lebih banyak bertanyakan perkembangan terkini Mat Dani. Dengarnya sekarang berkerja dengan sebuah syarikat pemaju yang beribu pejabat di Cyberjaya.
“Sungguh ke?” Rayyan terkejut sedikit saat mendengar nama syarikat yang disebutkan Mat Dani. Mat Dani sekadar mengangguk.
“Tok pa geng baik dengan bos kompeni tu. Tok pa tak mainlah lepak KL. Dia lepak Putrajaya aja. Uncle Tony tu kawan baik dia,” ujar Rayyan sambil ketawa sendiri.
“Saya selalu nampak tok pa kat sana. Segan nak tegur,” ujar Mat Dani lembut.
“Apasal tak tegur? Dani rugi! Ada minah seorang tu meroyan nak jumpa Dani. Sampai kita orang pun pening dibuatnya.”
“Abang Ryan mulut tu jaga sikit ya? Kak Fi ni geng Dira. Nanti kempen nak dapat baby baru kena boikot, baru tahu.” Ada satu suara tiba-tiba menyampuk dari ruangan makan. Spontan mereka semua memandang ke arah sana.
“Opss! Terkuat pulak suara. Ada orang pasang telinga.”
Terkekeh-kekeh mereka ketawa melihat gelagat Adira menjeling. Namun Mat Dani hanya tersenyum memandang gadis itu sedang menyusun pinggan lauk di meja makan. Adira juga asyik terjeling-jeling ke arah ruang tamu tamu itu.
“Udin!” panggil Adira kepada adiknya yang sedang duduk tidak jauh dari Mat Dani. Anak itu dilambainya.
“Apa?” Udin segera bangun mendapatkan Adira. Tersengih-sengih dia menayang gigi kepada Adira.
“Cakap dengan abang Dani, kakak kirim salam. Jangan kuat-kuat tau.”
“Tapi Udin dapat apa?”
“Hee.. teruk betullah dia ni. Minta tolong sikit pun nak berkira. Okaylah. Kakak belikan apa yang Udin nak.”
“Janji tau,” jawab Udin selamba.
“Tak janji!” ucap Adira sambil mencebik.
“Okay..” Terus anak itu mendekati Mat Dani. Lelaki itu menoleh saat bahunya dicuit Udin. Udin sempat memandang Adira. Adira sekadar mengangguk kepada adiknya itu.
“Kakak kirim salam sayang kat Abang Dani. Kakak cakap I love you,” ucapnya membuatkan semua orang yang sedang berbual di ruang tamu itu terdiam. Spontan semuanya mencari wajah Adira.  Udin tergelak berdekah-dekah dapat mengenakan kakaknya.
Tiada lain reaksi dapat ditunjukkan Adira. Cepat-cepat dia mencari dapur untuk menyorok. Orang cakap kirim salam aja. Dia pergi tambah yang lain pulak! Kurang asam punya Udin! Malu aku dibuat dek budak ni! Gerutu Adira geramkan adiknya itu. Mat Dani sempat ketawa melihat Adira macam lipas kudung pergi menyelamatkan diri.
“Okay, sekarang Udin tolong cakap kat kakak pulak. Esok kakak free tak?”
“Kenapa?” balas Udin sambil mengerut kening.
“Abang Dani nak ajak kakak pergi jalan esok. Cuba tanya kakak.”
“Udin pergi ke tak? Kalau Udin tak ikut, tak boleh kawan dengan kakak Udin. Kakak tak boleh keluar dengan lelaki. Nanti ayah marah. Kalau Udin ada baru ayah tak marah. Esok Udin tak sekolah,” ucap Udin sambil menunding dirinya.
Terkedu Mat Dani memandang adik Adira itu. Cis! Pandai betul budak ni mengayat.  “Okay. Abang bawak Udin sekali.”
“Calit dulu!” ucap Udin sambil dia mengambil tangan Mat Dani. Ibu jari lelaki itu dicalitnya tanpa kerelaan Mat Dani. Konon tanda janji itu sudah disepakati.
“Esok Udin nak beli gula kapas banyak-banyak. Siapa mungkir janji, dia kena sumpah jadi stoking busuk!” omel Udin sambil memegang tangan lelaki itu.
Sekali lagi Mat Dani terkedu. Manalah budak dapat idea sumpah orang jadi stoking busuk. “Udin punya stoking selalu busuk ke?” tanya Mat Dani sambil ketawa perlahan.
“Tak. Kawan Udin kat sekolah selalu tak basuh stoking. Busuk! Hitam pulak tu. Udin tak suka dekat dengan dia.”
Mat Dani ketawa lagi sambil mengusap kepala anak itu. “Dah. Pergi cakap dengan kakak apa yang abang pesan tadi.”
“Okay. Udin pergi cakap kat kakak sekarang,” ucap Udin tanda sedia menjadi posmen bergaji.
“Tapi tolong bisik kat kakak. Jangan bagi orang lain dengar. Malu abang nanti,” ujar Mat Dania mat perlahan.
“Okay!” sepantas kilat Udin berlari ke dapur. Kakaknya yang sedang berdiri menghadap kabinet dicuitnya.
“Apa?” tanya Adira.
Udin menarik Adira lebih dekat dengannya. “Nak bisik..” semua manusia di dapur itu memandang sekali imbas sahaja gelagat dua beradik itu. Berdepus-depus Udin berbisik pesanan si abang kepada si kakak.
“Okay.” Adira sekadar menjawab sepatah.
Berlari lagi kanak-kanak tujuh tahun itu ke arah Mat Dani.
“Kakak cakap okay.”
“Itu aja?” tanya Mat Dani perlahan.
“Lagi nak cakap apa?”
“Sini!” ucap Mat Dani serius. Di telinga si Udin dibisikkan lagi sesuatu. Meminta Adira menamakan tempat yang akan menjadi tempat persinggahan mereka esok. Spontan Udin berlari ke dapur lagi. Kakaknya yang sedang sibuk itu dicuit lagi.
“Ada apa lagi ni?”
“Abang tu bisik lagi.”
Adira menyua lagi telinganya kepada Udin. Namun seketika kemudian dia termenung. Kenapa aneh benar tempat dating yang diajak Mat Dani itu?
“Betul ke Abang Dani ajak kakak pergi Lego Land?”
“Betul..” jawab Udin sambil menyengih. Kembang setaman hatinya. Dapatlah dia pergi ke tempat idaman kalbunya itu esok!
“Percayalah kata-kata si Udin tu. Jangan tak percaya!” ucap Fatyma sambil menjeling anak lelakinya itu. Lego Land tu dia yang sibuk nak pergi! Udin terus menyengih kepada mamanya. Sedang itu, ada jari mencubit pipinya sehingga terangkat.
“Aduh! Sakitlah..”
“Tadi Udin malukan kakak, kan? Rasakan!” getus Adira benar-benar geram dengan adiknya itu.
Sehingga usai waktu makan, masih tiada ruang untuk dua manusia itu berbual. Adira asyik di dapur. Masih ada kerja yang belum selesai. Sudahnya dia bangun mencari Adira di dapur.
“Dani nak solat ke?” tegur Fatyma sebaik sahaja terlihat anak muda itu berdiri di ambang dapur.
Mat Dani segera mengangguk. Fatyma terpandangkan anaknya lelakinya sedang berada dekat dengan mereka.
“Fuad, pergi bawakkan Abang Dani naik atas. Bagi abang Dani sejadah,” suruh Fatyma.
“Jom!”
Anak itu berlari anak ke arah tangga. Kemudian dibawanya Mat Dani ke satu kamar. Terpaku Mat Dani memandang persekitaran kamar itu. Macam bukan kamar untuk tetamu. Ini kamar seseorang. Saat dia menoleh mahu bertanya, Fuad sudah tiada di situ. Mat Dani keluar seketika memandang sekeliling.
Betul ke bilik ni? Bisik hatinya sedikit tidak sedap. Nak masuk kamar lain, dia segan pula. Ada yang bertutup pintunya. Sudahnya dia masuk semula. Sambil berjalan ke kamar mandi, dia memandang lagi suasana kamar itu. Dia agak ini sebenarnya kamar Adira.
Tak apalah. Aku tumpang sembayang sementara dia taka da, bisik hati Mat Dani cuba membuang kekok.
Usai mengambil wuduk, dia mencapai sejadah yang kelihatan di penyangkut. Ternampak satu permaidani kecil diletakkan kedudukan berlainan dan ada sejadah membaluti kain telekung di dalamnya di hujung permaidani itu. Dia tahu itulah arah kiblat. Sejadah terus dibentangkan lalu dia terus mendirikan solat.
Usai membaca doa, Mat Dani bangun mahu menyidai sejadah itu semula. Namun dia terpandangkan sesuatu sedang tersangkut disalah satu bahagian penyangkut itu. Dan entah bagaimana ketika dia membetulkan kedudukan sejadah itu, benda itu terjatuh ke bawah.
Alamak! Keluh hatinya sendiri.
Nak ambik ke tak? Ujarnya dalam hati semata. Sudahnya dia tunduk untuk mengembalikan objek itu ke tempatnya. Namun baru sahaja dia bangun, Adira muncul di pintu kamar. Terkejut besar dia melihat lelaki itu ada di dalam kamar tidurnya. Mat Dani juga terkejut. Dia terkaku.
“Dani buat apa dalam ni?”
“Saya tumpang sembahyang. Tadi adik awak bawa saya ke bilik ni,” ujarnya agak kalut. Lupa langsung apa yang sedang dipegangnya.
Adira pantas berjalan ke arah Mat Dani. Objek di tangan Mat Dani diambilnya lalu disembunyikan di belakangnya. Merah padam wajahnya tidak terpandang wajah lelaki itu.
“Saya.. err.. tadi benda tu jatuh. Saya cuma nak tolong sangkut balik. Maaf. Saya terpegang benda tu,” ujar Mat Dani agak serba salah.
Adira tidak terjawab dek kerana rasa malu dan serba salah kepada lelaki itu. Mat Dani menoleh semula seketika kemudian.
“Tapi saya tak rasa apa-apa yang aneh. Dulu saya pun selalu nampak arwah mak buat macam tu. Itu semua normal.”
“Dah terpegang tu sudahlah. Tak payahlah nak komen panjang-panjang. Orang tengah malu ni!” gerutu Adira geram melihat lelaki itu tergaru-garu. Konon cuba berlagak macam tiada apa-apa berlaku.
“Saya keluar dulu ya?” ucap Mat Dani lembut. Terus dia menonong ke pintu.
Seketika kemudian Adira kembali memandang apa yang dipegang Mat Dani tadi.
“Yang kau gatal pergi menjelmakan diri tu nak buat apa ha? Kau nak kena buang eh!” marah Adira kepada coli itu. Yang Mat Dani tu pun satu. Sibuk nak tolong sangkut baju dalam aku. Ni si Fuadlah ni. Pandai-pandai suruh Mat Dani masuk bilik aku.

Malu punya pasal, habis semua orang disalahkannya! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan